PEMILIHAN MODEL DAN PRODUK TAKAFUL KELUARGA DI SYARIKAT-SYARIKAT

Download Sumber sekunder pula menerusi jurnal muamalat, kertas-kertas .... kajian tentang produk takaful keluarga telah dilakukan oleh Asmak Ab Rahm...

1 downloads 350 Views 122KB Size
APLIKASI PRINSIP DALAM KONTRAK DAN KEUNTUNGAN PRODUK TAKAFUL KELUARGA DI SYARIKAT-SYARIKAT TAKAFUL DI MALAYSIA: SATU SOROTAN LITERATUR HALIMATUSSAADIAH BINTI HAIRUDIN MAT NOOR BIN MAT ZAIN

ABSTRAK Sehingga tahun 2012, sebanyak 12 buah syarikat takaful telah didaftarkan di Malaysia. Melalui persaingan ini, syarikat-syarikat takaful telah menawarkan pelbagai produk yang mengandungi keuntungan tersendiri kepada pencarum. Namun, kepelbagaian prinsip dalam kontrak produk takaful keluarga yang diaplikasikan oleh syarikat takaful di Malaysia telah berlaku melalui pengubahsuaian prinsip-prinsip asal kontrak mengikut kesesuaian produk takaful mereka. Oleh itu, timbul persoalan di sini berkaitan ketepatan syariah prinsip-prinsip dalam kontrak takaful keluarga yang diaplikasikan oleh syarikat takaful tersebut dan kadar keuntungan yang syarikat tawarkan kepada pencarum. Justeru, kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji pematuhan syariah kontrak produk takaful dan menganalisa keuntungan yang ditawarkan . Analisis literatur dilakukan untuk menilai semula prinsip-prinsip kontrak takaful yang diaplikasikan oleh syarikat takaful di Malaysia menurut hukum syarak dan kelebihan produk takaful keluarga yang ditawarkan kepada pencarum. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan mengambil pendekatan kajian kepustakaan. Hasil sorotan literatur ini mendapati bahawa prinsip dalam kontrak takaful keluarga yang ditawarkan kepada pencarum mengandungi unsur-unsur keraguan dari sudut syariah. Wujud juga kelompangan dalam kajian yang berkaitan kewajaran manfaat, kadar yuran bulanan dan caj-caj yang dikenakan dalam produk takaful keluarga. Oleh itu, satu kajian berkaitan aplikasi prinsip dalam kontrak dan dan keuntungan produk takaful keluarga yang ditawarkan oleh syarikat takaful perlu dilakukan untuk dijadikan garis panduan kepada masyarakat dalam pemilihan produk takaful yang menepati kehendak syarak dan memberi keuntungan yang sewajarnya kepada pihak syarikat dan pencarum. PENGENALAN Industri Takaful di Malaysia bermula pada tahun 1984 melalui pengoperasian Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. Sehingga kini terdapat sebelas lagi syarikat yang menawarkan operasi takaful seperti Etiqa Takaful Berhad, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., HSBC Amanah Takaful (M) Sdn. Bhd, Prudential BSN Takaful, MAA Takaful Berhad, CIMB Aviva Takaful Berhad (kini dikenali sebagai Sun Life Malaysia Takaful Berhad), Hong Leong MSIG Takaful, Great Eastern Takaful, AIA AFG Takaful Berhad, AmFamily Takaful Berhad dan ING Public Takaful Ehsan. (Bank Negara Malaysia 2012) Pelbagai produk takaful yang ditawarkan oleh syarikatsyarikat takaful Malaysia yang mengaplikasikan pelbagai prinsip-prinsip syariah seperti mudarabah, wakalah, gabungan mudarabah dan wakalah dan sebagainya. Namun begitu, pada asasnya konsep tabarru' adalah konsep utama bagi mencapai matlamat utama syarikat takaful. Ini kerana syarikat takaful diwujudkan adalah untuk memupuk masyarakat supaya saling bekerjasama, saling bertanggungjawab dan saling melindungi sesama manusia yang ditimpa kesusahan.

Bank Negara Malaysia telah menetapkan bahawa kontrak asas takaful di kalangan peserta mestilah menggunakan konsep tabarru' dan kontrak antara pencarum dengan pengendali takaful menggunakan konsep mudarabah, wakalah, gabungan mudarabah dan wakalah atau amanah. Konsep-konsep yang dibenarkan digunakan antara pengendali takaful dengan pencarum adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pengendali menerima sedikit bayaran atau berkongsi keuntungan operasi sebagai ganjaran mengurus skim takaful itu. Oleh itu, di dalam kontrak takaful mestilah mempunyai gabungan konsep tabarru' dengan konsep-konsep yang ditetapkan oleh pengendali takaful sama ada mudarabah, wakalah, gabungan mudarabah dan wakalah atau amanah.1 Namun begitu, timbul beberapa isu dalam menentukan prinsip takaful yang bertepatan dengan syariah dan dapat memberikan keadilan kepada pencarum. PENYATAAN MASALAH Sehingga kini terdapat pelbagai prinsip takaful yang diaplikasikan oleh syarikatsyarikat takaful di Malaysia. Prinsip mudarabah di gunakan oleh Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. (Mat Noor Mat Zain dan Zamzuri Zakaria 2006; Mohd Kamal Azman Jusoh 1998), prinsip wakalah di Takaful Nasional Bhd. (Nik Nor Azni Nik Ali 2003), Takaful Ikhlas (Faezatun Jam'ie Darus 2007), Prudential BSN Takaful Berhad (Mohd Sariff Mat Yasim 2008) dan gabungan wakalah dan mudarabah (hibrid) digunakan di Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. (Zakaria Bahari dan Khairul Faizi bin Mohd Rafie 2011). Namun begitu, prinsip-prinsip ini mempunyai beberapa isu yang perlu diselesaikan iaitu berkaitan dengan kepelbagaian prinsip takaful di syarikat takaful di Malaysia dan penentuan kesesuaiaan produk takaful di Malaysia. KEPELBAGAIAN PRINSIP-PRINSIP TAKAFUL DI MALAYSIA Dengan bercambahnya syarikat-syarikat takaful di Malaysia pada masa kini menyebabkan wujudnya produk-produk takaful yang menggunakan prinsip-prinsip takaful yang pelbagai di mana terdapat pengubahsuaian yang dilakukan terhadap prinsip-prinsip asal yang telah ditetapkan syarak semata-mata untuk menarik minat pelanggan untuk menyertai produk takaful mereka dan mengaut keuntungan. Sehingga kini terdapat beberapa bentuk prinsip syariah yang diaplikasikan oleh syarikat takaful di Malaysia iaitu prinsip mudarabah, wakalah dan gabungan mudarabah dan wakalah, wakalah bil istithmar dan hibah. Prinsip yang menjadi isu syariah adalah prinsip wakalah bil ujrah atau bil istithmar. Prinsip ini adalah model wakalah dimodifikasi yang banyak diaplikasikan oleh syarikat takaful seperti Prudential BSN Takaful dan Takaful Ikhlas. Prinsip ini mengambil keuntungan dari tiga sumber iaitu yuran wakalah yang ditetapkan di awal kontrak, peratus keuntungan dari pelaburan peserta dan peratus dari surplus. (Sheila Nu Nu Htay & Hanna Rabittah Zaharin t.th.) Amalan ini menunjukkan bahawa syarikat takaful menggabungkan pengambilan yuran dan pembahagian keuntungan dalam akad tersebut. (Mohamad Akram Laldin et al. 2012) Keadaan ini tidak bertepatan dengan syariah kerana akad wakalah tidak boleh digabungkan dengan pembahagian keuntungan (mudarabah). Oleh itu, Mohamad Akram Laldin et al. 1

http://www.bnm.gov.my/files/publication/tkf/bm/2005/boolet.bm.pdf

257

(2012) telah mencadangkan gabungan wakalah dengan mudarabah atau ju'alah dengan membezakan fungsi setiap akad dalam kontrak. Isu jaminan dalam prinsip mudarabah juga adalah sesuatu yang meragukan di dalam syarak. Ini kerana terdapat syarikat takaful yang menjamin dana peserta boleh dikeluarkan apabila peserta telah memenuhi tempoh maksimum matang penyimpanan dana takaful. Secara teorinya setiap dana yang dilaburkan melalui prinsip mudarabah tidak boleh dijamin nilaiannya kerana ia tidak memenuhi konsep pelaburan yang sebenar. Jika dana tersebut dijamin, ia seolah-olah menukarkan akad mudarabah kepada akad hutang kerana menjadikan syarikat seolah-olah berhutang dengan peserta. (Yasmin Hanani Mohd Safian 2012) Selain itu, prinsip hibah dalam pembahagian manfaat takaful telah diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424. (Shariah Resolutions In Islamic Finance 2007) Walau bagaimanapun, terdapat syarikat takaful yang tidak menggunakan prinsip dengan menggunakan kaedah yang mereka cipta sendiri seperti hibah secara mutlak dan borang cadangan hibah. Kaedah ini digunakan oleh syarikat takaful kerana mereka berpendapat bahawa hibah bersyarat walaupun telah diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia, namun ia adalah isu yang diperselisihkan oleh fuqaha'. Selain itu, syarikat takaful juga tidak menggunakan prinsip hibah bersyarat kerana sistem pengurusannya yang agak rumit. (Nasrul Hisyam Nor Muhamad 2010) Justeru, kepelbagaian inovasi yang wujud dalam prinsip takaful pada hari ini menyebabkan timbul persoalan, sama ada adakah kepelbagaian inovasi ke atas prinsip-prinsip dalam produk takaful yang diaplikasikan oleh syarikat takaful bertepatan dengan syariah? Adakah prinsip-rinsip yang diubahsuai tidak mengandungi unsur-unsur yang dilarang dalam Islam? PENENTUAN PEMILIHAN PRODUK TAKAFUL DI MALAYSIA YANG MEMATUHI SYARIAH DAN MENGUNTUNGKAN PESERTA Pada tahun 2011, Etiqa Takaful Berhad menguasai pasaran takaful terbesar di Malaysia iaitu sebanyak 41.14% diikuti Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. Sebanyak 20.02%, Takaful Ikhlas sebanyak 9.31%, HSBC Amanah Takaful sebanyak 8.79%, Prudential BSN Takaful sebanyak 7.01%, MAA Takaful sebanyak 5.6%, Sun Life Takaful sebanyak 3.21%, Hong Leong MSIG Takaful sebanyak 2.71%, Great Eastern Takaful, 1.1% dan ING Public Takaful sebanyak 0.76%. (Mohamad Akram Laldin et al. 2012) Melalui peratusan tersebut, terdapat 6 buah syarikat takaful yang memegang pasaran melebihi 5% dari pasaran takaful di Malaysia iaitu Etiqa Takaful Berhad, Syarikat Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, HSBC Amanah Takaful, Prudential BSN Takaful dan MAA Takaful. Setiap syarikat mempunyai kelebihan masing-masing dalam memberi keuntungan kepada pencarum dalam produk mereka mengikut pelan-pelan yang ditawarkan. Sebagai contoh, pelan perlindungan dan simpanan keluar Etiqa Takaful dan Takaful Ikhlas lebih menguntungkan peserta kerana menetapkan yuran serendah RM50 sebulan untuk peserta menikmati manfaat di bawah pelan ini berbanding syarikat STMB dan Prudential BSN Takaful yang menetapkan yuran bulanan serendah RM100. (Etiqa Takaful. 2013) (Takaful Ikhlas. 2013) (Takaful Malaysia. 2013) (Prudential BSN Takaful. 2013) Ini membuktikan bahawa Etiqa Takaful dan Takaful

258

Ikhlas lebih menguntungkan peserta dari syarikat takaful lain kerana menetapkan yuran bulanan yang sangat rendah. Namun begitu, prinsip wakalah yang digunakan oleh Etiqa Takaful dalam kontraknya telah mengenakan yuran wakil, keuntungan pelaburan sebanyak 15 % dan keuntungan prestasi dana lebihan sebanyak 50 %. (Etiqa Takaful. 2013) Ini menunjukkan bahawa Etiqa Takaful telah menggabungkan pengambilan yuran dan pembahagian keuntungan dalam kontrak tersebut. Ini adalah bertentangan dengan prinsip syariah kerana menggabungkan prinsip wakalah dengan mudarabah dalam satu akad, tambahan pula akad mudarabah tidak terdapat dalam kontrak. Melihat kepada caj pelan perlindungan keluarga di STMB pula, didapati caj yang dikenakan adalah berpatutan seperti caj wakalah, caj perkhidmatan RM5 sebulan dan caj pengurusan dana sebanyak 1 – 1.5% setahun sahaja. Walau bagaimanapun, yuran bulanan yang ditetapkan dari RM100 dan manfaat kematian yang akan diterima oleh peserta adalah setelah setahun tarikh pelan berkuat kuasa (Takaful Malaysia. 2013) kelihatan kurang menarik minat peserta kerana syarikat takaful lain menyediakan yuran bulanan yang rendah dan manfaat kematian boleh diterima oleh peserta sebaik sahaja sijil berkuat kuasa. (Takaful Ikhlas. 2013) Melalui pelan kesihatan pula, Etiqa Takaful dan Takaful Ikhlas menawarkan kadar manfaat keseluruhan seumur hidup yang terendah iaitu RM90,000 seumur hidup. Namun begitu, yuran bulanan yang dikenakan oleh Etiqa Takaful lebih tinggi dari Takaful Ikhlas iaitu dari RM562 bagi Etiqa Takaful dan dari RM505 bagi Takaful Ikhlas. Walaupun Etiqa Takaful menetapkan yuran bulanan lebih tinggi dari Takaful Ikhlas, manfaat bilik hospital bagi Takaful Ikhlas diberikan lebih tinggi dari Etiqa Takaful iaitu sebanyak RM 100 semalam berbanding hanya RM80 semalam di Etiqa Takaful. Tambahan pula, terdapat keistimewaan tambahan manfaat rawatan perubatan tradisional sebanyak RM 200 juga disediakan oleh Takaful Ikhlas. (Takaful Ikhlas. 2013) (Etiqa Takaful. 2013) Ini menunjukkan bahawa Etiqa Takaful mengambil keuntungan yang lebih tinggi kepada peserta berbanding Takaful Ikhlas kerana yuran yang dikenakan kepada peserta lebih tinggi tetapi kelebihan manfaat kesihatan yang diberikan hanyalah sedikit berbanding Takaful Ikhlas. STMB pula menggunakan prinsip wakalah dalam kontraknya yang selaras dengan syariah. (Takaful Malaysia. 2013) Namun begitu, manfaat rawatan lanjutan yang terhad kelihatan kurang menguntungkan peserta berbanding syarikat lain seperti Takaful Ikhlas dan Prudential BSN Takaful yang memberi manfaat rawatan lanjutan yang lebih tinggi kepada peserta. (Takaful Ikhlas. 2013) Namun, caj wakil yang dikenakan oleh Prudential BSN Takaful sebanyak 60% untuk dua tahun pertama, 2050% pada empat tahun seterusnya kelihatan seperti syarikat mengaut keuntungan yang berlebihan terhadap peserta. (Prudential BSN Takaful. 2013) Berdasarkan pelan-pelan yang ditawarkan oleh syarikat takaful di Malaysia, prinsip yang digunakan dalam kontrak secara umumnya adalah prinsip yang mematuhi syariah. Namun begitu, dari sudut pelaksanaannya, terdapat keraguan yang timbul daripada caj-caj yang dikenakan sama ada mengikut syarak atau tidak. Terdapat juga syarikat yang melaksanakan produk mereka mengikut syarak tetapi kurang memberikan keuntungan kepada peserta sewajarnya. Maka, timbul persoalan di sini sama ada syarikat manakah yang dapat menjanjikan keuntungan kepada peserta sekaligus mematuhi kehendak syariah? Apakah kaedah atau panduan yang boleh dijadikan panduan kepada masyarakat untuk memilih produk takaful yang adil untuk

259

mereka dan mematuhi prinsip syariah? Oleh itu, satu garis panduan perlu dibentuk untuk memberi panduan kepada masyarakat berkaitan pemilihan produk takaful yang menguntungkan dan mematuhi syarak. OBJEKTIF KAJIAN Kajian ini dijalankan berdasarkandua objektif utama iaitu : i)

Mengkaji kepatuhan syariah produk-produk takaful yang ditawarkan di Malaysia.

ii)

Menganalisa keuntungan produk-produk takaful yang ditawarkan di Malaysia kepada pencarum.

METODOLOGI KAJIAN Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif menerusi reka bentuk analisis kandungan. Analisis dilakukan menerusi dua sumber iaitu sumbr primer dan sumber sekunder. Sumber primer yang digunakan adalah kitab-kitab syariah, fatwa dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan keputusan Majlis Penasihat Syariah yang melibatkan prinsip kontrak takaful. Sumber sekunder pula menerusi jurnal muamalat, kertas-kertas persidangan, tesis dan lain-lain. Untuk tujuan penganalisisan data, penulis menggunakan kaedah analisis teks. Kaedah ini digunakan untuk menganalisis data berkaitan prinsip dan kontrak takaful. Pandangan dari pelbagai sumber akan dianalisis bagi menghasilkan satu keputusan. SOROTAN LITERATUR Bahagian kajian ini akan membincangkan kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji terdahulu yang menjurus kepada persoalan kajian. Perbincangan dalam bahagian ini akan dibahagikan kepada empat bahagian utama iaitu prinsip asas takaful di Malaysia, kepelbagaian inovasi prinsip takaful dan produk takaful keluarga di syarikat takaful di Malaysia. Prinsip dan Kontrak Asas Takaful di Malaysia Takaful atau dahulunya dikenali sebagai insurans Islam telah bermula di Malaysia apabila keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia 1979 yang memutuskan bahawa insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip Islam iaitu mengandungi unsur gharar (ketidakpastian), maisir (judi) dan riba. (JAKIM. 1979) Oleh itu pasukan petugas khas telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1982 untuk mengkaji daya maju penubuhan syarikat insurans secara Islam. Hasil kajian tersebut telah dibawa kepada Jemaah Menteri pada April 1984. Antara isi kandungannya ialah kebenaran untuk menubuhkan insurans Islam yang dinamakan takaful, bermodalkan daripada sumber yang halal, dan mestilah mempunyai akta tersendiri dan sentiasa diawasi oleh Majlis Pengawasan Syariah. (Mohd Fadzli Yusof 1996) Pada 1984 juga Akta Takaful telah dikuatkuasakan dan syarikat takaful pertama yang ditubuhkan di Malaysia adalah Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. (STMB) pada November 1984. Prinsip asas takaful yang diamalkan oleh STMB adalah prinsip tabarru' dan mudarabah. (Mat Noor Mat Zain dan Zamzuri Zakaria 2006)

260

Tabarru’ adalah perjanjian peserta untuk melepaskan sesuatu jumlah sumbangan yang dipersetujui sebagai derma untuk dibayar kepada suatu dana takaful. (Engku Rabiah Adawiah Engku Ali 2010) Melalui prinsip tabarru', perjanjian akan dimeterai oleh para peserta takaful untuk memberikan sebahagian tertentu daripada sumbangan atau caruman takafulnya bagi memenuhi tanggungjawab dalam konsep takaful untuk menyediakan bantuan dan sama-sama menanggung sesama mereka kepada manamana peserta yang ditimpa musibah atau tragedi seperti kematian, bencana, malapetaka dan seumpamanya. Dalam hal ini, akad takaful menetapkan bila dan keadaan syarikat atau pengendali takaful sebagai pemegang amanah boleh menggunakan hak dan kuasa yang diberikan oleh peserta untuk menggunakan wang yang ditabarru'kan itu (Joni Tamkin Borhan 2008; Sudin Haron 2005). Melalui prinsip mudarabah pula pengendali takaful akan bertindak sebagai mudarib atau pengusaha yang dilantik oleh peserta-peserta takaful. Peserta-peserta takaful ini bertindak sebagai pelabur atau penyumbang dana. Peserta akan melantik pengendali takaful ini untuk memperniagakan dananya dalam perniagaan yang tidak dilarang oleh syariah dan keuntungan yang diperoleh akan dikongsi oleh kedua-dua belah pihak berdasarkan nisbah yang dipersetujui bersama. (Sudin Haron 2005) Kepelbagaian Inovasi Prinsip Takaful di Malaysia Kepelbagaian prinsip takaful di Malaysia bermula apabila syarikat takaful lain ditubuhkan selepas STMB seperti Syarikat Takaful Nasional Sdn. Bhd., Takaful Ikhlas dan Maybank Takaful Berhad. Pada tahun 1993, Takaful Nasional telah ditubuhkan dengan memperkenalkan produk takaful yang hampir sama dengan Takaful Malaysia dengan membuat sedikit pengubahsuaian melalui prinsip mudarabah dimodifikasi. Prinsip mudarabah dimodifikasi adalah sama dengan prinsip mudarabah. Namun yang membezakannya hanyalah cara pembahagian keuntungan. Melalui prinsip mudarabah dimodifikasi ini, yuran perkhidmatan dikenakan ke atas keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan yang dibuat. Pengagihan keuntungan hanya akan dibuat setelah yuran perkhidmatan ditolak dan dibayar kepada syarikat pengendali. (Sudin Haron 2005; Engku Rabiah Adawiah Engku Ali 2010) Prinsip mudarabah yang digabungkan dengan prinsip tabarru' dalam produk takaful tidak dipersetujui oleh Mohd Kamal Azman Jusoh (1998) kerana rukun mudarabah menjadi tidak lengkap apabila wujud tabarru’, ia akan menyebabkan hilang istilah pemodal dan pengusaha yang merupakan rukun dalam prinsip mudarabah dan telah mencadangkan prinsip yang terbaik dalam takaful adalah prinsip wakalah. Bank Negara Malaysia pula telah mengemukakan satu arahan bertulis supaya model mudarabah ini dikaji semula dan diselaraskan bagi semua pengendali takaful lain di Malaysia seperti Syarikat Takaful Nasional Sdn. Bhd., Takaful Ikhlas dan Maybank Takaful Berhad dan mesti menggunakan model ini dalam operasi takaful. Model wakalah yang telah diseragamkan dan diaplikasikan di syarikat tersebut. (Mohd Zamri Yasin 2008) Prinsip wakalah dalam kontrak takaful ini telah diharuskan oleh Majlis Penasihat Syariah atas dasar upah prestasi bagi pengendali takaful. (Bank Negara Malaysia. 2007) Prinsip ini membenarkan syarikat takaful menjadi wakil peserta untuk menguruskan dana takaful. (Engku Rabiah Adawiah Engku Ali 2010) Prinsip ini diaplikasikan kerana melihat kepada konsep asal takaful adalah saling tolong 261

menolong dan jamin menjamin antara satu sama lain antara pencarum tetapi dalam masa yang sama syarikat takaful ini mendapat habuan lain. (Mat Noor Mat Zain dan Zamzuri Zakaria 2006) Pada tahun 2006 pula, Syarikat Prudential BSN Takaful Berhad telah menggunakan prinsip wakalah bil ajr. Prinsip ini juga digunakan oleh Syarikat Takaful Ikhlas. Konsep prinsip wakalah bil ajr atau bil istithmar ini adalah sama dengan konsep prinsip wakalah. Namun, yang membezakannya adalah melalui yuran perkhidmatan (performance incentive) ke atas dana lebihan peserta juga akan ditolak oleh syarikat takaful sebelum menyerahkan dana lebihan tersebut kepada peserta. (Engku Rabiah Adawiah Engku Ali 2010)Yuran ini dikenakan atas dasar jualah, hibah atau tanazul. (Mohamad Akram Laldin et al. 2012) Prinsip ini yang menjadi isu syariah kerana mereka mengambil keuntungan dari tiga sumber iaitu yuran wakalah yang ditetapkan di awal kontrak, peratus keuntungan dari pelaburan peserta dan peratus dari surplus. (Sheila Nu Nu Htay & Hanna Rabittah Zaharin t.th.) Amalan ini menunjukkan bahawa syarikat takaful menggabungkan pengambilan yuran dan pembahagian keuntungan dalam akad tersebut. (Mohamad Akram Laldin et al. 2012) Keadaan ini tidak bertepatan dengan syariah kerana akad wakalah tidak boleh digabungkan dengan pembahagian keuntungan (mudarabah). Oleh itu, Mohamad Akram Laldin et al. (2012) telah mencadangkan gabungan wakalah dengan mudarabah atau ju'alah dengan membezakan fungsi setiap akad dalam kontrak. Prinsip gabungan wakalah dan mudarabah pula telah diaplikasikan oleh syarikat takaful di Malaysia pada tahun 2008 atas saranan AAOFI. (AAOIFI. 2012) Melalui prinsip ini, peserta yang menyertainya tetap akan mendapat perkongsian keuntungan (mudarabah) walaupun dikenakan yuran wakalah. Berbanding dengan prinsip wakalah yang tidak memberi perkongsian keuntungan kepada peserta sebaliknya hanya hibah dari pengendali tersebut. (Zakaria Bahari dan Khairul Faizi bin Mohd Rafie 2011) Ini kerana kontrak yang dipersetujui adalah kombinasi dari kontrak mudarabah dan wakalah. (Engku Rabiah Adawiah Engku Ali 2010) Selain itu, prinsip hibah dalam pembahagian manfaat takaful telah diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan bahawa: 1.

Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah;

2.

Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu. Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;

3.

Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabdh);

262

4.

Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang;

5.

Borang penamaan Takaful perlu diselaras dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai. (Shariah Resolutions In Islamic Finance. 2007)

Walau bagaimanapun, terdapat syarikat takaful yang tidak menggunakannya dan mereka hanya menggunakan kaedah yang mereka cipta sendiri seperti hibah secara mutlak dan borang cadangan hibah. Kaedah ini digunakan oleh syarikat takaful kerana mereka berpendapat bahawa hibah bersyarat walaupun telah diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia, namun ia adalah isu yang diperselisihkan oleh fuqaha'. Selain itu, syarikat takaful juga tidak menggunakan prinsip hibah bersyarat kerana sistem pengurusannya yang agak rumit. (Nasrul Hisyam Nor Muhamad 2010) Oleh itu, timbul persoalan di sini sama ada prinsip yang mereka aplikasikan dalam kontrak produk takaful mereka bertepatan dengan syarak atau mengandungi helah yang bercanggah dengan syarak? Produk Takaful Keluarga Di Syarikat Takaful Produk Takaful Keluarga di syarikat takaful di Malaysia telah banyak diperkenalkan oleh syarikat-syarikat takaful dengan cara mereka yang tersendiri. Di antara produk yang ditawarkan adalah perlindungan keluarga, takaful perubatan dan kesihatan, takaful pendidikan dan takaful pelaburan. (Info Kewangan Islam. 2013) Beberapa kajian tentang produk takaful keluarga telah dilakukan oleh Asmak Ab Rahman et al. (2008), (Hasnizam Hashim et al. 2009) Mustaffa Kamal Baharuddin (2012) dan Munirah Wan Ahmad Salmi (2011). Setiap individu wajar menyertai takaful sama ada untuk manfaat diri, keluarga mahu pun harta benda. Terdapat banyak kelebihan yang diperolehi jika seseorang itu menyertai takaful keluarga seperti manfaat keilatan kekal, manfaat khairat kematian, manfaat penyakit kritikal, manfaat hospital dan pelepasan cukai. (Asmak Ab Rahman et al. 2008) Dari sudut maqasid syariah, memiliki takaful keluarga akan dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul peserta serta ahli keluarganya sekiranya musibah melanda. Ia selari dengan objektif syariah yang menetapkan bahawa setiap muslim mesti sentiasa peka dan seboleh-bolehnya memastikan supaya agama, nyawanya dan orang di bawah tanggungannya serta harta bendanya selamat, terjamin dan terpelihara. (Hasnizam Hashim et al. 2009) Kajian berkaitan takaful kesihatan telah dilakukan oleh Mustaffa Kamal Baharuddin (2012) dan Munirah Wan Ahmad Salmi (2011). Menurut Mustaffa Kamal Baharuddin (2012) Etiqa Takaful telah menawarkan pelbagai manfaat kepada peserta. Namun begitu, tiada perbandingan dibuat antara Etiqa Takaful dengan syarikat yang lain kerana penawaran manfaat dari Etiqa Takaful tidak mempunyai banyak beza dengan syarikat takaful yang lain tetapi kadar yuran bulanan Etiqa Takaful ternyata lebih tinggi dari syarikat takaful yang lain. Menurut Munirah Wan Ahmad Salmi (2011)

263

pula, syarikat takaful mempunyai kelebihan masing-masing untuk menarik minat dan menggalakkan para peserta untuk menyertai pelan takaful kesihatan. Peserta perlu memahami produk yang diambil agar dapat menikmati kelebihan yang ditawarkan dan dapat membuat caruman berdasarkan kemampuan diri peserta. Oleh itu, timbul persoalan di sini, sama ada adakah manfaat-manfaat produk pelan takaful keluarga di syarikat-syarikat takaful memberikan keuntungan sewajarnya kepada peserta? Adakah kadar yuran bulanan dan caj-caj yang dikenakan berpatutan dengan manfaat yang diberikan dari pihak syarikat kepada peserta takaful? Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, adalah menjadi keperluan kepada pengkaji untuk mengkaji aplikasi sebenar prinsip dalam kontrak serta manfaat produk takaful keluarga di syarikat-syarikat takaful di Malaysia bagi memberi panduan kepada masyarakat berkaitan kaedah dalam membuat pilihan produk takaful keluarga yang patuh syariah dan menguntungkan peserta takaful. ANALISA SORORTAN LITERATUR Topik ini akan dianalisa berdasarkan kepada dua pecahan iaitu analisa terhadap prinsip dan kontrak takaful dan produk takaful keluarga di syarikat takaful. Prinsip dalam kontrak takaful No. 1.

2.

Nama Penulis Mat Noor Mat Zain dan Zamzuri Zakaria (2006), Joni Tamkin Borhan (2008), Sudin Haron (2005), Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (2010)

Sudin Haron (2005), Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (2010)

Mohd Kamal Jusoh (1998)

3.

Azman

Mohd Zamri Yasin (2008), Bank Negara Malaysia (2007), Mat Noor Mat Zain dan Zamzuri Zakaria (2006), Engku Rabiah Adawiah

Hasil Kajian Prinsip asas takaful yang diamalkan oleh STMB adalah prinsip tabarru' dan mudarabah. Tabarru' adalah perjanjian peserta untuk melepaskan sesuatu jumlah sumbangan yang dipersetujui sebagai derma untuk dibayar kepada suatu dana takaful. Prinsip mudarabah dalam operasi takaful berlaku apabila peserta-peserta takaful yang bertindak sebagai pelabur atau penyumbang dana melantik pengendali takaful untuk memperniagakan dananya dalam perniagaan yang tidak dilarang oleh syariah dan keuntungan yang diperoleh akan dikongsi oleh kedua-dua belah pihak berdasarkan nisbah yang dipersetujui bersama. Takaful Nasional menggunakan prinsip mudarabah dimodifikasi iaitu yuran perkhidmatan dikenakan ke atas keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan yang dibuat. Pengagihan keuntungan hanya akan dibuat setelah yuran perkhidmatan ditolak dan dibayar kepada syarikat pengendali. Prinsip mudarabah yang digabungkan dengan prinsip tabarru' dalam produk takaful tidak dipersetujui kerana rukun mudarabah menjadi tidak lengkap apabila wujud tabarru’. Model wakalah yang telah diseragamkan dan diaplikasikan di syarikat takaful. Ia telah diharuskan oleh Majlis Penasihat Syariah atas dasar upah prestasi bagi pengendali takaful.

264

4.

5.

6.

Engku Ali (2010) Mohamad Akram Laldin et al. (2012), Sheila Nu Nu Htay & Hanna Rabittah Zaharin, (t.th.), Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (2010)

Prinsip wakalah bil ajr atau bil istithmar diaplikasikan. Prinsip wakalah dengan tambahan yuran perkhidmatan (performance incentive) ke atas dana lebihan peserta akan ditolak oleh syarikat takaful sebelum menyerahkan dana lebihan tersebut kepada peserta. Yuran ini dikenakan atas dasar jualah, hibah atau tanazul. Prinsip ini yang menjadi isu syariah kerana mereka mengambil keuntungan dari tiga sumber iaitu yuran wakalah yang ditetapkan di awal kontrak, peratus keuntungan dari pelaburan peserta dan peratus dari surplus. Amalan ini menunjukkan bahawa syarikat takaful menggabungkan pengambilan yuran dan pembahagian keuntungan dalam akad tersebut. AAOIFI (2012), Engku Prinsip gabungan wakalah dan mudarabah pula telah Rabiah Adawiah Engku diaplikasikan oleh syarikat takaful di Malaysia pada Ali (2010), Zakaria tahun 2008 atas saranan AAOFI. Bahari dan Khairul Faizi bin Mohd Rafie (2011) Shariah Resolutions In prinsip hibah dalam pembahagian manfaat takaful telah Islamic Finance (2007), diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Nasrul Hisyam Nor Malaysia (BNM). Muhamad (2010) Terdapat syarikat takaful yang tidak menggunakannya dan mereka hanya menggunakan kaedah yang mereka cipta sendiri seperti hibah secara mutlak dan borang cadangan hibah.

Menerusi kajian lepas yang dilakukan, ia menunjukkan bahawa terdapat enam prinsip yang diaplikasikan oleh syarikat takaful di Malaysia. Namun begitu, prinsip-prinsip tersebut masih terdapat isu syariah yang masih dipersoalkan. Oleh itu, timbul persoalan di sini, apakah prinsip-prinsip dalam kontrak produk takaful yang diaplikasikan oleh syarikat takaful bertepatan dengan syariah? Adakah prinsip-prinsip yang diubahsuai tidak mengandungi unsur-unsur yang dilarang dalam Islam? Produk takaful keluarga di syarikat takaful No. 1.

Nama Penulis Hasil Kajian Asmak Ab Rahman et al. Setiap individu wajar menyertai takaful sama ada untuk (2008) manfaat diri, keluarga mahu pun harta benda. Terdapat banyak kelebihan yang diperolehi jika seseorang itu menyertai takaful keluarga seperti manfaat keilatan kekal, manfaat khairat kematian, manfaat penyakit kritikal, manfaat hospital dan pelepasan cukai.

2.

Hasnizam Hashim et al. Dari sudut maqasid syariah, memiliki takaful keluarga (2009) akan dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul peserta serta ahli keluarganya sekiranya musibah melanda. Ia selari dengan objektif syariah yang menetapkan bahawa setiap muslim mesti sentiasa peka dan seboleh-bolehnya memastikan supaya agama, nyawanya dan orang di bawah tanggungannya serta harta bendanya selamat, terjamin dan terpelihara.

265

3.

Mustaffa Baharuddin Munirah Wan Salmi (2011)

Kamal Etiqa Takaful telah menawarkan pelbagai manfaat (2012), kepada peserta. Ahmad Syarikat takaful mempunyai kelebihan masing-masing untuk menarik minat dan menggalakkan para peserta untuk menyertai pelan takaful kesihatan. Peserta perlu memahami produk yang diambil agar dapat menikmati kelebihan yang ditawarkan dan dapat membuat caruman berdasarkan kemampuan diri peserta.

Berdasarkan sorotan literatur yang dilakukan, produk takaful keluarga adalah produk yang menjadi keperluan masyarakat pada masa kini kerana terdapat kebaikan dan maslahah tersendiri. Namun begitu, tiada kajian yang pernah dibuat berkaitan kewajaran manfaat, yuran dan caj yang dikenakan oleh syarikat takaful. Oleh itu, menjadi keperluan pengkaji untuk mengkaji produk takaful keluarga yang patuh syariah dan memberi manfaat atau keuntungan yang sewajarnya kepada peserta takaful. Ini amat penting bagi memberi panduan kepada masyarakat tentang kaedah memilih produk takaful yang bersesuaian. Kajian ini juga amat penting untuk menjamin aktiviti takaful yang dijalankan antara umat Islam mematuhi hukum syariah seterusnya aktiviti tersebut mendapat keredaan Allah. KESIMPULAN Secara keseluruhannya, kajian ini memfokuskan kepada kepelbagaian prinsip dalam kontrak takaful keluarga dan produk takaful keluarga di syarikat-syarikat takaful di Malaysia. Kesimpulannya, kepelbagaian prinsip dalam kontrak takaful adalah sesuatu yang amat baik kerana mempelbagaikan konsep muamalah Islam dalam aktiviti umat Islam di Malaysia. Namun begitu, perlu dipastikan prinsip-prinsip yang diaplikasikan menepati hukum syariah yang sebenar dan menjauhi unsur-unsur helah yang dilarang dalam Islam. Oleh yang demikian, daripada hasil kajian yang telah dianalisis, di dapati bahawa masih terdapat beberapa keraguan yang timbul daripada prinsip-prinsip dalam kontrak takaful di Malaysia. Wujud juga kelompangan dalam kajian yang berkaitan kewajaran manfaat, kadar yuran bulanan dan caj-caj yang dikenakan dalam produk takaful keluarga. Oleh itu, menjadi tanggungjawab pengkaji untuk menjalankan kajian berkaitan aplikasi prinsip dalam kontrak takaful dan keuntungan produk takaful keluarga di syarikat-syarikat takaful di Malaysia. Ini amat penting untuk memberi panduan kepada masyarakat berkaitan kaedah untuk memilih produk takaful keluarga yang mematuhi syariah dan memberi pulangan atau keuntungan yang sewajarnya kepada peserta takaful. RUJUKAN AAOIFI. 2012. Implications of Operating Different Takaful Models. World Bank Annual Conference on Islamic Banking and Finance, hlm. 1-17. Kingdom of Bahrain. Asmak Ab Rahman, Nor Aini Ali, Wan Marhaini Wan Ahmad and Azizi Che Seman. 2008. Kepentingan Takaful Sebagai Instrumen Simpanan dan Perlindungan. Dlm. J. T. Asmak Ab Rahman, Sistem Takaful di Malaysia, Isu-isu Kontemporari, hlm. 53-71. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

266

Azman Mohd Nor & Mohamad Sabri Zakaria. 2010. Takaful : Analisis Terhadap Konsep dan Akad. Jurnal Muamalat, 3: 1-26. Bank Negara Malaysia. 2007. Shariah Resolutions In Islamic Finance. Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia. Bank Negara Malaysia. 2007. 9 Julai. Bank Negara Malaysia. www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_press&pg=bm_press_all&ac=1512&lang= bm [8 Mac 2013]. Bank Negara Malaysia. 2012. Takaful Operators. http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=13&cat=insurance&type=TKF [28 Disember 2012]. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali. 2010. Panduan Asas Takaful. Kuala Lumpur: CERT Publications Sdn. Bhd. Etiqa Takaful . 2013. http://www.etiqa.com.my/[25 April 25 2013]. Faezatun Jam'ie Darus. 2007. Pelaksanaan al-wakalah dalam Takaful Keluarga: Kajian di Syarikat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. . Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Hasnizam Hashim, Haliza A. Shukor, Intan Nadia Ghulam Khan. 2009. Takaful Keluarga : Satu Huraian Tentang Kepentingan dan Keperluannya dari Perspektif Maqasid al-Shariah. Seminar Muamalat, Ekonomi dan Kewaangan Islam hlm. 280-293. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Info Kewangan Islam. 2013. Takaful. http://www.islamicfinanceinfo.com.my/bm/mengenai-takaful/mengenal-produktakaful-anda [20 Ogos 2013]. JAKIM. 1979. 15-16 Februari. Insuran. e-Fatwa. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwakebangsaan/insurans-0 [10 April 2013]. Joni Tamkin Borhan. 2008. Prinsip Syariah dalam Perniagaan Takaful di Malaysia. In A. A. al, Sistem Takaful di Malaysia: Isu-Isu Kontemporari hlm. 37-51. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Mat Noor Mat Zain dan Zamzuri Zakaria. 2006. Pengurusan Mudarabah dalam Takaful di Malaysia. Prosising Seminar Kebangsaan Pengurusan Harta hlm. 329-345. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohamad Akram Laldin et al. 2012. Isu-isu Investasi Dalam Industri Takaful : Pengalaman Malaysia. Muzakarah Cendikiawan Syariah Nusantara, hlm. 1-33. Brunei. Mohd Azrul Hisyam Ismail. 2008. Keberkesanan Pengendalian Takaful Dalam Memasarkan Produk-produk Takaful Keluarga : Kajian di Ibu Pejabat Takaful Nasional Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Mohd Fadzli Yusof. 1996. Takaful : Sistem Insurans Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor.

267

Mohd Kamal Azman Jusoh. 1998. Konsep Mudharabah di dalam Sebahagian Produk Takaful : Kajian Perlaksanannya berdasarkan Pandangan Empat Madhhab. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd Zamri Yasin. 2008. Syarikat Takaful Malaysia Berhad: Sejarah Penubuhan dan Penglibatan Orang-orang bukan Islam Di Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Munirah Wan Ahmad Salimi. 2011. Takaful Kesihatan : Kajian Perbandingan di Syarikat Prudential BSN Takaful Berhad dan Syarikat Takaful Ikhlas Sdn Bhd. Kuala Lumpur : universiti Malaya. Mustaffa Kamal Baharuddin. 2012. Teori dan Pelaksanaan Takaful Kesihatan dan perubatan: Kajian di Etiqa Takaful Berhad. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Nasrul Hisyam Nor Muhamad. 2010. Pemakaian Prinsip Hibah dalam Sistem Kewangan Islam di Malaysia : Tumpuan kepada Industri Perbankan Islam dan Takaful. Jurnal Teknologi: 69-81. Nik Nor Azni Nik Ali. 2003. Al-Wakalah sebagai Metod Pemasaran dalam Industri Takaful : kajian perbandingan di Takaful Nasional dan Syarikat Takaful. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Prudential BSN Takaful . 2013. https://www.prubsn.com.my [25 April 2013]. Sheila Nu Nu Htay & Hanna Rabittah Zaharin. t.th. Critical Analysis on the Choice of Takaful (Islamic Insurance) Operating Models In Malaysia. http://irep.iium.edu.my/2280/1/Critical_analysis_on_the_choice_of_Takaful_(Isl amic_Insurance)_Operating_Models_in_Malaysia_05_Sept_2011.docx.pdf [8 Mac 2013]. Sudin Haron. 2005. Sistem Kewangan dan Perbankan Islam. Kuala Lumpur: KL Business School Sdn. Bhd. Takaful Ikhlas. 2013. http://www.takaful-ikhlas.com.my/[12 Mei 2013]. Takaful Malaysia. 2013. http://www.takaful-malaysia.com.my/ [25 April 25 2013]. Yasmin Hanani Mohd Safian. 2012. Isu-isu Pelaburan dalam Takaful. Muzakarah Cendikiawan Syariah Nusantara ke-6, hlm. 1-21. Brunei. Yussyafiqah Yunus. 2009. Perlindungan Takaful Keluarga : Tahap Pengetahuan dan Persepsi Pekerja di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Putrajaya. Selangor: Universiti Putra Malaysia. Zakaria Bahari dan Khairul Faizi bin Mohd Rafie. 2011. Konsep Takaful Hibrid dan Penyebabnya di Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB). International Management Conference, hlm. 1-24. Kuala Terengganu.

268