14 SATU KAJIAN KES MENGENAI AMALAN BUDAYA ... - Mara

yang diamalkan adalah budaya kerja cemerlang dan budaya amalan kebersihan 5S. Kajian juga menunjukkan bahawa penerapan dan amalan budaya ini memberika...

6 downloads 459 Views 52KB Size
SATU KAJIAN KES MENGENAI AMALAN BUDAYA BERKUALITI DAN IMPLIKASINYA Myazaitul Akma Mohammad Institut Kemahiran MARA Lumut Abstrak Penerapan budaya berkualiti di sesebuah institusi pendidikan merupakan satu langkah wajar yang perlu digarapkan oleh semua pihak. Budaya yang berkualiti bukan sahaja merupakan amalan yang baik tetapi meninggalkan impak yang positif terhadap budaya kerja di sesebuah organisasi, analisis dokumen dan juga pemerhatian. Sampel yang telah digunakan adalah seramai 50 orang. Hasil kajian mendapati bahawa dua budaya berkualiti utama yang diamalkan adalah budaya kerja cemerlang dan budaya amalan kebersihan 5S. Kajian juga menunjukkan bahawa penerapan dan amalan budaya ini memberikan kesan yang positif terhadap produktiviti dan prestasi staf dan kakitangan IKM Lumut. Keberkesanan budaya berkualiti yang diamalkan ini juga telah banyak memberikan kejayaan kepada IKM Lumut khasnya dan MARA amnya. Sebagai kesimpulan, hasil kajian ini dapat dijadikan landasan untuk kajian lanjutan tentang budaya berkualiti organisasi pendidikan.

PENGENALAN Kualiti merupakan isu yang amat penting di dalam bidang pendidikan, perniagaan dan kerajaan. Matlamat utama pendidikan negara ialah melahirkan modal insan yang berkualiti dari segi rohani, jasmani, intelektual dan emosi. Proses melengkapkan jiwa pelajar dengan ilmu pengetahuan yang berkualiti memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat di dalam dunia pendidikan. Fenomena sosial yang semakin membelenggu negara kita telah memperlihatkan pelajar-pelajar yang dilahirkan ramai terjebak dengan gejala sosial dan semakin tidak berkualiti. Kenapakah masalah ini wujud? Siapakah yang perlu dipersalahkan? Adakah kesilapan ini berpunca daripada ibu bapa, institusi pendidikan atau pun masyarakat?

14

Permasalahan ini sebenarnya dapat diselesaikan melalui peningkatan kualiti melalui kewujudan budaya berkualiti di sesebuah institusi pendidikan. Pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran tidak semestinya berkualiti. Kualiti merupakan satu istilah yang amat simbolik dan mempunyai makna tersendiri dalam diri setiap individu. Ianya terpulang kepada individu itu sendiri bagaimana untuk mentafsirkannya. Dunia pendidikan perlu menjana satu transformasi yang drastik agar kemahiran yang tersembunyi dalam diri setiap pelajar dapat dicungkil dan seterusnya melahirkan pelajar yang berkualiti dan mampu memenuhi matlamat pendidikan negara. Kualiti di dalam pendidikan dapat ditingkatkan apabila semua pihak terlibat seperti guru, pihak pengurusan, staf dan ibu bapa dapat bersama-sama membangunkan satu sikap baru yang lebih fokus kepada kepimpinan, kerja berpasukan, amalan koloboratif, akauntabiliti dan pengiktirafan (Arcaro), 1995).

SOROTAN LITERATUR Definisi Budaya Budaya sekolah ialah personaliti atau keperibadian sekolah yang mempengaruhi cara sesuatu kerja itu dijalankan. Budaya sekolah selalunya dihuraikan dengan ‘inilah cara kita melakukan kerja di sini’. Budaya sekolah merangkumi norma, peraturan, idea serta pelbagai perkara lain, dan kesemuanya diterima dan dipraktiskan di sesebuah sekolah (Ruhani Mat Min, 2009). Ruhani Mat Min (2009), Deal dan Peterson (1999) berpendapat bahawa budaya sekolah juga akan mempengaruhi setiap komponen yang wujud di sesebuah sekolah, antaranya topik perbualan antara guru-guru semasa waktu rehat di kantin sekolah, bentuk-bentuk arahan yang akan dihargai, perkembangan kakitangan yang dilalui serta kepentingan proses pembelajaran pelajar.

15

Budaya sekolah adalah nilai dominan yang didukung oleh sekolah atau kepercayaan dasar yang dipegang oleh sekolah. Budaya sekolah juga merujuk pada suatu sistem nilai, kepercayaan dan norma-norma yang diterima secara bersama, serta dilaksanakan dengan penuh kesedaran sebagai perilaku yang nyata, yang dibentuk, difahami dan diamalkan bersama oleh pihak pengurusan sekolah, guru, staf serta pelajar. Budaya adalah hasil nilai, kepercayaan, keutamaan, harapan dan norma yang sama dimiliki serta bertindak menyampaikan cara organisasi itu memperlihatkan manifestasinya kepada dunia (Burnham, 2007). Menurut Burnham (2007) budaya juga adalah personaliti sesebuah organisasi, maka sekolah yang berkualiti akan resah, sentiasa tertanya-tanya, tidak pernah puas, malah percaya keadaan selalunya akan lebih baik. Pengurusan kualiti memerlukan rasa percaya kepada kebolehan yang tidak terbatas demi memajukan organisasi, proses dan individu. Ab Aziz Yusof (2008) juga berpendapat bahawa budaya merupakan nilai, perlakuan dan kepercayaan, pegangan, sikap dan adat yang sama-sama diamalkan oleh sesebuah kelompok organisasi. Budaya berkualiti secara semulajadinya berhubung rapat dengan elemen seperti organisasi kerja, teknologi, sturktur organisasi, strategi perniagaan dan membuat keputusan kewangan (Ehlers, 2009). PERSOALAN KAJIAN Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji budaya berkualiti yang telah berjaya mempengaruhi keberkesanan Institut Kemahiran MARA Lumut sebagai salah sebuah institusi pendidikan MARA. Sejauh manakah budaya ini meninggalkan kesan yang positif kepada keberkesanan institusi ini. Kajian ini bertujuan untuk menjawab beberapa persoalan iaitu: i) ii)

Apakah budaya berkualiti yang telah berjaya diamalkan di Institut Kemahiran MARA, Lumut. Apakah implikasi penyemaian budaya berkualiti ini terhadap tahap kerja staf MARA di Institut Kemahiran MARA, Lumut.

16

METODOLOGI KAJIAN Reka bentuk kajian yang dijalankan adalah berbentuk kualitatif. Sampel kajian merupakan staf Institut Kemahiran MARA Lumut, Perak. Populasi staf di IKM Lumut adalah seramai 211 orang. Manakala sampel yang digunakan dalam kajian ini adalah seramai 50 orang sahaja. Pemilihan sampel telah dilakukan secara rawak di mana setiap daripada 14 jurusan yang terdapat di IKM Lumut diwakili oleh 3 orang responden dan 8 orang responden lagi terdiri daripada staf pentadbiran dan sokongan. Dapatan kajian dan data yang diperolehi adalah melalui temu bual dengan staf IKM Lumut yang dipilih sebagai sampel, dokumen rujukan dan juga melalui pemerhatian yang dijalankan oleh pengkaji. Temu bual dijalankan dengan staf yang dipilih secara rawak ini telah dilakukan secara bersemuka dan perseorangan. Temu bual ini telah dilakukan lebih daripada sekali agar data yang diperolehi tinggi kesahannya. Dapatan kajian juga disokong dengan maklumat yang diperolehi daripada dokumen-dokumen rujukan. Pengkaji juga melakukan pemerhatian terhadap fokus kajian iaitu terhadap corak pelaksanaan budaya dan juga kesan terhadap prestasi kerja warga IKM Lumut. DAPATAN KAJIAN Bahagian ini akan merungkaikan dapatan kajian dengan menjawab persoalan kajian yang telah dikemukakan. Soalan 1 : Apakah budaya berkualiti yang telah berjaya diamalkan di Institut Kemahiran MARA, Lumut? Persoalan ini telah dirungkaikan melalui temu bual yang telah dijalankan dengan staf terpilih dan juga melalui pemerhatian yang dibuat.

17

a)

Maklum balas responden 1: “Kami bekerja secara berpasukan dan sentiasa meletakkan kecemerlangan IKM Lumut dan MARA sebagai keperluan utama. Budaya yang diterapkan di sini ialah bekerjasama dan sentiasa mencapai keputusan yang cemerlang. Sasaran pencapaian akademik lulus 100% memerlukan kerja kuat dan gigih semua pihak. Bagi saya, budaya utama yang berjaya diamalkan di IKM ini ialah budaya kerja cemerlang dan 5S”.

b)

Maklum balas responden 2: “5S merupakan satu budaya terkini yang telah berjaya diterapkan di IKM Lumut. Setiap jurusan dan individu di IKM ini bertungkus-lumus menjayakan program ini. Hampir dua tahun perlaksanaannya, ia semakin sebati dan kini menjadi sebahagian amalan harian warga IKM Lumut”.

c)

Maklum balas responden 3: “Bekerjasama ke arah kecemerlangan dan sentiasa bersatu padu, itulah budaya di sini. Kami juga seronok dengan amalan 5S ”. Berdasarkan maklum balas yang telah diberikan oleh respondenresponden yang telah ditemubual, majoriti memberikan pendapat yang sama di mana mereka berpendapat bahawa terdapat dua budaya kerja positif utama yang telah diamalkan di Institut Kemahiran MARA Lumut ini iaitu:

a)

Budaya Kerja Cemerlang Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat telah melancarkan Gerakan Budaya Kerja Cemerlang pada 27 November 1989. Menurut Chek Mat (1996), tujuan gerakan ini adalah untuk membina sebuah masyarakat yang sentiasa mementingkan kualiti. Chek Mat (1996) di dalam bukunya juga menulis bahawa Tun Dr. Mahathir berpendapat bahawa budaya sesuatu masyarakat adalah faktor utama yang akan menentukan maju mundurnya masyarakat itu. Budaya bukan dicerminkan oleh keseniaan dan aspek fizikal tetapi nilai-nilai yang telah diamalkan. 18

IKM Lumut ini merupakan sebuah organisasi yang mengamalkan budaya kerja cemerlang. Penerapan budaya kerja cemerlang ini dapat dilihat melalui keberkesan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Matlamat utama setiap tenaga pengajar memastikan pencapaian prestasi akademik pelajar pada setiap semester adalah 80% ke atas. Budaya kerja cemerlang ini juga diaplikasikan dengan mengadakan kelas-kelas tambahan selepas waktu kerja sama ada selepas jam 5.00 petang ataupun di sebelah malam. Pelajar bebas untuk hadir ke bengkel di waktu malam bagi menyiapkan tugasan amali dengan dipantau oleh tenaga pengajar yang bertugas. Kecemerlangan pelajar sangat bergantung kepada persediaan mental dan fizikal, sokongan moral, hubungan dengan rakan dan pensyarah, motivasi dan jati diri yang tinggi, disiplin diri, ketahanan diri, pengurusan masa dan sumber diri, strategi belajar yang baik, dan peka terhadap persekitaran kampus (Mohd Jailani, 2009). Melalui kesungguhan dan kejituan semangat yang ditunjukkan oleh semua staf di IKM ini maka adalah tidak mustahil matlamat dan azam pengarah IKM Lumut untuk mencapai lulus 100% akan terlaksana. Selain daripada itu, budaya kecemerlangan ini bukan sahaja difokuskan kepada tugas hakiki tetapi staf di IKM Lumut juga bergiat aktif di dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan di IKM dan juga MARA. Bagi mempertingkatkan lagi budaya kerja cemerlang ini, kakitangan yang mempamerkan kerja yang cemerlang dimotivasikan dengan anugerah kualiti seperti Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan dan Anugerah Pekerja Cemerlang Tahunan. Setiap tahun IKM Lumut akan mengadakan sambutan Hari Kualiti. Sambutan Hari Kualiti ini biasanya diisi dengan ceramah kualiti dan juga penyampaian anugerah kepada pelbagai kategori kecemerlangan yang ditunjukkan oleh staf IKM Lumut. Unit Bahasa Inggeris IKM Lumut telah berjaya menganjurkan Spelling Bee Competition peringkat IKM Lumut pada 6hb September 2010 dan IKML Inspired Essay Writing Competition 2010. Selain daripada aktiviti bercorak akademik, staf IKM Lumut juga telah banyak menganjur dan terlibat dengan aktiviti bukan akademik seperti ko kurikulum. Buat julungjulung kalinya, pada 29hb Oktober hingga 31 Oktober 2010, IKM Lumut telah berjaya menganjurkan Sukan Antara Jabatan Daerah Manjung. 19

Penerapan budaya kerja cemerlang di IKM Lumut adalah berasaskan kepada adaptasi konsep pengurusan kualiti menyeluruh (TQM). Melalui pemerhatian dan analisis dokumen yang telah dilakukan pengkaji, IKM Lumut telah mengamalkan prinsip-prinsip asas TQM iaitu di mana pihak atasan sentiasa memberi sokongan penuh dengan mewujudkan dasar kualiti IKM Lumut iaitu : Berusaha meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran dengan menyediakan kelengkapan infrastruktur dan sumber manusia yang mencukupi untuk melahirkan bumiputera yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan sektor industri dan kehendak dasar negara. Selain daripada itu, IKM Lumut juga mempunyai perancangan strategi ke arah pencapaian matlamat organisasi, sentiasa mengutamakan pelanggan, memberikan latihan dan pengiktirafan, mengukuhkan semangat berpasukan, mengadakan pengukuran prestasi dan menekankan kepastian kualiti. Menurut Mohd Ashari (2004), TQM boleh disifatkan sebagai penglibatan keseluruhan organisasi dalam pembaikan berterusan dalam proses mencipta nilai pelanggan bagi menyampaikan keluaran dan perkhidmatan berdaya saing secara berterusan bagi menceriakan pelanggan. Menurut beliau lagi, penyertaan kepimpinan pengurusan atasan dan penyertaan pekerja secara kerjasama bagi memperbaiki aktiviti sepanjang rantai nilai. Melalui pengamatan dan analisis dokumen yang telah dijalankan, IKM Lumut sememangnya telah melaksanakan prinsip-prinsip asas TQM ini dengan berkesan yang mana staf IKM Lumut telah berjaya mengaplikasikannya. Ali Mohammad (2006), berpendapat bahawa program-program TQM akan menjayakan budaya koloboratif yang diterajui dengan karakter kejujuran, kepercayaan dan ketabahan. Manakala Ab Aziz Yusof (2008) di dalam tulisannya menyatakan bahawa kepimpinan organisasi perlu jelas akan tujuan sebenar perlaksanaan konsep TQM dalam organisasi yang boleh menyebabkan berlakunya perubahan yang menyeluruh terhadap budaya korporat organisasi.

20

b) Budaya 5S Responden yang telah ditemu bual juga berpendapat bahawa IKM Lumut telah mengamalkan 5S sebagai budaya. Kini 5S semakin sebati dengan staf MARA di IKM ini. IKM Lumut dengan rasminya telah dinilai dan anugerahkan Sijil Persekitaran Berkualiti 5S oleh MPC buat kali pertama pada Isnin 30 Mac 2009 dan persijilan semula pada 28 April 2010. Pelancaran 5S IKM Lumut telah diadakan pada 6 Ogos 2008. Hari Rabu telah diisytiharkan sebagai hari 5S di IKM Lumut dan pada hari ini setiap staf diwajibkan memakai baju korporat 5S. 5S merupakan suatu konsep amalan kebersihan yang diperkenalkan di Jepun. 5S ialah alat peningkatan produktiviti yang diperkenalkan di Jepun oleh Dr. Thuchiya. Bermula pada tahun 1986 bila pertama kalinya 5S diperkenalkan di Singapura. Amalan penjagaan kebersihan ini merujuk kepada penjagaan tempat kerja yang kemas dan bersih berdasarkan kepada prinsip "tempat untuk semua dan semua di tempatnya". Tujuan utama penjagaan kebersihan ialah untuk mempraktikkan disiplin dan moral yang baik di kalangan pekerja di mana ia akan meningkatkan prestasi serta produktiviti dan seterusnya membentuk tabiat kerja yang baik. Program 5S adalah usaha keseluruhan organisasi bagi menjadikan tempat kerja bersih, tersusun, bersistem dan lebih produktif. Melalui amalan 5S, kita akan membina disiplin dan etika kerja yang baik di kalangan warga kerja yang akan menghasilkan prestasi kerja yang lebih baik, kerja berkualiti, memupuk semangat berpasukan dan tolong-menolong yang tinggi. 5S ialah lima perkataan Jepun yang bermaksud sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal. Amalan 5S meliputi pengetahuan teknikal, praktikal, logik untuk menghasilkan teknik yang paling berkesan bagi mewujudkan budaya peningkatan secara berterusan atau dikenali sebagai Kaizen dalam Bahasa Jepun. Menurut Mohd Ashari (2004), amalan 5S dapat mempamerkan kualiti individu dengan menetapkan piawaian disiplin di tempat kerja. Ini akan menjadikan pekerja lebih bertanggungjawab dan bertindak secara lebih proaktif. Menurut beliau lagi kaedah ini dapat mengelakkan kemalangan dan kesilapan kerja yang berpunca daripada manusia. Kesemua ini bukan sahaja dapat meningkatkan 21

produktiviti di tempat kerja malah dapat menarik keyakinan pelanggan untuk berurus niaga. Melalui pemerhatian pengkaji, prestasi kerja staf di IKM Lumut semakin meningkat semenjak pelaksanaan 5S ini. Kerjasama dan Amalan 5S sebagai keseragaman telah dipupuk dengan jayanya. Jika anda ke IKM Lumut, perkara pertama yang jelas keseragamannya ialah cara kenderaan di parkir. Keseragaman ini menjadi kayu pengukur keberkesanan program 5S di IKM Lumut dan telah berjaya membudayakan warganya. Budaya 5S di IKM Lumut benar-benar berkesan kepada semua pihak yang terlibat di dalam pelaksanaannya. Pengalaman melaksanakannya memang meninggalkan impak yang amat besar. Hasil pelaksanaanya mengubah IKM Lumut kepada sebuah IKM yang lebih ceria berbanding dengan usianya. Suasana di IKM menjadi lebih bersih dan ceria. Sistem pengurusan fail menjadi lebih sistematik dan yang paling ketara diamalkan ialah cara staf di IKM Lumut meletakkan kenderaan di kawasan IKM. Selain daripada itu para pelajar juga mengamalkan 5S sebagai budaya mereka. Penerapan budaya 5S ini diharapkan dapat diaplikasikan pula di rumah oleh staf dan juga pelajar. Soalan 2 : Apakah implikasi penyemaian budaya berkualiti ini terhadap tahap kerja staf MARA di Institut Kemahiran MARA, Lumut ? a)

Maklum balas responden 1 “Budaya positif yang diamalkan ini memberikan kami kekuatan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang. Semangat berpasukan yang berjaya disemai melalui budaya kerja cemerlang memberikan kami kekuatan di dalam menjayakan sesuatu program. Program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan”.

22

b)

Maklum balas responden 2 “Produktiviti semakin meningkat, staf semakin gembira di dalam menjalankan tugas. Halangan dan kekangan dapat diatasi melalui perbincangan dan penglibatan semua pihak. Suasana tempat kerja juga lebih selesa dan menyenangkan.”

c)

Maklum balas responden 3 “Budaya yang diamalkan ini bagaikan satu suntikan motivasi kepada staf di sini. Amalan ini juga memberikan impak yang positif kepada IKM Lumut dan juga MARA khasnya. Pelbagai pengikhtirafan telah diterima hasil amalan budaya-budaya berkualiti ini”.

Berdasarkan maklum balas-maklum balas yang diberikan maka dapatlah dirumuskan bahawa budaya berkualiti yang diamalkan di IKM Lumut ini telah berjaya mempertingkatkan lagi semangat kerjasama bekerja secara berpasukan. Kerjasama yang dipupuk ini jelas implikasinya terhadap program-program yang dijalankan di IKM Lumut ini. Menurut Ahmad Fadzli Yusof (2007), dengan kerja berpasukan, organisasi seolah-olah mendapat kekuatan yang baru iaitu semangat, fokus dan produktiviti ahli meningkat. Kerja berpasukan ini menjadi nadi kekuatan pelaksanaan program-program utama di IKM Lumut. Selain daripada memupuk semangat kerja berpasukan, responden juga mengakui bahawa mereka lebih bersemangat melakukan rutin harian di tempat kerja selepas pelaksanaan program 5S. Pembudayaan 5S benar–benar membuka mata warga IKM Lumut tentang kebersihan dan kekemasan. Kerja harian menjadi lebih kemas dan teratur disamping berjaya menjimatkan masa dan kos. Pendek kata, warga IKM Lumut lebih produktif di dalam melaksanakan tanggungjawab masing–masing. Melalui pemerhatian yang telah dilakukan oleh pengkaji, tahap motivasi staf dan kakitangan di IKM Lumut juga semakin meningkat melalui penerapan budaya-budaya berkualiti ini. Staf dan kakitangan IKM Lumut tidak mudah berputus asa di dalam melaksanakan sesuatu program walaupun terdapat kekangan-kekangan yang terpaksa dihadapi, contohnya masalah kewangan dan kekurangan alatan. Menurut Yeop Hussin Bidin (2006) pemupukan semangat berpasukan dapat 23

memotivasikan rakan sekerja, keberkesanan kesefahaman.

meningkatkan

komitmen

dan

PERBINCANGAN KAJIAN Budaya berkualiti yang diamalkan di sesebuah organisasi sememangnya meninggalkan kesan yang positif terhadap prestasi kerja kakitangan. Menurut Mohd Abdul Rahman (2008), kelaziman budaya cemerlang boleh menguntungkan banyak pihak di samping meningkatkan prestasi organisasi dan staf. Dapatan kajian yang dijalankan ini telah menyokong pendapat beliau, di mana prestasi staf dan kakitangan di Institut Kemahiran MARA Lumut adalah semakin meningkat melalui amalan budaya kerja cemerlang dan budaya 5S. Dapatan ini juga disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Lee King Chuan (2009) di mana dapatan kajian menunjukkan bahawa dimensi budaya organisasi yang dikaji mempunyai hubungan signifikan positif dengan prestasi kerja dan kekuatan hubungan adalah sederhana bagi penekanan terhadap ganjaran dan inovasi. Kajian yang dijalankan oleh Shek Kwai Fun (2007) juga menunjukkan bahawa tahap keberkesanan kerja berpasukan dan kepuasan kerja dalam Jabatan Bahasa dan Jabatan Sains Sosial adalah tinggi. Dapatan ini menyokong hasil kajian yang telah dijalankan. Pada 8hb Mei 2010, Tuan Haji Albakri bin Haji Alias yang merupakan Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Institut Kemahiran MARA Lumut telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2010 Peringkat Kebangsaan sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2010 anjuran Kementerian Sumber Manusia. Kejayaan beliau membuktikan keberkesanan budaya-budaya kualiti yang telah diamalkan di IKM Lumut. Organisasi juga tidak terkecuali daripada kesan pelaksanaan budaya berkualiti. Amalan budaya berkualiti di IKM Lumut telah meletakkan IKM Lumut di satu tahap yang boleh dibanggakan. IKM Lumut merupakan sebuah IKM yang cemerlang di mana ia telah menerima beberapa anugerah seperti Anugerah IKM / KKTM Cemerlang, Anugerah IKM Terbaik, Anugerah Ketua Pengarah 2007 dan telah mementerai beberapa MOU dengan syarikat swasta dan universiti tempatan. IKM Lumut telah dianugerahkan sijil Persekitaran Berkualiti 5S oleh MPC buat kali pertama pada Isnin 30 Mac 2009 dan persijilan semula pada 28 April 24

2010. Melalui kejayaan ini, IKM Lumut telah menjadi penanda aras perlaksanaan program 5S oleh beberapa institusi pendidikan MARA khasnya dan beberapa agensi kerajaan. Pelaksanaan budaya berkualiti di institusi pendidikan kemahiran ini juga telah banyak mengurangkan beban pihak pengurusan di dalam membuat sesuatu keputusan dan penyelesaian. Kesan amalan budaya berkualiti ini bukan sahaja memberi kesan yang amat mendalam kepada kakitangan dan IKM Lumut tetapi ia juga meninggalkan kesan yang membanggakan kepada Majlis Amanah Rakyat ke arah memperkasakan lagi sistem pendidikan MARA agar terus diyakini. KESIMPULAN Dapatan kajian ini adalah penting kerana ia dapat membantu masyarakat memahami peranan dan keberkesanan amalan budaya berkualiti di sesebuah organisasi. Amalan budaya di IKM Lumut ini bukan sekadar berkisar kepada budaya kerja cemerlang dan 5S tetapi IKM Lumut juga menerima pengikhtirafan MS ISO 9001:2008. Ini membuktikan bahawa IKM Lumut merupakan sebuah organisasi yang mengamalkan pembangunan kualiti. Walau bagaimanapun, masih terdapat juga budaya negatif yang tidak patut diamalkan di sesebuah organisasi. Contohnya, tingkah laku lambat hadir ke mesyuarat ataupun majlis formal yang masih diamalkan oleh segelintir kakitangan. Golongan ini masih berfikiran kolot dan berpegang kepada istilah “jam Melayu”. Tabiat ini diamalkan kerana ia akan merosakkan budaya ini kalau tidak dibendung akan mencemarkan budaya positif yang sudah lama dipupuk dalam organisasi. Salah satu budaya yang masih kental dengan jiwa masyarakat Melayu terutamanya kakitangan awam ialah budaya hasad dengki. Budaya sebegini tidak seharusnya wujud di dalam sebuah organisasi yang menerima banyak pengikhtirafan tetapi inilah hakikat yang berlaku. Apakah yang perlu kita lakukan untuk membendung budaya negatif ini? Persoalan ini harus dirungkai agar masyarakat Melayu tidak terus dibelenggu oleh sentimen negatif ini. Adalah amat diharapkan agar satu kajian mengenai masalah ini akan dapat dijalankan.

25

RUJUKAN Ab Aziz Yusof. 2008. Mengurus Perubahan Dalam Organisasi. Selangor. Arah Publications. Ahmad Fadzli Yusof. 2007. Mengurus Kerja Berpasukan. Kuala Lumpur. PTS Publication. Ali Mohammad Mosadegh Rad. 2006. The Impact Of Organizational Culture On The Successful Implementation Of TQM. TQM Magazine. Volume 18, No 16 pp 606-625. Arcaro, J.S.,1995, Quality in Education: An Implementation Handbook. Florida, St. Lucie Press. Barry, J. Thomas. 1998. Organisasi Kualiti Mutlak. Keseimbangan dan Keharmonian Demi Keunggulan. Kuala Lumpur. Penerbit Piramid Sdn. Bhd. Burnham, J.W, 2007. Mengurus Kualiti Sekolah. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad. Casson, Steve dan George, Clive. 1995. Culture Change For Total Quality. London. Pitman Publishing. Chek Mat. 1996. Pengurusan Berkualiti Dalam Perkhidmatan. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Ehlers, Ulf Daniel. 2009. Understanding Quality Culture. Quality Assurance in Education. Volume 17, No 4, pp 343-363. James R. Evans and James W. Dean, Jr, 2000, Total Quality, Management, Organisation and Strategy, Canada, SouthWetern College. Lee King Chuan. 2009. Hubungan Antara Budaya Organisasi Dengan Prestasi Kerja. Satu Kajian Di Pasukan Polis DiRaja Malaysia. Tesis sarjana tidak diterbitkan. Universiti Utara Malaysia. Mohd Ashari Idris. 2004. Orientasi Kualiti. Prinsip dan Amalan Strategik. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof. 2005. 55 Petua Kerja Berpasukan. Selangor. PTS Millenia.

26

Mumtaz Begam Abdul Kadir dan Mohamed Sani Ibrahim. 2008. Integriti Peningkatan Kualiti Organisasi. Kuala Lumpur. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Omachonu, Vincent and Ross, Joel.E. 2004 . Principal Of Total USA . CRC Press.

Quality

Ruhani Mat Min. 2009. Budaya Sekolah: Implikasi Terhadap Proses Pembelajaran Secara Mengalami. Jurnal Kemanusiaan.Bil 13. Shafie Hj Mohd Salleh dan Mohd Affandi Hassan. 1991. Kecemerlangan Pentadbiran Dasar dan Amalan Dalam Islam. Kuala Lumpur. Institut Tadbiran Awam Negara. Shek Kwai Fun. 2007. Keberkesanan Kerja Berpasukan dan Kepuasan Kerja Ketua Panitia Dalam Jabatan Bahasa dan Sains Sosial di Sekolah Menengah Daerah Pontian. Tesis sarjana yang tidak diterbitkan. Universiti Teknologi Malaysia. Warta MARA. April-Julai 2010. Bahagian Hal Ehwal Korporat MARA. Bil. 18/10 ISSN 1823-9560. Yeop Hussin Bidin. 2006. Kerja Berpasukan. Selangor. PTS Profesional.

27