PENDEKATAN DAKWAH UNITED SABAH ISLAMIC ASSOCIATION

Download 20 Nov 2014 ... penubuhan organisasi USIA dalam konteks dakwah di negeri Sabah, mengkaji metodologi dakwah USIA ... pelbagai agensi dalam m...

0 downloads 388 Views 267KB Size
Seminar Antarabangsa Dakwah & Etnik 2014: Da'wah & Ethnicity: Multidisciplinary Perspective Disunting oleh: Anuar Puteh & Ahmad Irdha Mokhtar. © Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Pribumi, UKM, Bangi, Selangor.

PENDEKATAN DAKWAH UNITED SABAH ISLAMIC ASSOCIATION (USIA) TERHADAP PERIBUMI DI NEGERI SABAH: TINJAUAN DARI SEGI EKONOMI Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Binti Abdullah @ Tan Ai Pao Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, UKM Email: [email protected] Abdul Imam Basirun Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, UKM Email: [email protected]

ABSTRAK Dakwah merupakan medium utama penyebaran agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W(SAW) menjana masyarakat Muslim yang ideal dan mempunyai daya saing yang tinggi. Justeru itu, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti kaedah USIA dalam menyampaikan dakwah di negeri Sabah merupakan satu metodologi yang unik kerana mampu memberi satu perubahan dalam struktur politik dan sosial di negeri Sabah. Kajian ini membincangkan modus operandi yang dijalankan oleh USIA yang telah memberi natijah positif kepada pengetahuan Agama Islam, pemahaman, penghayatan dan pengalaman Agama Islam dalam masyarakat. Terdapat tiga objektif kajian yang telah di gariskan iaitu mengkaji penubuhan organisasi USIA dalam konteks dakwah di negeri Sabah, mengkaji metodologi dakwah USIA terhadap masyarakat dan mengenal pasti masalah dakwah yang dihadapi oleh USIA. Kajian ini dijalankan dalam bentuk kajian lapangan (fieldwork research) dan kajian perpustakaan serta pemerhatian. Hasil kajian mendapati bahawa USIA telah melaksanakan pendekatan yang proaktif dengan menggabungkan beberapa kaedah seperti pendekatan dari aspek ekonomi, pendidikan, sosial dan politik dalam menyampaikan dakwah di negeri Sabah.walau bagaimanapun,aspek pendidikan merupakan kaedah terbaik dalam memberi kesan yang mendalam terhadap penyebaran Islam bagi mencapai kesejahteraan hidup ke tahap mutma’innah.

Abstrak ini dikemukakan untuk Regional Seminar On Da’wah and Ethnicity(RSDE). Pada 2021 Nov 2014 di Universiti Malaysia Sabah. Anjuran Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Peribumi UKM.

PENDAHULUAN

United Sabah Islamic Association atau USIA yang kemunculannya ditengah-tengah masyarakat bukan sahaja didorong oleh perkembangan yang lalu tetapi juga perkembangan semasa dari segi keagamaan di Sabah. Pertubuhan USIA merupakan salah sebuah dari badanbadan dakwah yang terkenal di negara ini yang mempunyai kekuatan dan kemudahan yang cukup sebagai sebuah organisasi. Dorongan dari segi inilah membolehkan USIA melancarkan gerakan secara besar-besaran dan membawa pelbagai kesan kepada masyarakat dan perkembangan Islam di Sabah.

Dakwah dapat ditafsirkan usaha menyeru serta menggemarkan manusia ke jalan Allah SWT. Selain itu, ia merupakan satu inisiatif pendakwah untuk mengajar kepada masyarakat tentang perkara yang berkaitan keagamaan dan soal dunia yang boleh memberi kesedaran kepada mereka sekadar mampu untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan damai.

Dakwah merupakan suatu keperluan asas bagi mencetus kemajuan dan kesejahteraan umat Islam selain menjadi agen perubahan untuk masyarakat terutama rakyat Sabah yang jauh ketinggalan berbanding kemajuan yang telah dicapai di Semenanjung Malaysia. Langkah demi langkah yang telah di laksanakan, akhirnya menunjukkan hasil apabila wujudnya pelbagai agensi dalam menyebarkan agama Islam di Sabah, antaranya badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan dalam mengatur aktiviti dan program secara berkala untuk menjadikan masyarakat memahami dan menghayati ajaran Islam yang suci serta memperbaiki kehidupan mereka ke arah keredhaan Allah SWT.

United Sabah Islamic Association merupakan NGO terulung di negeri Sabah yang berperanan dalam menyebaran agama Islam serta berperanan dalam usaha pengislaman yang dilaksanakan terutama kaum asli yang terdapat di pedalaman Sabah. Selain itu, ia juga menjaga kebajikan masyarakat Muslim dengan menjalankan dakwah kepada Muslim dan bukan Muslim. Dalam masa yang sama, USIA juga menyediakan kelas-kelas bimbingan agama kepada saudara baru dan masyarakat Muslim lainnya. Langkah ini digariskan dalam urus takbir USIA adalah untuk mengenali, mendalami, memahami, menghayati seterusnya mengamalkan cara hidup Islam yang syumul dalam konteks kehidupan seharian mereka.

Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi mengkaji metodologi dakwah USIA terhadap masyarakat di negeri Sabah.

LATARBELAKANG UNITED SABAH ISLAMIC ASSOCIATION (USIA)

USIA atau United Sabah Islamic Association merupakan salah satu NGO atau Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan menjalankan dakwah Islamiah di Negeri Sabah. USIA telah memainkan peranan yang penting sebagai salah satu organisasi dakwah yang berusaha untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat Negeri Sabah khasnya. Penubuhan USIA untuk mengurus dan mentadbir Hal Ehwal Islam di Negeri Sabah sebelum MUIS ditubuhkan. USIA telah memainkan peranan yang penting dalam pengembangan Islam di Sabah.

Peranan ulama dan pertubuhan-pertubuhan serta persatuan-persatuan Islam di Sabah iaitu Persatuan Islam Putatan ( PIP ), Persatua Islam Tawau ( PIT ) dan Peratuan Islam Sabah ( PIS ) menyebarkan agama Islam kepada masyarakat Islam dan masyarakat Non Muslim di bandar dan luar bandar Sabah membolehkan mereka mengenali, memahami dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan serta membentuk sifat hormat menghormati antara satu kaum dengan kaum lain terutama dalam soal beragama.

Usaha dakwah Islamiah ini berterusan sejak abad ke-10M iaitu ketika kedatangan pedagang Arab ke kepulauan Sulu yang terletak tidak berapa jauh dari Sabah pada tahun 982M ( Datuk Jamdin Buyong, 2003: 185 ) hingga ke hari ini. Seperti yang dimaklumkan, tiga persatuan utama di awal dakwah Islamiah di Sabah iaitu Persatuan Islam Putatan ( PIP ) yang diasaskan oleh Datuk Hj Awang Sahari bin Abdul Latif dan rakan-rakannya, Persatuan Islam Tawau ( PIT ) yang diketuai oleh OKK Zainal Kerahu dan rakan-rakannya dan Persatuan Islam Sabah ( PIS ) yang dipimpin oleh YBhg. Datuk Hj Mohd Kassim bin Hj Hashim telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perjumpaan dengan YAB Tun Datuk Hj Mustapha bin Datu Harun di tempat kediamannya di Tanjung Aru pada tahun 1968 untuk membincangkan masalah kedudukan umat Islam di Sabah (Datuk Hj Awang Sahari bin Abdul Latif: t.th:7-8). Menurut Datuk Hj Awang Sahari dalam kertas kerja yang bertajuk Peranan USIA Dalam Membina Kepentingan Agama Islam di Sabah dan hasil dari perbincangan tersebut, ketiga-tiga pemimpin persatuan awal di Negeri Sabah telah mengambil kata sepakat bersedia untuk mengorbankan jawatan yang dipegang dalam persatuan masing demi

mengutamakan kepentingan umat Islam Sabah dan membentuk sebuah persatuan Islam yang lebih besar dan kuat bagi menjamin kedudukan dan kepentingan umat Islam di Sabah. Ketigatiga pemimpin tersebut bersetuju memberi mandat kepada YAB Tun Datu Hj Mustapha bin Datu Harun untuk mengadakan satu Kongres Islam di Sabah.

Merujuk kepada kertas kerja yang ditulis oleh Datuk Hj Awang Sahari bin Abdul Latif ( t.th: 8-9 ), Kongres Islam yang pertama di Sabah adalah bertujuan untuk menubuhkan Persatuan Islam Seluruh Sabah atau United Sabah Islamic Association ( USIA ). Kongres selama dua hari ini telah diadakan pada 16 Ogos 1969. Ia dipengerusikan oleh Tuan Hj Lokman Bin Musa iaitu Pengarah Pendidikan Sabah ketika itu. Setiap daerah di negeri Sabah masing-masing menghantar perwakilan untuk menghadiri kongres tersebut. Kongres Islam pertama ini telah mencapai beberapa keputusan yang membanggakan. Di mana nama persatuan yang dipilih ialah: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah dengan nama ringkasnya USIA ( United Sabah Islamic Association ). Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun dilantik sebagai Yang Dipertua Agung USIA yang pertama. Seramai 17 orang ahli-ahli ADUN Sabah, 10 orang Pegawai Tinggi, 14 orang tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh dilantik untuk menerajui Majlis Tertinggi USIA. Dalam masa enam bulan selepas penubuhan USIA, sebanyak 22 bahagian dan 376 cawangan USIA telah didaftarkan di seluruh Negeri Sabah. USIA dalam masa yang sama membentuk Jawatankuasa-jawatankuasa kecilnya untuk membolehkan USIA bergerak dengan lebih sistematik. Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut terdiri daripada Badan Kewangan, Badan Kebajikan, Badan Penerbitan, Badan Pelajaran, Badan Masjid, Badan Zakat Fitrah dan Badan Dakwah. Merujuk kepada penulis Muhiddin Yusin ( 1990 ) dalam bukunya Islam di Sabah, Kongres tersebut telah berjaya mewujudkan United Sabah Islamic Association ( USIA ) atau Persatuan Islam Seluruh Sabah dan telah didaftarkan pada 10 Oktober 1969 dan ibu pejabat pertamanya adalah sebuah kedai di Kg. Air, Kota Kinabalu. YTM Tunku Abdul Rahman al-Haj kemudiannya telah merasmikan bangunan empat tingkat Ibu Pejabat USIA di Jalan Sembulan pada 30 Julai 1972 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1392H. USIA kini mempunyai 23 bahagian di seluruh Negeri Sabah.

Matlamat penubuhan USIA merujuk Johari Hj. Alias ( 1977 ) adalah untuk menyatupadukan umat Islam di Sabah. Kedua, untuk merealisasikan kepentingan umat Islam dalam semua bidang agar tidak ketinggalan dalam arus arus semasa . Seterusnya ia bermatlamat untuk mewujudkan masyarakat yang sejati dan mempunyai akhlak budi pekerti

yang tinggi. Selain daripada itu, ia juga bersedia menyediakan segala kemudahan untuk pengajian Islam dan memberi ilmu pengetahuan Islam kepada umat Islam di Negeri Sabah sebagai usaha untuk mengembangkan dakwah Islamiah. pada awalnya dalam menggerakkan usaha dakwah, USIA telah mengambil alih sebanyak 68 buah madrasah dan sekolah agama rakyat dengan mengambil tenaga pengajar dari Semenanjung Malaysia. Walaupun keadaan sekolah dan madrasah tersebut belum teratur sistem pengajian dan sebagainya dan sebahagiannya masih menumpang di balai raya dan masjid-masjid. Ini jelas membuktikan USIA ditubuhkan untuk menjaga kepentingan umat Islam di Sabah terutamanya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan ekonomi dan jua hal-hal berkaitan keagamaan ( Muhiddin Yusin: 1990 ).

VISI DAN MISI ORGANISASI USIA

Sebagai sebuah organisasi, USIA mempunyai misi yang secara tidak langsung menggambarkan secara menyeluruh aktiviti serta perkhidmatan yang disediakan baik kepada ahlinya mahupun pada masyarakat Sabah umumnya. Berikut adalah misi dan visi organisasi dalam menyampaikan metod, risalah Dakwah Islamiah kepada masyarakat di negeri Sabah ( Najion Jamil 2010 ).

Visi USIA i.

Memelihara kepentingan-kepentingan agama Islam.

ii. Menanamkan kefahaman tauhid di kalangan umat Islam demi membentuk satu budi pekerti dan akhlak yang mulia. iii. Menganjurkan dakwah Islamiah kepada segenap lapisan masyarakat di Negeri Sabah, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. iv. Menyediakan kemudahan pengajian dan pembelajaran Islam di seluruh Negeri Sabah. v. Menentukan kepentingan dan hak masyarakat Islam di negeri ini, khasnya dan Malaysia amnya sentiasa terpelihara dalam mana-mana undang-undang dan amalan. vi. Menjalankan kerja kebajikan dan amal jariah seperti sumbangan derma dan biasiswa/dermasiswa kepada orang-orang Islam yang memerlukan.

vii. Menyemai perasaan persaudaraan, muhibbah dan toleransi di kalangan sesama Islam dan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam. viii. Memperbaiki serta mempertingkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat Islam di negeri ini.

Misi USIA 1.

Meningkatkan penglibatan umat Islam sebagai ahli USIA,

2.

Mengukuhkan kedudukan USIA di mata segenap lapisan masyarakat, khususnya di Negeri Sabah dan Malaysia amnya.

3.

Mempelbagaikan kegiatan sosiol terutama penglibatan generasi muda.

4.

Memainkan peranan dalam arus perdana dakwah dan pengislahan umat dan Negara melalui penyebaran dakwah kepada semua golongan masyarakat serta berusaha meningkatkan penghayatan Islam di kalangan ‘Saudara Kita.

5.

Meningkatkan kefahaman masyarakat bukan Islam di Negara ini terhadap Islam, disamping berazam untuk membangunkan Modal Insan yang menyeluruh melalui penjanaan sosio ekonomi umat serta pembinaan kemahiran teknologi maklumat serta komunikasi mutakhir.

OBJEKTIF USIA

USIA telah mengariskan beberapa objektif dalam mengembangkan syiar Islam di negeri Sabah, sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Pertubuhan Islam seluruh Sabah (USIA) : 1.

Memelihara kepentingan-kepentingan Agama Islam.

2.

Menanam kefahaman Tauhid kepada Allah dikalangan umat Islam demi membentuk satu budi pekerti dan akhlak yang mulia.

3.

Menganjurkan Dakwah Islamiah kepada segenap lapisan masyarakat di Sabah ini berpandukan firman dan Hadis (Al-Quran dan Sunnah Rasul).

4.

Menyediakan kemudahan-kemudahan pengajian dan pembelajaran Islam di seluruh Negeri Sabah.

5.

Menentukan agar kepentingan-kepentingan dan hak-hak masyarakat Islam di Sabah khasnya dan Malaysia amnya terpelihara dalam mana-mana

undang-undang dan

amalan. 6.

Menjalankan kerja-kerja kebajikan dan amal jariah pemberian derma, biasiswa atau dermasiswa kepada orang-orang Islam yang memerlukan bantuan tersebut.

7.

Menyemaikan perasaan persaudaraan, muhibbah dan toleransi di kalangan sesama Islam dan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

8.

Memperbaiki dan meningkatkan taraf sosio ekonomi orang-orang Islam.

PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN ORGANISASI (USIA)

USIA membentuk struktur organisasi bagi melancarkan pentadbiran agar lebih sistematik dan dinamik. Menurut Datuk Hj Awang Sahari bin Abdul Latif (t.th:8-9), YAB Tun Datu Hj Mustapha bin Datu Harun dilantik sebagai Yang Dipertua Agung USIA yang pertama. Seramai 17 orang ahli-ahli ADUN Sabah, sepuluh orang Pegawai-pegawai Tinggi, 14 orang tokoh-tokoh masyarakat yang mempunyai pengaruh dalam masyarakatnya telah dilantik untuk menjawat jawatan di Majlis Tertinggi USIA di awal penubuhan USIA.

Menurut beliau , sebanyak 22 bahagian dan 376 cawangan USIA telah didaftarkan setelah enam bulan penubuhannya. Dalam tempoh tersebut juga, USIA telah membentuk Jawatankuasa-jawatankuasa kecilnya untuk menjalankan tugas masing-masing di setiap bahagian dan cawangan. Klasifikasi tugas tersebut adalah seperti berikut; a.

Badan Kewangan: Mencari sumber kewangan untuk tujuan pembayaran gaji pekerjapekerja pentadbiran, guru-guru agama dan pendakwah.

b.

Badan Kebajikan: Membantu masyarakat yang dalam kesusahan, menyediakan kemudahan pengangkutan jenazah dan lain-lain bantuan yang berkaitan kebajikan masyarakat.

c.

Badan Penerbitan: Menerbitkan majalah Sinar USIA dan menyediakan kemudahan perpustakaan.

d.

Badan Pelajaran: Mengambilalih dan menguruskan sekolah-sekolah agama rakyat yang wujud di awal sebelum terbentuknya USIA.

e.

Badan Masjid: Bertanggungjawab mengurus masjid-masjid dan surau-surau dan mendirikan masjid seperti Masjid Bandar Kota Kinabalu.

f.

Badan Zakat Fitrah: Mengutip zakat fitrah pada setiap tahun.

g.

Badan Dakwah: Menyampaikan dakwah Islamiah kepada masyarakat di Sabah. Usaha penyusunan struktur organisasi dan pembahagian tugasan dalam USIA telah

membolehkan USIA mendekati masyarakat Islam dan masyarakat Non Muslim di Sabah dalam usaha penyebaran dakwah Islamiah

METODOLOGI DAKWAH UNITED SABAH ISLAMIC ASSOCIATION (USIA): TINJAUAN DARI SEGI PENDIDKAN

Sejak penubuhan sehingga kini, USIA giat menjalankan aktiviti-aktiviti atau programprogram yang berunsur dakwah Islamiah kepada masyarakat di Sabah. Datuk Hj. Awang Sahari bin Abdul Latif ( t.th: 10-11 ), Pada tahun 1970 USIA telah melancarkan gerakan dakwahnya ke seluruh Negeri Sabah. Sasaran dakwahnya terdiri daripada kaum Dusun dan Murut di daerah-daerah pendalaman yang tidak mempunyai sebarang anutan agama (Pagan). Hasil usaha ini seramai lebih daripada 50,000 orang dewasa lelaki dan dewasa perempuan telah memeluk agama Islam. Bilangan saudara baru hampir menjangkau 100,000 orang jika dijumlahkan bersama kanak-kanak. Secara tidak langsung, bilangan umat Islam di Negeri Sabah pada ketika itu meningkat kepada 52 peratus daripada seluruh jumlah penduduk Sabah yang menganut pelbagai agama dan fahaman. Selain daripada itu juga, bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri juga telah meningkat kepada 2/3 majoriti. Ini kerana ADUN ini juga merupakan pendakwah dan juga pemimpin-pemimpin dalam USIA. Akhirnya dengan kerasionalan peningkatan ADUN Negeri Sabah kepada 2/3 majoriti terdiri daripada orang Islam, maka MAIS atau Majlis Agama Islam Sabah ditubuhkan dan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 26 April 1972.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh USIA kepada masyarakat di Sabah. Dakwah Islamiah tidak hanya terhad kepada umat Islam sahaja, malah masyarakat Non Muslim juga merasa tempias usaha dakwah yang dijalankan oleh USIA melalui dakwah fardiah dan

dakwah jama’i. Merujuk kepada Projek Ilmiah yang ditulis oleh Muhamad Hilmi bin Idris ( 2009: 11 ), pelbagai aktiviti dakwah telah diambil perhatian oleh pendakwah-pendakwah USIA kepada sasarannya. Aktiviti-aktiviti dakwah mereka mengutamakan pandangan dan pengetahuan dari khidmat para ustaz yang setia menjalankan dakwah di setiap daerah dan bahagian di Sabah. Selain daripada itu, aktiviti dakwah melalui penerbitan bahan bacaan iaitu Sinar USIA dan mengedarkannya di sekitar masjid-masjid sekitar Sabah. Penubuhan BaitunNur di bawah tajaan USIA telah berjaya menempatkan Saudara Baru untuk mendalami ilmuilmu agama Islam. Baitun-Nur telah melahirkan ramai qari dan qariah dari golongan Saudara Baru. Aktiviti-aktiviti kebajikan juga merupakan salah satu metod dakwah USIA kepada masyarakat di Negeri Sabah. 15 Mei 2010. Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Terawih dan Forum Agama juga merupakan antara aktiviti yang dijalankan oleh USIA untuk manfaat umat Islam di Sabah.

Sebagai pertubuhan Islam yang terbesar di negeri ini, USIA akan terus membantu kerajaan memperhebat program-program dakwahnya berlandaskan konsep Islam yang syumul. Pelancaran Blue Print “Memperkasa Dakwah USIA” merupakan satu lagi usaha USIA dalam membangunkan modal insan melalui pemantapan gerakan dakwah yang bersepadu kearah menegakkan dakwah di negeri ini bertunjangkan Mardatilah. Blue Print ini akan menumpukan kepada empat sasaran bidang utama iaitu dakwah, ekonomi, teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan sumber manusia. Pelan strategik dakwah USIA atau Blue Print telah menjadi teras utama halatuju pembangunan dakwah USIA. Sehubungan dengan itu, dalam usaha kita memastikan strategi dakwah Islamiah mencapai objektifnya USIA perlu mengamalkan system pengurusan yang berkualiti agar semua perancangan dan program yang dikendalikan dapat dilaksanakan dengan lancar.

USIA telah berusaha dengan penuh pengorbanan dari pelbagai segi untuk memastikan umat Islam dan masyarakat Non Muslim di Sabah dapat mengenali Islam, mempelajari ajaran Islam, memahami dan seterusnya dapat menjadikan Islam sebagai cara hidup. Metod dakwah Islamiah yang dibawa oleh USIA melihatkan kesungguhan, kesedaran, kehebatan dan kesatuan serta pengorbanan umat Islam ketika itu untuk memberi warisan kemuliaan Islam sebagai agama yang benar di sisi Allah SWT kepada genarasi kini dan seterusnya. Fokus utama pendekatan Dakwah USIA iaitu metod Dakwah melalui pendidikan, ekonomi, khidmat sosial, kebajikan dan politik.

Pendekatan Dakwah Melalui Penjanaan Ekonomi [

Dalam perspektif Islam, aktiviti ekonomi dan pembinaan kewangan bahkan menjadi kewajipan,ini kerana ia membawa kemakmuran dan kekuatan kepada ummah iaitu kekuatan untuk membebaskan diri daripada taklukkan dan telunjuk mana-mana pihak. USIA harus berupaya memantau strategik musuh dalam usaha mereka untuk melumpuhkan keutuhan negara melalui keteguhan ekonomi dan kebijaksanaan USIA membaca perancangan musuh agar mampu berjuang dan melangkah dengan semangat berdikari dalam kelestarian ekonomi. USIA perlu melangkah setapak lagi dalam dunia ekonomi khasnya dalam bidang pelaburan di hadapan aset-asetnya yang boleh menjadi sumber kekuatan ekonomi sehingga dengan kekuatan itu kita mampu melaksanakan pelbagai program dakwah dan pembangunan ummah.

Sejajar dengan usaha maju dalam aspek ekonomi, USIA telah melancarkan majlis USIA Niaga baru-baru ini. Langkah ini adalah satu jejak awal untuk kita melangkah membawa USIA maju bersama tunjang kekuatan ekonomi. Dalam hal ini, kita tidak hanya sekadar pendayung tetapi sebagai pengemudi yang mempunyai sikap dinamik, pro aktif dan jelas tentang matlamat perjuangan. Perkara ini mampu membawa atau menentukan hala tuju perjuangan dan masa depan USIA secara lebih berkesan.

Dalam penyebaran dakwah, USIA telah berusaha untuk mencari pendekatan dakwah yang lebih up to date seiring perubahan semasa dalam menggiatkan usaha-usaha murni demi meningkatkan kefahaman dan memantapkan amalan dalam kehidupan seharian masyarakat. Pertubuhan Islam seluruh Sabah (USIA) berusaha bersungguh-sungguh dengan menggunakan beberapa pendekatan perlu dan sesuai digunakan bagi mencapai matlamat penubuhan. USIA juga mengambil langkah dan mengambil berat berkaitan ekonomi. Peranan USIA dalam membina kepentingan ekonomi umat Islam di Sabah dengan membentuk jawatankuasa yang bertugas mencari dana sebagai sumber kewangan bagi menampung guru-guru dan pekerja lainnya.

Oleh yang demikian, USIA kini mengambil pendekatan baru dalam usaha membangunkan perekonomian umat Islam di negeri Sabah. Setiausaha Agung USIA, Datuk Haji Dahli Mohd Elias berkata, antara pendekatan baru itu termasuk menceburkan diri dalam bidang pembangunan hartanah. Langkah ini diambil sebagai satu strategi jangka panjang

untuk kepentingan masyarakat Islam khususnya ahli-ahli USIA. Selain itu, ia bertujuan bagi mengurangkan pergantungan kepada kerajaan dalam usaha menegakkan syiar Islam.

Dalam masa yang lain. USIA telah menjalankan usaha sama dengan syarikat swasta untuk membina bangunan USIA Plaza setinggi empat tingkat di Lahad Datu. Selain itu, USIA juga mengadakan lawatan bagi usahawan atau ahli perniagaan bagi melihat perkembangan ekonomi di negara lain seperti lawatan ke Brunei dan ianya mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

Buletin USIA edisi 03/2009 Sempena sambutan ulang tahun ke-40 USIA (2009: 24) telah menekankan bahawa idea yang ditimbulkan semasa Perhimpunan Agong Tahunan USIA pada tahun 2006 telah membangkitkan gagasan agar USIA menubuhkan Koperasi Khusus untuk ahli-ahlinya yang bertujuan untuk membantu mempertingkatkan ekonomi masyarakat Islam khususnya ahli-ahli USIA.

Pada 24 Mac 2009 Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pendaftaran Koperasi USIA dengan nama Koperasi United Sabah Islamic Association Berhad di bawah nombor pendaftaran S-4-0848. Koperasi ini beroperasi di Ibu Pejabatnya sendiri di tingkat 4, bangunan ibu pejabat USIA.

Antara visi dan misi koperasi ini ditubuhkan ialah berusaha merancang dan melaksanakan projek-projek yang membawa ahli-ahlinya keluar dari kemiskinan dan membimbing ahli-ahlinya melalui program dan kursus khususnya yang boleh membantu meningkatkan taraf sosioekonomi ahli-ahlinya dengan beberapa aktiviti yang telah dicadangkan bagi menyumbangkan kepada peningkatan pendapatan ahli koperasinya iaitu dalam bidang pertanian (contrac farming) berasaskan tanaman pokok gaharu, serai wangi dan tanaman lain yang berasaskan herba seperti pokok kantin, perniagaan hard ware, kedai runcit (save more), bidang pemborong, pengedar dan peruncitan.

Dengan adanya koperasi yang telah ditubuhkan oleh USIA mampu berdaya saing dengan perkembangan ekonomi semasa. Selaras dengan keperluan semasa, USIA telah memajukan aktiviti pertanian bagi memenuhi pasaran semasa. Selain, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan terutamanya penduduk negeri Sabah ia juga menjadi medan dalam menyebarkan dakwah dalam aspek ekonomi serta meningkatkan

ekonomi penduduk tempatan. Usia juga menumpukan perhatian kepada aktiviti-aktiviti komersial yang mampu memberikan sumber kewangan bagi membiayai aktiviti dakwahnya serta program-program kemasyarakatan.

Dalam melangkah ke era Globalisasi, tuntutan persaingan yang turut mendominasi zaman berkenaan ialah teknologi maklumat. USIA seharusnya tidak terkebelakang dalam menguasai bidang yang menjadi mercu tanda era globalisasi ini. Sehubungan dengan itu, USIA perlu menjana kekuatannya menerusi pengukuhan R&D yang perlu sebagai data untuk membolehkan kita melakukan tindakan berdasarkan kajian dan penyelidikan yang sistematik. Kemajuan ini dapat dicapai andai kita mempunyai kekuatan ekonomi kerana kemajuan ini mampu membawa USIA bersaing di persada antarabangsa.

KESIMPULAN

USIA adalah sebuah organisasi dakwah yang memiliki sistem pentadbiran yang sangat professional, kemas dan tersusun. Kejayaan yang dicapai pada masa kini bukan sahaja bergantung kepada aktiviti yang dijalankan oleh USIA itu sendiri tapi penglibatan dari semua lapisan pentadbiran. Malah sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum menjadikan ianya dapat diterima dalam masa yang sama mampu berkembang sehingga ke kawasan luar Bandar. Penekanan dari aspek bimbingan dan kebajikan ahlinya,

ia juga

bertindak sebagai penyebar risalah islam terhadap seluruh negeri Sabah samaada muslim atau No-muslim. Secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama Muslim, perpaduan atas nama muslim juga dapat dipupuk.

Metod dakwah yang disampaikan melalaui penjanaan bagi melahirkan masyarakat yang maju jaya dalam tuntutan Islam pada masa akan datang merupakan langkah yang terbaik untuk pembangunan dakwah Islam di Sabah khasnya. Perubahan kaedah yang dilaksanakan seiring dengan perubahan teknologi satu pendekatan yang terbaik agar umat Islam di Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara dalam merealisasikan wawasan 2020 negara. Sejarah USIA telah membuktikan bahawa USIA telah melahirkan ramai pemimpin Islam yang cemerlang dalam arena politik, ekonomi dan juga pendidikan.

Tuntasnya, berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan berkaitan metod dalam penyampaian dakwah oleh USIA yang merupakan badan bukan kerajaan yang bertanggungjawab dalam menyebarkan Islam di Sabah. Walaubagaimanapun, hala tuju yang menjadi keutamaan dalam melaksanakan dakwah ialah melalui ekonomi dan pendidikan. Tetapi ia bukanlah pelengkap tunggal dalam mencapai kejayaan dakwah di Sabah, tapi hala tuju kebajikan tidak boleh diabaikan kerana masih ramai rakyat Sabah yakni Orang Asli masih dibawa garis kemiskinan.

Usaha yang berterusan sangat diperlukan agar dakwah yang disampaikan itu dapat mendatangkan kesan yang mendalam terhadap diri masyarakat. Walau bagaimanapun, segala usaha USIA kini menampakkan keberkesanannya melalui penerimaan masyarakat yang menerima islah dan dakwah yang dijalankan secara positif. USIA turut mengalami beberapa masalah dalam pergerakan islah dan dakwahnya yang mungkin serba-sedikit mempengaruhi keberkesanan perlaksanaannya seperti masalah kewangan dan kekurangan tenaga penggerak. Namun, usaha-usaha tersebut tetap diteruskan oleh pihak USIA dengan penuh keikhlasan kerana Allah S.W.T.

RUJUKAN

Hj Awang Sahari Abd Latif: 2001. Kecemerlangan Ummah abad ke-21. Buletin USIA. Ogos: 1-3 Najion Jamil. 2010. Pembentukan Malaysia dan Impaknya terhadap Perkembangan Islam di Sabah. April:14-50. Jamdin Buyong: 1980. Perjuamgan Peribumi menentang penjajahan di Sabah: Protes terhadap nilai barat. Kertas kerja Seminar Sejarah dan masyarakat Sabah, anjuran Yayasan Sabah dan Persatuan Sejarah Malaysia, Kota Kinabalu. Muhidin Yusin@ Mohd Anas: 1990. Perkembangan Islam di Sabah. Kota Kinabalu: Nurin Enterprise. Johari Alias: 1983. Sejarah kedatangan Islam dan penyebaran Islam di Sabah. Kertas Kerja Seminar Pembangunan Islam Sabah, anjuran Persatuan Mahasiswa/i Sabah (PERMIS) Universiti Kebangsaan Malaysia. Kota Kinabalu, 11-12 Jun.

Buletin USIA edisi 03/2009 Sempena sambutan ulang tahun ke-40 USIA