PERANCANGAN BAHAN EJAAN DAN SEBUTAN

Setelah lima kali ... Pustaka dapat dirumuskan seperti rajah langkah pembentukan istilah yang berikut: Rajah Langkah Pembentukan Istilah LANGKAH 1 LAN...

116 downloads 492 Views 91KB Size
PERANCANGAN BAHAN EJAAN DAN SEBUTAN, PERISTILAHAN DAN PERKAMUSAN DALAM BAHASA MELAYU DI MALAYSIA

ROGAYAH BINTI OSMAN

PENDAHULUAN Definisi Perancangan Bahasa Sebelum membicarakan perancangan bahan dalam bahasa Melayu, lebih baik sekiranya kertas kerja ini didahului dengan pemerian definisi perancangan bahasa. Istilah perancangan bahasa daripada segi sejarahnya mula digunakan oleh E. Haugen (1959) dalam usahanya merancang bahasa Norway Moden. Haugen mengatakan perancangan bahasa itu ialah usahausaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu untuk penyuburan bahasa. Hal ini melibatkan usaha-usaha pembinaan, pengubahsuaian dan pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa. Di samping itu, menurut J.V.Neustupny (1970) pula, perancangan bahasa ini melibatkan dua aspek, iaitu : perancangan taraf dan perancangan korpus bahasa. Perancangan taraf melibatkan segala aktiviti yang dapat meningkatkan taraf sesuatu bahasa tersebut. Perancangan korpus pula melibatkan aktiviti menyusun ejaan baru, penentuan sebutan, pembentukan istilah, tatabahasa dan seterusnya. Nik Safiah Karim et-.al (1993), mengatakan secara kasar sesuatu bahasa yang dirancang akan melalui tiga peringkat utama. Pertama, peringkat membuat keputusan dasar tentang bahasa yang hendak dirancang. Peringkat kedua ialah pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun dan peringkat ketiga pula ialah penilaian.

Ketiga-tiga peringkat ini diterapkan pada masyarakat bahasa yang menjadi penerima segala kegiatan perancangan. Keseluruhan proses ini dapat digambarkan dalam bentuk rajah seperti yang berikut:

1

PENILAIAN

PERANCANGAN

MASYARAKAT BAHASA

PELAKSANAAN

Bagi bahasa Melayu peringkat pertama dicapai pada kira-kira tahun 1956, apabila diambil persetujuan

untuk

menjadikannya

bahasa

(dahulunya Persekutuan Tanah Melayu),

kebangsaan

negara

baharu

Malaysia

dan tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka

sebagai badan perancang bahasa. Kegiatan-kegiatan yang seterusnya, oleh orang ramai dan terutamanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, meliputi aspek-aspek pengekodan, pemupukan, dan penilai. 1

PERANCANGAN BAHAN Perancangan Ejaan dan Sebutan Sebelum kedatangan Islam, bahasa Melayu telah pun mempunyai tradisi tulisan, iaitu tulisan Kawi, Batak, Lampung, dan Rencong. Malah sistem tulisan ini agak maju dan menggunakan lambang suku kata dan lambang baris untuk menunjukkan perbezaan-perbezaan bunyi. Malangnya, sistem jawi ini agak merosot kemudiannya apabila masyarakat kita disogokkan dengan sistem ejaan rumi oleh penjajah Barat. Di samping itu kemudahan cetak dan penerbitan membuatkan ejaan Rumi menjadi lebih praktis daripada mana-mana sistem lain. Pada kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Usaha menulis bahasa Melayu dengan menggunakan huruf Rumi telah dijalankan oleh beberapa orang sarjana Eropah secara perseorangan. Mereka menjalankan kajian terhadap tatabahasa dan nahu bahasa Melayu. Sebenarnya usaha-usaha ini tidaklah dapat dikatakan sempurna dan ada beberapa kelemahannya. Sarjana Inggeris yang mula-mula sekali membincangkan soal ejaan bahasa

1

Nik Safiah Karim et. al., 1993. Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka hlm.21

2

Melayu ialah William Marsden (1912) dalam bukunya yang bertajuk A Grammar of The Malayan Language. Marsden mengatakan bahawa bunyi ch, d, ng, p, g dan ny adalah hurufhuruf yang ditambah oleh orang Melayu kepada sejumlah 28 huruf Arab yang telah sedia wujud waktu itu. Dalam kajiannya, The Evolution of the Malay Spelling, W.G. shellabear membuat kajian mengenai beberapa naskhah surat yang ditulis antara tahun 1600-1650 di Acheh, dan menghasilkan satu sistem ejaan Rumi. Usaha yang lebih teratur dilakukan oleh Jabatan Pelajaran di Negeri-Negeri Bersekutu (Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan) pada tahun 1902, dengan membentuk sebuah Jawatankuasa Ejaan yang dipengerusikan oleh R.J Wilkinson , nazir sekolah-sekolah pada masa itu. Tugas jawatankuasa itu ialah mengkaji dan membentuk sebuah sistem ejaan Rumi. Sistem ejaan yang dihasilkan dikenali juga sebagai Ejaan Wilkinson yang digunakan di dalam kamusnya. Pada zaman Jepun, dan selepasnya Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, dengan kebijaksanaan Za’ba memulakan sistem ejaan baru yang dipanggil Sistem Ejaan Sekolah. Sistem ejaan ini ialah gabungan Ejaan Wilkinson, dengan beberapa perubahan baru yang dibuat oleh Za’ba. Ini terkandung di dalam Petua-Petua Ejaan Rumi (1974). Sistem ejaan ini kemudiannya dijelaskan dan digunakan oleh Za’ba di dalam buku Pelita Bahasa Melayu. Penggal I, II, dan III. Sistem ini dikenali sebagai Sistem Ejaan Sekolah dan digunakan di Negara ini hinggalah ejaan baru diisytiharkan pada tahun 1972. Walau bagaimanapun, sistem ini didasarkan kepada pengamatan-pengamatan umum sahaja, oleh itu terdapat juga pengaruh huruf Arab ke huruf rumi. Ini menyebabkan Sistem Ejaan Sekolah itu tidak saintifik, dan mengandungi beberapa kelemahan. Kelemahan-kelemahan ini telah mengganggu penggunaan bahasa Melayu waktu itu. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 yang diadakan pada tahun 1956, isu ejaan telah dibincangkan lagi. Masalah ejaan Rumi diberi perhatian berat. Peserta kongres itu telah mencadangkan beberapa perubahan yang agak radikal.

Perakuan-perakuan kongres itu telah mendapat perhatian

kerajaan, dan sebuah Jawatankuasa Ejaan telah dibentuk pada tahun 1957. Setelah dua tahun menjalankan kajian, maka pada tahun 1959, setelah berlakunya perundingan, termaktublah perjanjian persahabatan antara Persekutuan Tanah Melayu dan negara Republik Indonesia. Satu perjumpaan antara Jawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu di bawah pimpinan Tuan Syed Nasir bin Ismail dengan Panitian Pelaksanaan Bahasa Indonesia di bawah pimpinan

Dr. Slametmuljana, yang diadakan di Jakarta pada tahun tersebut.

kerjasama ini menghasilkan Ejaan Malindo, tetapi pelaksanaannya terbantut kerana 3

tercetusnya konfrontasi. Setelah konfrontasi berakhir, pada bulan September 1966, delegasi kebudayaan dari Indonesia di bawah pimpinan Kolonel Wahju Sukatjo mengunjungi Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengesyorkan kepada kerajaan masing-masing supaya Ejaan Malindo (1959) itu dilaksanakan. Begitu juga dengan istilah, bahawa istilah-istilah bahasa Melayu dan bahasa Indonesia diselaraskan. Suatu kertas kerja disediakan untuk mengemukakan ejaan Malindo tersebut. Walau bagaimanapun , sistem ejaan itu perlu diperbaik sebelum dilaksanakan di kedua-dua negara. Ada beberapa faktor yang menyebabkan sistem ejaan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia perlu dibaiki. Oleh sebab kedua-dua bahasa yang serumpun itu perlu menjadi bahasa Kebangsaan dan perlu mengungkapkan ilmu pengetahuan, konsep ilmiah, dan segala budaya moden, maka satu sistem ejaan baru yang lebih efisien adalah diperlukan. Pemakaian lambang huruf dan tanda baca perlu diperkemas. Seterusnya beberapa siri rundingan diadakan, sehinggalah pada 23 Mei 1972, satu Kenyataan Bersama telah ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Malaysia (Y.B. Encik Hussien Onn), dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan

Republik Indonesia (Bapak Mashuri), untuk melaksanakan ejaan baru itu.

Sistem ejaan tersebut diisytiharkan secara rasmi serentak di kedua-dua Negara pada 16 Ogos 1972. Risalah Sistem Ejaan Rumi Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk kegunaan ramai. Sistem ejaan itu nasih mengandungi beberapa masalah kecil. Jadi Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia dibentuk, dan bertemu dengan Panitia Pengembangan Bahasa Indonesia maka terbentuklah masalah ejaan baru itu dibincangkan dalam persidangan-persidangan majlis tersebut. Majils yang dianggotai bersama oleh Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia yang dipengerusikan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Wakil Panitia Pengembangan Bahasa Indonesia telah mengadakan lima persidangan. Setelah lima kali bersidang, majlis tersebut telah berhasil mengeluarkan pedoman umum ejaan yang dianggap lebih lengkap bagi kegunaan kedua-dua negara. Versi yang sesuai dengan negara masingmasing telah diterbitkan. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan buku Pedoman Umum Bahasa Malaysia pada tahun 1975. Sistem ejaan baru ini mengubah sistem ejaan sebelumnya misalnya daripada ch kepada c, sh kepada sy, dz kepada d dan th kepada s. Lambang-lambang kh, ny, gh dan ng masih kekal dipakai.

4

Masalah sebutan disifatkan sebagai masalah yang sangat rumit. Oleh sebab itu, perancangan pembakuannya di Malaysia dilaksanakan selepas dimantapkan aspek-aspek bahasa yang lain. Antara kegiatannya diperturunkan seperti yang berikut: (i)

Mengadakan penyelidikan melalui beberapa bengkel dan seminar sejak awal Rancangan Malaysia keempat (1981)

(ii)

Kegiatan kajian tentang sistem fonologi bahasa Melayu dan dialek diadakan sejak awal 1980-an. Beberapa bengkel diadakan sehingga tahun 1987.

(iii)

Siri bengkel sebutan baku diadakan dalam tahun 1987 antara DBP dengan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kementerian Pendidikan Malaysia, dan pakar-pakar bahasa.

(iv)

Perumusan tentang pedoman sebutan baku dibuat oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal antara DBP dengan Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia dan PLM serta pakar-pakar bahasa pada tahun 1987. 2

Perancangan Istilah Usaha pembentukan istilah bahasa Melayu telah bermula semenjak tahun 1957 dengan penubuhan Jawatankuasa Istilah yang pertama. Dari tahun tersebut hingga 1975, usaha peristilahan melalui beberapa

cabaran baru yang memerlukan penyelesaian yang lebih

sesuai. Usaha mencipta istilah ini dapat dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu zaman sebelum 1975 dan zaman selepas 1975. Pedoman Umum Pembentukan Istilah (PUPI) dibentuk oleh Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), pada tahun 1975. Sebelum 1975, DBP menggunakan Pedoman Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia. Zaman 1975-1960 dapatlah dikatakan sebagai zaman awal dalam kerja-kerja peristilahan kerana belum ada suatu pedoman penciptaan istilah yang dapat dijadikan pegangan yang kukuh. Bagi memudahkan kerja, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menubuhkan dua jawatankuasa istilah. Pertama ialah Jawatankuasa Istilah Kerajaan dan Perjawatan, dan kedua ialah Jawatankuasa Istilah Sains Am. Panduan dan falsafah yang dipegang dalam pembentukan istilah tahap awal itu ialah menjaga kemurnian bahasa Melayu dan panduan ini sebenarnya mengongkong 2

Ismail Dahaman (penyunting), 1996. Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka hlm. 44-45

5

proses pembentukan istilah itu. Namun begitu, beberapa istilah telah dapat bertahan sampai sekarang seperti stesen, kimia, dan sains. Terdapat beberapa istilah waktu itu sudah dipinda oleh sebab tidak dapat mendukung konsep asalnya. Contohnya ilmu jiwa, kajirumpun bangsa, ilmu hisab dan kajibentuk bumi. Istilah yang dipakai sekarang ialah psikologi, ethnologi, matematik dan geomorfologi. Zaman kedua dalam pembentuk istilah berlaku sekitar tahun 1960 hingga 1975. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyusun tiga pedoman yang dapat disenaraikan seperti berikut: (a) Pedoman Membentuk Istilah-Istilah Baru DBP, yang mula digunakan sejak 1959. (b) Dasar, Cara dan Pedoman Membentuk Istilah Baharu Bahasa Melayu DBP, yang mula digunakan selepas 1970. (c) Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya yang mula digunakan pada 1971. Beberapa Jawatankuasa Istilah lagi dibentuk kemudiannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membentuk istilah-istilah bidang profesional yang amat mendesak pada ketika itu. Jawatankuasa Istilah ini telah menghasilkan 71,887 istilah sehingga tahun 1975. Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) telah ditubuhkan sejak Disember 1972, sebagai penasihat tertinggi mengenai bahasa bagi membantu usaha-usaha Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahap awal penubuhan JKTBM ialah untuk mewakili Malaysia dalam usaha kerjasama bagi menyusun Sistem Ejaan Rumi Baru dengan Indonesia. Usaha ini berhasil dan dipertingkatkan kemudiannya. Selanjutnya tugas jawatankuasa tersebut mencakupi pula aspek peristilahan dan

malahan dianggap oleh kerajaan sebagai badan tertinggi dalam

pembentukan istilah Bahasa Melayu. Pedoman Umum Pembentukan Istilah (PUPI) telah menandakan bermulanya zaman ini. PUPI diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1975. Pedoman ini ialah hasil usaha MBIM yang mengambil masa tiga tahun untuk dibentuk bagi membantu pembentukan istilah untuk bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia. PUPI dibentuk dengan sumbangan pakar ahli bahasa dan ilmu kedua Negara, dengan berpandu kepada amalan dalam usaha yang sama di peringkat antarabangsa. Pedoman ini telah diisytiharkan pemakaiannya oleh Menteri Pendidikan Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia pada 30

6

Ogos 1975. 3 Selepas penubuhan JKTBM (1972), dasar yang dipakai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dapat dirumuskan seperti rajah langkah pembentukan istilah yang berikut: Rajah Langkah Pembentukan Istilah Konsep (makna, proses, keadaan ciri)

LANGKAH 1 Kata dalam Bahasa Malaysia (umum + dialek)

LANGKAH 2 Kata dalam bahasa-bahasa serumpun dengan bahasa Malaysia

Kata yang tepat Kata yang tidak berkonotasi buruk atau sebutannya sumbang Kata yang paling singkat

Penyesuaian ejaan istilah

LANGKAH 3 Kata dalam bahasa Inggeris LANGKAH 4 Kata dalam bahasa-bahasa lain daripada bahasa Inggeris

Penyerapan dengan menyesuaikan ejaan dan sebutan Penyerapan tanpa perubahan Penterjemahan : Terjemahan hendaklah tepat, singkat, memudahkan penyelarasan. Makna umum yang bersistem secara bersistem

(Petikan : Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, 1991 : 7 )

3

Abdullah Hassan, 1987. 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka hlm. 85

7

Walaupun sudah ada PUPI tetapi disebabkan banyak Jawatankuasa Istilah (JKI) dan mencakupi bidang yang banyak pula, dengan konsep dan pemahaman ilmunya yang tersendiri pula, maka wujudlah bermacam-macam istilah, malahan satu istilah mendukung pelbagai konsep dan pengertian. Oleh sebab itu, istilah tertentu ciptaan pelbagai JKI itu perlu diselaraskan. Dua buah jawatankuasa penyelarasan telah dibentuk, iaitu Jawatankuasa Penyelarasan Istilah Sains tulen dan Jawatankuasa Penyelarasan Istilah Sains Sosial dan Kemanusiaan. Kerja-kerja yang giat dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sekitar akhir lapan puluhan dan awal sembilan puluhan ialah menyemak istilah yang dihasilkan sebelum 1975, terutamanya sebelum 1960. Ketika kerja pembentukan peristilahan belum mantap dan kukuh. Setelah penyemakan dilakukan barulah dibawa kepada Jawatankuasa Penyemakan Istilah. Sebagai

tambahan

kepada

kerja-kerja

penciptaan

istilah,

Jawatankuasa

Istilah

dipertanggungjawabkan pula kepada tugas pengklasifikasikan bidang memandangkan pengklasifikasi bidang yang dilakukan sebelum ini tidak begitu tepat dan kurang menyeluruh. Dalam bidang ini, aspek pemasyarakatan istilah dalam disiplin masing-masing turut dibincangkan untuk dibawa kepada sidang MBIM. MBIM yang telah ditubuhkan pada 29 Disember 1972 berfungsi seperti berikut: (a) Bertindak sebagai badan bersama yang mengadakan pertemuan demi pertemuan untuk memikirkan, menalaah dan membincangkan hal-hal bersama dalam bidang tatabahasa, peristilahan, ejaan dan hal-hal lain yang berhubungan dengan soalan bahasa di kedua-dua negara. (b) Menampung dan menyalurkan bahan-bahan tentang bahasa dari kedua-dua belah pihak untuk kegunaan dan kajian bersama. (c) Menyerahkan bahan-bahan bahasa yang menyentuh kepentingan kebangsaan negara masing-masing kepada Menteri Pendidikan untuk dipertimbangkan dan diputuskan. Selain menghasilkan PUPI dan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, MBIM juga menghasilkan Pedoman Penyusunan Kamus Istilah dan Pedoman Tranliterasi Huruf Arab kepada Huruf Rumi. MBIM juga telah membincangkan pedoman khusus pembentukan istilah kimia, biologi, fizik, matematik dan perubatan. Hasil daripada sidang MBIM ke-7 hingga ke-

8

23 telah menghasilkan Daftar Istilah MBIM (A-J) dan (K-Z) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1976.

Perancangan Perkamusan Tradisi penyusunan kamus di rantau ini mengalami pengalaman yang hampir sama seperti yang berlaku di Barat. Jika tradisi permulaan perkamusan Melayu bermula dengan disiplin yang agak longgar apabila bentuknya tidak memenuhi ciri-ciri sebuah kamus, tetapi lebih kepada bentuk daftar kata atau glosari, perkembangan yang sama juga berlaku di Barat. Mengikut catatan sejarah , bentuk daftar kata atau glosari yang muncul dalam tradisi bentuk dwibahasa . Hal yang sama juga berlaku dalam tradisi perkamusan Melayu apabila didapati bentuk kamus yang terawal adalah dalam bentuk dwibahasa . Ini berdasarkan pembuktian daftar kata dwibahasa Sanskrit-Melayu kuno pada abad ketujuh atau kelapan atau penemuan glosari atau daftar kata Latin dengan padanan bahasa Inggeris zaman Anglo-Saxon pada ke -8. 4 Zaman sebelum 1630 dianggap sebagai tahap awal perkembangan perkamusan Melayu. Kamus awal Melayu yang hanya mengandungi senarai kata-kaa dan istilah-istilah tertentu dipercayai telah ada sebelum Portugis menakluki Melaka pada 1511. Di dalamnya tersenarai kata-kata Melayu-Cina dan tidak ada perbendaharaan kata Portugis dimuatkan. Senarai ini disediakan demi kepentingan kaum pedagang, pentadbir dan ahli mubaligh Kristian. Senarai kedua ialah yang diusahakan oleh Figafetta (1521) yang ditulis ketika kapalnya mengiringi Magellen singgah di Tidor di Kepulauan Maluku. Senarai ini bertulis dalam bahasa Melayu-Latin. Yang ketiga ialah senarai perkataan Melayu-Belanda yang diusahakan oleh Frederik de Houtman (1603). Kemudian pada tahun 1622, Caspar Wiltens, dan Sebastian Danckearts menerbitkan kamus Belanda-Melayu dan Melayu-Belanda di Hague. Zaman 1631 hingga 1850 dianggap sebagai tahap kedua perkembangan perkamusan Melayu. Seorang mubaligh Kristian, David Haex telah menyusun sebuah kamus yang bertajuk Dictionarian Malaico-Latinum et Latinum Malaicum pada tahun 1631. Beberapa 4

Ibrahim Ahmad, 1994. Perkamusan Melayu Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 4

9

orang sarjana lain telah menurut jejak langkah David Haex. Pada 1701, sarjana Inggeris, Thomas Bowery telah memperkemas usaha yang dirintis oleh Haex dengan menyusun kamus Malayo and English and English and Malayo. Kamus ini ditujukan untuk maksud perdagangan dan pentadbiran ketika itu. Senarai kata sudah ditambah hingga merangkumi perdagangan dan istilah politik yang digunakan di Johor. Pada 1801, seorang lagi sarjana Inggeris J. Howison telah mengusahakan sebuah kamus yang agak serupa dengan kamus yang diusahakan oleh Bowery. Kamus ini dianggap penting kerana memasukkan deskripsi tatabahasa dan meninggalkan aspek neka bahasa. Kamus yang pertama dianggap sempurna hanya terhasil pada 1812 oleh William Marsden, bertajuk A Dictionary of the Malayan Language. Kamus ini diusahakan secara saintifik dan menganggapnya sebagai suatu ilmu pengetahuan yang harus dibebaskan daripada kehendak memenuhi keperluan golongan yang tertentu sahaja. Marsden juga telah menghasilkan jilid lain pada tahun 1824, dengan judul The Grammar of the Malayan Language. Dalam karya ini Marsden telah mentransliterasi huruf jawi kepada huruf rumi dan memulakan sistem ejaan rumi. Pada tahun 1852, John Crawford telah menghasilkan sebuah kamus yang bertajuk The Grammar and Dictionary of the Malay Language. Usaha ini terbahagi kepada dua bahagian, dengan Jilid I mengandungi deskripsi sejarah dan tatabahasa bahasa Melayu. Jilid II ialah Malay-English and English-Malay Dictionary. Sumbangan yang bererti dalam penyusunan kamus Melayu diusahakan oleh R.J Wilkinson dengan judul Malay-English Dictionary (1901). Penyusunan kamus tersebut dianggap sebagai suatu percubaan ilmu perkamusan yang menjadi petunjuk kepada penyusun-penyusun terkemudian seperti Winstedt (1922), Hamilton (1923) dan Swettenhem (1927). Selepas tahun 1930 barulah lahir ahli perkamusan Melayu seperti Shamsuddin Mohd Yunus (1935), Mustapha Abdul Rahman Mahmud (1940), Haji Abdul Hamid Ahmad (1941), Mohammad Hanif (1955), Mohd. Shah Munji dan Abdullah Samad (1957), Farid Wajidi (1959), Ali Asraf (1959) dan Zainal Abidin Safarwan (1966). Kamus yang disusun oleh pengarang-pengarang ini tidak membawa pembaharuan apa-apa oleh sebab usaha mereka hanya berdasarkan kerja-kerja yang telah dirintis oleh Wilkinson dan Winstedt. Zaman selepas 1956 adalah merupakan tahap moden dan lengkap perkembangan perkamusan Melayu. Usaha perkamusan yang lebih moden dan lengkap telah dijalankan sebaik sahaja Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 1956 lagi. Namun hanya pada 10

tahun 1970 Kamus Dewan yang mengandungi 28 000 kata masukan dapat diterbitkan. Jumlah kata masukan bertambah menjadi 34 000 dalam edisi kedua dan edisi ketiga diterbitkan pada tahun 1995 dengan 36 000 kata masukan. Dewan Bahasa dan Pustaka juga mengusahakan dua buah kamus dwibahasa. Pertama ialah kamus Melayu-Inggeris dan kedua kamus Inggeris-Melayu yang kedua-duanya diterbitkan pada tahun 1984. Terdapat juga kamus yang diusahakan oleh penerbit-penerbit swasta. Contohnya ialah seperti kamus-kamus ekabahasa dan dwibahasa yang diusahakan oleh A.S Hornby et al. (1972), A.K. Mohamad (1973), Mohd Salleh Daud (1973), Sulaiman Masri (1973), Meji Sulung (1974) dan Kader M.A. (1974). Ada tiga jenis kamus yang diusahakan, iaitu kamus sinonim, antonim dan thesaurus yang juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Badan perancang bahasa Melayu itu juga ada menerbitkan kamus menurut bidang yang juga disebut kamus istilah. Kamus ini disusun mengikut keperluan golongan profesional.

KESIMPULAN Perbincangan di atas berusaha menunjukkan perancangan bahan ejaan dan sebutan, peristilahan dan perkamusan bahasa Melayu di Malaysia. Pencapaian perancangan bahasa di Malaysia dapat dilihat daripada beberapa segi. Bahasa Melayu (Malaysia) telah dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Bahasa merupakan satu unsur penting yang dapat membentuk identiti sesebuah negara. Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara adalah wajar sekali. Pelaksanaannya dalam bidang pentadbiran dan pendidikan sedang dijalankan secara progresif. Sebelum Malaysia merdeka pada tahun 1957, bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah sahaja, dan untuk membuat pemakluman mudah pentadbiran. Hari ini bahasa Melayu bukan sahaja digunakan seluruhnya sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, tetapi juga menjadi bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi. Kesemua langkah ini telah berlaku dalam satu jangka masa yang pendek sahaja, iaitu dalam jangka masa lebih kurang 30 tahun. sewaktu proses perancangan dijalankan, banyak kelemahan dalam sebutan, ejaan, tatabahasa, peristilahan dan perkamusan dapat diperhatikan. Masalah kelemahan dalam sebutan dan intonasi misalannya akan dapat diatasi dengan pengajaran yang sistematis dan teratut. Sebutan-sebutan dan pola-pola intonasi hendaklah 11

dideskripsikan sepenuhnya. Sementara itu, masalah dalam ejaan dapat diselesaikan sekiranya sebuah kamus yang lebih lengkap daripada Kamus Dewan dapat disediakan. Kamus yang mengandungi penjelasan tentang sebutan dan kata terbitan di samping makna sahaja tentu akan lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah ini. Walau bagaimanapun, penampilan masalah-masalah tersebut tentunya tidak menumpulkan minat dan semangat golongan perancang, pemikir dan cendekiawan bahasa Melayu untuk terus membina bahasa Melayu menjadi bahasa moden.

12

Bibliografi 1. Abdullah Hassan, 1987. 30 tahun Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 2. Ibrahim Ahmad, 1994. Perkamusan Melayu Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 3. Ismail bin Dahaman (Penyunting) 1996. Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 4. Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu, 1991. Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 5. Nik Safiah Karim et.al., 1993. Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 6. Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd. Dain, 1982. Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

13