PERKEMBANGAN WAKAF PENDIDIKAN DI SINGAPURA

Download Abstrak. Wakaf adalah instrumen penting bagi perkembangan dan “survival” pendidikan Islam di. Singapura. Sebagai sebuah negara sekular, sis...

0 downloads 415 Views 158KB Size
PERKEMBANGAN WAKAF PENDIDIKAN DI SINGAPURA Muna binti Sulaiman, Mokthar Hj. Ismail, Mohd. Isa Mohd. Deni & Hairullfazli bin Muhammad Som

Abstrak Wakaf adalah instrumen penting bagi perkembangan dan “survival” pendidikan Islam di Singapura. Sebagai sebuah negara sekular, sistem pendidikan kebangsaan yang diamalkan pastinya tidak memenuhi keperluan agama golongan Muslim. Sehubungan itu, usaha membangunkan institusi pendidikan Islam dilaksanakan melalui sumber persendirian seperti wakaf dan sumbangan dermawan Muslim. Kertas ini bertujuan untuk berkongsi maklumat perkembangan wakaf pendidikan di Singapura dan bagaimana institusi pendidikan Islam dibangunkan bersumberkan dana wakaf. Kertas ini menggunapakai metodologi kualitatif dan bersifat deskriptif melalui penelitian terhadap pelbagai laporan dan berita. Wakaf pendidikan berkembang pesat di Singapura. Kewujudan hartanah yang diwakafkan serta pengurusan dana wakaf yang cekap telah membantu usaha golongan Muslim untuk mendapatkan pendidikan Islam di Singapura.

1.0 PENDAHULUAN Kepentingan wakaf dalam menyediakan prasarana untuk kebajikan umum tidak dapat dinafikan. Merujuk kepada sejarah wakaf yang diamalkan oleh kerajaan Uthmaniah di Turki, wakaf telah membantu membangunkan pelbagai prasarana seperti masjid, sekolah, perpustakaan, hospital, kediaman pegawai dan kakitangan institusi, kemudahan sistem perairan dan pembetungan dan lain-lain. Banyak harta wakaf tersebut masih digunapakai sehingga ke hari ini (Saduman & Aysun, 2009). Sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman Rasulullah SAW sehinggalah kini, wakaf pendidikan sentiasa mendapat tempat dan perhatian daripada insan pemurah yang diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk beramal jariah. Wakaf Ayubi (1171-1249) dan Wakaf Mamalik atau Mamluk (1249-1517) di Palestin dan Mesir adalah antara contoh wakaf pendidikan yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat setempat (Monzer Kahf, 2011). Antara institusi pendidikan berteraskan wakaf yang terkenal pada masa ini dalam kalangan umat Islam seluruh dunia ialah seperti Madrasah Nizamiyah di Iraq, Madrasah al-Nuriyah Damsyik di Syria dan Universiti al-Azhar, Kaherah di Mesir. Wakaf pendidikan juga adalah instrumen yang sangat penting bagi memastikan perkembangan institusi pendidikan Islam di Singapura, sebuah negara sekular dengan sistem pendidikan kebangsaan yang tidak memenuhi keperluan golongan Muslim, sentiasa terjamin. Usaha untuk membangunkan institusi pendidikan Islam sangat bergantung kepada sumber persendirian seperti sumbangan daripada dermawan Muslim dan wakaf. Kewujudan banyak hartanah yang

41

diwakafkan serta diuruskan oleh pengurus dan pemegang amanah yang cekap membantu usaha membangunkan institusi pendidikan Islam di Singapura. 2.0 PENGERTIAN, DALIL, RUKUN DAN SYARAT WAKAF Wakaf berasal dari perkataan bahasa Arab waqf, yang terbit dari kata kerja waqafa. Dari segi bahasa, waqf memberi makna berhenti, menegah dan menahan. Manakala dari segi istilah, perkataan wakaf juga ditakrifkan oleh para fuqaha dengan berbagai takrifan yang boleh dirumuskan sebagai: “menahan harta yang bermanfaat, serta kekal fizikalnya, untuk diberikan pada jalan kebaikan”. Wakaf diertikan juga sebagai satu amalan menyerahkan harta yang dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai. Wakaf merupakan satu cabang ibadah kerana tujuan asas amalan wakaf adalah untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah SWT dengan cara membelanjakan harta ke jalanNya (al-Baqarah 2: 177). Umumnya, pengguna istilah ini di kalangan masyarakat awam lebih menekankan aspek wakaf sebagai satu harta amanah. Definisi wakaf sebagai satu harta amanah ialah “sesuatu harta yang diamanahkan oleh seseorang atau kumpulan sebagai manfaat umum, atau memindahkan hak milik peribadi menjadi milik sesuatu badan yang memberi manfaat kepada masyarakat umum (Farahdina & Nursiah, 2004). Perkataan “mewakafkan” menurut Kamus Besar Bahasa Melayu bermaksud memberikan harta atau tanah bagi keperluan agama seperti menyerahkan tanah untuk perkuburan, memberikan atau menyerahkan masjid, surau dan madrasah untuk digunakan oleh orang ramai (Zainal Abidin, 1995). Contoh amalan wakaf ialah seperti berikut: seseorang melepaskan hak miliknya keatas sekeping tanah seluas seekar kepada pihak berkuasa agama (majlis agama Islam negeri) untuk dibina masjid di atas tanah tersebut bagi kegunaan orang ramai beribadah dan menjalankan aktiviti keagamaan. Wakaf boleh dilaksanakan dengan harta yang berbentuk kekal seperti tanah, bangunan, rumah dan juga harta boleh ubah seperti wang tunai. Bagaimanapun, para fuqaha sentiasa melihat wakaf sebagai satu kontrak muamalat yang melibatkan dalil, hukum, rukun dan syarat bagi memastikannya sah disisi Islam. Mekanisma wakaf merupakan satu ibadah yang mempunyai asas agama yang mendalam. Para fuqaha berpandangan bahawa amalan wakaf mempunyai dua objektif asas iaitu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan pewakaf akan menerima ganjaran pahala yang berkekalan dan berterusan hingga ke hari akhirat. Allah SWT telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu kaedah bagi makhluk mendampingkan diri kepadaNya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang membelanjakan harta mereka ke jalanNya sebagaimana termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah umpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiaptiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (Kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui (al-Baqarah 2: 261).

42

Ibnu Hajar dalam Fathu al-Bari menjelaskan bahawa hadis Ibnu Umar adalah merupakan permulaan pensyariatan amalan wakaf. Hadis tersebut bermaksud: Dari Ibnu Umar mengatakan bahawa Saidina R.A telah mendapat tanah di Khaibar, katanya: “Wahai Rasulallah SAW, saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar yang mana tidak ada harta yang saya dapat lebih berharga daripada ini, maka apakah yang tuan perintahkan saya? Menjawab Rasulullah sekiranya engkau mahu bolehlah engkau wakafkan tanahnya dan engkau sedekahkan maka Umar bersedekah tanpa boleh dijual dan tanpa boleh dihibah juga tanpa boleh dipusakai kepada Fuqara’ dan kaum kerabat hamba abdi para tetamu dan para perantau. Tidaklah menjadi kesalahan kepada sesiapa yang menjaganya ia memakan hasilnya secara baik (tidak melampaui batas) serta memberi makan kepada orang lain dengan tidak menjadikannya harta milik. Wakaf di sisi Jumhur fuqaha hukumnya sunat yang digalakkan. Ianya termasuk amalan pemberian sedekah yang digalakkan berdasarkan firman Allah dalam surah Ali Imran 3:92 yang bermaksud, Kamu tidak sekali-kali dapat mencapai kebajikan dan kebaikan yang sempurna, sebelum kamu belanjakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan juga firman Allah dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk, lalu kamu nafkahkan darinya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji (Al-Baqarah 2:267). Secara umumnya, semua firman Allah SWT dan juga sabda Rasulullah SAW di atas telah memberikan mesej tentang besarnya pahala yang dijanjikan Allah SWT bagi yang menghulurkan harta benda ke jalan kebajikan dan kebaikan. Bagi memastikan perlaksanaan ibadah wakaf mendapat ganjaran yang sepatutnya, ianya perlu mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan syarak. Wakaf mempunyai 4 rukun asas (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, 2015) iaitu: a. Pewakaf (Wakif) b. Harta yang diwakafkan (Mauquf) c. Penerima wakaf (Mauquf Alaih) d. Lafaz wakaf (Sighah). Syarat-syarat pelaksanaan ‘aqad’ wakaf pula adalah berdasarkan perkara berikut: a. Pemberi wakaf melakukannya berdasarkan kehendaknya sendiri. b. Penerima wakaf disebut dengan jelas, baik ke atas organisasi atau individu tertentu. c. Wakaf diserahkan untuk selamanya, iaitu tidak terikat pada tempoh tertentu. d. Barang yang diwakafkan itu. Syarat-syarat sah wakaf (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, 2015) pula ialah: 43

a. Wakaf tidak dihadkan tempoh tertentu. b. Tujuan dan maksud wakaf hendaklah jelas. c. Wakaf dilaksanakan secara tunai tanpa syarat. Manakala, syarat harta yang diwakafkan (mauquf) adalah seperti disenaraikan (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, 2015), iaitu: a. Harta yang berbentuk kekal yang mempunyai nilai mengikut hukum syarak dan boleh diambil manfaatnya seperti tanah atau bangunan. b. Harta milik sempurna pewakaf. c. Harta yang dapat diserahkan dan bukan hartanya ditahan seperti harta orang muflis dan harta anak yatim.

3.0 WAKAF DI SINGAPURA Peranan wakaf dalam membangunkan institusi pendidikan Islam di Singapura adalah sangat penting. Wakaf adalah sumber kekuatan utama Muslim di Singapura untuk meneruskan usaha membangunkan Institusi pendidikan Islam di negara tersebut kerana terdapat banyak hartanah yang diwakafkan adalah berpotensi untuk dibangunkan (Shamsiah Abdul Karim, 2010). Amalan membantu masyarakat melalui institusi wakaf adalah sinonim dengan orang Arab dan India yang kaya dan dermawan yang datang berdagang dan kemudian menetap di Singapura. Mereka membina masjid dan membeli hartanah komersil untuk disewakan bagi mewujudkan aliran pendapatan yang digunakan untuk penyenggalaraan masjid yang telah dibina dan menjalankan aktiviti keagamaan. Amalan wakaf ini menjadi model pengurusan harta wakaf yang dibangunkan sekitar tahun 1850 dan boleh menjadi rujukan bagi pengurusan harta yang berorientasikan kebajikan pada hari ini (Karim, 2000). Kebanyakan hartanah wakaf di Singapura disumbangkan oleh Muslim Arab atau Hadrami yang merupakan imigran yang berasal daripada Hadramaut Yemen yang pernah menjadi golongan yang berpengaruh dan memiliki kekayaan yang banyak di Singapura. Orang-orang Arab yang pertama tiba di Singapura adalah dua orang peniaga kaya dari Palembang, Sumatera pada tahun 1819 iaitu Syed Mohammed bin Harun Al-Junied dan anak saudaranya, Syed Omar bin Ali AlJunied. Bilangan orang Arab secara beransur-ansur meningkat dan keluarga Al-Junied berkembang menjadi keluarga besar yang kaya dan berpengaruh di Singapura bersama-sama dengan keluarga Al-Kaff dan Al-Sagoff. Keluarga Al-Sagoff merupakan pemilik tanah dan peniaga yang berpengaruh serta memegang jawatan utama dalam pentadbiran awam di Singapura (Saadiah Said, 1977). Sejarah wakaf di Singapura bermula pada tahun 1826 di mana Masjid Omar Kampung Melaka merupakan wakaf pertama di Singapura yang diwakafkan oleh Syed Omar bin Ali Aljunied. Keluarga Al-Kaff pula membina kekayaan di Singapura dengan membina taman yang besar yang dinamakan Al-Kaff Garden pada tahun 1920an, bangunan arked dan lain-lain aset di Singapura. Kaum Hadrami di Singapura adalah tuan-tuan tanah yang kaya raya dan semua keluarga besar tersebut memiliki banyak harta yang akhirnya dijadikan harta wakaf (Talib, 1997). Kebanyakan

44

tanah-tanah wakaf ini berada di lokasi yang amat baik serta berpotensi untuk dibangunkan (Hashim & Omar, 2007). Pengurusan wakaf yang cekap adalah sangat penting bagi memastikan kelebihan Singapura yang telah memiliki banyak harta wakaf atau aset tetap sebagai wakaf tidak menjadi sia-sia. Pengurusan wakaf di Singapura adalah di bawah Unit Strategik Zakat dan Wakaf, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang telah ditubuhkan pada tahun 1968 dan tertakluk di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA) tahun 1968. MUIS memainkan peranan yang utama dalam mengurus dan membangunkan harta wakaf. Di bawah AMLA , semua harta wakaf samada diwujudkan sebelum atau selepas 1hb. Julai 1968 hendaklah didaftarkan di bawah MUIS (Seksyen 64 (1)). Dengan ini, pengurusan wakaf menjadi lebih sistematik, tersusun dan penambaikan pengurusan dapat dirancang diperingkat kebangsaan. Antara hasilnya ialah, pengkalan data yang lengkap di mana semua harta waqaf, pendapatan, perbelanjaan dan maklumat pembayaran boleh diperolehi oleh orang ramai (Saad, Kassim, & Hamid, 2013). Semua hal pentadbiran dan pengurusan yang berkaitan dengan jualan, pembangunan aset Wakaf diputuskan oleh pihak pengurusan MUIS. MUIS melantik Pemegang Amanah dan Pengurus Wakaf yang berperanan dalam menguruskan harta wakaf dan mereka perlu melaporkan dan mendapatkan kebenaran bagi urusan-urusan seperti penjualan dan pembelian aset. MUIS telah mendapat penganugerahan ISO 9001 bagi pengurusan wakaf. Kecekapan sistem pengurusan MUIS juga telah diiktiraf oleh kerajaan Singapura. Pengiktirafan ini menggambarkan tahap komitmen organisasi MUIS yang sangat baik dalam proses, kepimpinan serta khidmat sosial yang berorientasikan hasil pencapaian. MUIS telah melaksanakan inovasi dalam pengurusan wakaf secara profesional dan terbukti amat berjaya (Mohd. Zaini Othman, 2013). Bagi meningkatkan lagi potensi pengembangan harta wakaf, satu anak syarikat telah ditubuhkan yang dikenali sebagai WARESS Investment Pte. Ltd. yang berperanan menguruskan wakaf dalam aspek komersial di Singapura (Saad et al., 2013). Di bawah program wakaf tunai juga, pekerja Islam menyumbang melalui potongan gaji bulanan mereka kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang bertindak sebagai ejen pengumpulan bagi sumbangan itu. Dana ini telah membantu Singapura membangunkan 22 buah masjid dengan jumlah keseluruhan sebanyak $130 juta (Hashim & Omar, 2007). Pada masa ini, MUIS telah berjaya meningkatkan pendapatan tahunan Wakaf yang seterusnya memberi manfaat yang besar kepada masyarakat Islam di Singapura. MUIS menguruskan lebih daripada 100 wakaf dengan jumlah asset yang bernilai $683.8 juta. Masalah kekurangan tunai untuk menguruskan harta wakaf telah berjaya diatasi melalui usaha dan inovasi yang telah menggandakan pendapatan hartanah tersebut daripada pendapatan sewa tahunan sebanyak $5.3 juta pada tahun 2006 kepada $10.3 juta pada tahun 2013. Pada tahun 2007, pendapatan sebelum cukai dana Waqaf adalah $ 98.9 juta, meningkat kepada $157.9 juta pada tahun 2013. Dana wakaf terkumpul yang diterima pada tahun 2007 adalah $341 juta (Hanefah et al., 2009) telah meningkat kepada $519.8 juta pada tahun 2013 (MUIS Annual Report, 2013). Manfaat wakaf yang paling besar telah diterima oleh institusi masjid, seterusnya oleh aktiviti pendidikan dan madrasah (sekolah agama rendah dan menengah). Jadual 1 menerangkan jumlah

45

peruntukan wakaf dalam nilai peratusan yang diterima oleh pihak yang menerima wakaf (Mauquf Alayh).

Jadual 1 Pecahan Penerima Wakaf (Mauquf Alayh) Singapura pada tahun 2008 Penerima Wakaf (mauquf alayh)

Jumlah Peruntukan wakaf (%)

Masjid

45%

Pendidikan

26%

Madrasah (Sekolah Agama)

13%

Orang Miskin dan/ atau Memerlukan Bantuan

9%

Lain-lain

7%

Jumlah

100%

Sumber: Shamsiah Abdul Karim, 2010

4.0 ISU PENDIDIKAN ISLAM DI SINGAPURA Secara umumnya, pendidikan di Singapura tertumpu ke arah objektif perkembangan ekonomi (Lee, 2013). Walaupun Singapura adalah sebuah negara sekular (Rahim, 2012), kepentingan nilai-nilai murni yang mencorak moral, sikap dan budaya penduduk Singapura tidak dinafikan. Memandangkan sekatan dalam urusan keagamaan yang menjurus kearah pembaratan dan sekularisasi di Singapura boleh membawa kepada masalah sosial dan budaya seperti masalah kekeluargaan, gaya hidup hedonisme, serta tidak menghormati norma-norma sosial dan budaya, kerajaan Singapura dan rakyat Singapura mengambil pandangan bahawa pendidikan agama perlu ada demi kestabilan sosial (Mathew, 2013; Pereira, 2005). Oleh itu, pada tahun 1982, subjek ‘ilmu agama’ telah dimasukkan dalam kurikulum kebangsaan sebagai sebahagian daripada program pendidikan moral di sekolah-sekolah kerajaan. ‘Program pendidikan moral’ ini menawarkan kursus ‘ilmu agama’ untuk setiap satu daripada tujuh agama utama: Protestan, Katolik, Buddha, Hindu, Islam, Sikh dan, khususnya, Konfusianisme (Pereira, 2005; Steiner, 2011). Namun begitu, kursus ini dikeluarkan semula pada tahun 1990 daripada kurikulum pendidikan kebangsaan kerana ‘program pendidikan moral’ ini dikatakan telah mengancam keharmonian agama dengan menggalakkan kebangkitan agama dan polarisasi pelajar mengikut agama yang menghalang proses menyatukan rakyat Singapura untuk membentuk negara bangsa. Kursus ‘ilmu agama’ telah digantikan dengan kursus pendidikan moral tanpa berasaskan agama. Malahan, ilmu agama telah menjadi satu mata pelajaran pilihan yang hanya boleh diperoleh di luar waktu sekolah. Pendekatan yang menggunakan agama untuk mewujudkan satu identiti nasional telah ditinggalkan. Sebaliknya, tumpuan beralih ke arah mewujudkan perpaduan dikalangan pelbagai etnik dan agama (Bakar, 2000; Steiner, 2011). 46

Isu kebebasan beragama tetap menjadi suatu perkara yang diberi perhatian dengan penuh berhatihati oleh kerajaan Singapura. Ini sejajar dengan polisi kerajaan Singapura yang menyekat kebebasan penuh dalam hal-hal keagamaan (Mathew, 2013). Dengan kekangan-kekangan seperti ini, golongan Muslim minoriti Singapura yang merupakan 14.7% daripada jumlah penduduk Singapura, terdorong untuk menubuhkan sekolah agama swasta atau madrasah tanpa mengharapkan peruntukan daripada kerajaan. Ini adalah kerana pendidikan Islam masih menjadi keutamaan bagi penduduk minoriti Muslim di Singapura (Pereira, 2005; Steiner, 2011). Senario pendidikan kebangsaan Singapura terutamanya yang berkaitan dengan polisi kerajaan seperti diterangkan di atas telah meningkatkan lagi kewajaran menggunakan sumber wakaf dalam pembangunan pendidikan Islam. Tanpa wakaf pendidikan, usaha mendidik generasi muda menghayati ajaran Islam menjadi lebih mencabar disebabkan oleh suasana dan asakan kehidupan bersifat sekular dan materialistik.

5.0 WAKAF DAN PENDIDIKAN ISLAM DI SINGAPURA Peranan wakaf dalam pembangunan institusi pendidikan Islam di Singapura banyak dipengaruhi oleh latar belakang sosio-budaya rakyatnya yang beragama Islam. Sosio-budaya ini begitu berakar umbi dalam struktur masyarakat Islam di sana. Muslim dan Melayu adalah sinonim di Singapura. Memandangkan pendidikan agama dipinggirkan dalam sistem pendidikan kebangsaan, golongan Muslim minoriti yang ingin mendapatkan pendidikan agama perlu belajar di institusi-institusi pendidikan agama swasta yang mempunyai sistem pentadbiran dan kurikulum sendiri. Sumber kewangan utamanya adalah daripada sumber-sumber persendirian, seperti daripada dana wakaf dan sumbangan dari dermawan Muslim. Institusi pendidikan agama ini yang dipanggil madrasah tertumpu pada peringkat sekolah rendah, menengah dan peringkat persediaan ke universiti dan ianya dibina di atas tanah wakaf (Aljunied & Hussin, 2005). Pelajar yang belajar di madrasah mengikuti pembelajaran sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa. Pengajian separuh masa biasanya dijalankan di masjid-masjid manakala pengajian sepenuh masa dijalankan di bangunan sendiri. (Bakar, 2000; Steiner, 2011). Walaupun begitu, kementerian pendidikan Singapura masih berperanan menyelia sekolah-sekolah swasta di Singapura termasuk madrasah. Selepas tamat peringkat ini, pelajar-pelajar madrasah biasanya akan menyambung pelajarannya ke luar negara. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelangsungan pendidikan Islam di Singapura. Unit Strategik Madrasah, MUIS, mengendalikan beberapa program kewangan "Dana Madrasah" seperti pemberian mengikut jumlah individu (Capitation Grant), elaun tambahan guru agama dan geran sumber bagi penggunaan alat bantu audio visual, perpustakaan, pendidikan kenegaraan dan aktiviti kurikulum. MUIS juga mentadbir dan memudahkan urusan peperiksaan kebangsaan, iaitu, Primary School leaving Examination (PSLE) dan Sijil Thanawi Empat (STE) di madrasah.

47

Penglibatan MUIS dalam urusan pentadbiran madrasah telah membuka pintu untuk kawalan birokrasi bagi madrasah, khususnya dalam pembangunan dan pemurnian kurikulum dan kawalan kualiti guru (Steiner, 2011). Kini terdapat enam buah madrasah sepenuh masa di Singapura yang menawarkan pembelajaran di peringakat rendah dan menengah iaitu, Madrasah Al-Arabiah, Madrasah Al-Junied, Madrasah Al-Irsyad, Madrasah Al-Marif, Madrasah Al-Sagof, dan Madrasah Wak Tanjung al-Islamiah (Mokhtar, 2010; Tan, 2010) Kemajuan pendidikan Islam di Singapura jelas dipengaruhi oleh kejayaan dalam pengurusan dana wakaf pendidikan. Penglibatan MUIS pula telah meningkatkan kecekapan urus tadbir institusi pendidikan Islam sehingga membolehkan enam buah madrasah utama di negara ini terus wujud dan berdaya saing.

6.0 IPTI BERASASKAN WAKAF BERDAYA MAJU DI SINGAPURA Usaha memajukan pendidikan Islam di Singapura kini tidak hanya tertumpu kepada peringkat rendah dan menengah sahaja. Terdapat sebuah Institusi pengajian tinggi Islam (IPTI) yang berjaya ditubuhkan dan diiktiraf oleh Kerajaan Republik Singapura. IPTI tersebut ialah Muhammadiyah Islamic College Singapore (MICS) atau Kolej Islam Muhammadiyah Singapura. MICS ialah pengasas pendidikan tinggi Islam di negara itu. Ia ditubuhkan pada 15 April 2000 oleh Muhammadiyah Assocation (MA) Singapore – sebuah badan sukarelawan amal Islam di Singapura (ditubuhkan pada 1957) dengan kerjasama Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Imam Bonjol, Padang, Indonesia (Muhammadiyah Islamic College, 2014). Buat masa ini, MICS merupakan satu-satunya IPTI yang beroperasi di Singapura dan institusi ini berwawasan untuk menjadi penyampai perkhidmatan pendidikan tinggi Islam yang utama. MICS telah didaftarkan dan diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Singapura sebagai sebuah pusat pengajian tinggi swasta di republik tersebut dengan pelbagai program sarjana muda, diploma, serta sijil untuk calon pelajar lulusan sekolah menengah dan keatas seperti dalam Jadual 2 berikut: Jadual 2 Senarai Program yang ditawarkan oleh MICS Bil. 1.

Peringkat Pengajian

Nama Program

Program ijazah sarjana muda

Bachelor of Syariah (Comparative Mazahib) Bachelor of Dakwah Management

2.

Program diploma

Diploma in Arabic Language Diploma in Islamic Studies (Syariah)

3.

Program sijil

Pre-Diploma Certificate in Arabic Language Pre-Diploma Certificate in Islamic Studies

Sumber: Muhammadiyah Islamic College, 2014

48

Selaras dengan hasratnya untuk menjadi penyampai pendidikan tinggi Islam yang utama di Singapura, MICS telah merancang untuk menawarkan lebih banyak program pengajian pada masa depan. Jadual 3 memaparkan program pengajian yang akan dilancarkan oleh MICS dalam masa terdekat:

Jadual 3 Senarai Program Baharu yang akan dilancarkan oleh MICS Bil. 1.

Peringkat Pengajian Program ijazah sarjana

Nama Program Master in Arabic (kerjasama Universitas Islam Negeri atau UIN Malang, Indonesia) Master in Islamic Civilisation (kerjasama Universiti Teknologi Malaysia) Master in Comparative Religion Universiti Teknologi Malaysia)

2.

Program ijazah sarjana muda

3.

Program diploma

(kerjasama

Bachelor in Tafsir Hadith (kerjasama Universitas Islam Negeri atau UIN Malang, Indonesia)

Diploma in Islamic Counselling Diploma Program for Indonesian Domestic Workers Sumber: Muhammadiyah Islamic College, 2014 MICS ditubuhkan untuk memenuhi jurang pendidikan tinggi republik tersebut. Ia juga ditubuhkan untuk memenuhi keperluan umat Islam Singapura mendapatkan pendidikan tinggi. Selama ini, rakyat Singapura yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di IPTI perlu keluar negara samada ke Malaysia, Indonesia atau Timur Tengah. Dengan wujudnya MICS, pelajar mempunyai pilihan yang lebih banyak. MICS memandang proses pendidikan sebagai ibadah yang melahirkan ‘Insan Tauhidik’ (Tauhidic Person) yang sentiasa istiqamah mengingati Allah SWT dan patuh kepada suruhan dan laranganNya.

7.0 MODEL EKONOMI WAKAF AMALAN IPTI BERDAYA MAJU DI SINGAPURA Muhammadiyah Islamic College Singapore (MICS) atau Kolej Islam Muhammadiyah Singapura masih menggunapakai kaedah berwakaf tradisional iaitu mengumpul dana wakaf sumbangan dari orang ramai bagi membangunkan beberapa projek pendidikan tinggi. Pada masa ini, MICS memperkenalkan Wakf ad-Din yang merupakan agenda dakwah dan inisiatif insani demi kemaslahatan umat Islam Singapura. Cara untuk peserta wakaf menyampaikan sumbangan infaq ialah melalui: a. cek atas nama MUHAMMADIYAH dan diposkan ke alamat No. 14, Jalan Selamat, Singapura 418534. b. funds transfer: No. Acc. DBS Savings: 017-005202-0. MICS perlu dimaklumkan setelah pindahan dana selesai. c. bayaran tunai di pejabat Muhammadiyah di alamat No. 14, Jalan Selamat, Singapura 418534. 49

d. derma dari rumah: MICS ada menyediakan khidmat penerimaan derma dari rumah. Usaha yang diambil oleh MICS untuk mempermudahkan orang ramai menyertai ibadah wakaf adalah terpuji. Contohnya, MICS menyediakan perkhidmatan mengutip derma atau sumbangan wakaf dari rumah ke rumah. Apa yang perlu dilakukan oleh pewakaf ialah menghubungi pihak MICS untuk mengatur temujanji mengikut tarikh, masa dan tempat yang bersesuaian dengan jadual pewakaf sendiri. Pasukan wakaf MICS akan hadir ke lokasi mengikut tarikh dan masa yang telah dipersetujui bersama. Melalui kaedah ini, urusan wakaf menjadi sangat mudah kepada seluruh lapisan masyarakat. Sebagai sebuah negara maju, Singapura mempunyai kadar pendapatan per-kapita yang tinggi berbanding negara jirannya yang lain. Oleh itu, ruang untuk penduduk Islam Singapura menyumbang kepada dana Wakaf ad-Din yang dianjurkan oleh MICS amat terbuka luas. Kadar minimum yang ditetapkan iaitu $100 boleh dianggap sesuai dengan kemampuan umat Islam Singapura.

8.0 PENUTUP Peranan wakaf dalam pembangunan institusi pendidikan Islam di Singapura banyak dipengaruhi oleh latar belakang sosio-budaya rakyatnya yang beragama Islam yang merupakan golongan minoriti di sebuah negara sekular. Keperluan yang mendesak untuk mendapatkan pendidikan agama yang sempurna mendorong golongan Muslim minoriti ini untuk bergantung kepada wakaf pendidikan, tanpa mengharapkan kepada peruntukan kerajaan. Kewujudan individu-individu Muslim kaya dan dermawan di Singapura yang telah mewakafkan harta mereka sangat membantu perkembangan wakaf di Singapura. Di samping itu, pengurusan harta wakaf yang cekap dan amanah, melalui MUIS, telah dapat membantu merealisasikan hasrat pewakaf lantas menyumbang kepada kebajikan penduduk Muslim di Singapura. Kejayaan ini wajar dijadikan contoh bagi negara lain, bagi menonjolkan kepentingan kewujudan rakyat yang rajin bekerja dan mencari harta kekayaan sehingga mampu bersedekah dan berkongsi manfaat dengan masyarakat melalui wakaf. Ini dapat menghindarkan daripada kebergantungan rakyat kepada peruntukan kerajaan. Wakaf pendidikan di Singapura telah menyumbang kepada tertubuhnya madrasah bagi pendidikan rendah, menengah, dan peringkat persediaan ke universiti. Madrasah ini telah melalui berbagai bentuk penambahbaikan dari segi infrastruktur, pentadbiran, pembangunan kurikulum dan lain-lain. Dengan menggunapakai instrumen wakaf juga, sebuah institusi pengajian tinggi Islam (IPTI), berjaya ditubuhkan pada tahun 2000 yang diiktiraf oleh Kerajaan Republik Singapura iaitu ialah Muhammadiyah Islamic College Singapore (MICS) atau Kolej Islam Muhammadiyah Singapura. Operasi MICS juga banyak dibantu oleh dana wakaf yang dikumpul melalui Pertubuhan Muhammadiyah Singapura. Kejayaan perlaksanaan wakaf di Singapura dapat menggambarkan kepentingan peranan wakaf sebagai salah satu instrumen yang dapat memastikan aliran harta golongan kaya dan manfaatnya tidak tertumpu kepada suatu kelompok di dalam sesebuah ekonomi tetapi dapat mengalir dan 50

memberi manfaat besar kepada mereka yang lebih memerlukan. Manfaat wakaf bukan sahaja memastikan keadilan ekonomi di dunia, bahkan ganjaran yang besar yang dijanjikan di akhirat.

9.0 RUJUKAN al-Quran al-Karim Aljunied, S. M. K., & Hussin, D. I. (2005). Estranged from the ideal past: Historical Evolution of Madrassahs in Singapore. Journal of Muslim Minority Affairs, 25(2), 249–260. Bakar, M. A. (2000). Islamic Religious Schools in Singapore: Recent trends and Issues, The 4th ASEAN Inter-University Seminar on Social Development, 16-18 June 1999, CS Thani Hotel, Pattani, Thailand Farahdina Abdul Manaf & Nursiah Sulaiman. (2004). Peranan Harta Wakaf dalam bidang Pembangunan dan Pendidikan: Fokus dalam bidang perubatan, Koleksi kertas sisipan Seminar Kebangsaan Peranan Harta Sedekah dalam Memartabatkan Pembangunan dan Pendidikan Ummah, 13 & 14 Januari 2004: Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM, ms 136. Hanefah, M. M., Jalil, A., Ramli, A. M., Sabri, H., Nawai, N., & Shahwan, S. (2009). Financing the Development of Waqf Property: The Experience of Malaysia and Singapore. International Conference on Waqf Laws and Management: Reality and Prospects. Hashim, N., & Omar, S. (2007). Wakaf Jadi Aset Terbesar di bawah Portfolio MUIS. Berita Harian, p. 5. Karim, S. A. (2000). Contemporary Waqf Administration and Development in Singapore; Challenges and Prospect. Islamic Religious Council of Singapore, 0–15. Lee, S., Hung, D., Teh, L. (2013). Moving Singapore from Great to Excellent: How Educational Research Informs this Shift, KEDI Journal of Educational Policy, 2, 267–291. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. (2015). http://www.maiwp.gov.my/i/index.php/perkhidmatan-kami/wakaf

Wakaf.

Retrieved

from

Majlis Ugama Islam Singapura. (2013). Annual Report. Retrieved July 03, 2015, from http://www.muis.gov.sg/About/annual-report.html Mathew, M. (2013). Understanding Religious Freedom in Singapore. The Review of Faith & International Affairs, 11(2), 28–35. Mohd. Zaini Othman. (2013). Mengurus Universiti Melalui Pembiayaan Wakaf. Berita Kampus, Universiti Sains Islam Malaysia. Retrieved July 03, 2015, from http://news.usim.edu.my/ms/berita-kampus/item/354-mengurus-universiti-melalui-pembiayaanwakaf 51

Mokhtar, I. A. (2010). Madrasahs in Singapore: Bridging between Their Roles, Relevance and Resources. Journal of Muslim Minority Affairs, 30(1), 111–125. Monzer Kahf. (2011). Waqf and its Sociopolitical Aspects. In Monzer Kahf & Siti Mashitoh Mahamood. (Eds.). (2011). Essential readings in contemporary waqf issues (pp.399-416). Kuala Lumpur: CERT Publications Muhammadiyah Islamic College. (2014). Introduction. Singapore: MIC. Retrieved September 28, 2014, from http://mic.muhammadiyah.org.sg/index.php/about-us Pereira, A. a. (2005). Religiosity and Economic Development in Singapore. Journal of Contemporary Religion, 20(2), 161–177. Rahim, Z. (2012). Governing Muslims in Singapore’s secular authoritarian state. Australian Journal of International Affairs, 66(2), 169–185. Rahman, A. A. (2009). Peranan Wakaf Dalam Pembangunan, Shariah Journal, 17(1), 113–152. Saad, N. M., Kassim, S., & Hamid, Z. (2013). Involvement of Corporate Entities in Waqaf Management: Experiences of Malaysia and Singapore. Asian Economic and Financial Review, 3(6), 736–748. Saadiah Said. (1977). Kegiatan Keluarga Al-Sagoff dalam Ekonomi Negeri Johor 1878-1906. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies, School of History, Politics and Strategic Studies UKM, 07-08, 52–67. Saduman, S., & Aysun, E. E. (2009). The Socio-Economic Role Of Waqf System In The Muslim- Ottoman Cities ’ Formation And Evolution. Trakia Journal of Sciences, 7(2), 272–275. Steiner, K. (2011). Madrasah in Singapore: Tradition and modernity in religious education, Intellectual Discourse, 19(1) 41–70. Shamsiah Abdul Karim. (2010). Contemporary Waqf Instrument and Development in Singapore: Challenges and Prospects. In Monzer Kahf & Siti Mashitoh Mahamood. (Eds.). (2011). Essential Readings in Contemporary Waqf Issues (pp.109-128). Kuala Lumpur: CERT Publications. Shamsiah Abdul Karim. (March, 2010). Contemporary Shari'a Compliance Structuring for the Development and Management of Waqf Assets in Singapore. Kyoto Bulletin of Islamic Area Studies, 3-2, pp.143-164. Talib, A. A. (1997). Hadramis in Singapore. Journal of Muslim Minority Affairs, 17(1), 89–96. Tan, C. (2010). Contesting Reform: Bernstein’s Pedagogic Device and Madrasah Education in Singapore. Journal of Curriculum Studies, 42(2), 165–182. Zainal Abidin Safarwan. (1995). Kamus Besar Bahasa Melayu, Utusan Publication, hal. 2166. 52