Book Reviews•书评 - Southern University College

Hingga kini beliau dirujuk sebagai pakar dalam bidang bahasa dan kesusasteraan .... perkembangan Islam tertumpu di masjid dan istana raja-raja Melayu...

14 downloads 297 Views 398KB Size
Book Reviews •书评

Book Reviews书评 Liaw Yock Fang, A History of Classical Malay Literature. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS) , 2013. 485 pp. Liaw Yock Fang antara nama yang begitu besar dalam bidang kesusasteraan dan bahasa. Sumbangan terbesarnya adalah menerusi penghasilan buku kesusasteraan Melayu klasik dan beberapa karya lain yang telah memberikan warna sebenar terhadap dunia kesusateraan Melayu. Hingga kini beliau dirujuk sebagai pakar dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu tradisional atau klasik. Karya-karyanya adalah cerminan kepada asal usul kewujudan kesusasteraan Melayu klasik dan memberikan kita satu medium yang amat berguna dalam memerhatikan kehidupan orang-orang Melayu dan bagaimana kehidupan orang-orang Melayu ini dapat mencorak dan mempengaruhi sesuatu ketamadunan manusia pada zaman itu. Sejarah kesusasteraan Melayu klasik adalah pancaran kehidupan masyarakat Melayu yang sememangnya kaya dengan adat resam dan khazanah turun-temurun sejak zaman berzaman lagi. Buku sejarah kesusasteraan Melayu klasik ini digarap dengan penuh terperinci dan kemas oleh penulisnya iaitu memaparkan sejarah serta asal-usul kemunculan kesusasteraan Melayu klasik itu sendiri. Penyelidikan mengenai sastera Melayu tradisional telah dipelopori oleh R.O. Winstedt yang mana beliau telah menerbitkan buku berjudul A History of Classical Malay Literature dan buku tersebut telah diterbitkan pada tahun 1940. Pengkaji-pengkaji sejarah telah menggunakan buku ini sebagai buku wajib bagi mereka yang ingin mendalami pengetahuan mengenai kesusasteraan Melayu klasik. Atas dasar inilah penulis menghasilkan buku kesusasteraan Melayu klasik yang mana buku ini telah dijadikan sebagai bahan rujukan kepada pengkaji sejarah Melayu lama. Buku yang dihasilkan oleh penulis ini juga telah diulang cetak beberapa kali oleh penerbit dan telah dikemaskini malah buku ini juga telah diterjemah kepada bahasa Inggeris bagi memperkembangkan serta memperluaskan lagi skop pemahaman pembaca yang kurang memahami bahasa Melayu. Dalam buku ini, penulis cuba merungkaikan bahawa kesusasteraan lama terdiri daripada dua bentuk iaitu

171

Southern University College Academic Journal, Volume 2, August 2014 《南方大学学报》第 2 卷, 2014 年 8 月

prosa dan puisi. Sastera Melayu lama terdiri daripada cerita asal-usul, cerita binatang, cerita jenaka dan cerita penglipur lara. Untuk zaman peralihan, sastera Melayu ditandai dengan sastera hikayat. Perkembangan terakhir pada masa sastera Melayu lama adalah munculnya karya sastera jenis syair. Buku ini mengandungi sepuluh bab. Bab pertama, “Folk Literature” iaitu Kesusasteraan Rakyat menghuraikan mengenai kesusasteraan rakyat atau sastera lisan. Sastera rakyat ialah kesusasteraan yang lahir di kalangan rakyat. Pada lazimnya, sastera rakyat merujuk kepada kesusasteraan rakyat dari masa lampau yang telah menjadi warisan kepada sesuatu masyarakat. Sastera rakyat adalah sebahagian daripada kehidupan budaya bagi masyarakat lama. Misalnya, dalam masyarakat Melayu lama cerita rakyat merupakan satu bentuk hiburan yang penting untuk orang kampung. Pada lazimnya sastera rakyat disampaikan melalui pertuturan. Sastera lisan merupakan hasil sastera yang dimiliki oleh masyarakat Melayu, disebarkan dan dituturkan daripada satu generasi ke satu generasi secara lisan. Sastera rakyat dapat dibahagikan kepada lima iaitu cerita asal usul, cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan pantun. Penulis merumuskan bahawa pengaruh sastera rakyat memainkan peranan yang besar dalam mencorak kehidupan dan perlakuan sesebuah masyarakat kerana sastera rakyat dianggap bahan terpenting dalam pendidikan moral, hiburan dan menjadi petunjuk tata tertib dan adab tatatusila dalam pergaulan seharian. Cerita jenaka merupakan salah satu antara sastera rakyat yang acapkali diperdengarkan kepada pembaca yang mana cerita jenaka tersembunyi seribu satu isi tersurat dan tersirat mengenai sikap manusia itu sendiri. Cerita-cerita jenaka seperti Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Pandir, Si Luncai dan Pak Belalang antara cerita jenaka yang sering diperkatakan oleh masyarakat Melayu. Cerita jenaka ini bukan sahaja menekankan aspek hiburan semata-mata malah sarat dengan pengajaran dan juga teladan yang amat berguna kepada masyarakat. Bab kedua, “The Indian Epics and The Wayang in Malay Literature” iaitu Epik India dalam Kesusasteraan Melayu berkisar mengenai unsur-unsur luar seperti pengaruh India dalam mempengaruhi kesusateraan Melayu yang mana kedatangan unsur luar telah memperkayakan lagi unsur kesusasteraan Melayu yang sedia ada. Setelah kedatangan pengaruh India, kita dapat lihat

172

Book Reviews •书评

bagaimana unsur tempatan telah diserap oleh pengaruh ini. Pengaruh India yang paling penting ialah penerimaan dua buah epik Ramayana dan Mahabrata. Atas dasar ini juga, lahirnya karya-karya prosa dan juga puisi seperti Hikayat Seri Rama, Rama Keling dan sebagainya. Walaupun terdapat pengaruh ini, jika ditinjau dengan lebih mendalam ternyata warisan pribumi masih menebal di sanubari rakyat kita. Antara unsur kepercayaan Hindu daripada epik-epik tersebut yang mempengaruhi karya sastera yang lain ialah cerita dewa-dewi yang bersifat manusia dan Tuhan, kejadian yang luar biasa seperti penjelmaan dalam pelbagai bentuk serta senjata ghaib dan sakti. Unsur pengaruh India juga dapat dilihat daripada wayang kulit Melayu dimana cerita yang dimuat adalah saduran daripada cerita Hikayat Seri Rama iaitu merupakan himpunan cerita yang disadur dari epik Ramayana tradisi India. Secara keseluruhannya, penulis berjaya merungkai bagaimana pengaruh epik India ini memainkan peranan yang penting dalam kesusasteraan Melayu tradisional yang bukan bukan sahaja memberikan kesan serta impak yang mendalam terhadap seni kesusasteraan dan seni kebudayaan masyarakat Melayu. Bab ketiga, “Javanese Panji Stories” iaitu Dongeng Panji dari Jawa iaitu hasil kesusasteraan Jawa yang paling berpengaruh sekali dalam Kesusasteraan Melayu tradisional. Terdapat tiga versi cerita Panji yang terkenal iaitu Hikayat Cekel Wanengpati, Hikayat Panji Kuda Semirang dan Hikayat Panji Semirang. Sastera Panji berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi hiburan dan pengajaran kepada masyarakat. Sehubungan itu, di dalam karya-karya tersebut terselit amanat penting daripada pengarangnya. Plot cerita panji dimulakan dengan pengenalan, diikuti dengan perkembangan, dan diakhiri dengan peleraian. Cerita-cerita panji berakhir dengan kegembiraan. Daripada segi latar, kita dapati cerita panji berlatarkan empat buah negeri, iaitu Daha, Kuripan, Singasari dan Gagelang. Tempat-tempat ini dikatakan pernah wujud di Jawa. Masyarakat zaman feudal di Jawa merupakan latar masyarakat dalam cerita panji. Sebagai karya yang terhasil berdasarkan pemikiran dan budaya tradisi Jawa, Sastera Panji masih mengekalkan unsur-unsur Hinduisme dan mitos. Raja-raja dikatakan berketurunan dewa-dewa daripada kayangan. Pertapaan merupakan sebahagian daripada samadhi. Selain itu, dipaparkan penjelmaan yang seiring

173

Southern University College Academic Journal, Volume 2, August 2014 《南方大学学报》第 2 卷, 2014 年 8 月

dengan inkarnasi di dalam ajaran Hindu. Di dalam penulisan dan penganalisaan yang telah dilakukan oleh penulis, cerita panji dari Jawa telah mempengaruhi perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional. Dongeng Panji dari Jawa ini secara keseluruhannya menerapkan banyak nilai murni dalam kehidupan seharian manusia. Bab keempat, “Literature Belonging to the Period of Transition from Hinduism to Islam” iaitu Sastera Zaman Peralihan iaitu merupakan peralihan pengaruh Hindu-Islam dalam karya-karya sastera. Karya-karya pada Zaman Peralihan ini banyak memasukkan istilah-istilah yang terdapat di dalam bahasa Arab-Parsi. Kebiasaannya, permulaan ayat dimulai dengan Syahdan, al-kisah, hatta, kalakian dan sebagainya. Nama-nama Hindu pula pada alat-alat seperti, nobat, gangga dan dewa. Terdapat juga penyebutan nama ‘Allah’. Perubahan pradigma masyarakat yang melihat unsur atau pemikiran Hindu yang dimuat dalam karya-karya sasteranya diubahsuai mengikut cita rasa dan nilai-nilai Islam. Unsur-unsur Hindu yang bertentangan dengan akidah Islam dimurnikan agar roh keislaman dapat dijelmakan. Contohnya dalam Hikayat Ganjamara yang bercorak Hindu, telah diberikan wajah Islam dan berperanan sebagai mubaligh sehingga berjaya mengislamkan beberapa orang raja Hindu. Antara karya Hindu lain yang telah disadurkan dengan ciri-ciri keislaman ialah Hikayat Si Miskin, Hikayat Ahmad Muhammad dan Hikayat Inderajaya dan banyak lagi. Di dalam bab ini juga, penulis turut merungkaikan bahawa walaupun karya-karya ini telah dimasukkan unsur Islam, tetapi ciri-ciri sastera Hindu masih ketara, khasnya tentang dewa-dewa dan peranan mereka dalam kehidupan manusia. Bab kelima, “ Literature of the Islamic Age” atau Kesusasteraan Zaman Islam membuktikan bahawa penguasaan Islam dalam budaya dan amalan mempengaruhi dunia kesusasteraan zaman Islam. Kesusasteraan zaman Islam dibahagikan kepada lima jenis iaitu; cerita Nabi Muhammad s.a.w; cerita nabi-nabi Allah; cerita para sahabat Nabi; cerita pahlawan Islam dan cerita orang-orang yang salih. Di dalam bab ini, penulis merumuskan bahawa kedatangan Islam ke Tanah Melayu sejak abad ke 13 Masihi telah mempengaruhi corak dan pemikiran masyarakat setempat yang bersifat tradisional. Penulis turut berpendapat bahawa sastera zaman Islam ialah cerita-cerita Nabi Muhammad S.A.W dan tokoh-tokoh Islam. Menurut penulis

174

Book Reviews •书评

juga, sastera keagamaan tergolong dalam hikayat-hikayat sumber Islam atau lagenda Islam. Buku ini juga menceritakan pengaruh Hindu mulai lemah dan cara hidup Islam mula meresap dalam jiwa masyarakat dan secara tidak langsung penguasaan Islam dalam budaya dan amalan telah mempengaruhi dunia kesusasteraan Melayu pada masa itu. Bab keenam, ialah “Framed Narratives” atau Cerita Berbingkai yang mempunyai satu cerita pokok yang menjadi bingkai atau dasarnya, kemudian terdapat beberapa cerita sisipan sebagai bantuan. Cerita ini ialah hasil sastera asing yang diterjemah dan disadur ke dalam sastera Melayu. Cerita atau hikayat berbingkai ini sangat terkenal dalam kesusasteraan India, Parsi dan Arab. Mengikut R.O. Winstedt cerita tersebut telah timbul dan dikenali oleh bangsa Melayu sejak abad ke-16 lagi. Pada umumnya, cerita tersebut menggunakan bahasa Melayu yang baik. Cerita berbingkai yang terkenal dalam sastera Melayu ialah Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Bakhtiar, Hikayat Kalilah dan Daminah, Hikayat Panca Tanderan, Hikayat Seribu Satu Malam dan Hikayat Ghulam. Menurut penulis, cerita berbingkai merupakan hasil sastera terjemahan/saduran daripada cerita-cerita Hindu dan Arab-Parsi ke dalam bahasa tempatan. Secara keseluruhannya, penulis cuba menggambarkan bahawa cerita berbingkai ialah sebagai cerita yang didalamnya sentiasa disisipkan cerita-cerita lain bagi memberi nasihat dalam bentuk kiasan dan sindirian dengan fungsi menghiburkan pendengar dan pembaca dalam bentuk moral. Bab ketujuh, “The Literature of Islamic Theology” atau Sastera keagamaan berkait dengan pelbagai cabang ilmu. Ilmu tasawuf merupakan cabang ilmu yang paling dekat dengan sastera dan sering diperbincangkan dalam sejarah sastera. Ilmu tasawuf menghuraikan hubungan manusia dengan Tuhan. Aliran tasawuf Melayu dapat dibahagikan kepada dua aliran iaitu ortodoks 1 dan heterodoks 2 . Aliran ortodoks diwakili oleh Nuruddin dan Abdul Rauf. Manakala aliran heterodoks pula ialah Hamzah Fansuri dan Syamsudin Pasai. Bab ini juga merujuk kepada kitab-kitab yang berkisar tentang hal-hal yang berkaitan dengan persoalan agama Islam dalam bahasa 1

Ortodoks berpegang pada atau berdasarkan pendapat-pendapat (prinsip-prinsip, ajaran) yang diterima umum

2

Heterodoks menyimpang daripada kebiasaan yang rasmi

175

Southern University College Academic Journal, Volume 2, August 2014 《南方大学学报》第 2 卷, 2014 年 8 月

Melayu. Sastera jenis ini berkembang pesat dengan kewujudan kerajaan Melayu Islam di Alam Melayu, antaranya termasuklah Kerajaan Pasai, Kerajaan Melaka, Kerajaan Acheh, Kerajaan Palembang, Kerajaan Banjarmasin dan Kerajaan Melayu Riau. Penulis juga berpendapat perkembangan Islam tertumpu di masjid dan istana raja-raja Melayu. Atas dasar ini, lahirlah buku-buku teks untuk kegunaan pusat-pusat pengajian Islam. Perkembangan pengajian Islam pula telah mendorong lahirnya kitab-kitab yang membicarakan pelbagai cabang ilmu dalam Islam, khususnya kitab-kitab yang berkaitan dengan ilmu fiqah 3 dan ilmu tauhid 4. Bab ini telah digarap kemas oleh penulis dan telah diperincikan dengan teliti bagi memudahkan pemahaman pembaca. Bab kelapan, “Historical Literature” Sastera Sejarah adalah suatu bentuk penulisan yang menggabungkan unsur-unsur penulisan sejarah dengan unsur-unsur penulisan bukan sejarah atau sastera. Kedua-dua unsur tersebut diolah dengan indah oleh pengarang istana Melayu untuk menggambarkan konsep sejarah zaman silam masyarakat Melayu. Oleh itu karya sastera sejarah bukanlah karya sastera sepenuhnya sebaliknya mengandungi unsur-unsur peristiwa sejarah yang benar-benar berlaku pada zaman lampau. Antara contoh karya sastera sejarah ialah Hikayat Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, Hikayat Acheh, Hikayat Kelantan, Misa Melayu, Hikayat Johor, Salasilah Melayu Bugis, Tuhfat Al Nafis dan lain-lain. Penulis merumuskan dalam bab ini bahawa unsur Hindu-Buddha dalam karya Sejarah Melayu juga adalah salah satu ciri historiografi 5 Melayu. Hal ini adalah kerana unsur Hindu-Buddha masih lagi tebal dalam masyarakat Melayu pada masa itu walaupun penulisan historiografi Melayu bermula selepas penyebaran agama Islam. Jadi, unsur Hindu-Buddha ini telah menjadi satu ciri dalam historiografi Melayu seperti Sulalutin Salatin, Hikayat raja-raja Pasai, Misa Melayu dan lain-lain lagi.

3

Fiqah pengetahuan tentang hukum dalam agama Islam.

4

Tauhid tentang keesaan Tuhan(mengikut agama Islam)

5

Historiografi prinsip atau kaedah pengajian sejarah; penulisan sejarah; karya atau hasil penulisan berkaitan dengan sejarah.

176

Book Reviews •书评

Bab kesembilan, “Classical Malay Law Codes” Undang-Undang Melayu Lama.Terdapat dua jenis undang-undang Melayu Lama yang terkenal iaitu Undang-undang Melaka dan Undang-undang Minangkabau. (Terbahagi kepada dua iaitu Undang-undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka yang ditulis pada zaman pemerintah Sultan Muzaffar Shah dan dilengkapkan ketika zaman Sultan Mahmud Shah). Undang-undang ini disusun secara sistematik dan mempunyai 44 bab yang meliputi perkara mengenai raja, tugas pembesar dan peraturan rasmi di istana dan memudahkan pentadbiran. Ini termasuklah segala keistimewaan yang dimiliki oleh raja seperti penggunaan bahasa istana, pakaian kuning dan sebagainya. Adat dan undang-undang bertulis menjamin kesejahteraan hidup masyarakat. Kedua-dua undang-undang ini berasaskan hukum syarak sebagai panduan. Manakala Undang-undang Minangkabau merupakan rakaman bertulis tentang pemikiran dan adat kaum Minangkabau yang masih diamalkan sehingga kini. Undang-undang Minangkabau juga turut mendedahkan hukum adat Minangkabau dalam bentuknya yang asli serta memberi gambaran tentang peranan dan kemahiran pengarang Melayu lama dalam kepengarangan dan wacana. Penulis berjaya merungkaikan dengan berkesan bab kesembilan ini dengan terperinci, yang mana secara kesimpulannya bab ini adalah berkisar tentang peraturan hidup orang Melayu yang didasarkan kepada adat resam yang turun-temurun yang digunakan untuk menjaga negeri dan kedudukan raja-raja Melayu. Bab kesepuluh, “Poetic Forms” Pantun dan Syair. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa pantun adalah satu-satunya puisi Melayu tradisional yang paling asli dan lahir di rantau Alam Melayu. Banyak pendapat dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji tentang asal usul istilah pantun, antaranya oleh Pijnappel, Hoessein Djajadiningrat, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Wilkinson, Winsteadt dan Van Ophuijsen. Orang Melayu mula mengenali syair sejak zaman awal bertapaknya Islam di alam Melayu melalui pengkajian kitab yang terdapat bentuk syair seperti kitab Al-Luma’, Fusus al-Hikam, Al-Insan al-Kamil yang dibawa oleh pengembang agama Islam ke Melaka. Syair bahasa Arab yang terawal ialah catatan batu nisan Sultan Malik al-Saleh (1297 M) di Pasai. Manakala syair berbahasa Melayu yang pertama di batu bersurat iaitu prasasti Minye Tujuh (1380 m). Dalam Sulalatus Salatin

177

Southern University College Academic Journal, Volume 2, August 2014 《南方大学学报》第 2 卷, 2014 年 8 月

Sejarah Melayu terdapat penggunaan syair, sama ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu. Dalam perkembangan persuratan Melayu, Hamzah Fansuri, iaitu seorang tokoh ulama dan pujangga Melayu merupakan individu yang telah banyak menghasilkan syair dalam bentuk yang lebih kemelayuan dengan cukup berkesan dan bertemakan ilmiah. Ekoran daripada itu, syair terus berkembang pesat dengan bentuk yang lebih mantap. Malah, syair Melayu juga turut tersasar daripada bentuk syair Arab yang menjadi tiruannya. Penulis merumuskan bahawa syair dan pantun banyak mempengaruhi tentang adab serta perlakukan sesebuah masyarakat Melayu, ini dapat dilihat melalui fungsi syair dan pantun itu sendiri iaitu bukan sahaja sebagai hiburan, kesenian dan kebudayaan malah sebagai alat menyampaikan pengajaran melalui cerita dan lagu terutama dalam hal-hal yang menyentuh aspek pengajaran agama Islam. Kesimpulan yang dapat dirumuskan di sini ialah buku ini digarap kemas dan cukup terperinci oleh penulisnya. Buku yang terdiri daripada 10 bab ini menggunakan sejarah kesusasteraan Melayu tradisional sebagai medium perbincangan. Kesusasteraan dan masyarakat mempunyai hubungan yang amat erat. Sesebuah karya kesusasteraan dibina oleh persoalan-persoalan yang dipetik daripada rencamnya kehidupan sesuatu masyarakat. Pengarang atau pencipta akan menjalin persoalan-persoalan daripada kehidupan masyarakat tersebut hingga menjadikannya satu rantaian peristiwa yang mempunyai kesinambungan antara satu sama lain dan akhirnya membentuk sebuah karya. Penulis berjaya untuk memasukkan gambaran latar masyarakat untuk menjadikan setiap persoalan itu signifikan dan relevan serta nampak realistik.

Nadia Bte Ishak Kolej Universiti Selatan, Malaysia [email protected]

178