177 SOROTAN PERKEMBANGAN TASAWUF DI ALAM MELAYU

Download c) Penulisan tokoh tasawuf Melayu yang menampakkan pemikiran yang tinggi melalui perbahasan tentang falsafah ketuhanan, kejadian alam, kedu...

0 downloads 502 Views 241KB Size
JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

SOROTAN PERKEMBANGAN TASAWUF DI ALAM MELAYU, TOKOH-TOKOH DAN KARYANYA Rosni binti Wazir Abstrak Tasawuf dan Alam Melayu adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Hal ini dipersetujui dengan fakta bahawa pengislaman sebahagian besar rantau tersebut adalah hasil daripada usaha, pengorbanan dan jasa yang dilakukan oleh pendakwah sufi yang datang dengan rupa sebagai “pedagang” dan “kawan”. Mereka datang dengan aman, membawa bersama akhlak yang mulia, penuh hikmah dan toleransi yang tinggi. Rekod menunjukkan tiada pertentangan atau permusuhan, rantau Alam Melayu ini dengan mudah sekali menyerahkan dirinya untuk diislamkan oleh tangan-tangan yang berjasa ini. Kaitan antara tasawuf dan Alam Melayu juga disaksikan dengan peranan tokoh-tokoh yang amat berpengaruh dalam masyarakat, sebahagian besarnya mempunyai identiti tasawuf yang signifikan. Penulisan ini akan menyoroti sejarah bagaimana Islam datang ke Alam Melayu, siapakah tokoh-tokoh yang bertanggungjawab dan karya-karya mereka yang terkenal.

Pengenalan Sejarah kemasukan Islam ke Nusantara89 atau Alam Melayu yang direkodkan oleh sejarawan adalah melalui dua tahap; tahap kedatangan dan tahap perkembangan90. Perbincangan tentangnya turut melibatkan beberapa persoalan yang sukar dicari titik noktahnya. Tiga perkara utama yang menjadi pendebatan ialah:

89

Definisi Nusantara adalah merangkumi kawasan negeri sebelah Timur tanah besar Asia yang terdiri daripada Semenanjung Indo-China, Kepulauan Indonesia termasuk Tanah Melayu dan juga kepulauan Filipina. Namun skop perbincangan dikhususkan kepada kepulauan Melayu, terutama di daerah Sumetera dan Tanah Melayu. Sila lihat Dr. Haji Abdullah Ishak (1990), Islam di Nusantara (Khususnya di Tanah Melayu), Selangor : alRahmaniah (Badan Dakwah & Kebajikan Islam Malaysia), h.53. Terdapat sedikit perbezaan tentang rangkuman wilayah Nusantara berdasarkan pendapat Haji Wan Mohd Saghir apabila beliau membincangkan tentang perkaitan antara istilah “Asia Tenggara”, “Alam Melayu”, “Nusantara” dan “Negeri Bawah Angin”. Bagi beliau, istilahistilah ini sekiranya dilihat dengan teliti, ia adalah tidak sama. Kawasan yang diistilahkan sebagai “Alam Melayu” sebenarnya adalah lebih luas daripada kawasan “Asia Tenggara”, sedangkan istilah “Nusantara” pula hanyalah berupa “Kepulauan Indonesia”. Istilah “Tanah Jawi” pula hampir sama dengan “Asia Tenggara”. Oleh itu, “Nusantara” adalah lebih kecil daripada “Tanah Jawi” atau “Asia Tenggara”. Sila lihat Haji Wan Mohd Saghir (2002), Wawasan Pemikiran Ulama Asia Tenggara, j.5, Kuala Lumpur : Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara dan Khazanah Fathaniyyah, h.1. 90 Mahayuddin Haji Yahya (2001), Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, h.3.

177

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

1. Tarikh sebenar kemasukan Islam ke Nusantara. 2. Daerah mana yang pertama sekali menerima kunjungan agama Islam. 3. Asal usul mubaligh yang membawa ajaran Islam. Sememangnya sukar untuk menentukan tarikh sebenar kedatangan Islam ke Nusantara dan ini turut diakui sendiri oleh T.W.Arnold : “It is imposibble to fix the precise date of the first introduction of Islam into the Malay Archipelogo.”91 Sejarawan tempatan mengatakan bahawa kedatangan Islam ke Nusantara telah berlaku di sekitar abad ke 7 dan ke 8M, manakala sejarawan Barat memberikan tarikh di sekitar abad ke 13M. Tanah Melayu mula menerima Islam sekitar kurun ke 9M dan selewat-lewatnya pada kurun ke 12M, manakala sejarawan Barat pula berpendapat bahawa ia berlaku di sekitar kurun ke 15M dan ia bermula di Melaka.92 Terdapat beberapa teori yang digunapakai oleh para sejarawan dalam menetapkan tarikh Islam mula berkembang dan menapak dalam masyarakat Melayu, antaranya ialah : 1. Laporan pelayaran Marco Polo yang menemui Perlak pada 691H/1292M bahawa penduduk di situ sudah beragama Islam. 2. Penemuan Batu Bersurat yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu yang bertarikh 702H/1303M mempunyai catatan berkenaan dengan pengamalan hukum hakam Islam di kawasan itu.93 3. Syiling “al-Julus Kelantan” bertarikh 575H/1180M.94 4. Kubur “Keramat Teluk Cik Munah” di Pekan, Pahang yang bertarikh 418H/1028M. 5. Penemuan batu nisan di Bud Dato’, Kepulauan Jolo di Sulu pada 710H/1310M menunjukkan orang Muslim kerap kali mengunjungi kawasan ini, mungkin disebabkan hubungan perdagangan mereka dengan China.95 91

T.W.Arnold (1913), The Preaching of Islam : a History of the Propagation of The Muslim Faith, cet.2, London : Constable & Company Ltd., h.363. 92 Dr. Haji Abdullah Ishak (1990), op.cit., h.70. 93 Syed Muhammad Naquib al-Attas (1969), Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago, Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka, h.12. 94 Amnah Saayah binti Ismail & Farid Mat Zain (2004), Perspektif Islam di Tanah Melayu abad ke-19 : Analisis Terhadap Pemikiran Abdullah Munshi Melalui Karya “Kisah Pelayaran Abdullah””, (Kertas Kerja International Seminar of Islamic Thought, anjuran Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM pada 7-9 Disember 2004), h. 342. 95 Syed Naquib al-Attas (1969), op.cit., h.12.

178

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

Kebanyakan sejarawan bersetuju menamakan Sumatera atau Sumudra sebagai tempat pertama yang menerima kunjungan mubaligh Islam, tetapi masih bertingkah tentang ketentuan daerahnya pula. Ini mungkin berlaku kerana pegangan terhadap sumber yang pelbagai, antaranya :96 1. Perlak (Ferlec) : berdasarkan laporan dari Marco Polo 2. Aru atau Haru : berdasarkan tulisan oleh Tome Pires 3. Pasai : berdasarkan buku Hikayat Raja-Raja Pasai 4. Pangsir, Lamni, Aru dan Perlak : berdasarkan buku Sejarah Melayu. 5. Samudera : berdasarkan catatan China. 6. Acheh : berdasarkan buku Salasilah Acheh. Teori tentang pembawa atau pengembang ajaran Islam di rantau sini juga berpecah kepada tiga teori:97 1. Islam dibawa oleh mubaligh dari Tanah Arab.98 2. Islam dibawa oleh mubaligh dari India.99 3. Islam dibawa oleh mubaligh dari China dan Champa.100

96

Dr. Haji Abdullah Ishak (1990), op.cit., h.54. Ibid.,h.55-70. 98 Menurut teori Hamka dan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, golongan yang pertama menyebarkan Islam ke Nusantara adalah orang Arab itu sendiri dan Islam datang secara langsung dari Tanah Arab. Teori ini boleh diterima kerana kepulauan Nusantara mempunyai hubungan dengan orang Arab semenjak abad ke 5 lagi. Malahan, kepulauan Nusantara menjadi tempat persinggahan pedagang Arab sebelum tiba di negara China. Teori ini turut dipersetujui oleh T.W.Arnold dan S.Q. Fatimi. Sila lihat Hamka (2006), Sejarah Umat Islam (Edisi Baru), Singapura : Pustaka Nasional Pte. Ltd, h.670-676. Lihat juga Syed Muhammad Naquib al-Attas (1969), op.cit., h.11. Lihat juga S.Q. Fatimi (1963), Islam Comes To Malaysia, Singapura : Malaya Publishing House Ltd., h.4. Lihat juga T.W. Arnold (1975), op.cit., h. 363. Teori ini juga disokong oleh kecenderungan penduduk Nusantara kepada tarekat yang berasal dari Tanah Arab seperti Tarekat Naqshabandi, Tarekat Syatariyyah, Tarekat Sammaniyah, Tarekat Rifa’iyyah dan Tarekat Qadiriyyah. Sila lihat http://kdhlib.gov.my/diaspora/sesi1 (sejarah) / Perkembangan Islam Di Nusantara Dan Hubungannya Dengan Golongan Arab (Dr Fadhlullah).doc. 5 April 2012, h. 2. 99 Antara pelopor bagi teori ini adalah Snouck Hurgronje pada tahun 1883M, sila lihat Hamka (2004), op.cit., h.680. Menurut pendapat S.Q.Fatimi : “Professor Snouck Hurgronje salah seorang pelopor yang amat penting di dalam mengemukakan bahan-bahan bahawa pengaruh Persia atau India (Malabar-Koromandel) yang lebih benar di dalam pertumbuhan dan perkembangan Islam di negeri Melayu ini, beliau pun tidak dapat mengelak pengakuan bahawasanya pengaruh Arab atau Makkah atas kehidupan di pulau-pulau ini sangatlah kuatnya. Lebih kuat daripada di Turki atau Hindustan ataupun Bukhara sendiri.” Sila lihat S.Q. Fatimi (1963), op.cit., h.4. 100 Teori ini dikemukakan oleh Emanuel Godinho Eredia, seorang saintis berbangsa Sepanyol dan sumber catatan dari negeri China semasa Dinasti Sung. Sila lihat S.Q. Fatimi (1963), ibid., h.67. 97

179

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

Dr. Haji Abdullah Ishak telah merumuskan beberapa faktor yang mendorong penyebaran Islam secara lebih positif di rantau ini dan ia saling berkaitan serta menjadi sokongan kepada yang lain. Faktor-faktor yang dimaksudkan adalah:101 1. Faktor perlumbaan dalam penyebaran agama. 2. Faktor perkahwinan.102 3. Faktor perdagangan. 4. Faktor penguasaan syahbandar. 5. Faktor politik dan penaklukan.103 6. Faktor keperibadian golongan dakwah dan sufi.104 7. Faktor penulisan dan kesusasteraan. 8. Faktor kemurnian ajaran agama Islam. Tasawuf di Alam Melayu Sewaktu Islam datang ke Alam Melayu, masyarakatnya sudah larut dengan budaya mitologis yang sangat kuat. Malahan, dijangka bahawa perubahan dari budaya lama ini kepada sesuatu yang bersifat keagamaan akan menimbulkan pertentangan. Manakala dari segi politiknya dan sosialnya, ia dikuasai oleh Sriwijaya yang menjadikan Hindu sebagai agama rasminya. Menukar dari Hindu kepada Islam bermakna melumpuhkan kekuatan Sriwijaya pada satu sisi dan mengubah secara total struktur masyarakat yang sudah mapan pada sisi lain.105 Namun begitu, tiada catatan yang menunjukkan bahawa berlaku satu pertentangan atau ketegangan dalam proses tersebut, bahkan Islam yang datang sewaktu itu menampilkan dirinya sebagai satu “masyarakat” bukan sebagai satu “kekuatan”. Masyarakat baru ini memilih untuk berdagang dan bukan berpolitik; sebuah strategi dakwah yang sangat cemerlang. Semua literature tentang sejarah Islam pada masa ini (abad 7 hingga 13 Masehi) Namun begitu, sumber dari China ini turut mengaku bahawa Islam telah sampai ke negara mereka sejak abad pertama Hijrah. Sila lihat Hamka (1994), op.cit., h.670. Lihat juga Mahayuddin Haji Yahya (2001), op.cit., h.13. 101 Dr. Haji Abdullah Ishak (1990), op.cit., h.71. 102 S.Q.Fatimi memetik pendapat Prof. Brian Harrisson. : “Prof. Brian Harrisson’s variation emphasizes the influence of the monarchs and the marital alliances. The spread of Islam along marriages between members of royal pr merchant families.” Sila lihat S.Q.Fatimi (1963), op.cit.,h.71. 103 Perkara ini dihuraikan panjang lebar oleh S.Q.Fatimi di dalam penulisannya. Sila lihat ibid.,h.86. 104 S.Q.Fatimi menyebutnya sebagai “traders playing the role of missionaries”. Sila lihat ibid. 105 Abdul Kadir Riyadi (2016), Arkeologi Tasawuf, Bandung : Mizan Media Utama, hlm.351.

180

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

sepakat bahawa tidak ada keterlibatan komunitas Muslim sedikitpun dalam dunia politik atau melakukan dakwah secara terbuka. Bukan kerana mereka tidak mampu, melainkan menunggu waktu yang tepat untuk bergerak. 106 Ini adalah bagaimana asasnya Islam masuk ke Alam Melayu, mereka menetap di sini, berkeluarga dan membina masyarakat, berkongsi hidup dengan masyarakat asal di situ, bergaul dan menempatkan diri dengan baik bersamasama mereka. Mereka bergerak, namun dalam keadaan terbatas malahan pada peringkat awal, tidak ditemui sebarang masjid, madrasah atau pusat dakwah di mana-mana. Pada abad ke 14M, sudah mula terdapat pelajar-pelajar dari Alam Melayu yang berani mengorak langkah dengan menyambung pengajian di Mekah, sekaligus melakukan ibadat haji di sana. Bermula dari sini, berlaku jalinan dan hubungan yang erat di antara Haramayn dan Alam Melayu sehingga membawa kepada pengislaman Alam Melayu. Setelah itu, berlaku perubahan yang amat ketara melibatkan aspek yang paling teras dalam masyarakat Melayu seperti akidah, politik, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, adat resam, bahasa, komunikasi, undang-undang, adab, akhlak, sistem kekeluargaan, sistem masyarakat dan lain-lain. Walaupun terdapat beberapa pendapat dari sarjana Barat yang menyatakan bahawa Islam diterima dalam bentuk yang minimal sahaja oleh masyarakat, cendikiawan Melayu telah bertungkus-lumus membuktikan bahwa teori itu adalah tidak tepat. Dr. Azyumardi Azra memetik pendapat Lanson Van Leur, Winstedt dan Gullick yang mengatakan bahawa Islam sekadar perkara kecil yang berlaku pada perkembangan tamadun manusia. Pengamal Islam juga amat terhad dan bercampur dengan kepercayaan Hindu-Buddha serta tidak signifikan sebagai agama bagi sesebuah negeri kerana tiada undang-undang Islam yang dilaksanakan, tiada kadi yang dilantik dan negeri-negeri ini masih berada di bawah perlindungan British.107 Pandangan-pandangan ini telah disanggah dengan keras oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, sekaligus menolak teori tersebut sepenuhnya. Bagi beliau, Islam telah memberi impak yang besar dengan menukar struktur 106

Ibid., hlm.351. Azyumardi Azra (1997), “Education, Law, Mysticism : Constructing Social Realities”, dalam Mohd Taib Osman (ed.), Islamic Civilization in the Malay World, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, h.146-147. 107

181

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

masyarakat, budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu.108 Pendapat ini telah disokong oleh sejarawan lain seperti C.A.O Van Niewenhuijze, C.A Majul serta ramai lagi.109 Apa sahaja pendapat yang diberikan oleh para sejarawan Barat, Islam pada waktu itu terus berkembang sehingga muncul pusat kekuasaan MelayuIslam seperti Terengganu Lama, Kedah, Perak, Patani, Melaka, Johor-Riau, Pasai, Acheh, Banten, Demak, Champa, Brunei, Sulu, Magindanao, Tidore dan Maluku yang menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca sehingga akhirnya ia dinamakan Kepulauan Melayu110. Perubahan yang besar ini tidak datang sekelip mata dan sudah pastinya melibatkan satu usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh. Golongan pendakwah sufi dikatakan antara tunggak yang memberi lonjakan yang lebih kuat kepada gerakan dakwah Nusantara. Golongan ini lah yang telah bergerak ke setiap pelosok Nusantara sama ada di Aceh, Pattani, Filipina, Melaka, Kedah, Terengganu, atau Kepulauan Jawa. Mereka bertungkus-lumus menjalankan tugas dakwah dan penerangan tentang kebaikan ajaran dan agama Islam kepada penduduk Kepulauan Melayu. Penggerak dakwah yang berjaya mengubah senario dan landskap agama serta kepercayaan masyarakat Melayu inilah yang dinamakan sebagai golongan sufi, golongan tasawuf, golongan tarekat atau golongan wali.111 Hakikatnya, penyebaran Islam ke Nusantara ini melibatkan beberapa faktor sebagaimana telah dinyatakan sebelum ini. Namun begitu, penulisan ini akan memfokuskan kepada peranan yang dimainkan oleh pendakwah atau tokoh tasawuf sahaja. Sekiranya diperhatikan, dapat dilihat bahawa terdapat ramai tokoh atau individu pendakwah yang tiba dirantau sebelah sini merupakan seorang pengikut tasawuf dan tarekat. Antara tokoh yang dimaksudkan adalah seperti Syeikh Ismail, Syeikh ‘Abd al-Aziz, Syeikh ‘Abd Allah ‘Arif, Syeikh Burhan al-Din, Wali Songo, Syeikh ‘Abd Allah alYamani, Syeikh ‘Abd Allah al-Qumairi, Syarif Awliya’ Karim al-Makhdum, Syeikh Safiy al-Din al-‘Abbasi, Syeikh Sa’id Barsisa dan Syeikh Gombak ‘Abd al-Mubin. Kedatangan tokoh-tokoh ini ke rantau Melayu membawa

108

Syed Muhammad Naquib al-Attas (1969), op.cit.,h.4-7. Azyumardi Azra (1997), op.cit., h.147. 110 Penduduk di sini akan memperkenalkan diri mereka sebagai Bangsa Jawi, berasal dari Tanah Jawi, berbahasa Jawi dan menulis dengan tulisan Jawi. 111 Mohd Faizal Harun, Tasawuf dan Tarekat Sejarah Perkembangan dan Alirannya di Malaysia (2015), UUM Press, Sintok : Kedah, hlm. 69. 109

182

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

bersama aliran tarekat yang terkenal seperti Tarekat Qadiriyyah, Tarekat Alawiyyah, Tarekat Naqsyabandiyyah, Tarekat Syattariyah dan lain-lain. Secara ringkasnya, kejayaan gerakan tasawuf dalam mempromosi Islam boleh dilihat dari beberapa faktor:112 a) Tumpuan penyebaran Islam ke Timur pada waktu itu lebih berorientasikan aspek kerohanian berbanding dengan kebangkitan intelektual, sains dan teknologi di Barat. Setelah kejatuhan Baghdad ditangan Hulago, pusat kegemilangan Islam berpindah ke Andalusia dan Mesir. Keturunan Hulago yang kemudiannya memeluk Islam, telah membina kerajaan Islam Moghul di India. Pendekatan dakwah bercorak sufi mula dikembangkan berbanding pendekatan berbentuk ilmu dan teknologi yang telah berpindah ke Barat. b) Berlaku lompang kerohanian dalam masyarakat awam yang ketara. Menurut Prof.Syed Naquib al-Attas, kelompongan ini tidak boleh ditampung oleh agama Hindu-Budha yang hanya berpengaruh di istana dan tidak dijiwai sepenuhnya oleh masyarakat bawahan. Apatahlagi dengan wujudnya sistem diskriminasi seperti kasta yang menambah lagi jurang antara golongan atasan dan bawahan. Ia amat berbeza dengan ajaran Islam yang dibawa oleh pendakwah sufi yang menekankan konsep keadilan dan kesamarataan. c) Kejayaan golongan sufi dalam menonjolkan imej Islam yang harmonis dengan budaya dan adat resam tempatan. Mubaligh sufi tidak terus menghentam unsur-unsur khurafat dalam masyarakat sebaliknya lebih menumpukan kepada proses pengislaman terlebih dahulu. Mereka mengambil langkah berhati-hati dalam usaha untuk memperbetulkan amalan-amalam khuradat dan tahyul yang bertentangan dengan Islam. d) Peranan tasawuf dalam kesusasteraan Melayu membantu menyebarkan Islam di Nusantara. Terdapat dua orang ahli tasawuf di Alam Melayu yang aktif melahirkan karya-karya sastera iaitu Shams al-Din al-Sumaterani dan Hamzah Fansuri dan juga bentuk penulisan lain yang diusahakan oleh tokoh-tokoh seperti Syeikh Nur al-Din alRaniri, ‘Abd al-Rauf al-Fansuri dan lain-lain.

112

Perbincangan tentang faktor-faktor ini telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh Badlihisham Mohd Nasir dan Othman Haji Talib, Tasawuf Dalam Gerakan Dakwah Tanahair, Jurnal Usuluddin, bil.18, 2003, hlm 3-5.

183

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

e) Sikap dan peranan positif ulama terhadap tasawuf menonjolkan jatidiri

gerakan dakwah berorientasikan sufi di dalam masyarakat dan negara. Golongan pendakwah sufi berjaya menonjolkan diri mereka sebagai seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam masyarakat. Mereka bukan sahaja golongan yang sentiasa cuba membersihkan hati dan jiwa dengan zikir, menggalak dan mengajak orang lain, bahkan turut terlibat dalam aspek pendidikan, sastera, sosial, ekonomi, politik bahkan perjuangan menentang penjajah.

Faktor-faktor yang dinyatakan di atas telah memacu Islam dengan lebih rancak lagi, semenjak dari kedatangan pendakwah sufi ini ke Alam Melayu lama dahulu sehinggalah sekarang. Perkembangan yang dimaksudkan dapat dilihat dalam 2 peringkat : 1) Zaman awal Islam dan era penjajahan Pada waktu ini pada pendakwah sufi113 yang datang dari Tanah Arab, benua India dan Tanah Besar China mensasarkan raja atau pembesar negara sebagai cara yang penting dalam penyebaran Islam. Apabila Islam mula diterima oleh golongan atasan, pengajian agama Islam menjadi semakin rancak dan serius berbanding sebelumnya. Masyarakat awam mula menunjukkan minat untuk mempelajari agama Islam. Tempattempat pengajian secara kecil-kecilan seperti madrasah, ribat dan zawiyah mula dinaik-taraf menjadi lebih kondusif dan formal sehingga akhirnya mewujudkan sistem pengajian pondok dan ia berterusan sehinggalah sekarang. Terdapat dua buah madrasah yang dikatakan menjadi tumpuan dan telah memainkan peranan yang penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan Islam, khsusunya ilmu tasawuf di sekitar Alam Melayu ini iaitu Madrasah Pulau Upeh dan Pulau Besar di Melaka.114 113

Di antara pendakwah sufi yang terlibat dalam gerakan dakwah di Alam Melayu ini adalah : Syeikh Ismail, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz (Melaka), Syeikh ‘Abd Allah ‘Arif (Aceh), Syeikh Burhan al-Din, Wali Songo, Syeikh ‘Abd Allah al-Yamani (Kedah), Syeikh ‘Abd Allah alQumairi, Syarif Awliya’ Karim al-Makhdum, Syeikh Shafiy al-Din al-‘Abbasi, Syeikh Sa’id Barsisa dan Syeikh Gombak ‘Abd al-Mubin, Syeikh Ismail Asmoro (Jawa), Syeikh Ismail Pulau Besar (Melaka), Syeikh Ismail Pulau Besar (Melaka), Syeikh Ahmad Makhtum (Melaka), Ismail Daffi@Saffi dan Tun Jana Khatib (Singapura), Maulana Abu Bakar (Melaka), Maulana Yusuf, Qadi Menawar, Tuan Syarif Awliya’ (Sulu). 114 Mohd Faizal Harun, Tasawuf dan Tarekat Sejarah Perkembangan dan Alirannya di Malaysia (2015), UUM Press, Sintok : Kedah, hlm. 75.

184

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

Peranan golongan pendakwah sufi ini adalah amat besar dan diiktiraf oleh cendikiawan dan penyelidik. Penyelidik Nusantara yang terkenal iaitu Haji Wan Muhammad Saghir dipetik menyatakan: Kalau kita mau meneliti secara jujur maka kita akan berkesimpulan bahawa di tahun-tahun pertama masuknya Islam ke Nusantara yang terbesar sekali jasanya adalah golongan shufi bukan golongan lainnya. Hampir semua daerah yang pertama memeluk Islam bersedia menukar kepercayaan asalnya dari Animisme, Dinamisme maupun Budha-isme dan Hindu-isme adalah tertarik dengan ajaran shufi itu sendiri, ini adalah menunjukkan keahlian tokoh-tokoh shufi itu menyusun sistem dan metode penyebaran dengan cara-cara khas mereka yang tak dapat ditiru oleh golongan lainnya.115 Pada awalnya, masyarakat tempatan pada waktu itu tebal dengan semangat mistik atau kebatinan seperti ilmu hitam, bertapa, meditasi, ilmu kebal, ilmu persilatan, ilmu perbomohan dan sebagainya menjadi amalan hidup mereka. Dengan masuknya aliran tasawuf yang berupa penyucian jiwa dan menekankan aspek kerohanian, menjadi pengganti kepada aliran kebatinan mistik yang diamalkan oleh orang Melayu sejak dahulu sebelum kedatangan Islam lagi.116 Secara umumnya, terdapat dua peringkat generasi ahli tasawuf di Nusantara ini. Generasi pertama adalah tokoh yang menghasilkan karya sufi secara total. Mereka yang dimaksudkan adalah seperti Syeikh Hamzah Fansuri117, Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani118, Syeikh Abd al-Rauf bin ‘Ali Fansuri119, Syeikh Burhanuddin Ulakkan, Syeikh Yusuf Tajul 115

Hawash Abdullah (t.t), Perkembangan Ilmu Tasawuf & Tokoh-Tokohnya di Nusantara, Penerbit al-Ikhlas : Surabaya, Indonesia, hlm. 15. 116 Mohd Faizal Harun, opcit., hlm. 72. 117 Tokoh yang sangat popular pada zamannya, pendokong aliran Wahdah al-Wujud. Di antara syair yang pernah dihasilkan olehnya ialah Syair Burung Pingai, Syair Dagang, Syair Perahu. Karya ilmiahnya pula ialah al-Muhtadi dan Syarb al-‘Asyiqin. Pegangannya pernah ditentang hebat oleh Syeikh Nur al-Din al-Raniri. Lihat Hawash Abdullah (t.t.), Perkembangan Ilmu Tasawuf Dan Tokoh-Tokohnya Di Nusantara, Surabaya, Indonesia : Penerbit al-Ikhlas, h. 36 118 Anak murid Syeikh Hamzah Fansuri dan juga berfahaman Wahdah al-Wujud. Lebih giat menghasilkan karya sama ada dalam bahasa Arab atau Melayu. Di antara hasil karyanya adalah Jawahir al-Haqa’iq, Kitab al-Harakah, Mir’ah al-Iman dan lain-lain. Lihat ibid., h. 40. 119 Merupakan tokoh sufi dan penyebar tarekat Shatariyyah yang terulung pada zamannya. Lihat ibid., h. 49.

185

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

Khalwati Makasar dan Syeikh Yusuf di Bentan. Generasi kedua pula ialah tokoh yang menghasilkan karya berimbang dengan syariat. Dan mereka adalah ulama’ “Periode Kedua Penulisan Kitab Jawi”. Di antara yang dimaksudkan adalah seperti Syeikh Abd al-Samad al-Palimbani, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Ismail alKhalidi al-Minkabawi, Syeikh Abd al-Samad Tok Pulai Chondong alKelantani dan Syeikh Ahmad Khatib al-Sambasi.120 Ini adalah nama tokohtokoh-tokoh sufi tempatan yang turut sama berperanan dalam menyemarakkan lagi proses pengajian Islam dan tasawuf khususnya. Satu pemerhatian yang dilakukan oleh saudara Mohd Faizal Harun untuk menunjukkan ukuran sebenar penerimaan masyarakat Melayu terhadap tasawuf dan tarekat adalah sebagaimana berikut:121 a) Penulisan kitab tasawuf yang bermutu ditulis oleh ulama sufi Melayu. b) Kewujudan pelbagai pondok pengajian yang mengajar ilmu tasawuf dan tarekat yang dibangunkan oleh tok guru sufi. c) Penulisan tokoh tasawuf Melayu yang menampakkan pemikiran yang tinggi melalui perbahasan tentang falsafah ketuhanan, kejadian alam, kedudukan insan, fana’ dan baqa’ dan sebagainya. d) Keperibadian dan kekuatan akhlak tokoh sufi Melayu yang menempatkan dirinya sebagai tokoh yang berpengaruh dan berpersonaliti serta mampu menarik minat masyarakat. 2) Selepas kemerdekaan Tanah Melayu Setelah penjajahan Imperialis di Alam Melayu, fahaman sekular dan idea Barat telah mula menular dan memasuki cara hidup orang Melayu. Fahaman sebegini telah menghilangkan minat masyarakat terhadap pengajian Islam dan mula mengamalkan cara hidup yang lebih moden. Ajaran tasawuf yang lebih kepada ‘uzlah, khalwah, zuhd mula ditinggalkan dan tersisih dari masyarakat. Cabaran pada tempoh ini juga dilihat pada aliran baru yang dikenali sebagai Kaum Muda yang kebanyakannya dipelopori oleh lepasan dari Madinah dan Mesir yang mempertikaikan tasawuf dan menganggapnya sebagai sesuatu yang bukan dari Rasulullah s.a.w. Mereka juga mendakwa golongan sufi ini hanya mementingkan amalan individu semata-mata dan tidak melibatkan diri dalam masyarakat, tidak kisah dengan keadaan 120 121

Hawash Abdullah (t.t), ibid., h.85. Mohd Faizal Harun, opcit., hlm. 79-82.

186

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

setempat dan tidak berminat dengan urusan politik dan kenegaraan. Hakikatnya tidak semua golongan sufi bersifat begitu, bahkan ramai yang terlibat secara gigih menentang penjajahan sebelum kemerdekaan malah terlibat dengan politik seperti Dr Burhan al-Din al-Helmi. Walaupun perkembangan pada waktu ini tidak serancak sebagaimana sebelum ini, ia tetap wujud dan masih lagi diminati oleh sebahagian penduduk tempatan terutama di Kelantan, Kedah, Pattani, Negeri Sembilan dan Terengganu.122 Menyimpulkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pengajian tasawuf pada peringkat ini ialah:123 a) Wujudnya segolongan manusia yang jahil tentang ilmu tasawuf dan tarekat tetapi menggelarkan diri mereka sebagai ahli sufi. Mengaku mampu membawa manusia mengenali Allah dan mensucikan diri tetapi sebenarnya membawa ke jalan yang menyeleweng dan karut. b) Pengaruh sekularisme yang dibawa oleh penjajah yang membawa manusia jauh dari agama dan hidup berlandaskan ajaran Barat yang mengkhayalkan dunia dan jauh dari Akhirat. c) Penentangan Kaum Muda yang menentang keras pengajian tasawuf dan tarekat. Anggapan golongan ini bahawa ajaran tasawuf ini adalah bid’ah dan bercanggah dengan amalan Nabi Muhammad s.a.w d) Kejahilan masyarakat awam yang mempunyai pengetahuan agama hanya di peringkat asas sahaja. Mereka yang tidak memahami tentang selok-belok ilmu ini dengan secara mudah menganggapnya sebagai karut dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar Tokoh Tasawuf Alam Melayu dan Karya-Karyanya Bicara tentang tokoh tasawuf di Alam Melayu pada peringkat pertama ini selalunya bermula dengan ‘Abd Allah ‘Arif124 seorang ahli sufi berbangsa 122

Ibid., hlm. 84. Ibid., hlm. 86-90 124 Sehingga kini, seorang penulis yang menulis secara lanjut tentang tokoh ini adalah Ustaz Wan Muhammad Saghir yang menggunakan nama Hawash Abdullah di dalam bukunya itu. Beliau menggambarkan tokoh ini sebagai murid kepada Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, pengasas Tarekat Qadiriyyah. Sahabat beliau yang kemudiannya menjadi muridnya iaitu Syeikh Burhanuddin telah mengembara dari Acheh ke Sumatera Barat dan berjaya mengislamkan temoat tersebut serta meninggal di sana. Menurut saudara Wan Muhammad Saghir, Bahr al-Lahut ini ditulis dalam bahasa Arab dan beliau memperolehi buku tersebut 123

187

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

Arab yang menulis Bahr al-Lahut125. Karya jawi sufi terawal yang dilahirkan di rantau ini. Ada yang menyatakan bahawa karya ini mempunyai ciri-ciri Syiah126, pendokong Ibn Arabi, bahkan mengandungi perbincangan yang kontroversi iaitu wahdah al-wujud. Walaupun tidak banyak dibincangkan tentangnya, ia dikatakan memberi pengaruh kepada perkembangan pemikiran tasawuf di Alam Melayu pada abad ke 17M dengan munculnya Hamzah Fansuri di Acheh dengan gagasan yang hampir sama. Ia kemudiannya mencetuskan polemik apabila gasasan sufi beliau itu telah disanggah dengan keras oleh Nur al-Din al-Raniri. Setelah itu, tokoh yang disebut adalah Syeikh Abu ‘Abd Allah Mas’ud bin ‘Abd Allah al-Jawi. Nama beliau telah disebut oleh Syeikh Yusuf alNabhani, pengarang kitab Jami’ Karamat al-Awliya’, iaitu tentang tokoh sufi dari Jawi atau Alam Melayu. Tokoh ini dikatakan seorang alim sufi yang terkenal dan mempunyai ramai murid dari serata tempat dan antara yang terkenal adalah Syeikh ‘Abd Allah al-Yafi’i. Maklumat tentang biodata tokoh ini telah disentuh oleh Professor Hamka dalam karyanya “Tasawuf : Perkembangan dan Pemurniannya”. 127 Seterusnya adalah Wali Songo. Syeikh Siti Jenar, Syeikh Abu alKhayr bin Hajar dan Syeikh Muhammad Yamin yang masing-masing mempunyai sejarah dan perjalanan dakwah dan sufi yang tersendiri di Alam Melayu. Tokoh yang seterusnya adalah Hamzah Fansuri dan anak muridnya, Syeikh Samsuddin al-Sumaterani. Dua orang figura sufi yang dikatakan beraliran seperti al-Hallaj, terutama berkaitan dengan fahaman hulul, ittihad, mahabbah dan lain-lain. Hamzah Fansuri, khususnya merupakan seorang pujangga sufi yang sangat terkenal di zamannya serta melahirkan banyak dari seorang berketurunan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati (ulama sufi di tanah Bugis). Buku tersebut dikatakan mencerminkan ajaran Syiah dan menceritakan tentang kisah Nur Muhammad secara mendalam dan terperinci. Bahkan, ia sangat menggambarkan bahawa rujukannya adalah dari al-Hallaj dan Ibn ‘Arabi. Sila rujuk Hawash, opcit., hlm.10-13. 125 Berdasarkan kajian yang dibuat terhadap salinan yang ada di Perpustakaan Universiti Leiden, ia mempunyai 6 halaman yang bertulis dalam bahasa Melayu. Ia tidak disusun dengan baik, tidak mempunyai bab. Ia memfokuskan kepada syariat, sifat 20, penekanan kepada keEsaan Allah memandangkan pada waktu itu masyarakat Melayu mempercayai kepada perkara-perkara karut dan mistik juga Nur Muhammad. Sila rujuk Ahmad Sahidah, Finding Malay Islamic Identity trough Manuscripts : A Textual Criticism of Bahr al-Lahut, British Journal of Arts and Social Sciences, vol.11, no.1 (2012), hlm.53-54. 126 Sulaiman bin Ibrahim (2002), al-Turuq al-Sufiyyah fi Maliziyya wa Atharuha ‘ala Dakwah al-Islamiyyah, Majlis Fatwa Negeri Sembilan : Negeri Sembilan, hlm.170. 127 Ibid., hlm.174

188

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

karya-karya dan syair yang sering diberi perhatian sehingga sekarang. Pengaruh beliau pula tersebar sehingga ke kepulauan Jawa, Perak, Perlis, Kelantan, Terengganu dan lain-lain. Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, anak murid beliau Syeikh Samsuddin al-Sumaterani juga tidak kurang hebatnya. Beliau dikatakan mempunyai hubungan yang erat dengan istana Acheh pada waktu itu. Karya beliau antaranya adalah Jawahir al-Haqa’iq dan Tanbih al-Tullab fi Ma’rifah Malik al-Wahhab dan banyak lagi. Sebagaimana gurunya, beliau juga dikenali sebagai seorang yang berfahaman wahdah al-wujud dan turut mendapat pertentangan dari Syeikh Nur al-Din al-Raniri.128 Setelah itu muncul seorang lagi tokoh tasawuf yang terkenal iaitu Syeikh ‘Abd al-Rauf al-Fansuri yang dianggap sebagai penyebar Tarekat Syattariyyah yang hebat pada zamannya. Beliau adalah seorang tokoh tarekattasawuf yang mempunyai ramai murid dan antara yang terkenal adalah Syeikh Burhanuddin III yang dikatakan berjaya mengkombinasikan jaran syariat mazhab Syafi’i dengan ajaran tasawuf Tarekat Syattariyyah di Sumatera Barat.129 Syeikh Abdul Rauf juga mempunyai kedudukan yang penting di istana Kesultanan Acheh pada waktu itu dan juga berjaya melahirkan beberapa karya yang terkenal seperti Syarh al-Latif yang merupakan terjemahan kepada Syarh al-Taftazani ‘Ala al-Ahadith al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Pada kurun ke 15M, tasawuf dikatakan mula mendapat tempat dihati masyarakat apabila karya Maulana Ishaq al-Shirazi yang bertajuk al-Dur alManzum mula diajar kepada orang ramai.130 Bahkan, perkembangan ini digambarkan sebagai bukti pengaliran ajaran tasawuf di Tanah Melayu. Tasawuf di Alam Melayu disemarakkan lagi kehadiran tokoh seperti Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Makasar yang tidak kurang hebatnya. Hawash dalam sebuah karyanya menyatakan bahawa tokoh ini pernah berguru dengan Syeikh Nur al-Din al-Raniri tetapi tidak terkesan dengan pertentangan gurunya yang keras terhadap tasawuf pada waktu itu. Beliau juga merupakan murid kepada Syeikh ‘Abd al-Rauf al-Fansuri dan sudah semestinya seorang pencinta tarekat sebagaimana gurunya. Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah karya yang ditulis dalam bahasa Arab.131 128

Hawash, opcit., hlm.41 Ibid., hlm.51 130 Che Zarina Sa’ari , Tasawuf : Sejarah dan Perkembangannya Hingga Kini, Tasawuf dan Ummah, Jabatan Aqidah dan Pemikiran Islam , Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, hlm.31. 131 Hawash, opcit., hlm.65. 129

189

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

Peringkat kedua pula menampakkan kelahiran tokoh sufi yang seimbang dengan syariat dan ia ditandai dengan kemunculan Syeikh Abd alSamad al-Palembangi bersama dua karyanya yang hebat dan merupakan terjemahan kepada karya Imam al-Ghazali iaitu Siyar al-Salikin132 dan Hidayah al-Salikin.133 Tindakan beliau ini digambarkan sebagai cubaan untuk membawa pengaruh tasawuf sunni yang diperkenalkan oleh Imam al-Ghazali sekaligus membersihkan pergeseran serius yang berlaku di antara Hamzah Fansuri dan Nur al-Din al-Raniri. Satu fakta yang paling menarik tentang beliau adalah penglibatan beliau menentang penjajahan Siam ke atas Kedah sehingga beliau syahid fi sabilillah. Ini sekaligus menolak anggapan ramai bahawa golongan sufi ini ketinggalan zaman, jumud dan semata-mata mengutamakan akhirat. Sesuatu yang jelas dapat dilihat dalam karya-karya beliau adalah perimbangan yang wujud antara tasawuf dan syariat. Ini tidaklah mengejutkan kerana Imam alGhazali dan karya-karyanya menjadi rujukan utama beliau selain dari Syeikh ‘Abd al-Wahab al-Sya’rani, Syeikh Ibn ‘Abbad dan Syeikh ‘Abd al-Kadir alIdrusi dan ramai lagi. Tokoh seterusnya adalah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang merupakan pengarang Dur al-Nafis dan tokoh prolifik Pattani, Syeikh Daud al-Fatani dengan karya tasawuf seperti al-Jam‘ al-Fawa’id wa Jawahir alQala’id, Minhaj al-‘Abidin, Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abi Madyan, Wasaya al-Abrar wa Mawa’iz al-Akhyar. Setelah itu, muncul pula Syeikh Ismail al-Khalidi yang mengarang alRahmah al-Habithah, Haji Abdul Samad Pulau Condong, Syeikh Ahmad Khatib al-Sambasi dan ramai lagi. Lanskap tasawuf dan tokohnya di Alam Melayu telah mengalami beberapa perubahan dan transisi yang positif hasil percubaan untuk mengimbangi antara tasawuf dan syariat dan antara tasawuf Imam al-Ghazali yang berlandaskan moral dengan tasawuf Ibn ‘Arabi yang menonjolkan aspek falsafahnya.

Ia adalah terjemahan kepada Lubab Ihya’ Ulum al-Din. Ia adalah terjemahan kepada Bidayah al-Hidayah. Walaupun ia merupakan sebuah karya terjemahan, tetapi penulisnya telah memasukkan beberapa perkara lain yang dirasakan perlu yang dirujuk kepada karya-karya tasawuf yang lain. 132 133

190

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

Pada peringkat awal terdapat konflik yang serius di antara tokoh tasawuf dan yang menentangnya. Namun, setelah ulama yang berorientasikan syariat dan para sufi di Timur Tengah mula mengubah pendekatan kepada “saling-pendekatan” (reapproachment), ia mula memberi kesan kepada keadaan yang sama di Alam Melayu. Konflik yang lama berlangsung sudah semakin kurang, konsep yang lebih kepada penyelesaian berbanding ketegangan yang diterapkan oleh Imam al-Ghazali dan al-Qusyairi mula menampakkan kesannya. Kemunculan golongan yang disebut sebagai “neo-sufism”134, menyumbang kepada perimbangan antara tasawuf dan syariat. Bibit-bibit mula timbul pada pendekatan ulama-ulama tasawuf peringkat pertama terutama Syeikh ‘Abd al-Rauf al-Fansuri dan menampakkan perubahan yang ketara pada peringkat kedua. Kecenderungan menjadikan Imam al-Ghazali dan yang sealiran dengannya sebagai rujukan menggambarkan hal tersebut. Seruan-seruan supaya mengimbangi antara tasawuf dan syariat seringkali dinyatakan dalam karya-karya ulama tasawuf pada peringkat ini. Perkara ini mungkin sekali berlaku kerana tokoh-tokoh ulama mempunyai kecederungan imbangan ini menjadi guru kepada anak murid mereka yang datang dari Tanah Jawi ini. Maka hampir keseluruhan ulama Melayu memainkan peranan mereka untuk menyebarkan pendapat dan pemikiran guru-guru135 mereka ke rantau ini kerana ulama-ulama di Mekah dan Madinah ini dirujuk dalam karya-karya pengarang Melayu seperti ‘Abd al-Rauf al-Fansuri, Yusuf Makasar, ‘Abd al-Samad al-Palimbangi, Muhammad Nafis al-Banjari, Muhammad Arsyad al-Banjari, Daud al-Fatani dan lain-lain di dalam kitab-kitab mereka. Percubaan untuk mengurangkan konflik juga dapat dilihat daripada kurangnya terjemahan karya-karya tokoh tasawuf yang kontroversi seperti Ibn 134 Ini adalah istilah yang diperkenalkan oleh Afzalur Rahman yang merujuk kepada tasawuf yang telah diperbaharui, tertutamanya yang dilucuti dari ciri dan kandungan estatik dan metafiziknya dan digantikan dengan kandungan yang tidak lain dari dalil-dalil ortodoksi Islam. Sila lihat Azyumardi Azra, hlm. 109. 135 Antara ulama yang menampakkan kecenderungan imbangan sufi-syariat ini adalah seperti Zakaria al-Ansari (m.1520M), ‘Abd al-Wahab al-Sya’rani (m.1565M), Ahmad al-Shinnawi (m.1619m), Ahmad al-Qushashi (m.1661m), Ayyub al-Dimashqi al-Khalwati (m.1661m), Ibrahim al-Kurani (m.1690m), Ahmad al-Nakhli (m.1701m), ‘Abd Allah al-Basri (m.1722), Abu Tahir Ibrahim al-Kurani (m.1732m), Muhammad Samman (m.1775m), Sulaiman alKurdi dan ramai lagi. Ulama ini adalah terkenal dan aktif di Haramayn pada abad ke 17 dan mempunyai keahlian, sama ada ada dalam bidang fekah, hadis dan al-Quran. Sila lihat Azyumardi Azra, opcit., hlm.112-120).

191

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

‘Arabi dan al-Jili tetapi lebih memfokuskan kepada Imam al-Ghazali, Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandari, al-Burhanpuri dan lain-lain. Tokoh-tokoh ini membawa imej yang selesa dan tidak kontroversi dan memberi penekanan kepada aspek akhlak dan pemurnian jiwa. Aktiviti penterjemahan yang dilakukan para pengarang Melayu yang terdiri daripada pelbagai bentuk seperti terjemahan perkata atau terjemahan bersama tambahan penterjemahnya. Antara karya-karya tersebut adalah alHikam oleh Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandari yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis Pulau Manis, Terengganu, Minhaj al-‘Abidin oleh al-Ghazali dan Kanz al-Minan oleh Abu Madyan yang diterjemahkan oleh Syeikh Daud al-Fatani, Bidayat al-Hidayah dan Lubab Ihya’ Ulum al-Din oleh al-Ghazali yang diterjemahkan oleh ‘Abd al-Samad al-Falimbani dengan masing-masing tajuk ialah Hidayat al-Salikin dan Siyar al-Salikin.136 Kesimpulan Kejayaan yang dirangkumi oleh pendakwah-pendakwah sufi yang datang ke Alam Melayu sebagai pedagang ini telah memberikan kesan yang amat besar kepada rantau ini keseluruhannya. Berpindahnya masyarakat dari Hindu dan Budha kepada Islam tanpa melibatkan sebarang peperangan dan pertumbahan darah, ternyata membawa perubahan yang sangat ketara, bukan sahaja melibatkan anutan dan akidah masyarakatnya bahkan juga daya intelektual bangsanya. Hasilnya, ia telah melahirkan sekumpulan masyarakat yang berilmu dan memberikan khidmat pula kepada anggota masyarakat yang lain. Peranan yang dimainkan oleh pendakwah sufi ini bahkan telah melahirkan tokoh-tokoh yang hebat dalam masyarakat yang tidak dapat lari dari nuansa sufi juga. Tokoh-tokoh ini bukan sahaja telah memberi khidmat yang besar di dalam masyarakat, bahkan istana juga. Mereka juga turut melahirkan karya-karya tasawuf yang hebat, sama ada dalam bentuk kaya asli, terjemahan atau huraian. Perkembangan ini turut menyaksikan polemik di antara mereka, apatahlagi ajaran tasawuf itu sendiri terbahagi kepada dua, tasawuf sunni yang berimbang antara tasawuf dan syariat dan tasawuf falsafi yang diserapi unsurunsur asing yang diragui kemurniannya.

Namun begitu, dapat diperhatikan bahawa pada era terkemudian, tokoh-tokoh tasawuf ini sedaya upaya ingin mengelak dari berlaku sebarang kontroversi atau konflik runcing melibatkan antara penyokong dan penentang

136

Faudzinaim, opcit., hlm.24

192

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

mereka. Keadaan ini berterusan sehingga saat ini walaupun konflik penyokong-penentang ini sentiasa wujud di sepanjang zaman. Rujukan Abdul Kadir Riyadi (2016), Arkeologi Tasawuf, Bandung: Mizan Media Utama. Abdullah Ishak (1990), Islam di Nusantara (Khususnya di Tanah Melayu), Selangor : al-Rahmaniah (Badan Dakwah & Kebajikan Islam Malaysia). Ahmad Sahidah, Finding Malay Islamic Identity trough Manuscripts : Allah s.w.t Textual Criticism of Bahr al-Lahut, British Journal of Arts and Social Sciences, vol.11, no.1 (2012). Amnah Saayah binti Ismail & Farid Mat Zain (2004), Perspektif Islam di Tanah Melayu abad ke-19 : Analisis Terhadap Pemikiran Abdullah Munshi Melalui Karya “Kisah Pelayaran Abdullah””, (Kertas Kerja International Seminar of Islamic Thought, anjuran Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM pada 7-9 Disember 2004). Azyumardi Azra (1997), “Education, Law, Mysticism : Constructing Social Realities”, dalam Mohd Taib Osman (ed.), Islamic Civilization in the Malay World, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Badlihisham Mohd Nasir dan Othman Haji Talib, Tasawuf Dalam Gerakan Dakwah Tanahair, Jurnal Usuluddin, bil.18, 2003. Che Zarina Sa’ari , Tasawuf : Sejarah dan Perkembangannya Hingga Kini, Tasawuf dan Ummah, Jabatan Aqidah dan Pemikiran Islam , Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Fadhlullah, Perkembangan Islam Di Nusantara Dan Hubungannya Dengan Golongan Arab http://kdhlib.gov.my/diaspora/sesi1 (sejarah) .doc. 5 April 2012. Hawash Abdullah (t.t), Perkembangan Ilmu Tasawuf & Tokoh-Tokohnya di Nusantara, Penerbit al-Ikhlas : Surabaya, Indonesia. Mahayuddin Haji Yahya (2001), Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Faizal Harun, Tasawuf dan Tarekat Sejarah Perkembangan dan Alirannya di Malaysia (2015), UUM Press, Sintok: Kedah. Sulaiman bin Ibrahim (2002), al-Turuq al-Sufiyyah fi Maliziyya wa Atharuha ‘ala Dakwah al-Islamiyyah, Majlis Fatwa Negeri Sembilan : Negeri Sembilan.

193

JURNAL PENGAJIAN ISLAM Fakulti Pengajian Peradaban Islam ISSN 1823-7126 / e-ISSN 0127-8002

BIL 9, ISU II: 2016

Syed Muhammad Naquib al-Attas (1969), Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago, Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka. T.W.Arnold (1913), The Preaching of Islam : a History of the Propagation of The Muslim Faith, cet.2, London : Constable & Company Ltd. Wan Mohd Saghir (2002), Wawasan Pemikiran Ulama Asia Tenggara, j.5, Kuala Lumpur : Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara dan Khazanah Fathaniyyah.

194