PERTUKARAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN NEGERI DI SEKOLAH AGAMA MENENGAH KEPADA PERKHIDMATAN PERSEKUTUAN: SUATU KAJIAN KESANNYA KEPADA PENTADBIRAN PENDIDIKAN ISLAM DI NEGERI SELANGOR Azizi Umar Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia Supyan Hussin Institut Alam Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak: Kertas kerja ini akan membincangkan masalah kakitangan perkhimatan pendidikan negeri Selangor yang telah membuat opsyen untuk berada di bawah perkhidmatan pendidkan persekutuan. Pertukaran ini adalah hasil daripada ppilihan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran susulan daripada proses pendaftaran Sekolah Agama Menengah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor sebagai Sekola Agama Bantuan Kerajaan pada tahun 2005. Ia bertujuan untuk mengemukakan kesan pertukaran tersebut dalam pentadbiran pendidikan agama Islam di negeri tersebut. Hasil kajian yang diperolehi daripada meteodologi yang digunakan, keprihatianan kepada pemerkasaan Sekolah agama tersebut semakin meningkat dari kedua‐dua belah pihak. Bagaimanapun, tahap keprihatianan tersebut telah mempengaruhi polisi pendidikan kedua‐dua belah pihak sehingga mencetuskan konflik pemilikan kuasa dari sudut autoriti dan logistik.
PENGENALAN Dalam perbincangan mengenai isu‐isu pendidikan di rantau dan Malaysia amnya, masalah pendidikan Islam sering terpinggir dalam arus pendidikan negara. Kemungkinan ini adalah disebabkan pendidikan Islam itu sendiri dilihat dalam perspektif kecil melalui amalan kurikulumnya yang menfokus kepada bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab. Pendidikan Islam merupakan salah satu daripada satu sistem kehidupan dalam Islam itu sendiri. Lantaran itulah ia dibina di atas falsafah, pembudayaan dan penginstitusiaannya serta mempunyai kaedah pembelajaran, pengajaran dan teori ilmu yang tersendiri. Ilmu dan pembinaan kurikulumnya adalah alat untuk mencapai tujuan pendidikan tadi termasuklah guru yang mengajar ilmu tersebut. Dalam perspektif yang lain, pendidikan Islam juga mempunyai institusinya yang tersendiri seperti surau dan pondok yang dibina sejak awal kemunculan Islam lagi sehinggalah saat kejatuhan keagungannya di zaman Khalifah Othmaniyyah 1920an. Di Nusantara samada di Malaysia atau Indonesia, kemunculan institusinya tidak jauh berbeza kerana ia menerima Islam dalam kontek satu kelompok yang sama. Perbezaan perkembangan institusinya hanya berlaku selepas masing‐masing mencapai kemerdekaan. Pengisian dalam kemerdekaan tersebut sudah tentu bergantung kepada perancangan polisi yang dibina oleh penjajah masing‐masing. Dengan semangat nasionalisme dan dasar pecah dan perintah penjajah pada masa itu, tidak mungkin corak perkembangannya sama. Di Malaysia, jelas sekali undang‐undang yang digubal adalah berasaskan Suruhanjaya Lord Reid dan ahli‐ahli jawatankuasanya. Dalam kontek polisi pendidikan pula, Laporan Barnes 1951, bolehlah dianggap sebagai laporan pendidikan pertama yang dibina sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan. Dalam laporan tersebut terdapat kedudukan kurikulum pengajaran agama dalam polisi pendidikan kebangsaan (Federal Ordinance, 1952). PERSPEKTIF AWAL DI INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA Oleh yang demikian, perbincangan mengenai isu‐isu pendidikan Islam khususnya di Malaysia tidak lagi terikat kepada kurikulumnya sahaja tetapi juga institusinya seperti sekolah agama. Perlu disebutkan di sini, selepas kemerdekaan, berasaskan prinsip perlembagaan, terdapat dua kerajaan yang menguruskan
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 134 pendidikan Islam iaitu kerajaan persekutuan dan negeri. Kerajaan persekutuan mentadbir kurikulum pendidikan Islam manakala kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas institusi pendidikan Islam seprti sekolah agama dan kurikulum pengajian agama yang berasaskan sistem madrasah (kurikulum Diniah atau juga disebut kurikulum Al‐Azhar). Pembinaan sekolah agama adalah hasil daripada perubahan besar‐besaran institusi pondok yang telah mengalami pembaharuannya. Pembaharuan yang berlaku sejak awal abad ke‐20 ini mendapat kerjasama yang padu daripada pihak berkuasa agama negeri yang pada masa itu belum mempunyai kerajaan berdaulat seperti hari ini. Ia hanya mula diperkukuhkan oleh pihak berkuasa agama negeri sejak selepas kemerdekaan (Nabir Abdullah, 1976) . Dalam situasi hari ini, sekolah agama seringkali dikaitkan dengan masalah kelemahan pengurusan dan masalah sumber kewangan walaupun ia juga telah ditadbir oleh sebuah kerajaan. Dari segi kebaikan dan kehebatannya pula, ditonjolkan sekolah tersebut dari sudut pembinaan kurikulumnya yang bersifat serampang dua mata atau dwi‐kurikulum yang bertujuan melahirkan insan yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara. Dalam kertas kerja yang ringkas ini penulis ingin membincangkan tentang masalah perancangan dan pengurusan sumber manusia bagi guru‐guru sekolah agama di bawah pentadbiran jabatan agama khususnya di negeri Selangor. PERKHIDMATAN PENDIDIKAN Sistem bantuan perkapita kepada sekolah‐sekolah agama rakyat (SAR) telah dihentikan pada tahun 2002. Bagaimanapun satu langkah baru untuk mengatasi masalah SAR ialah dengan mendaftar sekolah tersebut sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Cadangan ini adalah hasil daripada Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pendidikan Islam, Peranan Sekolah Agama Rakyat dan Memperkasakan Sekolah Kebangsaan Khususnya Pendidikan Islam. Laporan ini dipengerusikan oleh Tan Sri Murad pada tahun 2004. Cadangan ini sebenarnya bukanlah baru kerana ia telah lama dibuat oleh kementerian pendidikan berkaitan dengan status SAR pada tahun 1996. Kajian tersebut mencadangkan agar menjadikan SAR sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) berdasarkan akta tersebut (Kementerian Pendidikan, 1996). Melalui beberapa perbincangan, kerajaan negeri Selangor telah mengambil keputusan untuk mendaftar kesemua sekolah menengah yang berjumlah 23 buah dan diserahkan kepada kementerian pelajaran (sebelum ini dikenali sebagai kementerian pendidikan). Ia telah diakhiri dengan satu memorendum persefahaman antara kedua belah pihak. Memorandum tersebut telah ditandatangani pada 28Disember 2004. Berasaskan memorendum persefahaman tersebut, terdapat tiga asas utama yang melibatkan perkhidmatan pendidikan dan perguruan (Memorandum Persefahaman, 2004): • Pegawai perkhidmatan pendidikan negeri yang bertaraf tetap mempunyai pilihan untuk memasuki perkhidmatan pendidikan persekutuan atau kekal dengan perkhidmatan sedia ada. Penerimaan kemasukan tersebut tertakluk kepada syarat‐syarat perkhidmatan yang ditetapkan. •
Guru‐guru yang memilih untuk kekal dengan perkhidmatan sedia ada dibenar mengajar mana‐ mana sekolah agama di bawah persekutuan dengan syarat gaji dan elaun mereka dibayar oleh Kerajaan Negeri sehingga tamat perkhidmatan atau bersara. Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa ke atas guru‐guru tersebut dari sudut pengajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran.
•
Manakala bagi guru dalam perkhidmatan negeri yang belum bertaraf tetap diterima masuk dalam perkhidmatan persekutuan tertakluk kepada syarat‐syarat perkhidmatan yang telah ditetapkan.
Bagi menjayakan hasrat tersebut, beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan persekutuan melalui kementerian pelajaran iaitu menawarkan pilihan kepada kakitangan atau guru di sekolah agama untuk
134
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 135 membuat opsyen samada kekal dengan perkhidmatan negeri atau membuat pilihan baru dengan memasuki skim baru sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan persekutuan. Langkah ini adalah bertepatan dengan peraturan perkhidmatan awam (Abrar, Temubual, 16 Mei 2006). Menurut sumber Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), seramai 79 guru daripada 113 orang yang berjawatan tetap dalam perkhidmatan negeri telah memilih untuk memasuki perkhidmatan baru iaitu perkhidmatan persekutuan. Selebihnya kekal dengan perkhidmatan sedia ada. Manakala kakitangan yang tidak berjawatan tetap, ke semuanya memasuki perkhidmatan persekutuan. TUJUAN KAJIAN Satu kajian telah dijalankan untuk meneliti, pertama, mengetahui beberapa asas pertukaran perkhidmatan tersebut; kedua, melihat kesan pertukaran tersebut khususnya pertukaran perkhidmatan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor kepada perkhidmatan persekutuan. Kertas ini akan membincangkan kesan tersebut dari sudut arahan dan etika perkhidmatan, perjalanan kurikulum matapelajaran Diniah di sekolah tersebut, masalah dalam menentukan sumber kewangan yang wajar diperolehi dan yang paling penting ialah kedudukan negeri sebagai kuasa eksekutif ke atas sekolah tersebut. Kaedah pengumpulan data kertas kerja ini diperolehi melalui temubual pihak‐pihak yang berautoriti di Jabatan Agama Islam di Negeri Selangor khususnya bahagian pentadbiran, sumber manusia, kurikulum dan pengurusan sekolah. Bagaimanapun, penyelidik juga telah menemubual pegawai‐pegawai persekutuan samada di Kementerian Pelajaran Melaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Di KPM, pegawai bahagian pengurusan sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) menjadi rujukan penyelidik. Jabatan ini telah distruktur semula sekarang ini dan digantikan dengan Bahagian Pendidikan Islam. Manakala di JAKIM, bahagian pendidikan Islam dan Urusetia LEPAI menjadi pihak yang sangat berautoriti kepada kajian penulisan ini. Informan yang ditemubual adalah terdiri daripada pegawai‐pegawai yang sedang berkhidmat dan telah bersara daripada perkhidmatan. Kedua‐dua gabungan ini akan memberikan kelebihan dalam kajian ini kerana sesetengah pegawai tidak lagi terikat dengan etikadalam perkhidmatan khususnya dalam memberikan pandangan bebas. Penyelidik juga menemubual pegawai dari luar negeri ini bagi menyokong hujah yang dikemukan kerana ia bersifat pembuatan polisi yang sama. Selain daripada temubual, penyelidik memperolehi data daripada dokumen‐dokumen rasmi kerajaan termasuk akta‐ akta, enakmen, laporan rasmi dan memorendum untuk menguatkan kajian ini. Penyelidik juga telah menggunakan metod observasi dengan hadir sendiri ke majlis‐majlis tertentu berkenaan dengan pertukaran perkhidmatan ini. Penyelidik memilih negeri Selangor sebagai sampel kajian mengenai sumber manusia ini memandangkan ia merupakan sebuah negeri yang sudah maju berbanding dengan negeri‐negeri lain dari sudut pembangunan sekolah agama. Bagaimanapun, pertukaran dan perpindahan guru tetap berlaku walaupun upah bagi perkhidmatan mereka sebenarnya berada pada tahap yang memuaskan. Sekiranya pertukaran ini berlaku di negeri‐negeri lain seperti Kedah, Perak, Kelantan, ia tidak mengejutkan penyelidik kerana sudah pasti perkhidmatan yang bakal dipeolehi nanti jauh berbeza dengan perkhidmatan baru yang diperolehi daripada perkhidmatan persekutuan. PERBINCANGAN AWAL Ada tiga persoalan besar yang timbul hasil daripada memorendum persefahaman tersebut;
135
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 136 •
•
•
Pertama: Sekolah agama di Selangor di bawah pentadbiran JAIS bukanlah SAR dalam kategori yang telah ditetapkan oleh kementerian pelajaran. Ia adalah Sekolah Agama Negeri (SAN). Kedua: Sekolah agama ini tidak terlibat dengan bantuan per kapita yang telah dihentikan. Ia telah ditadbir dengan baik sebelum ini tanpa sebarang masalah kewangan yang serius. Ketiga: Hasrat asal kementerian ialah untuk memberikan keutamaan kepada SAR yang benar‐benar dhaif dari sudut kemudahan, gaji guru dan infrastruktur yang lain.
Berasaskan ketiga‐tiga persoalan di atas, penyelidik berpandangan bahawa adanya faktor lain yang mempengaruhi keputusan kerajaan negeri Selangor mendaftar sekolah tersebut. Antara faktor yang paling ketara ialah masalah kewangan. Masalah kewangan yang dimaksudkan ialah kerajaan negeri berpandangan adalah lebih baik soal pendidikan agama Islam di peringkat negeri diserahkan kepada kerajaan persekutuan memandangkan bebanan ini akan terus bertambah pada masa hadapan. Memahami bahawa peluang mengurangkan bebanan telah dibuka oleh kerajaan persekutuan dalam kontek penyediaan peruntukan perbelanjaan pendidikan Islam dan perbendaharaan negeri mempunyai bebanan yang lain , pilihan lebih baik yang ada ialah menyerahkan sumber kewangan ini diambil daripada kerajaan persekutuan. Tambahan pula Laporan Tan Sri Murad dan kementerian pelajaran tidak menunjukkan penolakan ke arah pendaftaran tersebut. DAPATAN KAJIAN Perbincangan dapatan kajian akan dibahagi kepada tiga bahagian agar ia dapat dilihat dengan lebih mendalam: A. Kuasa Perlembagaan Dalam Mewujudkan Jawatan. B. Kekangan Negeri Dalam Mewujudkan Jawatan dan C. Konflik Bidang Kuasa Melantik Pengetua dan Guru. A. Kuasa Perlembagaan dalam Mewujudkan Jawatan Kuasa terhadap Sekolah Agama Mengikut Perlembagaan Malaysia, pendidikan Islam diletakkan dalam hal ehwal agama Islam iaitu di bawah kuasa Raja‐raja Melayu (Perlembagaan Persekutuan, 2007). Bagaimanapun, jika dilihat Akta pelajaran 1961, terdapat dua pihak yang mentadbir pendidikan agama Islam. Kementerian pelajaran mentadbir pendidikan agama Islam di sekolah menengah bantuan kerajaan dan kerajaan negeri mentadbir pendidikan agama Islam di sekolah rendah kerajaan. Pada masa ini kurikulum Diniah di Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) ditadbir oleh majlis agama Islam dan lembaga pengelola sekolah masing‐masing. Matapelajaran agama atau diniah juga masih belum dibincangkan dalam laporan tersebut walaupun ianya sudah lama diperkenalkan. Peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Status perkhidmatan guru di Malaysia bergantung kepada sektor yang dimasuki oleh seseorang penjawat. Sektor perkhidmatan awam mempunyai skim tersendiri dalam melantik, mewujudkan jawatan dan seterusnya diberikan taraf berpencen kepada mana‐mana guru tanpa mengambil kira tahap kelayakan akademik. Jika kelayakan akademkik tidak mencukupi, menjadi tanggungjawab pihak kerajaan persekutuan untuk memberikan latihan dan kepakaran kepada guru terbabit. Begitu juga dalam sektor swasta, ia mempunyai skim dan kaedah tersendiri dalam memberikan ganjaran kepada kakitangannnya. Bahkan dalam keadaan tertentu, di sektor tersebut terdapat syarikat yang mampu
136
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 137 memberikan ganjaran yang lebih baik berbanding dalam sektor awam. Namun ianya banyak bergantung kepada kekukuhan ekonomi syarikat tersebut. Pendidikan perguruan penting kepada bakal pendidik kerana ia bertujuan menghasilkan guru mahir dan cekap mengajar di sekolah‐sekolah. Walau bagaimanapun, latihan mengajar masih tidak cukup dalam menyediakan mereka. Pendidik sentiasa menghadapi desakan yang berubah‐ubah hasil perubahan masyarakat (Abdul Rahman Aroff, 1987). Hassan Langgulung (1991) berpandangan bahawan guru bukan hanya bertindak sebagai pengajar bahkan menjadi motivator atau fasilitator. Pendidikan perguruan adalah sebahagian daripada proses pendidikan. Bakal guru bukan sahaja sekadar meningkatkan kecekapan dan kemahiran mengajar bahkan perlu memajukan dirinya sendiri sebagai guru dan individu yang boleh dicontohi. Bagi Awang Had Salleh (1985), guru‐guru terlatih perlu mengikuti latihan dalam perkhidmatan. Inilah yang dikatakan profesion perguruan yang sebenar.
Saranan tersebut bertepatan dengan apa yang disebut oleh Jabir bahawa pengajaran adalah seni dan bukan ilmu semata‐mata yakni satu kemahiran tertentu (Jabir Abd al‐Hamid, 1982). Bagi Hamdan, ia bukan satu lapangan kerja tetapi lapangan ikhtisas yang berkehendakkan kepada mahu berkhidmat, berbakti dan berjasa kepada masyarakat dan negara. Ia bukan bermatlamat mendapat gaji atau cuti penggal semata‐mata (Hamdan Sheikh Tahir, 1975). Sungguhpun mereka telah mengikuti prosedur pemilihan yang baik, latihan kursus, teladan yang baik namun proses penilaian ke atas mereka perlu ada dan hendaklah berterusan agar mereka memperbaiki diri dari semasa ke semasa (Muhammad Hamid Al‐ Afendi & Nabi Ahmed Baloch, 1980). Kedua‐dua penulis ini berkata, pendidik yang terbaik ialah mereka yang tidak sahaja berusaha hingga sempurna pengajaran mereka dengan cara mengamalkan kemahiran tersebut bahkan mendalamkan lagi penguasaan mereka dalam matapelajaran yang diajar dengan pelajaran lanjutan.
Selain itu, bakal‐bakal pendidik hendaklah mendidik sepertimana mereka mendidik anak‐anak mereka. Bahkan mendidik pelajar lebih penting daripada mendidik anak‐anak kerana mendidik pelajar adalah proses pendidikan ke arah kehidupan yang berkekalan (Muhammad Hasan, Dr. & Nadiyah Jamal al‐ Din, 1984). Ketinggian iltizam yang ditunjukkan oleh guru‐guru hanya akan berhasil apabila keperluannya telah diberikan. Penulis berpandangan pendidikan perguruan adalah keperluan rohani bagi seorang guru manakala menjaga kebajikan mereka adalah keperluan jasmani. Kedua‐dua keperluan ini seharusnya dihormati dalam mana‐mana institusi pentadbiran khususnya pendidikan.
Dalam kontek perlembagaan di Malaysia, kerajaan negeri dan pihak sekolah tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mewujudkan perjawatan guru yang berstatus pegawai awam. Dalam Perkara 132 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai perkhidmatan awam, adalah jelas kuasa mewujudkan jawatan dalam perkhidmatan awam adalah di bawah Kerajaan Persekutuan. Ia telah diletakkan di bawah urusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Jawatan yang diwujudkan oleh negeri melalui perkhidmatan negeri juga sebenarnya tertakluk kepada kelulusan JPA (Salehuddin Kayat, Temubual). Kedudukan masalah perjawatan ini dijelaskan dalam Perkara 144 Fasal (1) Tugas‐tugas Suruhanjaya Perkhidmatan:
”Tertakluk kepada peruntukan mana‐mana undang‐undang yang ada dan kepada peruntukan Perlembagaan ini, maka adalah menjadi kewajipan sesuatu Suruhanjaya yang dimaksudkan oleh Bahagian ini melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukar dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota‐anggota bagi perkhidmatan atau perkhidmatan‐perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasanya”.
Peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Peraturan di atas bukanlah bermakna negeri tidak boleh mewujudkan jawatan guru agama untuk mengajar kurikulum Diniah semata‐mata. Apa yang dimaksudkan ialah untuk jawatan guru agama yang
137
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 138 setanding dan bertaraf pegawai awam sepertimana di sekolah‐sekolah kerajaan yang lain. Sekiranya kerajaan negeri hendak mewujudkan jawatan guru bertaraf perkhidmatan awam tersebut, ia perlu dirujuk kepada suruhanjaya perkhidmatan negeri terlebih dahulu. Mereka boleh mewujudkan jawatan tersebut tetapi dengan memperkenalkan skim perkhidmatan tersendiri yang dirancang pada peringkat negeri sahaja seperti mana dalam sektor swasta serta menanggung kos operasinya sendiri termasuk gaji guru dan pentadbir. Proses mewujudkan jawatan yang bertaraf pegawai perkhimatan pendidikan ini sangat mustahak bagi mana‐mana guru kerana ia akan memberikan jaminan dan kepuasan dalam perkhidmatan mereka nanti. Bagi seseorang guru, keperluan kedudukan ekonomi yang kukuh dari segi gaji dan upah sangat penting. Gaji, upah atau elaun dan seumpamanya merupakan faktor yang boleh memberikan ransangan, motivasi dan semangat dalam profesional mereka (Sufean Hussin, 1996). Ini adalah kerana dengan sumber kewangan itu sahajalah, mereka boleh memenuhi kehendak dan citarasa mereka yang lain seperti keselesaan hidup, keperluan asasi dan sebagainya. Mereka sebenarnya berhak menuntut gaji sebagai ganjaran perkhidmatan yang telah diberikan (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1997). Keterbatasan Kerajaan Negeri dan Sekolah Kerajaan Negeri dan pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) mempunyai kuasa penuh dalam mewujudkan dan merangka bentuk kurikulum matapelajaran Diniah yang dikehendaki dengan keadaan semasa. Bagaimanapun mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk mewujudkan jawatan guru yang akan mengajar kurikulum tersebut setanding dengan keperluan semasa. Mereka boleh melantik dan membayar gaji guru tetapi imbuhan dan jumlah gaji yang mampu diberikan tidaklah setanding dengan kemampuan yang ada pada Kerajaan Persekutuan (Azizi Umar & Supyan Hussin 2007)). Apatah lagi dari sudut imbuhan tambahan dan status berpencen. Dengan memperkenalkan dwi‐kurikulum dalam sistem pendidikan, bermakna kerajaan negeri perlu menyediakan dua kategori guru iaitu guru matapelajaran akademik dan diniah. Kekangan ini sangat dirasai memandangkan di peringkat persekutuan telah diwujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk merancang sumber manusia berkaitan dengan guru di peringkat sekolah. Persoalan besar yang dihadapi oleh negeri ialah mana mungkin kerajaan negeri boleh menanggung keseluruhan perbelanjaan mengenai semua hal ehwal persekolahan seperti infrastruktur, gaji dan latihan guru serta perbelanjaan lain dalam jangka masa panjang (Azizi Umar & Supyan Hussin 2007). Permasalahan dalam penyediaan kurikulum Diniah adalah kuasa negeri, bagaimana pula dengan guru Diniah ? Tidakkah per jawatan guru adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Dalam konteks pendaftaran SAN sebagai sekolah bantuan kerajaan, ia perlu dilihat dari sudut kekurangan kelayakan dan perjawatan guru. Ini adalah kerana tanggungjawab untuk mewujudkan jawatan guru agama yang bertaraf pegawai perkhidmatan awam diletakkan di bawah kerajaan persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Perjawatan guru pendidikan Islam yang diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran adalah berdasarkan keperluan sesuatu jumlah mata pelajaran dalam kurikulum kebangsaan. Perjawatan guru‐guru di bawah perkhidmatan kerajaan negeri samada guru bagi matapelajaran Diniah atau akademik, status perkhidmatannya agak berbeza sedikit berbanding dengan perkhidmatan persekutuan. Ini disebabkan perkhidmatan asal guru sekolah agama lebih cenderung memainkan peranan sebagai sektor kebajikan dan masyarakat dengan sedikit bantuan daripada institusi‐instiusi terlibat seperti majlis agama Islam. Ia mula disalur sejak awal penubuhannya lagi. Perkembanganya sangat pesat dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang bertambahan pada setiap tahun sedangkan institusi tersebut juga mempunyai kewangan yang sangat terhad. Perkembangan hari semakin baik apabila peranan institusi tersebut turut dibantu oleh kerajaan negeri yang juga mendapat agihan
138
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 139 daripada perbendaharaan persekutuan. Ini menjadikan sumber perjawatan guru di sekolah agama adalah gabungan daripada masyarakat, institusi agama, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun gabungan keempat‐empat sumber tersebut masih belum memadai jika dibandingkan dengan kos perbelanjaan yang terpaksa di tangung oleh pihak berkuasa negeri. Terdapat juga keadaan di mana pihak majlis agama Islam negeri mengeluarkan fatwa bahawa guru di sekolah agama tidak lagi layak menerima peruntukan wang agihan zakat (Salehuddin Kayat, Temubual, 20 Mac 2007). Ini adalah kerana terdapat guru yang mendapat jawatan tetap. Penulis mencadangkan agar jawatan guru baru bagi mengajar matapelajaran kurikulum al‐Azhar diwujudkan segera dengan nama Guru Diniah atau seumpamanya. Ia perlu dimulakan dengan memberikan pengiktirafan kepada matapelajaran Diniah sebagai kurikulum kebangsaan. Perjawatan ini tidak lagi dilepaskan kepada negeri semata‐mata. Bagaimanapun, pada peringkat awal dan permulaan ini adalah wajar kerajaan negeri memainkan peranan terlebih dahulu sesuai dengan peranannya sebagai kuasa eksekutif dalam hal ehwal Islam. Dengan tidak menafikan akan wujudnya peminggiran dalam hal ehwal pengajaran kurikulum pendidikan Islam dan Diniah pada masa depan, penulis mencadangkan kedua‐dua belah pihak boleh bersama‐sama merancang keperluan pengajarannya pada masa depan. Jika tiada kesungguhan dan komitmen tersebut, masa depan kurikulum Azhar bakal berkubur secara perlahan‐lahan. Ia seharusnya bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan negeri tetapi juga kementerian pelajaran. Pengalaman Perubahan Perkhidmatan Sejarah pengambilalihan SAR pada tahun 1977 juga membuktikan pertukaran status perjawatan guru menimbulkan pelbagai masalah apabila telah diserapkan ke sekolah kerajaan. Ramai guru yang tidak boleh diserap kerana tiada kelayakan ikhtisas dan terpaksa berpindah sekolah bukan kerajaan sehinggalah tamat umur pencen sebenar. Pengalaman sebagai pengasas, pengetua, ahli lembaga pengelola dan guru bukan satu jaminan dan tidak diambil kira dalam proses perjawatan (Nik Zaharah, Temubual, 12 Mei 2006). Bagaimanapun bagi penulis, apa yang berlaku sebelum ini tidak akan sama dengan apa yang berlaku sekarang. Sesuai dengan perkembangan semasa dan perubahan polisi yang sudah berkembang, sejarah lama tidak semestinya berulang dalam bentuk yang sama. Soal kebajikan guru berkaitan hal ehwal perjawatan dan perkhidmatan perguruan dari segi kenaikan pangkat adalah sangat mustahak. Komitmen guru akan tawar apabila prestasi dan budaya kerja cemerlang mereka langsung tidak diambil kira. Selain itu, kelengkapan untuk menyediakan peralatan pengajaran dan latihan perguruan juga memerlukan kos yang tinggi. Walaupun pihak berkuasa agama negeri juga mempunyai peruntukan ke arah tersebut tetapi sebenarnya masih belum mencukupi untuk menanggungnya. Tambahan pula, pengurusan dan penyelarasan antara jabatan agama negeri dan jabatan persekutuan sukar untuk dilaksanakan khususnya dalam penggunaan kegiatan kemudahan guru. Oleh yang demikian, perubahan dalam perkhidmatan dengan mengambil kira budaya profesional yang menggalakkan motivasi, prestasi dan kepuasan dapat dilaksana dengan baik. Dalam sejarah awal Islam, mengajar dianggap sebagai tugas keagamaan. Guru‐guru dilarang menerima bayaran atau gaji (Al‐Ghazali, t.th). Setelah perkembangan ilmu pesat, ahli perundangan mencari jalan menghalalkannya agar sesuai dengan perkembangan semasa (Tibbawi, 1972). Perkhidmatan yang sempurna bagi guru‐guru tersebut amat diperlukan agar seiring dengan perkembangan masa. Jika tiada kesungguhan dan komitmen tersebut, masa depan kurikulum Azhar di negara ini akan lenyap. Kedua‐dua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan mempunyai tanggungjawab bagi mengelakkan hal ini dari berlaku.
139
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 140 B. Kekangan Negeri dalam Mewujudkan Jawatan Bebanan Dwi‐Kurikulum Kerajaan Negeri dan pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) mempunyai kuasa penuh untuk mewujudkan dan merangka bentuk kurikulum Diniah yang dikehendaki dengan keadaan semasa. Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk mewujudkan jawatan guru yang akan mengajar kurikulum tersebut setanding dengan keperluan semasa. Mereka boleh melantik dan membayar gaji guru tetapi imbuhan dan jumlah gaji yang mampu diberikan tidaklah setanding dengan kemampuan yang ada pada Kerajaan Persekutuan. Apatah lagi dari sudut elaun tambahan dan status berpencen. Dengan memperkenalkan dwi‐kurikulum dalam sistem pendidikan, bermakna kerajaan negeri perlu menyediakan dua kategori guru, iaitu guru mata pelajaran akademik dan diniah. Pengalaman Tanggungan Pada awal kemerdekaan, situasi yang sama telah berlaku ke atas kerajaan negeri. Sebagai contoh, pada tahun 1961 lagi, Menteri Pelajaran telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas untuk menyelesaikan permasalahan dalam seksyen 49 Akta Pelajaran 1961 dengan segera (Abdullah Ishak, 1995). Namun disebabkan beberapa permasalahan, jawatankuasa ini telah tergendala sebelum dihidupkan semula. Kerajaan negeri telah diminta untuk menyediakan guru‐guru agama sementara perbelanjaan bagi pelajaran tersebut hendaklah ditanggung bersama oleh kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan (Federation of Malaya, 1960 ). Pengajaran agama Islam juga tidak terdapat di sekolah‐sekolah menengah melainkan di sekolah berasrama bagi murid‐murid Melayu yang guru‐gurunya dilantik oleh Kementerian Pelajaran. Dalam peruntukan Akta 1961, semua sekolah‐sekolah bantuan kerajaan diwajibkan mengadakan pelajaran agama selama dua jam (120 minit ) seminggu sekiranya terdapat 15 orang atau lebih murid‐murid beragama Islam (Federation of Malaya 1961 ). Bagi melicinkan lagi perlaksanaannya, satu pindaan Akta Pelajaran 1961 Seksyen 37 telah dipinda (Pindaan 1963) telah dibuat pada 12 September 1963. Menurut akta tersebut, Kerajaan Pusat hendaklah menanggung separuh (50%) daripada perbelanjaan bagi melaksanakan pelajaran Agama Islam termasuk guru agama di sekolah rendah. Dalam akta yang sama, ia juga menanggung sepenuhya di sekolah menengah bantuan kerajaan. Bagi melaksanakan tugas dan kewajipan yang termaktub dalam Akta tersebut yang dikuatkuasakan dalam tahun 1963, Kementerian Pelajaran Tanah Melayu telah menyusun sukatan pelajaran Agama Islam, pengambilan guru‐guru agama, mengadakan latihan perguruan, menjalankan pentadbiran dan pembiayaan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah (Kementerian Pelajaran 1960 ). Dalam mesyuarat ke 18 Jawatankuasa Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, satu ketetapan telah diambil untuk mewujudkan Skim Bantuan Guru Agama/Akademik kepada SAN (Bahagian Pendidikan Islam dan Moral 1983). Dari sudut pembayaran gaji dan elaun hendaklah ditanggung oleh pihak berkuasa negeri masing‐masing daripada geran atau bantuan mengikut Akta Pelajaran ( Pindaan 1963 ). Usaha pengambilalihan oleh Kementerian Pelajaran diteruskan ke atas guru‐guru sekolah rendah. Bagi melayakkan guru‐guru agama sekolah menengah tidak terlatih, kementerian telah mengadakan Kursus Dalam Perkhidmatan. Begitu juga kursus latihan guru‐guru sekolah rendah yang pada mulanya diselengarakan oleh pihak berkuasa negeri. Kerajaan persekutuan telah memulakannya dengan persetujuan daripada kerajaan negeri pada Ogos 1967. Perkara ini telah dicadangkan dalam Laporan Rahman Talib (Federation of Malaya 1960). Ia dilaksanakan pada tahun 1974 apabila hampir semua kerajaan negeri telah bersetuju menyerahkan pentadbiran pendidikan agama Islam di peringkat sekolah
140
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 141 rendah kepada Kementerian Pelajaran. Pada tahun 1974, kerajaan negeri telah bersetuju menyerahkan pentadbiran pendidikan agama Islam di peringkat sekolah rendah kepada kementerian pelajaran. Kementerian telah menyerapkan perkhidmatan guru‐guru agama sekolah rendah tersebut ke dalam Perkhidmatan Pelajaran Persekutuan ( Kementerian Pelajaran 1979 ). Penulis mengemukakan sejarah awal perkembangan guru agama yang mengajar mata pelajaran agama Islam di atas bertujuan menggambarkan bahawa guru tersebut telah memasuki perkhidmatan persekutuan di sekolah milik kerajaan atau sekolah kebangsaan. Hanya keperluan guru di sekolah kerajaan sahaja mahu diselesaikan tetapi permasalahan guru di institusi SAN dan SAR itu sendiri dibiarkan bersendirian, berdikari dan berjalan sendiri mengikut kehendak dan cita rasa pentadbir SAR. Dalam hal ini wujudnya dua konflik besar iaitu di satu pihak ingin mengangkat martabat guru‐guru mata pelajaran agama Islam melalui pengenalan subjek tersebut di dalam persekolahan kebangsaan. Di satu pihak yang lain melihat, masalah yang bakal dihadapi oleh institusi SAN apabila berlaku kekurangan guru yang telah lama berkhidmat dengan sekolah agama tersebut dan kualiti pengajaran kurikulum Diniah akan terjejas. Pada tahun 2004, masalah ini pernah timbul apabila kementerian pelajaran telah berusaha menyerap semua guru dan pelajar SAR ke dalam sistem persekolan kebangsaan sebelum cadangan pelaksanaan pendaftaran sekolah agama didaftarkan sebagai sekolah bantuan kerajaan. Pada pandangan penulis, perlu wujudnya satu suasana yang kondusif dan situasi menang‐menang dalam mengatasi masalah penghijrahan guru‐guru SAR. Cadangan penulis ialah pentadbir SAN dan kerajaan negeri perlu memberikan kebebasan kepada guru‐gurunya untuk memilih perkhidmatan yang diberikan dan pada masa yang sama kementerian pelajaran perlulah bersikap terbuka dengan membalas jasa baik pentadbir yang telah memberikan latihan dan pengorbanan kepada guru SAN sepanjang mereka berkhidmat di sekolah tersebut. Jasa baik tersebut boleh dibuktikan dengan memudahkan proses bantuan kepada SAN dalam bentuk yang lain seperti bantuan berasaskan mata pelajaran dan bukan mata pelajaran sebagaimana yang telah lama dikecapi oleh aliran persekolahan lain. Selain itu, bantuan terus boleh dilaksanakan dalam bentuk pembangunan, infrastrutur dan perbelanjaan guru. Bantuan tersebut hendaklah bersifat telus berdasarkan garis‐garis peraturan sedia ada. C. Konflik Bidang Kuasa Melantik Pengetua dan Guru Penentuan Ketua Perkhidmatan Dalam pemerhatian saya, MoU yang telah dipersetujui dan ditandatangani masih mempunyai beberapa kelemahan. Antara kelemahan tersebut ialah peruntukan kaedah perlantikan guru dan pemilihan pengetua. Konflik ini berpunca daripada kuasa sah antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di mana kedua‐dua kuasa ini adalah kuasa eksekutif yang diiktiraf dalam perlembagaan. Kerajaan persekutuan mendapatkan kuasa daripada Akta manakala kerajaan negeri memperolehi kuasa daripada Enakmen negeri. Sekali gus kedua‐dua kerajaan ini adalah majikan atau pihak yang bertanggungjawab ke atas pengetua dan guru‐guru terbabit. Pemilihan opyen yang diberikan guru dan kakitangan yang terlibat memberi maksud mereka seharusnya patuh dan berkhidmat kepada pihak yang bertanggunawab kepada perkhidmatan mereka. Di Barat, orang percaya kepada hakikat bahawa siapa yang membelanja dia yang akan menentukan dasar. Kes di Selangor ini bukan sahaja melibatkan hal ehwal perjawatan guru sahaja tetapi turut melibatkan kuasa eksekutif, suasana persekitaran dan persepsi perbandingan selepas pendaftaran sekolah agama tersebut. Lebih menguatkan lagi keadaan ini apabila kerajaan negeri Selangor telah berlaku pertukaran kuasa eksekutif daripada Parti Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat melalui pilihanraya Umum ke‐
141
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 142 12 pada 8 Mac 2008 (Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, 2008). Setiap parti‐parti tersebut mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mengatasi permasalahan sekolah agama. Semasa awal pemerintahan kerajaan baru tersebut, terdapat cadangan agar Kerajaan Selangor mengambil alih semula sekolah tersebut dan membatalkan perjanjian dengan Kementerian Pelajaran. Hasil perbincangan kedua‐dua belah pihak yang terlibat, cadangan tersebut ditangguhkan dan dibuat persefahaman semula yang lebih baik demi pendidikan generasi akan datang. (Penulis hadir sendiri dalam perbincangan bersama Exco Kerajaan Selangor,pegawai‐pegawai JAIS dan pegawai Kementerian Pelajaran). Dengan menggunakan kuasa, anggota‐anggota organisasi terlibat akan berusaha mencapai matlamatnya. Politik organisasi tidak merugikan organisasi malah mereka berpendirian suasana kerja yang bebas dari gelagat politik tidak akan mencapai matlamat. Walaupun begitu, mereka tidak menolak gelagat politik yang berlebihan boleh merugikan individu, kumpulan dan organisasi (Yusuf Ismail, 1991). Dalam strategi menghadapi politik organisasi, setiap pekerja dalam organisasi harus menyedari tentang kewujudan politik organisasi. Beberapa langkah boleh diambil untuk mengatasi masalah tersebut seperti melihat kepentingan diri dan kumpulan lain secara bersama, mengenepikan konflik serta mengutamakan kepentingan orang lain. Langkah‐langkah di atas berdasarkan kepada prinsip kemaslahatan umum organisasi diutamakan berbanding dengan kepentingan jabatan tertentu. Perlu diingatkan SABK bukan sekolah kerajaan sepertimana dalam akta. Oleh kerana itu, penyelarasan pengurusan dan pentadbiran hendaklah berbeza dengan sekolah kerajaan. Tambahan pula, ia bukanlah sekolah agama yang ditubuh terus oleh kementerian tetapi sekolah agama yang sudah menjadi milik dan telah berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri ataupun milik lembaga pengelola sekolah. Perubahan sistem pengurusan inilah yang banyak menimbulkan sentimen dan sensitiviti jika tidak diurus dengan bijaksana. Pelaksanaan Kurikulum Mata Pelajaran Diniah Bagi melaksanakan pengajaran kurikulum matapelajaran tersebut bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia melibatkan kemampuan pelajar, peruntukan masa dan keperluan guru untuk mengajar kurikulum Diniah tersebut. Kaedah yang diamalkan di Selangor ialah mengikut pengamalan di negeri‐ negeri lain khususnya bagi sekolah di negeri yang sudah termasyhur seperti di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Kaedah tersebut ialah dengan mengorbankan jumlah jam matapelajaran akademik bagi memberikan ruang kepada matapelajaran Diniah di SAN. Ia memberi maksud pengamalan kurikulum kebangsaan tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pihak sekolah. Sebagai contoh, dalam akta pendidikan kebangsaan, jumlah waktu minimum yang ditetapkan bagi matapelajaran Bahasa Kebangsaan dalam tempoh seminggu di peringkat menengah atas ialah selama enam jam (Akta Pendidikan 1996). Tempoh satu waktu ialah 40 minit. Ini bermakna pihak sekolah perlu mengajar mata pelajaran tersebut dalam tempoh 240 minit bagi tingkatan empat dan lima. Sebaliknya di sekolah agama biasanya tempoh tersebut tidak mencukupi kerana mereka terpaksa memberikan ruang kepada kurikulum Diniah yang telah diamalkan sejak bertahun lamanya. Ia dilaksanakan secara bergabung dengan selang‐seli matapelajaran bukan memisahkannya antara waktu pagi dan petang. Sekiranya SAR mengamalkan kurikulum matapelajaran akademik sepenuhnya, tempoh pembelajaran sudah tentu akan tamat sepenuhnya pada sebelah petang Berasaskan pelaksanaan di atas, keperluan kepada guru tersebut tidak sama dengan sekolah kebangsaan yang lain. Sekolah yang terlibat akan mempunyai guru Diniah yang ramai berbanding guru matapelajaran kebangsaan yang lain. Selain itu, guru tersebut akan berdepan dengan dua situasi. Pertama, terdapat pilihan kepada mereka samada untuk mengajar subjek pendidikan Islam atau Diniah. Jika pilihan diberikan kepada guru seluas‐luasnya tanpa penegasan daripada prosedur bebanan
142
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 143 pengajaran yang jelas, berkemungkinan tidak ramai guru akan mengajar matapelajaran Diniah. Situasi yang kedua ialah guru yang mempunyai skim perkhidmatan yang sama (samada sesama persekutuan atau sesama negeri) tetapi bidang pengajarannya yang berbeza. Ini akan menimbulkan masalah kerana bebanan mengajar matapelajaran Diniah lebih sukar berbanding dengan mengajar matapelajaran pendidikan Islam dan subjek elektif. Bagi menyelesaikan masalah di atas daripada berlanjutan, penyelesaian mudah boleh diambil dengan prosedur yang telah ditetapkan. Antaranya ialah bagi guru yang memilih perkhidmatan negeri diwajibkan mengajar matapelajaran Diniah. Jika suasana ini berlaku, ia akan melemahkan masa depan matapelajaran tersebut. Konflik ini tidak mustahil boleh berlaku dan akan memberikan kesan jangka panjang yang tidak baik kepada kurikulum Diniah yang menjadi asas kepada sekolah agama. Penyelesaian masalah ini boleh di atasi jika guru yang mengajar perkhidmatan persekutuan hendaklah diwajibkan mengajar matapelajara n tersebut. Persoalan yang mungkin timbul ialah bolehkah pegawai yang memilih perkhidmatan persekutuan mengajar matapelajaran tersebut kerana MoU yang ditandatangani telah menyerahkan tanggungjawab kurikulum dan guru matapelajaran Diniah adalah tanggungjawab negeri. Bantuan Perkapita kepada Guru Menurut Ordinan 1957, terdapat peruntukan undang‐undang yang membenarkan bantuan kerajaan pusat kepada sekolah agama (Federation of Malaya 1957). Ordinan ini adalah hasil daripada satu laporan yang dikenali Laporan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Agama Islam Bukan Kerajaan. Hasil laporan tersebut, cadangan kadar bantuan telah dilaksanakan kepada sekolah‐ sekolah tersebut bermula pada tahun 1959 (Federation of Malaya 1956 ). Bantuan ini diberikan bertujuan membayar gaji dan elaun guru serta lain‐lain perbelanjaan sekolah. SAR peringkat rendah hanya menerima bantuan wang sahaja manakala di peringkat menengah boleh menerima bantuan wang dan bantuan buku teks (Bahagian Pelajaran Ugama, 1979 ). Bantuan tersebut digunakan untuk bayaran gaji dan perbelanjaan peralatan pengajaran dengan nisbah 70: 30. Ia bermaksud 70% daripada jumlah per kapita bagi setiap sekolah diberikan untuk kegunaan gaji guru manakala selebihnyan 30% lagi untuk membeli peralatan sekolah berkaitan dengan alat bantu mengajar. Pemberian bantuan tersebut diberikan dua kali setahun dengan beberapa syarat. Salah satu syaratya ialah Jawatan‐jawatan guru dan kakitangan kerajaan bagi sekolah itu tidak diwujudkan oleh kerajaan. Namun SAN masih tidak memperolehi bantuan tersebut kerana ia mempunyai guru‐guru yang diwujudkan oleh kerajaan melalui suruhanjaya negeri walaupun dalam bilangan yang terhad. Pada pandangan penulis, negeri juga wajar menerima bantuan per kapita tersebut kerana pendapatan per kapita adalah asas bagi sumber awam negara. Ia wajib disalurkan kerana peruntukan tersebut adalah untuk kegunaan menyediakan guru kepada negeri tersebut. Dalam sistem pendidikan kebangsaan, kerajaan persekutuan membenarkan sekolah yang pelbagai atas ama demokrasi pendidkan tetapi ia tidak berlaku dalam kontek demokrasi perjawatan guru. Suatu perkara lagi yang paling menarik ialah dalam polisi dan dasar awam kewangan di atas ialah kaedah bantuan yang diberikan berasaskan kepala atau bilangan pelajar di sesebuah sekolah. Kadar bantuan per kapita yang disalurkan oleh kementerian kepada SAR adalah berdasarkan bilangan dan jumlah pelajar di sesebuah sekolah. Ini bermakna jika ramai pelajar di sesebuah sekolah SAR, jumlah per kapitanya juga bertambah. Polisi ini tidak berlaku di sekolah aliran kebangsaan yang lain kerana bantuan yang diberikan kepadanya adalah berasaskan Pekeliling Kewangan 3/1995 yang mengkategorikan kadar bantuan per kapita adalah berasaskan mata pelajaran dan bukan mata pelajaran. Di manakah sumber
143
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 144 wang yang berasaskan matapelajaran tadi ? Dalam pelaksanaan kurikulum di SAN, mereka juga melaksanakan matapelajaran kebangsaan. Penulis tidak menafikan bantuan kewangan yang diberikan kepada SAN telah banyak meringankan dan memajukan SAN daripada sedia ada sekurang‐kurang dari sudut keperluan peralatan pengajaran dan kurikulum. Namun kemajuan dan pemodenan tersebut tidak akan ke mana jika akhirnya nanti, ia banyak menimbulkan suasana yang tidak kondusif kepada persekitaran sedia ada. Kebimbangan ini masih belum dikira dalam kontek sejauh mana ia berjaya mencapai falsafah pendidikan Islam. KESIMPULAN Pendaftaran SAR dan SAN sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada masa sekarang masih lagi dalam pemerhatian semua pihak yang terlibat. Samada ia mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada SAN sesuatu yang subjektif memandangkan ia satu proses perlaksanaan yang memerlukan masa yang panjang. Sebagai contoh, persetujuan untuk mendaftarkan SAR telah diikat dengan satu memorendum persefahaman antara kementerian dengan pihak sekolah dan antara kementerian dengan pihak berkuasa agama negeri. Beberapa kekeliruan telah timbul di peringkat awal pendaftaran terutama dalam hal yang berkaitan dengan peranan jabatan agama dan sekolah, jaminan kukuh pelaksanaan kurikulum, perlantikan guru dan pentadbiran. Dalam pembangunan di Malaysia, isu sumber manusia merupakan satu aspek yang sangat penting kerana ia akan menentukan kejayaan dan kemajuan sesebuah negara. Sebagai sebuah negara membangun, pembangunan sumber manusia khususnya pendidikan, latihan dan kemahiran akan dijadikan pelaburan yang paling utama berbanding dengan keperluan‐ keperluan yang lain. Dalam kontek pendidikan pula ia bukan hanya menjurus kepada kurikulum, kos pembelajaran tetapi juga pendidikan guru itu sendiri sebagai latihan jangka panjang untuk membangunkan potensi individu sesuai dengan falsafah pendidikan negara. RUJUKAN Abdul Rahman Aroff. (1987). Falsafah dan konsep pendidikan. Petaling Jaya : Siri Pendidikan Fajar Bakti. Abdullah Ishak. (1995). Pendidikan Islam dan pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur. : Dewan Bahasa dan Pustaka. Ahmad Ibrahim Abu Sin. (1997). Pengurusan dalam Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Al Ghazali. (t.th). Ihya’ cUlum al‐Din. Dimashq : Maktabah cAbd al‐Wakil al‐Darubi. Awang Had Salleh. (1985). Pendidikan dalam pemikiran. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn. Bhd. Azizi Umar & Supyan Hussin. (2007). Kekangan Kurikulum Diniah Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan Pasca Kemerdekaan. Dlm. Mazlan Ibrahim & Kamaruddin, Islam Pasca Kemerdekaan, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, FPI UKM, Bangi. Azizi Umar & Supyan Hussin. (2007). Konflik sekolah agama rakyat dalam dasar pendidikan kebangsaan : suatu analisis awal. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Isu‐isu Pendidikan Negara Kali Ke‐Tiga. Anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi, Selangor, 13‐14 Februari. Azizi Umar. (2001). Pengambilalihan sekolah agama rakyat oleh kementerian pendidikan : suatu kajian mengenai sejarah dan tujuan. Disertasi Sarjana Usuluddin, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Azizi Umar. (2007). “Bantuan Kepada Sekolah Agama Rakyat : Suatu Kajian Sejarah dan Tujuan Asal”dalam Journal of Al‐ Tamaddun, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam UM, Zulhijjah 1427 / Disember‐ Januari 2007. Enakmen Selangor. No. 2. Enakmen pengawalan sekolah‐sekolah agama Islam. (1988). Federal Ordinance. (1952). Education ordinance (religious instruction). Seksyen 70 Federation of Malaya. (1956). Report of the comettee to consider financial aids to non – government islamic religious schools. Hamdan Sheikh Tahir. (1975). Pendidikan hari ini untuk hari esok. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka Hasan Langgulung. (1991). Asas‐asas Pendidikan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Jabir cAbd al‐Hamid Jabir. (1982). cIlmu al‐nafs al‐tarbawiyy. Al‐Qahirah : Dar al‐Nahdah al‐cArabiyyah. Kementerian Pelajaran Malayia. Buku laporan kajian status SMAR. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar. Disember 1996.
144
Prosiding Seminar Pendidikan Serantau Ke‐4 2009/ 145 Kementerian Pelajaran Malaysia. (1956). Laporan mengenai perlaksanaan dasar pelajaran terhadap pelajaran agama Islam mengikut syor‐syor penyata Razak 1956. Kementerian Pelajaran. (1971). Laporan mengenai pelaksanaan shor‐shor jawatankuasa penyemak dasar pelajaran 1960. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran. Laporan mengenai perlaksanaan dasar pelajaran terhadap pelajaran agama Islam mengikut syor‐syor Penyata Razak 195. Lembaga Penyelidikan Undang‐undang, Perlembagaan persekutuan (pindaan sehingga 2007), Kuala Lumpur: Internasional Law Book Services. Bahagian 1, Perkara 3, Fasal (2), hlm. 2. Malaya. Report of the comettee to consider financial aids to non – government islamic religious schools. (1956). Malaysia. (2005). Akta pendidikan 1996 (Akta 550 ) & peraturan‐peraturan terpilih. International Law Book. Memorendum Persefahaman Antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Disember 2004. Pendaftaran 23 buah Sekolah Agama Negeri Selangor Sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Muhammad Hasan & Nadiyah Jamal al‐Din. (1984). Madaris al‐Tarbiyyah Fi al‐Hadarah al‐Islamiyyah. Qahirah : Dar al‐ Fikr al‐cArabiyy. Nabir Abdullah. (1976). Maahad Il Ihya Assyaiff Gunung Semanggol 1934‐1959. Kuala Lumpur : Jabatan Sejarah UKM. S.S. Hussain & S.A. Ashraf. (1980). Crisis In Muslim Education. Jeddah : Hodder & Stoughton, King Abdul Aziz University. Cet. 1. Selangor. Enakmen pentadbiran agama Islam. (1952). Sufean Hussin. (1996). Pendidikan di Malaysia: Sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Tibbawi A.L. (1972). Islamic Education. London : Luzac & Co. Yusuf Ismail. (1991). Mengurus Secara Islam : Model dan Prinsip‐prinsip Pengurusan Islam Bagi Individu Dan Organisasi. Kuala Lumpur : A.S. Noordeen. Temu Bual Abrar Idris. (Penolong Pengarah Unit SABK, JAPIM, KPM). 16 Mei 2006. Ahmad Abdul Rahman. (Bekas Pegawai Kemajuan Sekolah Ugama, Bahagian Pelajaran Ugama 1978 ). 28 Mac 2007. Ahmad Bustaman Latif (Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Kualiti, JAIS) 13 Disember 2006 Dziauddin Abdul Rahman. (Mantan Ketua Penolong Pengarah BPPI, JAKIM atau LEPAI). 2 Julai 2006. Ismail Awang. ( Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, JAIS). 24 Julai 2006 Jaafar Komari (KetuaPenolong Pangarah Sektor Kurikulum JAIS), 14 Ogos 2006. Nik Zaharah Nik Yahya (Mantan Pengetua SMKA Naim LilBanat, Kelantan 1977‐1979), 12 Mei 2006 Salehuddin Kayat (Mantan Timbalan Pengarah JAIS). 20 Mac 2007.
145