Sosiolinguistik Dan Sosiologi Bahasa

Sosiolinguistik dan Sosiologi Bahasa adalah dua bidang ilmu yang berlainan ... kebanyakan dan bahasa bangsawan atau bahasa istana atau bahasa dalam...

109 downloads 913 Views 27KB Size
Sosiolinguistik dan Sosiologi Bahasa Amat Juhari Moain Universiti Pertanian Malaysia

Sosiolinguistik dan Sosiologi Bahasa adalah dua bidang ilmu yang berlainan tetapi mempunyai bidang kajian yang hampir sama dan banyak yang bertindan. Perbezaannya adalah dari segi penekanan. Sosiolinguistik lebih menekan kepada bidang kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat sedangkan sosiologi bahasa lebih menekan kepada bidang kajian tentang masyarakat yang berkaitan dengan

bahasa.

Oleh

hal

yang

demikian

R.A.

Hudson

dalam

bukunya

Sociolinguistics (1983) telah mentakrifkan sosiolinguistik sebagai kajian tentang bahasa

dalam

kaitannya

dengan

masyarakat.

Sedangkan

sosiologi

bahasa

didefinisikannya sebagai kajian tentang masyarakat dalam kaitannya dengan bahasa. Antara bidang-bidang yang dikaji dalam sosiolinguistik dan sosiologi bahasa ialah varieti-varieti bahasa; bahasa, kebudayaan dan pemikiran; bahasa sebagai interaksi sosial; kajian kuantitatif terhadap bahasa; ketidaksamaan bahasa dan masyarakat; perubahan bahasa dan masyarakat; bilingualisme dan multilingualisme; dasar bahasa dan lain-lain.

Jika diteliti dengan lebih lanjut terdapat pelbagai tajuk yang dibahas dan dikaji dalam bidang sosiolinguistik dan sosiologi bahasa. Bagi tajuk varieti bahasa terdapat perbincangan tentang kepelbagaian bahasa yang dituturkan oleh pelbagai masyarakat di seluruh dunia, kerana setiap bahasa ada komuniti penuturnya. Sehingga kini belum dapat ditentukan berapa banyak jenis bahasa yang terdapat di seluruh dunia ini. Tetapi jumlahnya tidak kurang daripada 4.000. Dalam setiap bahasa terdapat dialek pula. Bagi bahasa Melayu misalnya terdapat dialek-dialek Riau, Johor, Sarawak, Ambon, Bengkulu, Patani, Brunei dan lain-lain. Oleh sebab dialek-dialek yang baru disebutkan tadi lebih menekankan kepada daerah, maka ia dikenali sebagai dialek daerah atau regional dialect. Selain itu masih ada lagi jenis dialek yang lain iaitu dialek sosial dan dialek seketika atau temporal. Dialek sosial merupakan dialek yang

berbeza dari sebab perbezaan stratifikasi sosial. Dalam masyarakat Melayu terdapat golongan yang diperintah dan golongan yang memerintah. Dari situ, dalam masyarakat Melayu tradisional dan feudal terdapat bahasa umum atau bahasa orang kebanyakan dan bahasa bangsawan atau bahasa istana atau bahasa dalam. Dialekdialek ini berbeza terutama dari segi kosa katanya.

Dialek seketika wujud disebabkan perbezaan masa atau zaman seperti bahasa Melayu yang digunakan dalam abad ke-7, abad ke-15, abad ke-20 dan lain-lain yang berbeza antara satu dengan lain. Dalam bahasa juga terdapat perbezaan ragam yang digunakan mengikut keadaan, suasana, latar, bidang dan lain-lain. Perbezaan yang wujud itu melahirkan laras dan gaya bahasa yang berbeza. Itu sebabnya wujud laras bahasa ilmu, bahasa korporat, bahasa basahan, bahasa santai dan lain-lain. Dalam satu-satu bahasa kadang-kadang terdapat dua tingkat bahasa yang berbeza: satu jenis yang tinggi, rasmi, formal dan halus dan satu jenis lagi yang rendah, tidak rasmi, tidak formal dan kasar. Ini dikenali sebagai dwiglosia. Bahasa yang tinggi dan formal itu biasanya ditempati oleh bahasa baku, sedangkan bahasa yang rendah, tidak formal dan kasar dinamai bahasa basahan.

Dalam sesebuah negara terdapat juga penggunaan dua bahasa dan bahkan ada yang lebih daripada dua bahasa. Begitu juga terdapat individu-individu yang menguasai dua bahasa atau lebih daripada dua bahasa. Di sini timbul kedwibahasaan, dwibahasawan, kemultibahasaan dan multibahasawan atau bilingualism dan multilingualism.

Dalam masyarakat dwibahasan dan multibahasa terdapat penggunaan bahasa campuran. Misalnya bahasa A dicampur dengan bahasa B, melahirkan bahasa C, sedangkan bahasa C tidak boleh digolongkan kepada A dan juga B. Bahasa campuran ini kadang-kadang dalam bentuk sementara. Ini dikenali sebagai Pijin. Sedangkan bahasa campuran yang sudah menjadi bahasa ibunda disebut kreol. Kadang-kadang satu jenis bahasa digunakan oleh pelbagai kaum dan bangsa yang mempunyai bahasa mereka masing-masing, iaitu bahasa perantara di kalangan mereka. Bahasa ini

dikenali sebagai lingua franca. Individu-individu yang menguasai dua atau lebih bahasa atau varieti bahasa mempunyai pilihan kod. Kadang-kadang berlaku pertukaran kod dan tidak jarang berlaku percampuran kod.

Bahasa adalah dinamik. Ia senantiasa berubah sama ada lambat atau cepat. Perubahan-perubahan berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor seperti difusi dan evolusi. Pertembungan dengan bahasa dan budaya asing, perkembangan pendidikan, ekonomi, demografi, teknologi dan lain-lain dapat mengubah bahasa. Bahasa juga berkait rapat dengan kebudayaan, lokaliti, kepercayaan dan pemikiran. Misalnya pada pemikiran dan lojik orang Melayu, benda lebih dipentingkan daripada sifatnya. Sebab itu timul hukum DM. Kata nama menjadi subjek didahulukan. Kata adjektif atau sifat dikemudiankan. Begitu juga dengan pantang larang dalam berbahasa. Dalam bahasa Melayu ada perkataan yang tidak boleh digunakan secara langsung melainkan dengan kias. Ini disebabkan oleh adanya sesuatu kepercayaan terhadapnya atau untuk menjaga kehalusan budi bahasa. Dalam pertuturan juga terdapat varieti. Cara-cara bercakap, bagaimana bercakap, bila di mana, kepada siapa, daripada siapa, kedudukan seseorang, latar, dan lain-lain sangat penting dalam berbahasa. Perbincangan tentang perkara ini termasuk ke dalam etnografi komunikasi. Begitu juga dalam sistem sapaan. Terdapat perbezaan yang jelas antara kesetiakawanan dengan kekuasaan, kehalusan dengan kekasaran dan seterusnya yang lain-lain. Dengan itu muncul pelbagai kata sapaan, rujukan, gelaran dan lain-lain.

Selain itu juga dalam sosiolinguistik terdapat perbahasan tentang peristiwa bahasa dan lakuan bahasa, selain daripada perbezaan bahasa disebabkan oleh jantina, umur, pangkat dan kedudukan, rasmi dan tidak rasmi, setaraf dengan yang tidak setaraf, yang jauh dengan yang akrab. Keadaan dan suasana yang sedemikian membezakan penggunaan bahasa. Itulah sebabnya dalam bahasa Jawa misalnya terdapat bahasa-bahasa ngoko, madyo, kromo, kromo inggil, bahkan terdapat juga kromo deso, kromo madyo dan boso kedaton.

Sosiolinguistik juga membahas tentang taraf bahasa. Bahasa baku: baku persuratan, baku lisan, baku serantau atau baku di negara bahagian serta dialek setempat. Selain itu terdapat bahasa kebangsaan atau bahasa negara, bahasa rasmi, bahasa kedua, bahasa kedua terpenting, bahasa pengantar, bahasa yang dinaikkan tarafnya, bahasa yang diizinkan, bahasa yang dilarang, bahasa antarabangsa, bahasa dunia, bahasa vernakular dan lain-lain. Ketentuan-ketentuan taraf bahasa di atas berlunaskan dasar bahasa atau polisi bahasa yang ditetapkan dan diputuskan oleh sesebuah negara atau badan antarabangsa.

Selain bidang-bidang di atas, sosiolinguistik juga membahas tentang perancangan bahasa. Bahasa dirancang dari segi taraf dan matannya. Perancangan taraf bahasa meliputi penetapan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan lain-lain yang ditetapkan oleh sesebuah negara. Sedangkan perancangan matan, korpus atau bahan bahasa ditentukan oleh ahli ilmu terutama ahli-ahli bahasa. Dalam perancangan korpus bahasa terdapatlah pemilihan aksara, sistem ejaan, penyusunan tatabahasa, peristilahan, sebutan, wacana, laras, ungkapan,kesusasteraan, pengajaran dan lain-lain. Bagi menjayakan perancangan bahasa perlu disusun logistiknya: sumber kewangan, badan-badan yang merancang dan melaksanakan perancangan bahasa, para ilmuwan, teknokrat dan ahli bahasa serta yang lain-lain.

Dari perbincangan dan pemaparan bidang-bidang serta perbahasan di atas menunjukkan dengan jelas bahawa bidang yang dirangkumi oleh sosiolinguistik dan sosiologi bahasa adalah sangat luas. Ia menyentuh pelbagai bidang yang lain seperti sosiologi, linguistik, pendidikan, antropologi, politik, kebudayaan, kepercayaan, sejarah, pedagogi dan seterusnya yang lain-lain. Dengan kata lain bidang sosiolinguistik dan sosiologi bahasa adalah satu bidang yang sangat rencam dan luas.

Bibliografi Fernando Penalosa (1981). Introduction to the Sosiology of Language, Rowley, London, Tokyo: Newbury House Publishers Inc. R.A. Hudosn (1983). Sociolinguistics, Cambridge: Cambridge University Press. Roger T. Bell (1978). Sociolinguistics: Goals, Approaches and Problems, London: B.T. Batsford Ltd. Ronald Wardhaugh (1986). An Introduction to Sociolinguistics. Oxford: Basil Blackwell.