Pendidikan Sejarah di Malaysia Dewasa Ini: Sejauh Manakah Ia Relevan Kepada Pembinaan Nasion?1 Oleh Ahmat Adam Tema yang bertajuk "pelestarian pemikiran dalam pendidikan sejarah" yang dibawa dalam seminar ini menarik, tetapi ia juga seolah-olah satu anomali kerana tujuan untuk melestarikan pengajaran sejarah telahpun dihebahkan oleh YB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak 23 Oktober 2010 lagi. Rakyat Malaysia pun sudah maklum bahawa mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menjelang akhir tahun 2013 ini. Betapapun demikian, saya kira perbincangan yang dihasilkan oleh seminar ini tentulah akan menjadi menarik lantaran usaha Kementerian Pendidikan Malaysia itu sesungguhnya dianggap bermakna kerana ilmu sejarah memang sangat penting bagi menolong proses pembinaan negara bangsa. Malahan pada tahun lepas di United Kingdom pun parlimen British turut membincangkannya secara serious dan banyak orang menyokong agar mata pelajaran sejarah wajib diajarkan di semua sekolah di Britain. Barangkali tidak banyak orang yang mengetahui bahawa sejarah sebagai satu mata pelajaran hanya diperkenalkan kepada masyarakat umum di Tanah Melayu buat pertama kalinya pada tahun 1918 apabila ia dimasukkan sebagai satu subjek dalam program latihan guru oleh R. O. Winstedt setelah dia dilantik ke jawatan Penolong Pengarah Pendidikan di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1916. Buku teks yang digunakan antara lainnya, ialah Sulalatu's-Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Abdullah. Pada tahun 1918 juga Winstedt, bersama-sama dengan Daing Abdul Hamid bin Tengku Muhammad Salleh, telah menghasilkan buku sejarah yang pertama-tama dalam bahasa Melayu yang diberi judul Kitab Tawarikh Melayu. Buku ini pun kemudiannya menjadi buku teks untuk maktab latihan guru. Menurut Za'aba, inilah karya sejarah orang Melayu yang pertama menggunakan istilah dan konsep sejarah yang sebenar, yakni berbeda daripada legenda. Apabila pada tahun 1922 Maktab Latihan Guru di Melaka dan Matang digabung menjadi Sultan Idris Training College mata pelajaran sejarah tetap menjadi salah satu daripada subjek yang diutamakan. Pada tahun 1925, salah seorang siswazah maktab ini, iaitu Cikgu Abdul Hadi bin Haji Hasan, yang berasal dari Melaka, telah menghasilkan buku yang berjudul Sejarah Alam Melayu yang segera menjadi buku teks yang utama untuk pendidikan sejarah dewasa itu. Buku ini paling terkenal pada zaman sebelum Perang Dunia kedua kerana waktu jilid pertamanya mula-mula terbit dalam tahun 1925 di Singapura, sambutan daripada kalangan mereka yang berpendidikan Melayu, terutamanya guru-guru dan para guru-pelatih sekolah Melayu, sangatlah memberangsangkan. Bahkan guru-guru yang terlatih di Maktab Latihan Guru Sultan Idris pada zaman sebelum Perang dan tahun-tahun selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua menganggap Cikgu Abdul Hadilah sejarawan yang telah berjasa dari segi menguakkan 1
Ucaputama yang disampaikan pada Seminar Kebangsaan Pendidikan dan Geografi anjuran Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, pada 29 Ogos 2013.
1
perasaan kebangsaan Melayu melalui karyanya yang sempat diterbitkan dalam tiga jilid. Barangkali kesan yang dibawakan oleh karya Cikgu Abdul Hadi inilah yang telah memberi dorongan pula kepada Cikgu Buyong Adil untuk menulis jilid keempat dan kelima Sejarah Alam Melayu itu. Sejarah sebagai penggembleng identiti Semangat kebangsaan yang disemaikan oleh buku-buku zaman sebelum Malaya merdeka jelas memperlihatkan bahawa kesedaran kebangsaan inteligensia Melayu lahir justeru kerana mata pelajaran sejarah telah membuatkan mereka mengenali dirinya. Sesungguhnya setiap bangsa atau pun individu mempunyai ingatan pengalaman masing-masing. Melalui ingatan sejarahnyalah bangsa atau individu itu dapat mengenali dirinya dan persekitaran dunia yang didiaminya. Hanya setelah tahu akan sejarah persekitaran dunia sekelilingnya baru bangsa atau individu itu dapat menyesuaikan dirinya dan bertindak dengan bijak agar menjadi selesa dengan keadaan persekitarannya itu. Sebagai contoh, dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia kaum-kaum bukan Bumiputera akan lebih mudah memahami dan seterusnya menyesuaikan dirinya dengan persekitaran budaya tempatan setelah memahami sejarah negeri ini. Justeru kerana sejarah itu adalah memori atau gumpalan pengalaman kepada sesebuah nasion maka pengalaman atau memori itu adalah merupakan sejarah yang dikongsi bersama oleh warga nasion itu. Dengan kata lain, tidak dapat dimungkiri bahawa sejarah adalah peringatan pada pengalaman berkelompok sesebuah nasion. Justeru kerana itulah kehadiran kaum-kaum dan suku-suku bangsa yang pelbagai di Malaysia kini pun memiliki sejarahnya yang tersendiri. Namun begitu tidak mungin kelompok-kelompok etnik yang berbagai ini dapat hidup secara aman dan selesa jika masing-masing tidak mengetahui sejarah dan persekitaran bumi yang dinamakan Malaysia ini. Hanya melalui memori sejarahnya sahajalah warga Malaysia akan memperoleh pengetahuan mengenai siapa dia, dan bagaimana dia muncul. Erti mengenali diri inilah yang terangkum dalam konsep identiti atau jati diri sesebuah bangsa atau nasion itu. Persoalan identiti adalah isu besar dalam psikologi pembinaan nasion. Justeru kerana itu sejarah itu penting kerana tanpa sejarah yang sahih sesebuah nasion tidak mungkin dapat membangun. Setiap warga nasion Malaysia tentulah dijangka dapat memahami hakikat bahawa lantaran proses sejarah negara inilah maka lahirnya bangsa, negara dan agama yang bersifat majmuk. Seyogia juga difahami, justeru kerana pengalaman sejarah jugalah, maka sesuatu bangsa itu ingin berbuat sesuatu. Sebagai contoh, negara kita pernah mengalami peristiwa permusuhan antara kaum, khasnya antara orang Melayu dan Cina -- bukan sahaja pada periode selepas tamatnya Perang Dunia Kedua setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, tetapi juga agak lebih serious lagi ketika berlakunya rusuhan kaum yang dikenali sebagai peristiwa 13 Mei 1969. Demi untuk mengelakkan berulangnya permusuhan antara kaum inilah maka persefahaman budaya inter-etnik itu amat perlu dipupuk dan dilestarikan -dan apakah wadah yang lebih baik dan ampuh jika bukan melalui pembelajaran sejarah tanah air -- yang sesunguhnya boleh menanamkan semangat saling memahami dan menghormati perbedaan tradisi dalam warisan kebudayaan yang beraneka.
2
Dengan mengakui hakikat bahawa nasion kita adalah bersifat majmuk, yang memiliki banyak ciri-ciri kepelbagaian (diversity), maka tidaklah janggal jika pihak-pihak yang prihatin terhadap kesentosaan hidup bernegara dan bermasyarakat di Malaysia mengharapkan bahawa melalui pendidikan sejarahlah dapat dipupuk dan dilestarikan keutuhan dan keafiatan nasion Malaysia. Semua pihak yang prihatin tentu menyedari bahawa rakyat sesebuah negara majmuk yang tidak mengetahui sejarahnya akan melahirkan rasa cemburu, tidak percaya, dan berprasangka yang akhir-akhirnya mempertajam rasa insecurity yang boleh membawa kepada konflik antara kaum. Ini dapat kita saksikan jika kita sering mengikuti luahan rasa tidak puas hati di dalam media internet yang menjurus kadang-kalanya kepada kecaman yang menista dan mencerca satu-satu kaum kendati semuanya mengakui bahawa Malaysia adalah negara kesayangan masing-masing. Berdasarkan luahan sakit hati yang berbaur perasaan hasad dan polemik-polemik yang bersifat rasial yang ditampilkan baik dewasa ini di dalam media surat khabar, mahupun di dalam apa yang disebut "media baru", rakyat yang membaca boleh dengan mudah menanggapi betapa rapuhnya dan kurang padunya fabrik masyarakat berbilang bangsa yang dijalin sejak kemerdekaan. Melalui gejala-gejala yang kita saksikan ini dapat kita rumuskan bahawa apa yang sedang berlaku dalam negara kita sekarang ialah rakyat pelbagai kaum di Malaysia sedang menghadapi krisis identiti. Punca daripada keresahan mencari identiti ini adalah justeru kerana orang kurang memikirkan betapa sejarah masa silam yang merupakan ingatan masa lampau itu adalah penting bagi memahami keadaan masa kini. Percekcokan perkauman yang semakin membimbangkan ini membuatkan setiap warga Malaysia yang prihatin menyedari bahawa upaya memugar, memupuk dan melestarikan suatu sense of identity nasional atau deria jati diri kebangsaan tidak boleh dianggap ringan dan perlu disegerakan. Dan ini tentunya membawa makna bahawa upaya mendidik rakyat agar memahami sejarah tanah air diberikan perhatian utama. Sebagai seorang yang mahu mendakwa dirinya peka sejarah dan mempunyai pengalaman berkecimpung selama lebih empat puluh tahun dalam hal-ehwal mengkaji, mengajar dan menulis sejarah, saya tentulah menyambut baik hasrat kerajaan hendak menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013 ini. Subjek sejarah juga dinyatakan akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah iaitu di peringkat darjah 4, 5 dan 6, mulai tahun 2014. Seperti yang kita semua ketahui, Malaysia adalah sebuah nasion yang masih muda. Sebagai sebuah negara yang sarat dengan sifat-sifat kemajmukannya, baik dari segi etnisiti, kebudayaan, agama, bahasa, mahupun pengalaman sejarahnya, usaha menelusuri sejarah silam Malaysia melalui pembelajaran, pengajaran, dan penyelidikan tentulah sangat bermanfaat, dan penting bagi memupuk dan mengukuhkan roh kebangsaan nasion ini demi menolong proses pembinaannya. Betapa pun demikian, di sebalik sambutan positif dari kalangan para pendidik dan pengamat sejarah pembinaan nasion Malaysia moden, perasaan curiga, kurang yakin dan sinis juga diluahkan oleh sebahagian masyarakat yang literate dan peka sejarah. Walaupun pengumuman ini pastinya tidak akan ditentang oleh kaum sejarawan, tetapi keraguan terhadap motif kerajaan sudah pun mengundang reaksi daripada masyarakat Malaysia yang prihatin dalam soal-soal nation-building, terutama sekali daripada kalangan 3
inteligensia Cina yang melihat usaha kerajaan ini sebagai salah satu daripada percubaan untuk mengindoktrinasi konsep pembinaan nasion secara unilateral yang dipersepsikan sebagai meminggirkan kaum bukan Melayu daripada konsep inclusiveness dalam pembinaan nasion. Berdasarkan suara-suara yang diluahkan di dalam media (kususnya media internet) kaum inteligensia yang sedar politik nampaknya sangat prihatin dan menaruh keraguan dan kekhuatiran terhadap isu-su yang berhubung dengan kualiti kandungan dan pendekatan pengajaran ilmu sejarah di sekolah-sekolah masa kini -- terutamanya dari segi menjadikan sejarah sebagai alat untuk menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi baru Malaysia. Soal yang ditimbulkan ialah: Apakah sejarah harus menjadi alat propaganda? Keadaan pengajaran sejarah yang kalut Saudara dan Saudari hadiri sekalian, Walaupun niat kerajaan mungkin benar-benar ingin menjadikan pendidikan sejarah sebagai alat pembinaan nasion, tetapi dengan menekankan bahawa misi pengajarannya adalah untuk melahirkan generasi yang patriotik, kaum sejarawan yang jujur pun rata-rata menganggap pemaksaan yang bersifat ideological adalah bertentangan dengan filsafat ilmu sejarah dan ilmu pendidikan itu sendiri. Keraguan ini kuat dipengaruhi oleh hakikat bahawa pengajaran sejarah di sekolah dewasa ini adalah dalam keadaan serba bercelaru dan penuh dengan kekalutan -- sekurang-kurangnya dari segi kerangka konseptualnya. Keadaan ini pada hemat saya adalah justeru kerana betapa kurang dalamnya konsep sejarah itu difahami oleh mereka yang merangka kurikulum dan silabus ilmu itu. Penyediaan buku-buku teks untuk mata pelajaran ini pun dikongkong oleh terma-terma yang bersifat ideological dan cara berfikir yang masih kolot yang jelas terbelenggu oleh kedaifan dalam memahami erti sejarah dan filsafat yang tersirat di dalamnya. Walaupun ramai yang mengkritik kandungan dan orientasi buku-buku teks yang digunakan di sekolah-sekolah menengah masa kini akan menyalahkan para pengarang buku teks tersebut, tetapi hakikat sebenarnya ialah adalah tidak adil menyalahkan para pengarangnya secara bulat-buat sahaja kerana mereka hanyalah mengikut arahan "dasar" yang telah ditetapkan oleh Biro Buku Teks yang mewakili bahagian kurikulum Kementerian Pendidikan. Mengapakah misi menggembleng patriotisme bertentangan dengan filsafat sejarah? Sejarah menurut takrif asalnya bererti inquiry atau siasatan; makna selanjutnya ialah "ilmu pengetahuan yang diperoleh akibat hasil daripada inquiry itu". Sejak Herodotus (c. 484-425 SM) mula memperkenalkan istilah Yunani historia lebih dua ribu tahun dahulu, erti sejarah itu akhir-akhirnya mencakup ruang ilmu yang bermaksud riwayat kejadian-kejadian yang memberi kesan pengaruh kepada sebilangan besar manusia, baik ianya dalam bentuk tertulis mahupun yang terakam secara lisan. Tugas sejarawan adalah untuk memaklumkan riwayat kejadian-kejadian yang diselidikinya. Sejarawan seharusnya memberikan makulamt yang accurate mengenai apa yang telah berlaku. Matlamat sejarawan ialah accuracy pada sesuatu kejadian; dan untuk mencari kebenaran sesuatu kejadian itu sejarawan menggunakan kaedah yang khusus. Dalam usaha untuk memberikan penghuraian yang accurate sejarawan akan memanfaatkan naratif yang diberikan oleh orang lain, sama ada yang berbentuk lisan oleh 4
saksi mata yang menyaksikan peristiwa itu berlaku, ataupun dokumen kontemporari yang mungkin juga berdasarkan penceritaan secara lisan. Tetapi tidak semestinya semua naratif itu diberikan secara objektif atau tanpa bersikap bias atau memihak. Justeru itu adalah tugas utama sejarawan untuk tidak secara sedar memberikan gambaran atau pemerian sesuatu peristiwa itu dengan cara yang berat sebelah. Menurut pemikir ulung Islam, Ibn Khaldun (1332 - 1406), penakrifan inti sejarah adalah melibatkan spekulasi dan percubaan mencari kebenaran, menjelaskan secara halus dan tidak ketara sebab-musabab dan asal-usul benda-benda yang sedia ada, dan memelihara pengetahuan yang dalam mengenai bagaimana dan mengapa berlakunya sesuatu peristiwa. Oleh yang demikian, kata Ibn Khaldun, sejarah adalah berakar dengan kuatnya pada filsafat. Dalam konteks kenyataan Ibn Khaldun ini boleh kita andaikan jika berlaku sikap tidak jujur terhadap filsafat sejarah oleh sang penggubal kurikulum maka kemungkinan besar efeknya ialah sejarah yang diajar akan menjadi tidak accurate, tidak dapat mengelakkan distortion dan bahkan lebih menjurus kepada propaganda. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn Khaldun, sejarah semestinya berusaha untuk mencari kebenaran. Dan menurut sejarawan abad ke-14 ini lagi, penyerongan penafsiran sejarah boleh berlaku justeru kerana "penglibatan orang dalam disiplin keilmuan itu telah diambil alih oleh mereka yang tidak berwibawa dalam ilmu itu." Hal inilah yang dikhuatiri telah berlaku dalam penggubalan kurikulum mata pelajaran sejarah di sekolah-sekolah. Niat untuk menjadikan sejarah sebagai alat untuk mengindoktrinasikan semangat patriotik generasi Malaysia baru telah mengorbankan prinsip mengelakkan ia daripada menjadi alat propaganda. Istilah propaganda merujuk kepada ikhtiar untuk menyampaikan maklumat dalam bentuk yang serong (bias), yang bersifat mengelirukan, dan digunakan untuk mendukung suatu tujuan politik atau sudut pandangan. Pengajaran Sejarah: Apakah yang kurang? Pengajaran sejarah yang biasa adalah berasaskan tiga komponen: 1. Naratif yang bersifat kronologis 2. Kerangka konseptual, dan 3. Strategi berfikir. Komponen naratif kronologis ini sudah pun diberi keutamaan dalam kurikulum sejarah dewasa ini. Memang tidak dinafikan bahawa pengajaran sejarah bertujuan membolehkan murid memahami penyusunan kronologis sejarah. Tetapi naratif kronologis seperti yang terdapat sekarang ini tidak digabungkan dengan kerangka konseptual yang merupakan komponen utama kedua dalam pengajaran sejarah. Mungkin dalam fikiran mereka yang menggubal kurikulum dan mereka yang menentukan apa yang harus terkandung di dalam buku teks, kerangka konseptual tidak sepenting naratif kronologis. Mereka tidak nampak bahawa kerangka konseptual itu bertujuan untuk memberikan kefahaman menyeluruh dengan menunjukkan kepada murid beberapa tema yang boleh memperlihatkan faktor-faktor seperti kepelbagaian (diversity), perubahan, kegiatan ekonomi, teknologi dan filsafat. Tanggapan bahawa sejarah Malaysia boleh difahami dengan mudah tanpa melihatnya dalam konteks 5
perkembangan tamadun kepulauan Melayu, misalnya, menyebabkan periode yang membincangkan perkara politi2 orang Melayu yang akhirnya membawa kepada pewujudan tatanegara moden sekarang ini, hanya dipaparkan secara kronologis. Pada hal konsep-konsep seperti "kerajaan" (misalnya, bagaimana konsep "kerajaan" itu berkembang sejak dari zaman Seriwijaya hingga munculnya kesultanan Melaka, dan sampai kepada abad ke-19 ketika terbentuknya kerajaan-kerajaan Melayu di kawasan seberang Selat Melaka dan semenanjung Melayu), "hubungan raja dengan rakyat", "masyarakat berhirarki" dan "sistem feudal" Melayu; "kuasa raja" itu sendiri sangat pun perlu diperjelaskan, termasuk "sistem perhambaan", konsep "kerah" dan konsep "setia" dan "derhaka" dan mengenai sumber hasil dan perdagangan kerajaan. Demikian juga jika tanggapan penggubal kurikulum mengandaikan nasionalisme Melayu itu muncul secara mendadak hanya apabila gagasan Malayan Union diperkenalkan, tanpa mengambil kira persekitaran politik, ekonomi dan sosial di wilayah-wilayah yang hari ini terangkum dalam Persekutuan Malaysia, yang menjadi latar belakang pertumbuhan nasionalisme itu (di samping adanya pengaruh luar), maka ia akan menafikan murid peluang untuk berfikir secara kritis dengan membuat perbandingan dan mengaplikasikan teori sebab-musabab dalam sejarah. Justeru kerana itulah, barangkali, tiada dinyatakan secara eksplisit betapa pertumbuhan nasionalisme Melayu itu juga berlatar belakangkan gerakan kesedaran politik orang Cina yang lebih dahulu lahir apabila gerakan Kuomintang (1912-1949) dan Parti Komunis Malaya (1930-1989) muncul bersaing dengan sengit pada tahun-tahun 1930an untuk meraih sokongan orang Cina -- walaupun kiblat politiknya adalah ke tanah besar China dan perjuangannya jelas bertentangan dengan kepentingan dan aspirasi orang Melayu. Juga tidak dilihat ialah bahawa pertumbuhan nasionalisme Melayu itu sendiri berlaku dalam konteks pengaruh keradikalan nasionalisme Indonesia dan peranan idea-idea pemikiran Ibrahim gelar Datuk Tan Malaka yang dikutip oleh Ibrahim Haji Yaacob. Dari segi sejarah politik di Tanah Melayu juga, tahun-tahun 1920an dan 1930an juga adalah periode yang memperlihatkan upaya masyarakat Cina mempertahankan kebebasan mereka berpolitik kendati dihalang British, dan upaya mereka menegakkan sistem pendidikan vernakular mereka yang secara historis menandakan bermulanya permasalahan nation-building yang berlaku selepas kemerdekaan negara ini. Agak kurang juga diberikan perhatian ialah menjawab soalan mengapa kemunculan konsep koalisi politik pertama antara kaum iaitu AMCJA-PUTERA (All Malaya Council of Joint Action-Pusat Tenaga Rakyat) yang bersifat antikolonial dan melibatkan orang Melayu, Cina, India dan Serani, berakhir dengan kegagalan. Hal-hal sebeginilah yang menyebabkan sejarah pembinaan nasion Malaysia itu dipersepsikan oleh setengah-setengah pihak sebagai kurang bersifat inklusif. Barangkali, lantaran kurangnya perhatian diberikan pada komponen kerangka konseptual inilah yang menyebabkan pengajaran sejarah kurang menarik dan para murid di peringkat tingkatan empat dan lima -- bahkan di tingkatan enam pun -- sukar memahami sejarah tanah air; dan kesan daripada ini menyebabkan murid tidak dilatih untuk berfikir, menakkul dan menganalisis. Kemahiran berfikir dan menganalisis sebetulnya juga berkait rapat dengan strategi berfikir yang disebut sebagai komponen utama yang ketiga dalam pengajaran sejarah. 2
yakni tatanan masyarakat atau "kerajaan" sebagai entiti politik.
6
Strategi berfikir adalah amalan mengaplikasikan pengetahuan sejarah dan juga bertujuan melatih murid memanfaatkan sumber, dan mengenali proses sejarah, sesuai dengan tujuan menjana historical inquiry. Kebolehan pelajar memahami beberapa konsep yang disebutkan di atas termasuk konsep raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pilihanraya, hak rakyat dan hak asasi manusia, serta globalisasi, merupakan beberapa strategi berfikir yang diharapkan boleh melatih pelajar sejarah untuk berfikir secara objektif dengan melihat sesuatu gejala itu bukan dengan pandangan sempit tetapi melihatnya dalam konteks perkaitannya dengan dunia luar dan tamadun asing. Pengabaian komponen strategi berfikir ini akan menyebabkan salah satu daripada tujuan atau faedah belajar sejarah itu tidak tercapai. Sasaran pengajaran sejarah Para hadirin sekalian, Sejarah adalah sumber inspirasi untuk manusia melahirkan gagasan, fikiran atau idea untuk memperbaiki keadaan masa kini dan masa akan datang. Peranan sejarah adalah untuk menerokai wilayah zaman silam demi mencerahkan pemahamannya tentang masa kini dan masa hadapan. Oleh kerana ilmu sejarah itu merupakan memori kolektif bagi sesebuah nasion maka amatlah penting pengajarannya menuju kepada tujuan untuk memupuk kesejahteraan nasion yang sedang dibina. Demi mencapai sasaran ini naratif sejarah negara seharusnya mencakupi ruang masa yang lebih luas yang dapat menjelaskan asal-usul negara ini dan dapat menjelaskan mengapa keadaan semasa demikian bentuk dan rupanya. Berbicara tentang ruang masa, ia sebenarnya melibatkan soal periodisasi. Dengan mengabaikan jangka masa sejarah Malaysia yang lebih panjang daripada apa yang ditekankan dalam pengajaran di sekolah, mereka yang celik sejarah melihat betapa terpesongnya pandangan sejarah yang tidak munasabah yang menganggap "semuanya bermula dengan Melaka". Apakah ada motif tertentu untuk menyatakan bahawa sejarah politi Melayu itu hanya bermula dari zaman kesultanan Melaka yang Islam yang hanya berusia sekitar 111 tahun? Penafian ruang masa yang lebih panjang yang menunjukkan tamadun orang Melayu pernah pada suatu masa tidak bersendikan Islam, saya fikir, adalah suatu penyerongan sejarah. Juga, percubaan menyorokkan hakikat bahawa bangsa Melayu pernah menganut agama Buddha dan agama sinkretik Buddha-Hindu selama hampir seribu tahun sebelum masuknya Islam ke rantau kepulauan Melayu, dan bahawa sebahagian daripada psyche Melayu itu sebenarnya adalah warisan daripada nilai-nilai zaman pra-Islam (seperti yang terjelma dalam konsep budi, seni dan etos kaum-kaum rumpun Melayu), telah menyebabkan masyarakat Malaysia hari ini tidak dapat memahami mengapa nilai Melayu yang diwarnai oleh tiga aliran agama besar dunia (termasuk Islam) sangat berbeda dengan nilai orang Cina yang diwarnai oleh sistem kepercayaan yang berpaksikan Taoisme, pemujaan roh nenek-moyang, dan Konfusianisme. Percubaan membenamkan hakikat raja yang bergelar Parameswara ketika membuka Melaka adalah beragama Buddha berbaur Hinduisme sinkretik, dan kegagalan mengaitkan kemunculan kerajaan Melaka sebagai penerusan politi Melayu yang telah bermula dengan kerajaan Malayu-Jambi dan kerajaan Sriwijaya di Palembang adalah juga 7
suatu kejanggalan dalam pengajaran sejarah kerana pemutarbalikan atau distortion yang dilakukan melanggari filsafat sejarah yang cuba mencari kebenaran, sekalipun elusif sifatnya. Oleh yang demikian, sikap memberi fokus yang berlebihan kepada kesultanan Melaka demi menunjukkan "keagungan" kerajaan dan budaya Melayu-Islam sehinggakan zaman Melaka menjadi seolah-olah titik mulanya orang Melayu bertamadun adalah sebetulnya suatu distortion sejarah. Orang mungkin berfikir bahawa jika sejarah Sriwijaya itu diberikan ruang yang lebih luas maka ini akan memperkecilkan niat untuk memberi fokus kepada negara Malaysia. Tetapi konsep Malaysia itu bukanlah lahir secara tiba-tiba. Politi Melayu yang terpakai di Melaka itu seperti yang disebutkan tadi adalah sebetulnya satu mata rantai dalam sejarah peradaban Melayu yang bermula dengan politi kerajaan Malayu Jambi dan kemudiannya Sriwijaya di Palembang. Bukti perkaitan sejarah tamadun purbakala yang usianya menurut sumber arkeologi bermula pada sekitar abad ke-4 atau ke-5 Masehi tentulah tidak wajar diketepikan. Kita tahu bahawa sejarah Kedah pada abad ke-7 pun tidak dapat dipisahkan daripada sejarah kerajaan Sriwijya di Palembang; dan kaitan Tanah Melayu, dengan Majapahit yang pernah menebarkan wibawa pengaruhnya di negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Johor, dan bahkan juga wilayah yang disebut di dalam Nagarakrtagama seperti Paka, Dungun, Muar, Kelang, Jerai, Langkasuka, dan juga Temasik adalah suatu hakikat sejarah. Kajian inskripsi Trengganu (bertarikh 1303) yang saya lakukan sekarang ini pun menunjukkan betapa banyaknya istilah Jawa kuno yang dipakai di dalam teks batu bersurat itu, yang jelas menunjukkan wujudnya pengaruh Majapahit. Pada zaman yang terkemudian, yakni pada abad ke-17, negeri Kedah, Perak, Pahang, dan Johor pun pernah dijarahi dan dikuasai oleh kerajaan Aceh. Mungkin tidak ramai pula yang tahu bahawa gelar Datuk Maharaja Lela yang terpakai di Perak dan peristiwa golongan pembesar Aceh melantik anak raja Perak dan Pahang menjadi Sultan Aceh adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia. Saya sebutkan perkara-perkara ini justeru kerana inign menunjukkan bahawa kajian dan pengajaran sejarah Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada mengkaji keberkaitannya dengan kerajaan-kerajaan di seberang Selat Melaka, terutamanya pulau Sumatera. Hadirin yang dihromati, Jelaslah sekarang kepada kita, persoalan besar yang dihadapi oleh sejarawan di Malaysia kini ialah masalah periodisasi sejarah tanahair. Persoalan ini terkait pula dengan kurangnya penyelidikan sejarah zaman awal negara yang walaupun sebanyak sedikit telah diperbantu oleh data yang dikemukakan oleh ahli-ahli arkeologi, tetapi kurang mendapat dukungan kaum sejarawan untuk turut menyambung dan mencerahkan lagi sejarah awal negara melalui penyelidikan. Minat untuk menyoroti kandungan manuskrip Jawi lama di kalangan sejarawan di Malaysia juga secara relatif agak kurang. Masalah ini juga berangkai dengan masalah kurangnya dana untuk para sarjana menjalankan penyelidikan sejarah yang boleh, misalnya, memanfaatkan koleksi manuskrip di perpustakaan-perpustakaan luar negara. Masalah ini pun menjadi bertambah ruwet apabila (seperti yang telah disebutkan tadi), pengajaran sejarah dijadikan sebagai alat mendakyah demi menegakkan persepsi sejarah orang-orang yang membuat dasar dan mereka yang terlibat dalam penggubalan kurikulum yang saya kira terdiri daripada kaum birokrat yang pada hakikatnya bukan sejarawan yang bona fide. Apabila 8
penglibatan sepihak ini berlaku tanpa pakar dan sarjana sejarah negara dirundingi, maka berlakulah distortion atau tindakan memutarbalikkan fakta dan matlamat pendidikan sejarah. Masalah distortion tidak terlepas daripada persoalan ingin menjadikan pengajaran sejarah sebagai sesuatu yang mempunyai hala tuju yang khas, seperti untuk menggembleng semangat patriotisme atau mewarnakan citra kebudayaan bangsa Melayu itu sebagai hanya berasaskan Islam sahaja. Seharusnya yang diutamakan ialah upaya memberikan huraian sejarah secara koheren dengan melihatnya dalam konteks persekitarannya, seperti melihat tenaga-tenaga luar yang mempengaruhi dan membentuk sesuatu fenomena sejarah. Sikap ini perlu agar warga negara tidak berpandangan jumud dan sempit dalam penafsiran sejarah. Justeru kerana itulah apabila kita membicarakan isu nasionalisme perbincangan itu tidak boleh dipisahkan daripada melihat konteks zaman dan meletakkannya dalam perspektif sejarah yang lebih luas, yang tentunya memerlukan perhatian bukan sahaja terhadap orang Melayu dan kaum-kaum lain di negara ini tetapi juga yang berupa pengaruh dari peristiwa-peristiwa yang berlaku di luar tanah air. Oleh kerana itulah pengajaran tamadun-tamadun dunia harus dilihat dalam konteks kaitan dan kesannya kepada pertumbuhan tamadun di Asia Tenggara yang turut memberi impak kepada tamadun dan budaya masyarakat di Malaysia. Adalah juga suatu kejanggalan apabila buku teks tingkatan empat di sekolah menengah tidak memberikan tumpuan yang sama berat ketika membicarakan sejarah tamadun-tamadun dunia. Pemberatan sejarah Islam yang terlalu rinci, yang diletakkan di dalam empat daripada sepuluh bab buku teks, berbanding dengan perhatian yang sedikit terhadap sejarah tamadun Asia Tenggara, jelas menampakkan sikap serong atau berat sebelah dalam penggubalan kurikulum. Lebih malang lagi ialah dengan memasukkan sejarah tamadun-tamadun itu tanpa ditimbulkan korelasinya dengan tamadun dan budaya tempatan, lantaran ia diberikan secara terpisah-pisah, menyebabkan kefahaman sejarah mengenai masyarakat Malaysia pun menjadi keliru. Yang juga sangat mencolok mata ialah kandungan bahagian sejarah tamadun India ternyata sangat rinci iaitu melebihi keperluan murid di tingkatan empat; tetapi ini pun tidak diintegrasikan dengan bab-bab lain dan tidak juga dibahaskan kesan pengaruhnya ke atas budaya dan masyarakat Asia Tenggara. Walaupun sejarah tamadun Eropah diberikan ruang, tetapi pengajarannya tidak membolehkan murid menghayatinya lantaran pengintegrasiannya dengan tamadun dan budaya Asia Tenggara tidak dilakukan. Oleh kerana itu, tema-tema penting seperti renaissance, reformasi gereja Kristian, feudalisme Eropah, revolusi agraria dan industri, dan juga tema revolusi politik seperti revolusi Perancis, dan revolusi Rusia dan juga konsep kolonialisme serta beberapa yang lain tidak dapat diperjelaskan. Bahkan, saya diberitahu oleh guru-guru yang saya temui bahawa mereka tidak sempat pun menghuraikan sejarah tamadun Eropah dengan secukupnya, lantaran silibus untuk tingkatan empat terlalu luas. Selain sifat keterasingan babbab tamadun itu antara satu sama lain, maklumat yang diberikan juga kelihatan terlalu rinci sehingga bahan-bahan yang digarap itu boleh digunakan oleh mahasiswa di institusi pengajian tinggi -- dengan kata lain, tidak sepadan dengan tahap keperluan dan kemampuan bagi murid sekolah.
9
Barangkali sejarah tamadun purbakala itu lebih bermanfaat bagi murid-murid jika pendekatan berasaskan tema digunakan, yang melibatkan kaedah yang menggunakan conceptual framework. Barangkali juga pengajaran sejarah peradaban ini akan menjadi lebih efektif jika susunannya berkisar pada tema yang berasaskan konsep-konsep seperti pemerintahan, ilmu dan teknologi, masyarakat dan kebudayaan yang diduga berkemungkinan membawa kesan yang lebih baik dari segi kemampuan murid memahami asal-usul, perkembangan dan pencapaian tamadun-tamadun tersebut. Juga, di peringkat menengah pertengahan (tingkatan empat dan lima) pengajaran sejarah negara akan mudah dihayati atau menjadi lebih menarik bagi murid-murid Malaysia jika sifat inclusiveness semua kaum dalam proses pembinaan negara bangsa disisipkan. Tema sejarah pembangunan ekonomi misalnya adalah sangat penting dalam sejarah negara tetapi sayangnya tema ini pun sedikit sekali diberikan tumpuan, kecuali perkembangan ekonomi negara pada zaman British. Saranan-saranan ini, walau bagaimanapun, hanyalah berupa spekulasi semata-mata kerana pihak Kementerian Pendidikan difahamkan sedang atau mungkin sudah pun selesai menggubal kurikulum yang baru untuk pengajaran sejarah di sekolah. Perlukah tokoh "wira" setiap kaum dimasukkan kedalam silibus? Sekalipun ada rungutan dari setengah-setengah pemerhati bahawa upaya mengikutsertakan nama-nama tokoh dari kaum-kaum bukan Melayu tidak mencukupi, saya fikir penggubal kurikulum tidak perlu tunduk pada tuntutan dan desakan berdasarkan perkauman. Amatlah tidak munasabah jika inclusiveness diertikan sebagai memastikan adanya perwakilan berasaskan kaum diambil kira apabila berbicara mengenai sumbangan tokoh-tokoh dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Sebaliknya, nama seseorang tokoh itu hanya dimasukkan bukan kerana dia mewakili kaumnya tetapi oleh kerana sumbangannya kepada pembangunan dan kesejahteraan Malaysia. Oleh itu tidaklah boleh dikompromikan matlamat asal pengajian sejarah yang menekankan hanya naratif sejarah mengenai kejadian (dan tokoh) yang benarbenar telah memberi impak yang bermakna kepada kelompok yang lebih besar sahaja yang diambil kira. Justeru, jika kebenaran dan accuracy dijadikan sebagai panduan dalam pengajaran sejarah, tanpa ada niat untuk berpropaganda, sejarah untuk murid-murid di Malaysia pastinya akan menjadi menarik, exciting dan merangsang minda. Situasi pendidikan sejarah masa kini Sogokan bertubi-tubi yang diulangi banyak kali dalam naratif sejarah Malaysia ataupun sejarah Islam di beberapa tahap pembelajaran di sekolah, dan pengisiannya di dalam bukubuku teks yang sarat dengan faktanya tetapi tidak terintegrasi dari segi perkaitan idea antara satu sama lain, tentulah menjadikan pembelajaran sejarah membosankan. Sejarah bukanlah semata-mata penceritaan fakta sahaja, tetapi lebih daripada itu ia juga memerlukan pemahaman yang analitis tentang mengapa peristiwa tertentu berlaku. Namun sayangnya, suasana dan keadaan pendidikan masa kini terlalu menekankan peperiksaan dan hal ini juga meletakkan murid dan guru dalam keadaan terpaksa bergantung kepada buku teks. Di pihak guru-guru, mereka berasa seolah-olah harus berhempas pulas untuk menyudahkan silibus sehingga sistem yang sangat berorientasikan peperiksaan ini menghakis keyakinan guru untuk mendidik pelajar agar menghayati sejarah tanah air. Justeru kerana ketiadaan 10
keseimbangan, baik dari segi kandungan buku teks mahupun pengintegrasian maklumat, maka timbul suara-suara yang kini nampaknya semakin lantang menentang beberapa aspek pengajaran sejarah sehingga dipersepsikan oleh setengah-setengah golongan sebagai rasial sifatnya. Berdasarkan tinjauan saya di beberapa sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan, guru-guru dan murid-murid merasakan bahawa maklumat yang diberikan di dalam buku teks adalah crucial untuk lulus pepriksaan dan justeru itu sikap berpegang kepada buku teks adalah penting kerana jawapan yang terkeluar daripada buku teks, walaupun fakta dan argumennya boleh dianggap munasabah, tidak akan diterima oleh pemeriksa yang semata-mata berpandukan kepada apa yang terkandung di dalam buku teks. Oleh kerana itulah guru dan murid terpaksa bergantung kepada buku teks semata-mata dan kurang berminat untuk membaca lagi bagi mendapatkan pengetahuan sejarah Malaysia dari sumber lain yang mungkin memberikan tafsiran yang lebih meyakinkan walaupun berbeda. Keadaan ini juga memberi isyarat kepada murid-murid tentang betapa pentingnya menghafal fakta di dalam buku teks. Bagi murid-murid dan guru-guru bukan Islam pula, pemberatan keterlaluan kepada sejarah Islam yang disajikan secara rinci dalam bentuk yang kronologis, tanpa diimbangi dengan kerangka konseptual, juga menyukarkan mereka memahami dan menghayati sejarah tamadun Islam bila dibandingkan dengan tamadun-tamadun lain. Pemberatannya dari segi penyusunan fakta yang banyak juga menimbulkan persepsi bahawa terdapat ciri-ciri bias dalam pengajaran sejarah kerana mereka tidak nampak relevansinya dengan sejarah pembinaan nasion Malaysia. Apakah jalan keluar daripada kemelut ini? Jalan keluar kepada masalah pengajaran sejarah kebangsaan di sekolah-sekolah ialah penggubal dasar dan pembuat kurikulum harus kembali kepada premis asal ilmu sejarah iaitu menelusuri zaman silam yang telah lalu dengan tekad mencari kebenaran demi untuk memahami situasi masa kini Malaysia dan menghadapi cabaran masa depannya. Pengajaran sejarah yang berkesan dan menyeluruh dari segi menanamkan kefahaman mengenai proses pembinaan negara bangsa (nation state) akan dengan sendirinya menanamkan satu sense of belonging rakyat dari berbagai kaum dan keturunan, dan sekali gus menggembleng rasa cinta tanah air tanpa perlu disogokkkan dengan dakyah terang-terangan lantaran ingin menanamkan semangat patriotisme. Sense of belonging yang akhir-akhirnya juga akan membawa kepada kesetiaan, hanya akan lahir pada diri anak Malaysia apabila generasi yang diasuh dengan pengajaran sejarah yang betul dan transparent benar-benar memahami proses pembinaan nasion yang dilalui oleh negara. Pemahaman yang betul ini akan membolehkan anggota generasi itu megenali diri dan identiti mereka sebagai sebahagian daripada nasion Malaysia yang dibentuk itu dengan penuh keyakinan dan keinsafan. Untuk melestarikan pengajaran sejarah yang diterima dan disokong penuh oleh semua lapisan masyarakat, perancangan yang efektif oleh pemerintah dalam memperbaiki prasarana pendidikan sejarah di sekolah perlu segera diusahakan. Kekurangan guru-guru yang terlatih dalam disiplin sejarah hendaklah segera ditangani. Perpustakaan sekolah harus memberi tumpuan kepada usaha memperbesarkan koleksi buku-bukunya, termasuk buku-buku dan 11
jurnal-jurnal sejarah, bukan sahaja yang diterbitkan dalam bahasa Melayu tetapi juga dalam bahasa Inggeris. Tindakan ini perlu kerana tidak boleh dinafikan bahawa penyelidik dan penulis sejarah yang menggunakan bahasa Inggeris ternyata telah menghasilkan lebih banyak karya mengenai sejarah Malaysia dan Asia Tenggara. Field-trips atau lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah, selain muzium dan tapak warisan budaya, amat perlu digalakkan. Tetapi ini hanya boleh berlaku jika pemerintah sanggup menambah peruntukan kewangan sekolah-sekolah dan bilangan murid-murid di dalam sesebuah kelas tidak terlalu ramai. Juga tidak kurang pentingnya ialah meringankan bebanan yang terlalu bergantung kepada buku teks lantaran isi kandungan kurikulum yang terlalu sarat. Pengajaran sejarah di maktab-maktab perguruan pun perlu direformasi agar kualiti latihan guru ditingkatkan lagi dengan memberi penekanan kepada penggunaaan sumber yang berbagai. Ini bermakna calon guru-guru sejarah hendaklah terdiri daripada mereka yang suka membaca dan memiliki daya inquiry sejarah yang kuat. Dan tidak kurang pentingnya ialah penyelidikan sejarah Malaysia perlu diberi dukungan kuat oleh universiti dan pemerintah. Antara bentuk dukungan itu ialah dengan menyediakan dana yang mencukupi untuk para sarjana menjalankan penyelidikan. Terkait dengan soal ini ialah kualiti pengajaran dan penyelidikan di universiti pun sudah barang tentu memerlukan peningakatan juga. WalLahu a'lam.
Rujukan 1. Bagby, Philip, 1958. Culture and History. Prolegomena to the Comparative Study of Civilizations, Longmans, Green & Co., London-New York-Toronto. 2. Bastin, John, 1964. "Introduction: Sir Richard Winstedt and his Writings", dalam John Bastin and R. Roolvink. Malayan and Indonesian Studies. Essays presented to Sir Richard Winstedt on his eighty-fifth birthday, Oxford: Oxford at the Clarendon Press. 3. Ibn Khaldun, The Muqaddimah. An Introduction to History, vol. 1, (translated from the Arabic by Franz Rozenthal in three volumes), Routledge and Kegan Paul, London, 1958. 4. Miksic, John, 2010. The Buddhist-Hindu Divide in Premodern Southeast Asia, NalandaSrwijaya Centre, ISEAS, Singapore (Working Paper No. 1). 5. Slametmulyana, 1979. Nagarakretagama dan tafsiran sejarahnya, Bhratara, Jakarta. 6. Zainal Abidin b. A. Wahid (ed.), 1964. History Teaching. Its Problems in Malaya, History Department, University of Malaya, Kuala Lumpur.
12