PENGGUNAAN STRATEGI BELAJAR BAHASA DALAM

kajian berkenaan keserasian strategi belajar bahasa melalui instrumen Strategy Inventory for. Language Learning (SILL) untuk diadaptasikan kepada pros...

31 downloads 1502 Views 513KB Size
Prosiding Seminar Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Arab 2014 • disunting oleh: Zamri Arifin, Maheram Ahmad, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Lazim Omar, Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad, Khazri Osman, Al Muslim Mustapa & Mohd Shahrizal Nasir • ©Fakulti Pengajian Islam, UKM & Fakulti Kontemporari Islam, UniSZA • ISBN 978-967-5478-78-9

PENGGUNAAN STRATEGI BELAJAR BAHASA DALAM PEMBELAJARAN BAHASA ARAB SEBAGAI BAHASA KEDUA: SATU SOROTAN Nur Khadijah Abu Bakar ,1 Zamri Arifin2 [email protected] 1,2

Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abstrak: Artikel ini memaparkan satu tinjauan literatur yang dilakukan ke atas satu bentuk soal selidik strategi mempelajari bahasa yang telah banyak dikaji dalam skop pedagogi dalam mempelajari bahasa Inggeris, tetapi masih sedikit terhadap bahasa Arab. Analisis ini memberi fokus kepada kajiankajian berkenaan keserasian strategi belajar bahasa melalui instrumen Strategy Inventory for Language Learning (SILL) untuk diadaptasikan kepada proses pembelajaran bahasa Arab kepada pelajar bahasa. Kesimpulan daripada dapatan kajian-kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan SILL dalam mempelajari bahasa khususnya bahasa Arab adalah positif dan suatu usaha yang berfaedah bagi mempertingkatkan mutu penguasaan bahasa pelajar agar mempunyai strategi tersendiri dan lebih berdikari terhadap bahasa sasaran tersebut. Kata kunci : strategi pembelajaran bahasa (SILL), pembelajaran bahasa kedua (L2). PENGENALAN Mutakhir ini, tradisi penyelidikan tentang perbezaan pelajar secara individu semakin disambut baik oleh para penyelidik pendidikan. Kesinambungan dari penyelidik pada masa lalu yang banyak menekankan penyelidikan tentang pembelajaran bahasa yang berusaha mengenal pasti ciri-ciri persamaan di kalangan pelajar bahasa. Tradisi penyelidikan ini telah mengkaji pelbagai faktor yang telah dihipotesiskan untuk menjelaskan kepelbagaian dalam cara pelajar belajar bahasa, terutama bahasa kedua (L2). Antara faktor yang pernah dijelaskan oleh Skehan (1989) ialah melalui bakat, motivasi, gaya kognitif dan strategi pembelajaran. Kini, lapangan penyelidikan pembelajaran bahasa menunjukkan pertumbuhan yang menonjol dalam aspek strategi pembelajaran bahasa. Kepentingannya dalam pedagogi bahasa sukar dinafikan, justeru objektif kertas ini bertujuan menghuraikan beberapa dapatan penyelidikan strategi pembelajaran bahasa terutamanya dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris untuk diadaptasikan penggunaan strateginya kepada proses pembelajaran bahasa Arab. Instrumen ini diberi nama Strategi Belajar Bahasa yang diadaptasi dari Strategy Inventory for Language Learning (SILL) (Oxford, 1990). TINJAUAN PENYELIDIKAN STRATEGI PEMBELAJARAN BAHASA Strategi mempelajari bahasa merupakan tindakan khusus yang diambil oleh pelajar untuk menjadikan pembelajaran mudah, cepat, lebih menyeronokkan, lebih ke arah kendiri, lebih cekap dan lebih berupaya berpindah ke suasana baru (Oxford, 1990). Gagasan yang menunjukkan bahawa strategi pembelajaran yang berkesan dapat menyumbang kepada kejayaan pembelajaran bahasa. Kajian literatur tentang strategi pembelajaran bahasa yang muncul daripada kesedaran untuk mengenal pasti 1

cirri-ciri pelajar bahasa yang berjaya telah diperkenalkan oleh Rubin dan Stern pada pertengahan 70an lagi. Kajian beliau dibentuk untuk meneroka bagaimana pelajar yang berjaya mempelajari bahasa dan untuk membezakan jenis strategi pembelajaran yang digunakan oleh pelajar dalam proses pembelajaran bahasa. Beberapa kajian berkaitan mempelajari bahasa khususnya bahasa Arab turut dikenal pasti. Kajian di kalangan ahli fakulti Barat oleh Hazem Rashed ( 2013) berdasarkan kepada kes untuk menyiasat evolusi (perubahan) daripada kepentingan dan kepercayaan tentang bahasa Arab sebagai bahasa asing di kalangan tiga ahli fakulti Barat di sebuah kolej Pendidikan di Emiriah Arab Bersatu, UAE. Selepas 4 bulan mempelajari bahasa Arab, data dianalisis menunjukkan bahawa 2 daripada responden menjadi lebih berminat untuk belajar bahasa Arab untuk kepentingan umum. Kepercayaan negatif mereka akan kesukaran bahasa Arab berubah kepada positif disebabkan oleh kaedah pengajaran berpusatkan pelajar merupakan faktor yang membantu dalam evolusi responden terhadap kepentingan dan kepercayaan tentang bahasa Arab. Ini menunjukkan pembelajaran apa jua bahasa boleh dimulakan sendiri oleh pelajar dengan berdikari dan atas inisiatif mereka sendiri untuk mencari cara dan strategi yang ada. Cara dapatan untuk mempelajari bahasa akan menimbulkan kesedaran dan minat dalam diri mereka untuk memulakan langkah awal khususnya dalam mempelajari bahasa Arab. Ainol Madziah Zubairi dan Isarji Hj. Sarudin (2009) turut menyatakan hal yang sama dalam kajian mereka yang berjudul “Motivation to Learn a Foreign Language in Malaysia” yang mengatakan bahawa salah satu bahasa asing iaitu bahasa Arab paling ramai dipelajari oleh pelajar Melayu. Salah satu sebab para pelajar mempelajari bahasa Arab adalah untuk memahami isi kandungan al-Qur’an. Hal ini jelas menunjukkan faktor agama memainkan peranan yang penting dalam memotivasikan sikap para pelajar untuk mempelajari bahasa Arab. Kajian-kajian yang mengukur tahap penguasaan pelajar dalam menguasai sesuatu bahasa juga telah banyak dilakukan. Bahasa Arab merupakan antara bahasa yang unik dan merupakan bahasa kedua bagi bukan penutur asli bahasa Arab. Namun begitu, bahasa Arab merupakan bahasa yang sukar dikuasai khususnya jika pelajar tidak menguasai empat strategi kemahiran iaitu kemahiran membaca, mendengar, menulis dan bercakap. Al-Janzuri dan Kamaruddin Abd. Ghani (2011), telah menetapkan tujuh perkara bagi mengukur darjah kesukaran mempelajari bahasa Arab iaitu kesukaran membaca, menulis, memahami apa yang didengar dan baca, sebutan, bercakap, nahu dan saraf. Ilmu saraf atau morfologi tersenarai dalam tujuh perkara yang sukar dipelajari dalam bahasa Arab. Kecekapan atau penguasaan bahasa diukur berdasarkan aspek fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik (Adegbile, J.A & Alabi O.F 2005). Aspek morfologi merupakan aspek penting dalam mengukur sejauh mana penguasaan pelajar dalam bahasa Arab khususnya. Dalam kajian Annegret M.Gross (2013) tentang pembelajaran melalui terjemahan berdasarkan artikelnya “Translation as a Means of Learning and Self-Learning in Studying Arabic as a Foreign Language”. Menurut penyelidik menggunakan terjemahan dalam pengajaran bahasa asing telah menjadi topik yang agak kontroversi pada kebelakangan ini. Pendekatan dwibahasa sekali lagi diberi perhatian semenjak dua dekad yang lalu. Kertas ini bertujuan untuk menunjukkan bagaimana mengintegrasikan terjemahan ke dalam pembelajaran bahasa kedua (L2) berdasarkan contoh bahawa bahasa Arab boleh membantu pelajar untuk lebih baik dalam mempelajari bahasa. Dengan menguasainya dan memahami dengan pemahaman yang lebih baik akan hak bahasa itu dari awal, khususnya apabila bertemu sintaksis, tatabahasa dan susunan frasa. Untuk pembelajaran bebas, teoriteori motivasi yang relevan dalam pengajaran dan pembelajaran diketengahkan dan strategi untuk mendapatkan faedah dari terjemahan dalam pembelajaran sendiri disyorkan. Selain itu, kecenderungan pelajar dalam pembelajaran bahasa Arab boleh dilihat melalui kajian oleh Wan Azura, Lubna & Ahmad Fazullah yang bertajuk “Pembelajaran Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM): Tinjauan Kecenderungan Pelajar”. Kajian ini menjurus kepada tinjauan kecenderungan pelajar USIM terhadap pembelajaran bahasa Arab yang merupakan salah satu subjek wajib universiti. Untuk mendapatkan maklumat, borang soal selidik diedarkan kepada 100 orang pelajar USIM yang pernah mengikuti kursus bahasa Arab di universiti ini. Menerusi soal selidik yang dijalankan, didapati faktor psikologi memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan pembelajaran bahasa seperti latar belakang pelajar, minat, persekitaran dan 2

teknologi pendidikan yang digunakan. Dalam kertas kerja ini, beberapa teknik pengajaran dan pendekatan yang berkesan terutamanya untuk meningkatkan kemahiran bahasa disarankan bagi memaksimumkan hasil pembelajaran bahasa ini. Disamping itu, pengetahuan terhadap faktor kecenderungan tersebut diharap dapat membantu para pensyarah meneroka teknik baru dalam pengajaran bagi memaksimumkan penguasaan bahasa pelajar. Dalam kajian yang dilakukan oleh Wan Idros Wan Sulaiman et al. (2010) iaitu “Learning Outside The Classroom: Effects on Student Concentration and Interest” ingin mengenal pasti tahap tumpuan, untuk mengukur tahap kepuasan pembelajaran dan untuk menganalisis kualiti tahap pembelajaran pelajar UKM terhadap isu-isu pembelajaran khususnya pembelajaran di luar kelas. Penemuan awal menunjukkan bahawa persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah penting bagi meningkatkan konsentrasi atau fokus pada pembelajaran. Dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, responden melihat kemahiran komunikasi guru dan pelbagai gaya mengajar adalah sesuatu yang penting. Manakala dalam meningkatkan kepuasan pembelajaran, responden lebih suka belajar dalam suasana pembelajaran yang santai dan mesra. Faktor-faktor ini semua boleh dicapai melalui pembelajaran di luar kelas. Maka dapat dirumuskan majoriti responden kelihatan gembira menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka. Ini menunjukkan bahawa pembelajaran di luar kelas merupakan komponen penting dalam meningkatkan kualiti tumpuan pelajar dan kepuasan terhadap pembelajaran. Dari sudut proses pembelajaran bahasa pula boleh dilihat pada kajian Norhayati Che Hat et al. (2013) “Persepsi Pelajar Terhadap Penggunaan Animasi dalam Pembelajaran Bahasa Arab” membincangkan penggunaan animasi sebagai bahan bantu mengajar (BBM) dalam pembelajaran bahasa Arab. Satu set soal selidik kuantitatif dibentuk bagi mendapatkan data dan di analisis secara deskriptif. Hasil kajian mendapati bahawa pelajar mempunyai persepsi yang tinggi dan memberi respon positif terhadap penggunaan animasi dalam pembelajaran bahasa Arab. Kesimpulannya, animasi sesuai dipraktikkan sebagai bahan bantu mengajar bahasa Arab dan mampu menarik minat pelajar untuk menguasainya. Kajian yang dilakukan oleh Roszainora Setia et al. (2012) juga ada mengkaji tentang strategi pembelajaran bahasa dengan menggunakan pendekatan lagu. Kajian ini dibuat adalah untuk menentukan keberkesanan kaedah penggunaan lagu dalam belajar bahasa Inggeris sama ada dapat memberi kesan yang efektif dan berguna kepada pelajar sekolah rendah atau sebaliknya. Pengkaji ini ingin mencari tahap kesesuaian lagu yang menghubungkan pelajar dengan pembinaan kecekapan bahasa mereka. Selain itu, pengkaji turut menimbulkan persoalan pada kajiannya sama ada kaedah belajar melalui lagu ini dapat mencipta perwatakan yang baik dan bermotivasi dalam belajar bahasa atau sebaliknya. Kaedah yang pengkaji gunakan adalah melalui temu ramah dan soal selidik. Hasil kajian ini mendapati kaedah belajar melalui lagu ini dapat memotivasikan pelajar dan memupuk minat mereka untuk mempelajari bahasa kedua dan dalam masa yang sama dapat menghubungkan proses pembelajaran mereka dengan suasana yang santai melalui kaedah penggunaan lagu tersebut. Dalam masa yang sama, hasil kajian ini dapat meyakinkan para guru bahawa pendekatan penggunaan lagu dalam belajar bahasa kedua adalah amat memberi kesan serta boleh membantu kecekapan pelajar dalam mempelajari bahasa. KESIMPULAN Daripada usaha-usaha awal yang dilakukan oleh penyelidik adalah mereka telah cuba untuk menekankan kepentingan bahasa dan penggunaan strategi pembelajaran bahasa berdasarkan responden yang terdiri daripada para pelajar yang telah berjaya. Para penyelidik percaya bahawa strategi pembelajaran bahasa memainkan peranan penting dalam pembelajaran bahasa kedua disebabkan kepada fakta bahawa strategi pembelajaran bahasa yang boleh membantu pelajar untuk memudahkan pemerolehan, penyimpanan, dapatan semula atau penggunaan maklumat dan meningkatkan keyakinan diri (Chang et.all, 2007).

3

RUJUKAN Adegbile, J.O & Alabi O.F. 2005. Proficiency And Communicative Competence in L2: Implication for Teachers and Learners. International Journal of African & African American Studies. 4: 3136. Ainol Madziah Zubairi & Isarji Hj. Sarudin. 2009. Motivation to learn a foreign language in Malaysia. GEMA Online Journal of Language Studies. 9(2) 73-87. Annegret M.Gross. 2013. Translation as a Means of Learning and Self-Learning in Studying Arabic as a Foreign Language. European Scientific Journal, vol.2, 487-502. Hazem Rashed. 2013. The Evolutions of Interest and Beliefs about Arabic as a Foreign Language: A Case Study on Three Western Learners. College of Education, Ain Shams University. 5061.Oxford, R. 1990. Language learning strategies: What every teacher should know. Rowleys: Newsbury House. Nor Hayati Che Hat, Shaferul Hafes Shaari & Mohd Fauzi Abdul Hamid. 2013. Persepsi Pelajar Terhadap Penggunaan Animasi dalam Pembelajaran Bahasa Arab. Jurnal Teknologi(Social Sciences), 63:1, 25-29. Roszainora Setia, RozlanAbdul Rahim, Gopala Krishnan Sekharan Nair, Aileen Farida binti Mohd Adam, Norhayati Husin, Elangkeeran Sabapathy, Razita Mohamad, Shahidatul Malina Mat So’od, Nurul Izatee Md Yusoff, Razifa Mohd Razlan, Nur Amalia Abd Jalil, Rozita Mohamed Kassim dan Norhafiza Abu Seman. 2012. English songs as means of aiding student’s proficiency development. Canadian Center of Science and Education. 8(7): 270-274. Skehan, P. 1989. Individual difference in second language learning. London : Edward Arnolds. Wan Azura Wan Ahmad, Lubna Abd Rahman & Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin. Pembelajaran Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM): Tinjauan Kecenderungan Pelajar. Prosiding, 1-14. Wan Idros Wan Sulaiman, Maizatul Haizan Mahbob & Arina Anis Azlan. 2010. Learning Outside The Classroom: Effects on Student Concentration and Interest. Procedia Social and Behavioral Sciences 18(2011), 12-17. al-Janzuri, Farihah Miftah & Kamaruddin Abd. Ghani. 2011. Bina’ Istibyan li Qiyas Su’ubat Ta’alum al-Lughah al-‘Arabiyyah li al-Tullab ghair al-Natiqin bi al-‘Arabiyyah. Journal of Islamic and Arabic Education 3:75-86.

4