ENSIKLOPEDIA SEJARAH DAN KEBUDAYAAN MELAYU ADAT, PERATURAN

Download Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Adat, peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hu...

1 downloads 505 Views 42KB Size
Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu

Adat, peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Perkataan adat berasal daripada bahasa Arab bermaksud kebiasaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini ditakrif sebagai kebudayaan, undang-undang, sistem masyarakat, upacara, dan segala kebiasaan yang sering dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk. Kini, makna adat dalam masyarakat Melayu sudah menjadi semakin khusus dan semakin mengecil, yakni upacara kebiasaan serta unsur-unsur masyarakat yang tidak digolongkan sebagai unsur Islam. Evolusi konsep adat ini dapat dilihat dalam kepelbagaian takrif oleh pelbagai masyarakat di Alam Melayu.

Bagi masyarakat Melayu tradisional,

konsep adat sering kali dimaksudkan dengan beberapa tahap makna yang berlainan. Konsep Adat Antara konsep yang berkait dengan adat termasuklah: •

Adat sebagai kelakuan dan kebiasaan yang betul seperti menghormati orang yang

lebih tua dengan menggunakan istilah panggilan pangkat kelahiran atau kekeluargaannya. •

Adat dengan makna khusus, seperti “bayaran mas kahwin” di Negeri Sembilan atau

“belanja hangus” di utara Melaka, iaitu belanja yang diberikan oleh pihak lelaki bagi suatu istiadat perkahwinan yang dilaksanakan oleh pihak perempuan. •

Adat sebagai prinsip semula jadi alam. Misalnya, “adat api membakar”, “adat air

membasa”, dan “hidup dikandung adat, mati dikandung tanah”. •

Adat sebagai hukum dan undang-undang dalam negara dan masyarakat umum.

Misalnya, hukuman yang dikenakan terhadap pelbagai kesalahan dalam masyarakat ataupun undang-undang adat dalam masyarakat adat perpatih serta pelbagai hukum kanun lama dari zaman Melaka hingga abad ke-20. •

Adat sebagai segala perlakuan upacara yang sering kali disebut sebagai adat

istiadat. Dalam bentuk ini, adat itu termasuk dalam lingkungan bidang kepercayaan dan

perlakuan agama, serta juga magis. Dalam hal ini, berlaku pertindihan bidang antara adat istiadat dengan upacara, sekali gus menjadikan upacara sebagai sebahagian daripada konsep adat yang lebih luas. •

Adat dengan erti susunan masyarakat dan segala lembaga kemasyarakatannya,

seperti sistem kekeluargaan, sistem politik mahupun sistem ekonomi, seperti pemilikan tanah dan pembahagian harta. Institusi kekeluargaan yang lazim dilaksanakan dalam pelbagai masyarakat ialah adat masyarakat itu. Ada masyarakat yang biasa mengamalkan sistem kekeluargaan matrilokal dan ada yang neolokal. Demikian juga, ada masyarakat yang membahagikan harta serta pemilikan secara faraid dan ada yang secara sama rata. Institusi dan organisasi kemasyarakatan sebagai prinsip penyusunan masyarakat merupakan makna terunggul dalam konsep adat di seluruh Alam Melayu. Bagi pelbagai masyarakat di seluruh Alam Melayu seperti Iban, Dusun, Dayak, Batak, Toraja, adat masih membawa makna yang amat luas dan serba merangkumi, iaitu adat sebagai suatu kebudayaan. Dalam konsep ini, adat adalah keseluruhan corak hidup atau kebudayaan manusia di alam nyata dan juga menghubungkan manusia dengan alam kosmik yang simbolis dan sejagat. Adat menjadi ciri kehidupan, bukan sahaja manusia dalam lingkungan alam tabiinya, bahkan dalam kalangan semua makhluk seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Malah, ciri adat terdapat dalam pergerakan alam tabii itu sendiri, seperti kejadian semula jadi, ribut dan petir, serta segala-galanya dalam kosmos adalah kerana mengikut adat alam. Maka, hukum alam adalah juga adat. Pengertian yang amat luas dan mendalam ini tidak lagi berlaku dalam keseluruhan tanggapan masyarakat Melayu kini. Bidang tanggapan menyeluruh konsep adat secara tradisional itu sudah dipecahkan oleh pelbagai pengertian khusus dan tepat, yang setiap satunya ditanggapi pula secara khusus.

Hukum adat sudah menjadi undang-undang,

hukum alam sudah menjadi sains, dan bidang kepercayaan sudah menjadi agama. Dengan demikian, pengertian adat kini menjadi sempit dan sering kali dikhususkan kepada upacara sahaja, serta dipertentangkan pula dengan pengertian khusus pada bidang-bidang lain seperti pertentangan dengan agama Islam.

Kini, adat sering dimaksudkan hanya sebagai adat istiadat atau upacara tradisional dalam tahap upacara peralihan edaran hidup seseorang manusia dan juga dalam pengertian undang-undang adat. Adat sebagai Upacara Dalam pengertian ini, adat sudah mendapat makna yang amat sempit. Upacara merangkumi segala perbuatan, kegiatan, peralatan, acara dan perlakuan yang teratur dan tersusun berkait dengan makna kesucian atau kekudusan dalam sesuatu kepercayaan. Upacara atau adat istiadat ini termasuklah segala kegiatan kudus dalam setiap peringkat edaran hidup manusia; daripada kelahiran, remaja, perkahwinan, hingga kematian. Dalam pengertian ini, adat merupakan pengucapan lambang terhadap makna dalaman daripada kehidupan individu dan masyarakatnya.

Misalnya, sebaik sahaja

seseorang bayi dilahirkan, bayi lelaki akan diazankan manakala bayi perempuan akan diiqamatkan selaras dengan ajaran agama.

Makna daripada pengucapan ini ialah

pengenalan terhadap ketuhanan dari saat kelahiran seorang bayi ke dunia. Demikian pula diadakan kemudiannya upacara cukur jambul ataupun naik buai. Kedua-dua ini ialah lambang permulaan perjalanan manusia dalam edaran kehidupannya. Pelbagai upacara ini dianggap sebagai adat dan bukan merupakan ajaran agama. Adat juga sering dipertentangkan dengan perlakuan Islam sehingga banyak perlakuan adat dikatakan sebagai tidak Islam, ataupun melanggar akidah Islam. Perlakuan adat di sini sering juga disamakan dengan upacara Hindu dan sekali gus membawa maksud perbuatan bidaah. Misalnya, perlakuan adat bersanding, menggunakan nasi kunyit, bersuap-suapan, berarak, mandi sampat, lenggang perut, dan perarakan ketika berkhatan. Dari segi kebudayaan Melayu, perlakuan itu ialah sistem adat istiadat dalam bentuk upacara. Perlakuan itu ialah pengucapan konkrit terhadap nilai yang mahu dinyatakan oleh masyarakat Melayu terhadap tahap penghargaan masyarakat kepada anggotanya. Anakanak yang baru lahir dihargai dan dinilai tinggi dengan pengajaran mulia serta doa kebaikan. Nilai ini kelihatan pada “benda” yang dipergunakan dalam upacara adat itu. Misalnya, emas,

gula, dan garam yang digunakan dalam upacara cukur jambul merupakan nilai dan harapan agar anak akan mewah, senang serta berjaya. Undang-undang Adat Dalam bidang ini, terdapat pengertian adat yang masih luas tetapi amat khusus sebagai peraturan serta undang-undang yang dilaksanakan bagi melengkapi seluruh sistem perundangan moden dalam masyarakat dan negara. Namun, tidak terdapat suatu usaha untuk mentakrif apakah yang dimaksudkan sebagai undang-undang dalam sistem adat. Di Indonesia, telah didebatkan takrif undang-undang atau hukum dalam adat oleh para sarjana Belanda dan Indonesia dalam pelaksanaan undang-undang moden. Ada dua aliran pemikiran tentang pengertian hukum (undang-undang) ini.

Pertama, takrif yang

diberikan oleh sarjana utama pengajian hukum adat, Van Vollenhoven, iaitu hukum adat sebagai segala peraturan yang dipertahankan dengan adanya hukuman atau isbat. Apabila segala perbuatan itu dikenakan hukuman oleh masyarakat, jadilah peraturan atau adat itu hukum atau undang-undang dalam pengertian moden. hanya kebiasaan.

Tanpa hukuman, peraturan itu

Jadi, undang-undang adat ialah segala peraturan yang mempunyai

kesan hukuman dan diakui oleh anggota masyarakat. Pengertian kedua diberikan oleh murid Van Vollenhoven, Ter Haar, yang mentakrif hukum adat sebagai keadaan apabila penguasa adat menjatuhkan keputusan hukuman ke atas pelanggar adat. Dengan hukuman yang dijatuhkan oleh seorang ketua masyarakat, peraturan itu menjadi suatu hukum adat. Pengertian ini menekankan kuasa penjawat perundangan yang menjatuhkan hukuman. Jika penguasa adat itu tidak menghukum sesuatu perbuatan, peraturan itu bukan undang-undang adat. Antara kedua-dua pengertian di atas, ternyata takrif Van Vollenhoven menjadi pegangan ramai ahli hukum adat. Kesan atau akibat hukuman daripada suatu peraturan, kebiasaan ataupun norma masyarakat, menjadikan ia suatu undang-undang, meskipun peraturan itu atau hukumannya merupakan suatu tindakan yang paling ringan dikenakan terhadap suatu kesalahan.

Kedua-dua pengertian adat di atas telah berlaku sejak zaman kegemilangan Melayu di Melaka hingga kini.

Manuskrip undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka atau

Undang-Undang Laut Melaka, Adat Aceh, Adat Palembang, Undang-Undang 12, UndangUndang Kedah, dan Undang-Undang 99 Perak ialah perkanunan hukum adat dan undangundang Islam yang dipercayai digunakan dalam pemerintahan negeri pada zamannya. Adat dalam bentuk hukum dan undang-undang mencapai tahap lebih rasmi dan berkuat kuasa dalam pentadbiran negeri dan masyarakat. Pada zaman penjajahan Belanda di Indonesia dan zaman naungan British di Tanah Melayu serta Pulau Borneo, undang-undang adat dilaksanakan sebagai sebahagian daripada sistem perundangan yang membezakan orang Eropah daripada penduduk peribumi rantau ini. Setiap kelompok peribumi serta orang Asia diaturkan kehidupan mereka melalui undang-undang adat masing-masing. Di Sabah dan Sarawak, setiap kelompok masyarakat peribumi mempunyai undangundang adat mereka serta ditadbir oleh sistem ketua yang pelbagai bentuk. Di seluruh Indonesia, pemerintah Belanda menubuhkan wilayah pelbagai suku bangsa yang dibahagi kepada 19 buah wilayah adat. Setiap wilayah adat merupakan suatu kawasan persamaan adat bagi satu suku bangsa yang sama kebudayaannya. Pentadbiran setiap wilayah adat dilakukan, sama ada dengan meletakkan hakim Belanda dengan bantuan penasihat ketua adat (penghulu) anak negeri ataupun ketua anak negeri itu sendiri yang menjalankan pengadilan, tetapi hanya pada tahap rendah.

Para pentadbir undang-undang terdiri

daripada keturunan bangsawan ataupun ketua tempatan bagi satu-satu kawasan.

Kategori Adat Dalam masyarakat Melayu kini, pengertian adat sebagai satu bidang yang serba merangkum atau sebagai kebudayaan masih terdapat di wilayah Melayu pesisiran Sumatera Timur dan juga dalam kalangan masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat. Adat di sini ditakrif dalam empat jenis perlakuan; antara manusia dengan alam tabii dan antara manusia dengan manusia. Empat kategori adat tersebut ialah:



Adat nan sabana adat, iaitu hukum tabii alam yang tidak dapat dipinda oleh manusia

serta menjadi asas perjalanan proses alam itu sendiri. Hukum alam adalah adat hakiki. Adat yang sebenar adat juga ialah sebahagian daripada hukum Tuhan yang dipadukan oleh masyarakat dalam adat mereka. Justeru, punca kehidupan adat ialah alam – alam terkembang menjadi guru dan juga syariat Tuhan – adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. •

Adat nan diadatkan ialah segala peraturan, lembaga masyarakat dan keputusan

hukum yang dimuafakatkan untuk dilaksanakan dalam masyarakat. Maka, bahagian adat ini merupakan segala macam bentuk dan susunan masyarakat, lembaga masyarakat, undangundang dan juga hukum adat, dan boleh mengalami perubahan jika dimuafakati sedemikian, iaitu berasaskan prinsip adat: jika dicabut mati, jika dianjak layu. •

Adat nan teradat ialah segala peraturan yang sedia berlaku melalui penerimaan

masyarakat umum tanpa perlu muafakat yang formal. Peraturan seperti ini ialah norma masyarakat umum seperti kepatuhan terhadap orang tua, cara-cara menggunakan segala macam alatan budaya ataupun segala macam kelakuan yang biasa. Adat dianggap sebagai proses dinamik dalam masyarakat yang sentiasa berubah sendirinya. •

Adat istiadat ialah bahagian adat yang mengatur segala macam upacara dan

kegiatan suci yang perlu menerima penghormatan awam. Adat istiadat berlaku kerana diamalkan dan dijaga sebaiknya. Jika ditinggalkan, adat istiadat akan pupus. Namun, adat istiadat juga tertakluk pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan ataupun kesan pengaruh dari luar. Ini banyak kelihatan dalam peringkat upacara edaran hidup manusia. Jadi, seluruh sistem adat sentiasa tertakluk kepada pindaan dan perubahan melalui muafakat dan persetujuan serta amalan terhadapnya. Dengan demikian, kekekalan dan perubahan ialah proses yang diakui sentiasa berlaku dalam semua ciri kehidupan manusia dan ini menjadi prinsip asas sistem adat.

Adat Perpatih dan Adat Temenggung Di Malaysia, adat dianggap sebagai terbahagi kepada dua jenis, iaitu adat perpatih dan adat temenggung. Sekali imbas pembahagian ini seolah-olah tanggapan asli masyarakat Melayu di Malaysia. Namun, penelitian yang mendalam menunjukkan pembahagian ini lebih merupakan penggolongan oleh pengkaji Inggeris yang membezakan antara peraturan adat di Negeri Sembilan dan Naning, di utara Melaka, daripada negeri lain di Malaysia. Pembahagian kepada kedua-dua jenis ini tidak terdapat dalam manuskrip undangundang Melayu tetapi hanya tersebut dalam teromba atau legenda asal usul adat perpatih. Dalam teromba ini disebutkan bahawa adat itu bermula di Minangkabau, Sumatera. Dalam tambo (romba) adat di Minangkabau, keadaan berbahagi dua ini disebutkan sebagai “laras nan dua”, iaitu penggolongan dua wilayah Minangkabau kepada dua orang pemerintah: wilayah Koto Piliang di bawah Datuk Katamanggungan dan wilayah Bodi Caniago di bawah Datuk Perpatih Nan Sebatang. Di Malaysia, perbezaan itu diterjemahkan sebagai perbezaan antara undang-udang adat perpatih di Negeri Sembilan dan Naning daripada adat temenggung di negeri-negeri yang lain. Dibandingkan dengan tradisi di Minangkabau, nyatalah perbezaan seperti di Malaysia tidak pernah ada. Malah naskhah undang-undang adat dan Hukum Kanun Melaka juga tidak pernah menyebut bahawa undang-undang itu ialah adat temenggung. Maka, mungkin diandaikan pembahagian adat temenggung dan adat perpatih di Malaysia ini ialah hasil penggolongan undang-undang adat oleh pengkaji dan pentadbiran Inggeris, dan diterima pula sepenuhnya oleh masyarakat Melayu hingga kini. Di Sabah dan Sarawak, ternyata berlaku pengertian konsep adat yang lebih luas seperti yang telah disebutkan dalam kalangan orang Iban. Bukti yang sama kelihatan pada tanggapan bahawa agama tradisional sentiasa disebut sebagai “adat lama”, dan agama baharu terutama Kristian, disebut sebagai adat baharu. Di samping itu, pengalaman sejarah di Sarawak pada ketika penyerahan kuasa pemerintahan Brooke kepada pemerintahan British pada tahun 1946 juga ditanggapi oleh penduduknya sebagai perubahan daripada adat lama kepada adat baharu.

Pada masa ini, pengertian dan amalan adat telah berubah menurut perkembangan pengetahuan dan ilmu dalam masyarakat. Semakin berkembang ilmu dan pengetahuan atau aspek kognisi dalam masyarakat, semakin tepat dan khusus pula pengertian adat yang dahulunya adalah keseluruhan cara hidup. Kini, konsep serba lengkap adat itu telah digantikan oleh konsep kebudayaan, dan adat ialah satu bidang dalam seluruh kebudayaan Melayu. Bidang-bidang khusus kebudayaan itu ditanggapi pula dengan konsep tertentu seperti ekonomi, agama, politik, kekerabatan atau sebagainya. Maka tinggallah adat itu sebagai suatu warisan budaya zaman lama yang semakin kabur dan sempit pengertiannya, dan sering disamakan sebagai warisan kuno dan kolot dalam kebudayaan Melayu yang harus diubah atau ditinggalkan sahaja.

SEJARAH MELAYU, karya persejarahan Melayu klasik. Sejarah Melayu adalah antara teks Melayu yang tertua dan karya terpenting antara beberapa teks klasik seperti Hikayat Rajaraja Pasai, Hikayat Banjar, Hikayat Acheh, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Patani dan Tuhfat al-Nafis. Sejarah Melayu telah disalin atau diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa seperti bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Belanda, Jepun, Tamil dan Cina. Teks ini juga telah menjadi bahan rujukan dan penelitian para sarjana dari seluruh dunia yang mahu mengkaji sejarah dan kebudayaan masyarakat Melayu yang awal. Kajian yang dilakukan oleh para sarjana ini meliputi pelbagai disiplin ilmu seperti bahasa, sastera, sosiologi, antropologi, budaya dan juga politik. Terdapat 29 versi Sejarah Melayu yang tersimpan di beberapa institusi di seluruh dunia, antaranya 12 versi tersimpan di Belanda, 11 versi di United Kingdom, lima versi di Indonesia dan satu versi di Rusia. Daripada jumlah tersebut, terdapat sekurang-kurangnya enam naskhah yang telah dikaji dan diselenggarakan oleh para pengkaji, iaitu Edisi Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir (1831), Edisi Dulaurier (1849-1856), Edisi W.G. Shellabear (1896), Edisi R.O. Winstedt (1938), Edisi Dato’ Madjoindo (1959) dan Edisi A. Samad Ahmad (1979). Bagaimanapun naskhah-naskhah tersebut hanyalah dikaji pada peringkat yang mudah seperti melibatkan kerja-kerja merumikan, memberi kata pengantar dan membuat anotasi. Tidak banyak kajian yang dilakukan terhadap teks Sejarah Melayu untuk peringkat sarjana ataupun kedoktoran. Tidak ada satu sumber yang tepat yang dapat menyatakan tarikh sebenar Sejarah Melayu ditulis. Yang pasti nama Sulalatus Salatin ada disebut oleh Francois Velentijn dalam bukunya, Oud En New Oost-Indien (Sejarah Ringkas Hindia Timur) yang diterbitkan pada tahun 1726. Sejarah Melayu telah menjadi sumber rujukannya apabila dia menulis mengenai raja-raja Melaka. Ini bermakna Sejarah Melayu telah ditulis lebih awal dari tahun 1726. Pada tahun 1811, William Marsden juga menggunakan Sejarah Melayu apabila dia menulis bukunya yang berjudul History of Sumatera. Mengenai pengarangnya pula, pada bahagian mukadimah Sejarah Melayu ada disebut Tun Seri Lanang yang bertanggungjawab

mengarang (menyusun) teks berkenaan. Dia menyusun teks ini atas perintah raja untuk dijadikan panduan atau ikutan anak cucunya pada masa akan datang. Antara versi yang pernah diselenggarakan, versi Shellabear adalah yang paling popular di Malaysia. Shellabear telah menggunakan beberapa versi Sejarah Melayu yang ada untuk menghasilkan versinya yang tersendiri. Shellabear merujuk versi Abdullah Munsyi dan Versi Daulaurieer. Dia melakukan banyak perubahan iaitu dengan mengambil beberapa episod daripada versi lain. Ini kerana kalau mengikut versi Abdullah Munsyi dan Dulaurier, isi cerita Sejarah Melayu berakhir setakat episod pembunuhan Tun Ali. Bagaimanapun dalam versi Shellabear, ceritanya tamat dengan perpindahan Sultan Alauddin Riayat Syah ke Pasar Raja yang terletak di hulu Sungai Riun. Justeru, edisi Shellabear bukanlah satu edisi yang boleh dipertanggungjawabkan berdasarkan disiplin filologi. Ini kerana Shellabear ternyata telah membina sebuah teks Sejarah Melayu yang baharu dengan cara mengambil beberapa episod daripada teks yang lain dan menambah kepada teks selenggaraannya tanpa memberikan apa-apa catatan. Para sejarawan juga percaya bahawa versi Winstedt (naskhah Raffles MS 18) ialah versi yang tertua atau paling hampir dengan naskhah asal kerana penyalinnya berjaya mengekalkan keaslian naskhah berkenaan. Ini bermakna penyalin tidak melakukan sebarang pengurangan atau menambah semasa mengerjakan teks Sejarah Melayu. Mereka menolak versi-versi yang lain dengan alasan bahawa teks tersebut rosak akibat terlalu banyak

penambahan,

pengguguran

dan

sebagainya.

Pendapat

ini

ternyata

ada

kebenarannya jika dilihat Sejarah Melayu yang dikerjakan oleh Shellabear. Teks Sejarah Melayu yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad, menggunakan tiga naskhah yang tersimpan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia menamakan naskhah tersebut sebagai naskhah A, B dan C. Naskhah A mengandungi 418 halaman. Pada halaman pertamanya tercatat nama pemilik asal naskhah iaitu Munsyi S. Md. Ally. Naskhah ini diperoleh oleh Dewan Bahasa dan Pustaka daripada Tuan Omar bin Masajee pada tahun 1977. Naskhah ini juga pernah dijadikan sebagai bahan perbandingan oleh Shellabear. Naskhah B diperoleh daripada Haji Othman Abdullah pada tahun 1963.

Naskhah ini berjumlah 321 halaman. Naskhah C pula tidak ada sebarang catatan yang dapat menerangkan tentang penulis atau penyalin, tarikh tamat kerja-kerja penyalinan dan sebagainya. Naskhah ini sudah uzur kerana kertasnya hampir reput. Dari segi isi cerita, keseluruhan teks Sejarah Melayu bukan hanya menceritakan tentang negeri Melaka sahaja, malah ia juga menceritakan hubungan Melaka dengan negeri-negeri lain di sekitarnya. Umpamanya negeri Pahang, Kelantan, Pasai, Haru, Siak, Siam, Majapahit dan China. Hubungan Melaka dengan negeri-negeri tersebut wujud dalam bentuk hubungan diplomatik, ikatan perkahwinan dan juga penaklukan. Misalnya hubungan antara Melaka dengan Majapahit dan China wujud dalam bentuk ikatan perkahwinan. Ini terjadi setelah Sultan Mansor Syah berkahwin dengan Galoh Candera Kirana dari Majapahit dan juga Puteri Hang Li Po dari China. Manakala hubungan dengan Kelantan, Pahang dan Siak pula wujud dalam bentuk jajahan. Dari segi kepentingan teks, Sejarah Melayu, adalah teks yang terpenting untuk dijadikan bahan rujukan tentang pemerintahan raja-raja Melayu pada zaman tersebut. Walaupun pada bahagian awal teks terdapat beberapa mitos terutama tentang asal usul raja-raja Melaka, tetapi fakta sejarah yang terkandung dalamnya seperti nama-nama raja dan bendahara yang memerintah Melaka menyebabkan teks ini sentiasa dirujuk oleh para sarjana. Begitu juga beberapa peristiwa seperti serangan yang dilakukan oleh Melaka terhadap negeri-negeri jirannya ternyata ada benarnya kerana peristiwa itu tercatat juga dalam teks-teks yang lain. Misalnya serangan Melaka ke atas Kelantan pada masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang membawa kepada penawanan tiga orang puteri raja Kelantan, ada dicatatkan dalam teks sejarah Kelantan. Paling penting berdasarkan teks Sejarah Melayu ialah struktur sosial masyarakat Melayu pada zaman itu. Raja-raja dikatakan berada pada kedudukan yang paling atas sekali, diikuti oleh para pembesar negeri dan juga rakyat negeri yang merdeka. Manakala golongan hamba berada pada kedudukan yang paling bawah. Mobiliti sosial amat jarang berlaku. Kalau adapun hanyalah melibatkan golongan pembesar atau golongan rakyat yang mempunyai kebolehan yang luar biasa. Umpamanya Hang Tuah dan Badang hanyalah

rakyat biasa telah berubah kepada golongan pembesar negeri kerana mempunyai kelebihan yang tersendiri. Begitu juga dengan Tun Fatimah, oleh sebab mempunyai rupa paras yang cantik, dia telah dikahwini oleh Sultan Mahmud Syah. Oleh sebab itu status sosialnya telah berubah daripada golongan pembesar kepada golongan raja. Cerita dalam Sejarah Melayu diakhiri dengan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Melaka diserang buat kali kedua oleh Portugis. Akibatnya, Sultan Mahmud Syah dan keluarganya berundur ke Batu Hampar, manakala Sultan Ahmad pula lari ke Pagoh. Akhirnya, Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar. Berdasarkan naskhah Sejarah Melayu juga para sejarawan telah berusaha menulis kembali sejarah negeri Melaka. Antaranya seperti Mohammad Yusof Hashim yang telah menulis buku Persejarahan Melayu Melaka. Malah Sejarah Melayu juga telah dijadikan buku bacaan terpenting bagi pelajar Tingkatan Enam. Dalam sukatan pelajaran yang baharu, teks Sejarah Melayu telah diletakkan bersama-sama teks Hikayat Hang Tuah sebagai sastera agung.