UCAPAN PERASMIAN YBHG DATO’ DR ABD LATIF MOHMOD SEMPENA

percaya sambutan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik pada hari ini ... sekolah demi kemajuan pelajar dan pembangunan sekolah...

28 downloads 260 Views 345KB Size
UCAPAN PERASMIAN YBHG DATO’ DR ABD LATIF MOHMOD SEMPENA MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK SMK KEPONG 2014 DEWAN BESTARI, SMK KEPONG SABTU - 19 APRIL 2014 8.15 PAGI Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia. Yang Berusaha Dr. Sarojini Devi A/P Algaretnam Pengetua SMK Kepong, Puan Chow Yuet Kuan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Encik Mohd Shoed bin Mansor Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kepong Puan Maiadah Haji Idris Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam Pengerusi PIBG serta ahli-ahli jawatankuasa, Para ibu bapa, guru-guru, Seterusnya pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama hadir bagi menjayakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik, Sekolah Menengah Kepong tahun 2014. Ucapan terima kasih saya kepada SMK Kepong kerana telah sudi menjemput saya untuk sama-sama hadir pada hari ini bagi meraikan pelajar-pelajar yang mendapat kecemerlangan dan pengiktirafan dalam bidang akademik. Saya percaya sambutan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para 1

pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada barisan guru yang bertungkus lumus merealisasikan majlis ini. Tidak dilupa ucapan terima kasih atas kehadiran para ibu bapa pada hari ini. Sesungguhnya kehadiran tuan/puan sekalian mencerminkan komitmen dan hubungan silaturrahim yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah. Tuan-tuan dan puan-puan, Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang akan menerima hadiah atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan SPM dan STPM. Diharap pencapaian cemerlang tersebut tidak berakhir di sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Rebutlah peluang yang ada di sekeliling kita, baik dalam bidang akademik mahupun bidang kemahiran. Kepada pelajar ini, teruskan perjuangan anda, tuntutlah ilmu setinggi yang mungkin untuk meraih keputusan lebih cemerlang. Tahniah! Sesungguhnya, dalam usaha merealisasikan cita-cita ke arah wawasan negara, kita dihadapkan dengan pelbagai cabaran dalam menerajui generasi masa kini serta cabaran dalam dunia pendidikan yang semakin rencam. Namun kita seharusnya tidak goyah dengan cabaran dan rintangan ini. Ibu bapa perlu menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan oleh guru-guru di sekolah akan diteruskan apabila pelajar-pelajar balik ke rumah. Justeru, kita sebagai ibu bapa perlu mengorbankan masa dan tenaga, malah wang ringgit agar dapat membentuk modal insan yang mampu meneruskan perjuangan murni demi bangsa, agama dan negara. Hadirin yang saya muliakan, Untuk melahirkan golongan pelajar yang cemerlang, semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah untuk merealisasikan impian. Hasil gabungan dan kerjasama mantap yang terjalin, kecemerlangan akademik mampu digapai. Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata pepatah seperti aur dengan tebing. 2

Saya juga menyedari bahawa ramai anak penjawat awam FRIM yang menimba ilmu di sekolah ini. Pihak FRIM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah SMK Kepong kerana usaha guru-gurunya yang bertungkus lumus dalam mencorakkan kegemilangan sekolah, termasuklah melakarkan kejayaan anak-anak kami. Untuk itu, pihak FRIM akan cuba sedaya upaya dalam memberikan bantuan kepada pihak sekolah demi kemajuan pelajar dan pembangunan sekolah. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, Pemimpin dan barisan guru di sekolah ini boleh bertukar ganti, boleh datang dan pergi, namun organisasi sekolah mesti dipertahankan walau siapa pun yang menerajuinya. Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh diperjudikan. Semua pihak termasuk para guru, ibu bapa dan pelajar patut memberi sokongan padu kepada pengetua dan pentadbir sekolah jika semua mimpi indah tentang kecemerlangan ingin direalisasikan. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua warga sekolah terutamanya pelajar-pelajar yang telah menempa kejayaan dalam bidang akademik. Semoga kejayaan anda akan menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain yang masih berada di bangku sekolah. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan, Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMK Kepong, tahun 2014. Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

3