ULASAN BUKU - jurnalbahasa.dbp.my

sosial kepada bahasa standard, bahasa diraja, bahasa basahan, bahasa pasar, slanga, bahasa halus dan bahasa kasar. Huraian tahap-tahap variasi...

100 downloads 592 Views 332KB Size
ULASAN BUKU

ULASAN BUKU Ibrahim Ahmad, 2012. Kesenjangan Leksikal Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia, 153 halaman, ISBN 978-983-46-0520-9 Pengulas: Salinah Ja’afar [email protected] Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Objektif penulisan buku ini, menurut penulis, adalah untuk menghuraikan kepelbagaian dalam kesatuan bagi bahasa yang bervariasi. Kepelbagaian dalam kesatuan mengundang isu kefahaman menyaling dalam dua bahasa yang bervariasi yang bertunjangkan bahasa induk yang sama. Buku ini turut mengupas dan meneliti beberapa kesenjangan atau perbezaan leksikal. Antara aspek yang dibincangkan termasuklah kata yang sama tetapi makna berbeza, kata yang sama tetapi bertindih komponen maknanya, dan aspek konsep yang memperlihatkan kelainan, perbezaan dan persamaan makna. Penulis memberikan empat tujuan penting penulisan buku ini, iaitu: 1) Melakar pola perbezaan leksikal yang wujud dalam bahasa Melayu Malaysia (BMM) dan bahasa Indonesia (BI). Pola ini penting dalam menyelesaikan masalah ketaksaan yang wujud bagi pengguna kamus BMM dan BI; 2) Tujuan kedua penulis adalah untuk menimbulkan kepekaan bahawa perbezaan leksikal yang wujud dalam kamus ekabahasa BMM dan BI mempunyai beberapa pola yang signifikan. Pola yang dimaksudkan merupakan lanjutan daripada tujuan yang pertama, iaitu melihat sama ada terdapat implikasi kecapahan atau keseragaman antara BMM dan BI; 3) Penulis juga mengatakan bahawa selain tujuan menganalisis pola, buku ini juga mengkaji pertalian antara pemikiran dan persepsi penyusun dengan kamus yang dihasilkan. Aspek ini penting bagi menghasilkan satu polisi “Melayu Antarabangsa” atau “International Malay” berdasarkan variasi standard BMM dan BI; 4) Kesan perkembangan linguistik terhadap dunia leksikografi BMM dan BI. Penulis menggunakan pendekatan 301

JURNAL BAHASA

sosiolinguistik dan semantik dalam analisis yang dibuat terhadap fokus kajiannya, iaitu kesenjangan leksikal (hlm. 19). Secara keseluruhan buku ini sebenarnya membincangkan perbezaan leksikal yang terkandung dalam dunia perkamusan di Malaysia dan Indonesia. Buku ini telah dihasilkan dalam tujuh bab. Bab pertama (1-30) menjelaskan latar belakang variasi leksikal secara umum. Perbincangan variasi leksikal berkisar mengenai variasi BMM dan BI yang berdasarkan agenda kebahasaan yang dipersetujui bersama dalam Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) pada tahun 1972. Lanjutan daripada persetujuan MBIM dan diikuti oleh MABBIM (Majlis Bahasa Brunei, Indonesia, Malaysia (1985-1992). Turut dibincangkan dalam bab ini tentang faktor yang menyebabkan berlakunya variasi leksikal antara BMM dan BI. Penulis menyatakan sesuai dengan pendekatan perkamusan yang melibatkan pelbagai disiplin, beliau memilih dua pendekatan dalam menganalisis kesenjangan leksikal BMM dan BI, iaitu pendekatan sosiolinguistik dan semantik di samping menggunakan kaedah analisis teks. Secara umum, adalah lebih mudah jika penulis menyatakan bahawa pendekatan yang digunakan ialah gabungan tiga pendekatan yang berlainan, iaitu sosiolinguistik, semantik dan analisis interteks. Penulis juga turut menghuraikan tatatingkat susunan entri dalam kamus secara umum dan membuat perbandingan variasi leksikal secara rawak dalam bab pertama. Penulis sebenarnya turut memuatkan latar belakang sejarah yang menyumbang berlakunya variasi leksikal antara BMM dan BI. Berpandukan latar belakang sejarah tersebut, variasi leksikal BMM dikelaskan sebagai variasi yang wujud disebabkan oleh pengaruh bahasa Inggeris, manakala bagi BI pula wujud disebabkan oleh pengaruh bahasa Belanda. Selain itu, penulis juga memasukkan pengaruh unsur asli dan pinjaman yang juga menyumbang berlakunya variasi leksikal di samping pengaruh bahasa daerah dan dialek. Seterusnya penulis memasukkan pengaruh milieu Sosial serta pertembungan budaya sebagai satu lagi faktor yang menyebabkan variasi leksikal BMM dan BI semakin meluas. Penulis seterusnya menyentuh tentang pengaruh bahasa Sanskrit dan bahasa Arab (lebih sesuai dibincangkan dalam subtopik pengaruh unsur asli dan pinjaman). Beberapa pengaruh lain yang turut menyumbang dalam wujudnya variasi leksikal turut disentuh oleh penulis, seperti pengaruh perubahan bahasa dalam satu variasi bahasa, pengaruh penggunaan kependekan dan sinonim, dan pengaruh eufemisme dan sistem masyarakat. 302

ULASAN BUKU

Huraian yang dibuat terhadap faktor yang menyumbang kepada wujudnya variasi leksikal ini digarap dengan baik oleh penulis, namun pada subtopik pengaruh eufemisme dan sistem masyarakat penulis tidak merumuskan semua faktor yang dibincangkan, seharusnya penulis memulakan subtopik baharu ketika memasukkan perbincangan tentang tujuan dan objektif penulisan buku pada bahagian akhir (halaman 18). Pada halaman ini penulis terus membincangkan tentang kamus ekabahasa dan tujuan penulisan ini dihasilkan. Perbincangan yang menyentuh tentang Kamus Dewan (KD) dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI). Turut disentuh dalam perbincangan ini ialah aspek analisis komponen makna, kepentingan data leksikografi sebagai landasan kajian kesenjangan leksikal. Beliau menghuraikan serba ringkas tentang susunan entri dalam kamus (hlm. 31-33), dan diikuti dengan penjelasan ringkas bagaimana konsep kesenjangan leksikal wujud dalam kajian tersebut. Bab kedua tertumpu pada aspek sejarah perkamusan secara umum. Penulis membahagikan sejarah perkamusan kepada tiga bahagian iaitu: 1) Sejarah awal perkamusan; 2) Perkembangan kamus dwibahasa; dan 3) Perkembangan kamus ekabahasa. Sejarah awal disajikan dengan memetik beberapa pendapat tentang bagaimana bermulanya kerja perkamusan Melayu. Penulis memetik pendapat yang dikemukakan oleh A. Teeuw (1964) dan Asmah Haji Omar (2005). A. Teeuw mengatakan bahawa dunia perkamusan Melayu bermula pada abad ketujuh. Pendapat tersebut bertambah kukuh dengan penemuan naskhah Candrakarana atau Amaramala yang merupakan senarai kata bahasa Sanskrit yang diberikan padanan kata Jawa Kuno. Asmah Haji Omar pula mengandaikan perkamusan Melayu bermula pada awal abad ke-15, sesuai dengan keperluan memahami bahasa Melayu oleh orang asing yang datang ke Tanah Melayu untuk tujuan perdagangan dan juga penjajahan. Penulis turut menyatakan bahawa antara senarai kata awal yang dianggap sebagai pemula dalam dunia perkamusan Melayu ialah senarai kata Cina-Melayu yang diandaikan telah wujud antara tahun 1403-1511, kemudian diikuti oleh senarai kata yang dihasilkan oleh Antonio Pigafetta yang dihasilkan sekitar tahun 1522. Penulis seterusnya membicarakan perkembangan perkamusan dwibahasa yang wujud dalam sejarah perkembangan perkamusan Melayu. Beliau membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu perkembangan kamus dwibahasa sebelum abad ke-20 dan perkembangan kamus dwibahasa sepanjang abad ke-20. 303

JURNAL BAHASA

Penulis membincangkan secara ringkas perkembangan kamus dwibahasa sebelum abad ke-20 dengan mengambil tarikh 1631 sebagai penanda pemulanya tradisi kamus dwibahasa yang dihasilkan oleh David Haex, dan diikuti oleh kamus susunan Thomas Bowrey pada tahun 1701 yang bermula dalam bentuk daftar kata. Seterusnya turut dihuraikan secara ringkas ialah kamus yang dihasilkan oleh J. Howison (1801), diikuti oleh kamus yang dihasilkan oleh William Marsden (1812) yang disebut oleh Collins (2005) sebagai kamus yang berpengaruh sepanjang abad ke19. Kamus dwibahasa Melayu-Inggeris ini merupakan sejarah kepada perkembangan kamus BMM. Sejarah perkembangan kamus dwibahasa di Indonesia pula dimulai dengan kemunculan kamus bahasa BelandaIndonesia susunan P. P. Roorda dan Esyinga pada tahun 1825, Kamus oleh J. Pijnappel (1875) von de Wall (1877) dan M. A. Grashuis (1878), Klinkert (1893, 1898), P. Boze (1825) dan P. Favre (1875). Penulis seterusnya membincangkan tentang perkembangan kamus dwibahasa sepanjang abad ke-20 yang ditandai oleh kamus R.J Wilkinson (1901, 1919 dan 1932), kamus yang dihasilkan oleh R.J Wilkinson diakui oleh A. Teeuw (1961) dan Collins (2002) sebagai karya magnum opus (karya agung) kerana kamus tersebut merupakan satu-satunya kamus yang lengkap pada masa tersebut. Selepas R. J. Wilkinson, kamus dwibahasa banyak dihasilkan oleh R. O. Winstedt (1913, 1920, 1952, 1955, 1958), W.G Shellabear (1902, 1916), Frank Swettenham (1910),A. W. Hamilton (1923), dan A. E. Coope (1954). Pada peringkat lebih terkini, bermula penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 22 Jun 1956, kamus dwibahasa bahasa Melayu diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bagi perkembangan kamus dwibahasa di Indonesia, penulis mengambil kamus Inggeris-Indonesia oleh W. Versluys (1951) sebagai perbincangan awal, diikuti oleh kamus A. Panggabean (1953), E. Pino dan Wittermans (1953), Osman Raliby (1956), S. Wojowasito (1959), E. Echols dan Hasan Sadili (1961, 1963, 1975). Turut dinyatakan oleh penulis ialah kamus Belanda-Indonesia yang disusun oleh van Ronkel (1918), M. A. Tair (1957), Soekartini (1980), S. Wojowasito (1985), dan A. Teeuw (1991). Perbincangan sejarah perkembangan kamus dwibahasa ini sememangnya menarik bagi menambah pengetahuan mengenai urutan kronologi penghasilan kamus dwibahasa. Perkembangan kamus ekabahasa pula dimulakan oleh penulis dengan definisi konsep kamus ekabahasa sendiri. Bagi bahasa Melayu, kamus ekabahasa ditandai dengan penghasilan Kitab Pengetahuan Bahasa oleh 304

ULASAN BUKU

Raja Ali Haji (1858), diikuti oleh Kamus Al-Mahmudiah (1894) oleh Syed Mahmud Syed Abdul Kadir, kamus oleh Shamsuddin Muhd. Yunus (1920), dan Buku Katan oleh Muhamad Said Sulaiman (1936), kamus susunan Harun Muhammad Amin (1951), susunan Che Yusof Ahmad 1957, susunan Richard Winstedt (R. O Winstedt?) pada tahun 1960. Penulis seterusnya mengaitkan perkembangan kamus ekabahasa dengan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956 yang telah menjadi pusat penghasilan dan penerbitan kamus ekabahasa yang telah menghasilkan KD bermula dengan cetakan pertama (1970) sehingga cetakan mutakhir. Bagi perkembangan kamus ekabahasa di Indonesia, penulis meletakkan kamus A, Van Ophuisjsen (1901) sebagai pemula, diikuti oleh kamus E. St. Harahap (1942). Penulis turut memetik pandangan Asmah Haji Omar (2005) bahawa penghasilan kamus ekabahasa abad ke-20 berkaitan dengan etos kebangsaan atau semangat nasionalisme yang ingin menegakkan bahasa sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Huraian mengenai sejarah perkembangan bahasa yang dibuat secara menyeluruh dapat memberikan gambaran yang jelas tentang sejarah perkamusan BMM dan BI secara umum. Kosa ilmu teori dan konsep variasi bahasa yang dibincangkan dalam bab 3 (hlm. 69-113) menyajikan konsep bahasa secara umum dan konsep variasi bahasa secara menyeluruh kepada pembaca. Konsep variasi bahasa dijelaskan dengan memetik beberapa pendapat ahli bahasa seperti Hudson (1988), Jackson & Ze Amvela (2000), Halliday (1964), Lipka (1992), Quirk & Greenbaum (1973), Hartmann (1993), dan Asmah Haji Omar (1990). Penulis menghuraikan secara ringkas kesemua konsep variasi bahasa yang disebutkan, dan memberi tumpuan pada konsep variasi bahasa yang dikemukakan oleh Quirk & Greenbaum yang membahagikan variasi bahasa kepada enam jenis, iaitu variasi kawasan, pendidikan dan kedudukan sosial, judul, medium, sikap dan gangguan. Konsep yang dikemukakan oleh Asmah Haji Omar memecahkan variasi bahasa kepada tiga sudut, iaitu sudut variasi kawasan, variasi sosial, dan variasi tema atau judul. Penulis memberikan tumpuan pada huraian variasi kawasan yang dikaitkan dengan konstelasi bahasa dan geolinguistik yang telah diperkenalkan oleh de Swaan (2002). Konstelasi bahasa dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu peringkat pertama yang dikenali sebagai kumpulan linguistik periferal yang membawa kepada bahasa sentral, peringkat kedua yang dicirikan satu atau 200 bahasa sentral yang dihubungkan 305

JURNAL BAHASA

dengan bahasa supersentral dan peringkat ketiga yang merupakan satu bahasa yang menjadi perantaraan bahasa supersentral yang dikenali sebagai bahasa hipersentral. Pada bahagian ini penulis memasukkan jadual bahasa supersentral yang dipetik daripada Crystal (1992). Namun, terdapat kesilapan pada tajuk jadual 10 yang dilabel sebagai “Jumlah penutur bahasa Melayu mengikut Crystal (2002)”, sepatutnya “Jumlah penutur bahasa supersentral...”. Hasil kupasan terhadap variasi bahasa pada peringkat kawasan ini, huraian penulis ditumpukan pada pendapat Asmah Haji Omar yang melihat konsep variasi kawasan ini dari perspektif teori geolinguistik yang melihat konteks penyebaran bahasa Melayu dan kaitannya dengan pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei (penulis sepatutnya memasukkan juga Singapura). Pendapat Asmah tersebut turut diperkukuh oleh penulis dengan mengulas pendapat Abdullah Hassan (1997) yang memperkenalkan konsep Wilayah Dialek Melayu Supra. Penulis juga memasukkan sarjana Barat seperti MacArthur (1998, 1987), Peter Strevens (1980), Manfred Gorlach (1990) dan Kachru (1990). Selain Kachru, huraian pendapat MacArthur dan Peter Strevens agak kurang jelas kerana ketiadaan rajah yang sepatutnya menjadi rujukan bagi penjelasan yang dibuat. Huraian variasi kawasan yang merupakan landasan kajian penulis diunjurkan kepada konsep variasi nasional. Penulis memasukkan unsur sejarah dan masa sebagai penjelasan kepada wujudnya variasi nasional dan bagaimana daripada variasi nasional itu, sesuatu bahasa dipilih menjadi bahasa kebangsaan. Penulis juga menyentuh tentang variasi yang berdasarkan dialek sosial atau sosiolek. Berdasarkan variasi dialek sosial tersebut penulis mengguna pakai konsep diglosia yang merujuk pendapat Asmah Haji Omar (1988) yang mengatakan bahawa diglosia bahasa Melayu merangkumi bahasa diraja dan bahasa bukan diraja dan masingmasing ada pemisahan antara bahasa standard dan bukan standard. Asmah telah memecahkan diglosia bahasa Melayu kepada empat komponen, iaitu variasi standard Diraja, variasi bukan standard Diraja, variasi standard bukan Diraja, dan dan variasi bukan standard bukan Diraja. Daripada empat variasi tersebut penulis telah menghuraikan tahap variasi dialek sosial kepada bahasa standard, bahasa diraja, bahasa basahan, bahasa pasar, slanga, bahasa halus dan bahasa kasar. Huraian tahap-tahap variasi tersebut dibuat secara menyeluruh dan mudah difahami. Penulis juga memasukkan huraian tentang variasi berdasarkan laras sebagai penegasan kepada huraian variasi bahasa yang dikemukakan. 306

ULASAN BUKU

Penulis secara akumulatif merumuskan kaitan variasi bahasa dengan bidang perkamusan yang sebenarnya amat penting terutama dalam aspek pelabelan entri kamus bagi membezakan penggunaan sesuatu bentuk kata yang berdasarkan kepada konsep dan konteks penggunaan kata tersebut dalam bahasa. Kepentingan melabel variasi bahasa dalam penyusunan kamus diperkukuh oleh penulis dengan mengemukakan beberapa pendapat ahli perkamusan yang tersohor seperti Samuel Johnson (1755), James Murray, Kipfer (1984), Cassidy (1972), Burchfield (1986), Card (1984), Berg (1991) Hausmann (1989), dan Hartmann & James (1998). Penulis seterusnya menjelaskan bahawa dalam konteks variasi bahasa, konsep diasistemik yang diperkenalkan oleh Hartmann & James (1998) adalah amat sesuai untuk diaplikasi dalam bidang perkamusan. Penulis menjelaskan bahawa bagi tujuan kajian terhadap kesenjangan leksikal BMM dan BI, beliau mengkaji aplikasi variasi bahasa dari perspektif variasi nasional dan melihat perbezaan leksikal melalui ciri-ciri diatopik yang dikaitkan dengan fungsi penggunaan kata dan frasa melalui variasi bahasa tertentu. Ranah dan pola kesenjangan leksikal dibincangkan oleh penulis dalam bab 4 (hlm. 114-47). Perbincangan dimulakan dengan huraian ringkas tentang maklumat leksikal dalam kamus. Maklumat leksikal tersebut dijelaskan dengan melihat struktur makro yang merupakan unjuran setiap entri yang terkandung dalam kamus dan struktur mikro yang merujuk maklumat yang terkandung dalam setiap entri. Setiap aspek maklumat leksikal tersebut dikaitkan dengan disiplin kajian leksikologi dan leksikografi. Penulis seterusnya menjelaskan tentang definisi konsep kesenjangan leksikal yang menekankan aspek kelainan leksikal yang berlaku pada tahap leksikon. Penulis memetik pendapat Harimurti Kridalaksana tentang pencirian aspek perkataan dalam kamus yang didasari oleh leksem. Huraian tentang kepincangan leksikal dibuat dengan mengambil beberapa kajian rintis yang telah dibuat oleh Leo Suryadinata (1991), Ahmad Amin Siregar (2000) dan Robert Sibarani (1999) yang melihat aspek perbezaan makna kata, peluasan makna dan penekanan atau penonjolan makna. Cuma pada bahagian ini huraian mengenai kaitan aspek kepincangan leksikal dengan kamus agak kabur. Penulis seterusnya membicarakan tentang kajian empiris pola kesenjangan leksikal BMM dan BI. Pada bahagian ini huraian penulis adalah agak mengelirukan kerana semua perbincangan yang dibuat dalam 307

JURNAL BAHASA

subtopik ini adalah lebih merupakan huraian deskriptif mengenai kajian empiris variasi bahasa yang dibuat oleh pengkaji Barat seperti Algeo (1986), Trudgill & Hannah (1994), Geerarets (1994), Crystal (1996), MacArthur (1996), Ilson et al. (1986), Gunnel Tottie (2002), Singleton (2000), Hartmann & James (1998), Ogde & Richards (1949), Gramley (2001) dan beberapa orang lagi pengkaji Barat yang membuat kajian aspek yang sama. Keseluruhan bahagian subtopik ini tidak langsung memperlihatkan kajian empiris pola kesenjangan leksikal BMM dan BI. Perbincangan penulis kemudiannya berfokus dengan subtajuk “kata yang sama yang seluruh komponen makna berbeza”. Kemungkinan subtajuk ini merupakan satu pola kesenjangan leksikal BMM dan BI yang sepatutnya dibincangkan dalam bahagian sebelum itu. Walaupun penulis memberikan contoh kesenjangan leksikal yang diambil daripada data BMM dan BI, namun cara penulis mengaitkan pola tersebut dengan teori pengkaji Barat menjadikan huraian tersebut agak kabur. Penulis seterusnya membuat huraian mengenai beberapa pola kesenjangan leksikal di bawah subtajuk:



a) Kata yang sama yang seluruh komponen makna berbeza. b) Kata yang sama makna, tetapi bertindih komponen maknanya yakni ada perbezaan dan persamaan. c) Kata yang sama yang seluruh komponen maknanya sama. d) Kata yang tidak ada pasangan (Ada dalam KD, tidak ada dalam KBBI dan begitulah sebaliknya). e) Kata yang berbeza, tetapi konsepnya sama; f) Yang tidak diketahui dalam variasi yang lain. g) Yang diketahui dalam salah satu atau kedua-dua variasi. h) Kata berbeza, konsep sama tetapi berlainan dari segi kekerapan penggunaan. i) Kata sama, tetapi berbeza dari segi stilistik dan temporal.

Secara keseluruhan pada bahagian ini penulis cuba memperlihatkan pola ranah kesenjangan leksikal bagi BMM dan BI dengan merujuk entri yang ada dalam KD dan KBBI, namun pemilihan penulis terhadap subtajuk dan juga kandungan huraian teori yang panjang lebar agak kurang bersesuaian dengan tajuk sebenar bab ini. Walau bagaimanapun setiap huraian penulis dalam bab ini boleh difahami oleh pembaca dengan membuat pembacaan yang lebih mendalam. 308

ULASAN BUKU

Bab 5 (hlm. 148-76) merupakan huraian penulis terhadap penerapan variasi nasional dalam kamus Melayu-Indonesia. Seperti yang telah ditekankan oleh penulis bahawa buku ini merupakan kajian dan penerapan variasi nasional dalam bab 3, perbincangan bab 5 boleh dianggap sebagai hujah pengukuhan terhadap pilihan penulis mengkaji kesenjangan leksikal menggunakan aspek variasi nasional. Huraian mengenai aspek diatopik sebagai asas kepada penelitian penerapan variasi nasional kamus Melayu-Indonesia adalah sesuai dan penting bagi membolehkan pembaca memahami apakah sebenarnya kepentingan aspek variasi nasional dalam bidang perkamusan. Penulis kemudiannya membuat deskripsi berpandukan variasi nasional yang wujud dalam kamus bahasa Inggeris di Amerika dan Britain. Perbandingan yang dibuat oleh penulis ini memudahkan pembaca memahami bagaimana variasi nasional dimasukkan ke dalam kamus melalui pelabelan terhadap entri. Setiap subtajuk yang dipilih oleh penulis mempunyai kaitan jelas dengan tajuk utama bab ini, kecuali subtajuk “Pendirian penyusun atau penerbit kamus dalam menangani isu variasi nasional dalam kamus: Beberapa tinjauan kepustakaan” (hlm. 154-59), yang sepatutnya tidak dimasukkan dalam bab ini. Penulis seharusnya memasukkan tinjauan kepustakaan tersebut dalam bab awal supaya tidak mengganggu kelancaran pembaca memahami penerapan variasi nasional tersebut secara menyeluruh. Bagi memudahkan pembaca memahami dengan jelas aspek penerapan variasi nasional kamus Melayu-Indonesia, penulis memasukkan sampel huraian penerapan variasi nasional kamus bahasa Inggeris di Amerika dan Britain. Penulis kemudiannya menghuraikan variasi nasional kamus MelayuIndonesia dengan mengambil entri yang terkandung dalam abjad K dan S. Perbincangan mengenai variasi tempatan dalam KD dan KBBI (hlm. 169-71) yang dibuat tidak memperlihatkan sebarang kepentingan dalam bab ini. Ini disebabkan tidak ada unsur variasi tempatan yang ditemui dalam kajian penulis, sebaliknya penulis hanya membincangkan tentang variasi tempatan dalam kamus bahasa Melayu (bukan merupakan bahan kajian dan tiada kaitan dengan subtajuk). Agak baik jika penulis sekadar menyebut tiada variasi tempatan dalam kamus BMM dan BI sahaja pada peringkat pengenalan. Seterusnya penulis menghuraikan variasi asing yang terkandung dalam KD dan KBBI. Variasi asing ini secara umum memang penting bagi melihat kepentingan variasi nasional dalam penyusunan kamus. 309

JURNAL BAHASA

Rumusan yang dibuat mengenai kepentingan penerapan variasi nasional dimuatkan dalam kamus menunjukkan bahawa sebagai buku rujukan bahasa utama adalah amat perlu aspek variasi nasional dititikberatkan. Pelabelan secara menyeluruh boleh membantu pengguna kamus dan pengkaji bahasa memahami perbezaan leksikal yang wujud. Lanjutan daripada itu, pengguna kedua-dua bahasa akan mudah mencapai tahap kecekapan komunikatif, iaitu saling memahami antara satu sama lain dalam komunikasi. Secara tidak langsung pelabelan ini akan mengurangkan kekeliruan antara penutur bahasa Melayu dengan penutur bahasa Indonesia. Kesenjangan leksikal dihuraikan dengan menyeluruh oleh penulis dalam bab 6 yang diberi tajuk “Kesenjangan leksikal dalam KD dan KBBI”. Perbincangan dalam bab ini menganalisis aspek kesenjangan leksikal dalam kamus tersebut dengan melihat perbezaan leksikal bagi entri yang dilabel Id (Indonesia) dalam KD dan Mal (Malaysia) yang terdapat dalam KBBI. Perbincangan dimulakan dengan melihat bentuk kata yang sama yang seluruh komponen maknanya berbeza (hlm. 178). Sampel yang dipilih oleh penulis, iaitu sukan jelas menerangkan perkara yang dibincangkan. Penulis seharusnya memasukkan juga sampel asal atau sumber entri tersebut diambil bagi menunjukkan kamus manakah yang meletakkan label variasi yang diterangkan. Penulis juga mengambil beberapa contoh entri daripada abjad K, namun ketiadaan sumber asal merupakan satu kekurangan dalam bahagian ini. Aspek seterusnya yang dikaji ialah kata yang sama, tetapi bertindihan komponen makna, yakni ada persamaan dan perbezaan. Penulis turut menyatakan jumlah entri yang ditemui bagi kategori yang disebutkan, tetapi penulis hanya menghuraikan 10 entri bagi abjad K dan 10 entri bagi abjad S. Huraian bagi kategori ini agak menyeluruh dan jelas, cuma sama seperti aspek yang dihuraikan sebelum ini, ketiadaan label dari sumber asal menjadikan huraian agak kurang menyeluruh bagi mereka yang tiada asas ilmu perkamusan. Pada bahagian berikutnya penulis menghuraikan aspek kata yang sama dan seluruh komponen maknanya sama. Penulis mengatakan sebanyak 7438 entri tergolong dalam kategori ini, Cuma tidak dinyatakan daripada kamus manakah jumlah enteri tersebut dikelompokkan. Penulis menerangkan tiga entri bagi abjad K dan tiga entri bagi abjad S untuk kategori ini. Huraian dilanjutkan untuk aspek kata yang tidak ada pasangan (ada dalam KD, tidak ada dalam KBBI dan sebaliknya). Penulis mengatakan bahawa sebahagian besar entri yang diteliti bagi abjad K dan S tergolong 310

ULASAN BUKU

dalam kategori ini. Cuma tiada penjelasan sama ada entri tersebut dilabelkan dengan Id atau Mal bagi menepati objektif analisis yang dikatakan untuk meneliti variasi leksikal. Ada juga baiknya sekiranya bahagian ini digunakan oleh penulis sebagai satu aspek baharu selain kesenjangan leksikal kerana bahagian ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Indonesia walaupun mempunyai variasi dari segi label dalam kamus, namun dalam penggunaan bahasa semula jadi wujud bentuk kata yang menjadi pemisah antara BMM dan BI. Huraian berikutnya memperlihatkan analisis penulis terhadap aspek kata yang berbeza, tetapi konsep sama. Kategori ini dikupas dengan dua ciri yang berbeza iaitu: 1) yang tidak diketahui dalam variasi yang lain, 2) yang diketahui dalam salah satu atau kedua-dua variasi. Huraian yang dibuat bagi ciri yang tidak diketahui dalam variasi yang lain seharusnya dibuat dengan lebih mendalam, kenyataan penulis mengenai bentuk sinonim mutlak juga adalah kurang tepat. Konsep sinonim mutlak itu sendiri adalah suatu yang mustahil wujud dalam BMM dan BI. Keupayaan penulis dalam memaparkan contoh cukup menarik perhatian pembaca, dan jawapan kepada wujudnya kategori tersebut dijelaskan oleh penulis dalam bahagian rumusan. Bagi ciri yang diketahui dalam salah satu atau kedua-dua variasi, huraian yang dikemukakan agak ringkas. Penulis lebih banyak memaparkan sampel dan analisis berbanding menjelaskan dengan terperinci ciri tersebut. Bagi pembaca yang mahir dalam bidang perkamusan, huraian sebegitu mungkin memadai, tetapi bagi pembaca yang kurang mahir, mereka memerlukan huraian yang lebih terperinci. Perbincangan bagi aspek kata berbeza konsep sama tetapi berlainan dari aspek kekerapan penggunaan memberi tumpuan pada kata yang lebih dominan dan menjadi diksi sewaktu memerikan entri (hlm. 227). Penelitian terhadap aspek ini turut menggunakan konkordans sebagai bukti analisis. Penulis menjelaskan bahawa konkordans bagi BMM Pangkalan Data Korpus yang disediakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi bagi konkordans BI tidak dinyatakan sumbernya. Penulis juga menyatakan selain bukti korpus, penulis menggunakan bukti intuisi. Kenyataan ini difikirkan kurang sesuai kerana bukti intuisi tidak sebanyak bukti yang ada dalam data korpus, dan bagi menggunakan intuisi dalam membicarakan konkordans BI adalah suatu yang mustahil. Bahagian ini juga agak kurang jelas dari aspek huraian konsep dan pendekatan analisis yang digunakan. Bahagian akhir bab ini membincangkan aspek kata yang sama tetapi berbeza dari segi stilistik dan temporal. Aspek stilistik atau gaya bahasa 311

JURNAL BAHASA

memang menjadi faktor kepada perubahan makna atau perbezaan leksikal dalam bahasa. Begitu juga aspek temporal yang merujuk aspek masa. Kedua-dua aspek ini dihuraikan dengan baik oleh penulis dengan memberikan contoh yang relevan. Rumusan bagi bab ini memperlihatkan perbincangan kuantitatif dan kualitatif setiap pola yang dianalisis. Bagi menjelaskan konsep kefahaman menyaling penulis memasukkan tiga unsur yang menjadi kayu ukur yang diambil dari Asmah Haji Omar (1998), iaitu ketelusan, kelegapan dan kekaburan makna. Buku ini diakhiri dengan bab 7 (hlm. 241-59) yang memperkatakan tentang masa depan perkamusan Melayu-Indonesia. Berpandukan tiga objektif penyusunan kamus yang dikemukakan oleh Newell (1995), iaitu a) sebagai alat membantu komunikasi silang budaya, b) mengangkat martabat bahasa objek, c) memberikan sumbangan untuk generasi seterusnya, penulis berpendapat bahawa kamus BMM dan BI harus lebih berwibawa bagi mencapai ketiga-tiga objektif yang dinyatakan. Perbincangan juga turut berkisar mengenai cita-cita untuk mencapai keseragaman bahasa antara BMM dan BI yang memerlukan penyusun kamus kedua-dua bahasa supaya lebih inovatif dan berusaha menjelaskan variasi leksikal yang wujud untuk meningkatkan tahap kefahaman komunikatif dan kefahaman menyaling bagi penutur asli dan bukan penutur asli yang ada di seluruh dunia. Dapatan kajian buku ini memperlihatkan bahawa maklumat variasi leksikal BMM dan BI adalah tidak seimbang dalam kedua-dua kamus yang dikaji. Oleh sebab itu wujud kesenjangan leksikal yang semakin meluas antara BMM dan BI walaupun keduadua bahasa berasal daripada rumpun yang sama. Harapan penulis agar aspek kesenjangan leksikal itu dapat diminimumkan supaya hasrat untuk menjadikan BMM dan BI sebagai bahasa yang seragamkan tercapai. Penulis turut menyarankan agar konsep konstelasi global bahasa yang diperkenalkan oleh de Swaan (2002) turut diberikan perhatian oleh kedua-dua belah pihak bagi memastikan penyebaran BMM dan BI ke seluruh dunia sebagai bahasa antarabangsa menjadi kenyataan. Penulis mengakhiri keseluruhan penulisan buku ini dengan memasukkan huraian berkenaan kamus umum, kamus khusus, kamus berbilang bahasa dan kamus komposit. Huraian berkenaan kamus tersebut agak janggal kerana tiada tautan dengan huraian yang dibuat sebelumnya. Huraian kamus tersebut lebih wajar dimasukkan pada bahagian awal bagi menunjukkan kesesuaian kamus tersebut sebagai bahan kajian selain KD dan KBBI.

312

ULASAN BUKU

Kesimpulannya, buku Kesenjangan Leksikal Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia ini merupakan penulisan yang amat penting dalam dunia perkamusan Malaysia dan Indonesia. Pilihan perkataan yang dibuat mudah difahami oleh pembaca dari kedua-dua negara yang terlibat dalam bidang perkamusan. Kajian ini amat sesuai dijadikan panduan kepada penyusun kamus secara khusus dan kepada pengkaji bahasa secara umumnya. Bagi pembaca yang tiada pengetahuan tentang leksikografi atau perkamusan, buku ini mungkin kurang sesuai dan memerlukan pembacaan yang teliti dan mendalam. Walau bagaimanapun penulis telah berjaya menghasilkan sebuah buku yang amat penting dan berguna dalam dunia perkamusan Melayu dan Indonesia.

RUJUKAN Asmah Haji Omar, 1998. “Wujudkah tembok bahasa antara Malaysia dan Indonesia?” dlm. Sarjana, hlm. 1-5. Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Ibrahim Ahmad, 2011. Kesenjangan Leksikal Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jackson & Ze Amvela, 2000. Words, Meaning and Vocabulary: An Introduction to Modern English Lexicology. London & New York: Cassell Publication. Harimurti Kridalaksana, 1989. Beberapa Prinsip Perpaduan Leksem dalam Bahasa Indonesia. Yogyakarta: Penerbit Kanisius. McArthur, T., 1998. Living Words, Language, Lexicography and Knowledge Revolution. England: University of Exeter Press.

313